ZANI berdiri di hadapan pintu wad dengan nafas yang belum teratur. Dia menoleh ke arah Suzi yang memandangnya dengan wajah penuh tanda tanya.
"Abang, kenapa ni?" Suzi bertanya sambil menatap lagi muka tiba-tiba pucat itu.
Zani tidak menjawab. Dengan tangan sedikit menggigil, dia menolak pintu perlahan-lahan.
Mila sedang berbaring di atas katil dan wajahnya juga pucat biarpun tidak sepucat Zani. Peralatan perubatan di sekeliling menunjukkan tanda-tanda stabil. Nafas Zani lega sedikit tetapi hatinya tetap berdebar.
"Abang, ni Mila kan?" Suzi melangkah ke sisi katil, menggenggam tangan kakaknya yang terasa dingin.
"Dia ada kat sini, je… dengan keadaan dia masih lemah mana mungkin nak bergerak sana-sini, bang. Akak tumpah darah bang…"
Zani masih termenung, fikirannya bercelaru. Apa yang dia nampak tadi memang suatu perkara mustahil.
"Abang?" Suzi memanggil serta memandangnya untuk menanti jawapan.
"Tak ada apa-apa..." Zani cuba juga menafikan dengan menggeleng. Semata-mata untuk menyedapkan kegalauan hatinya.
Dia mengusap perlahan rambut Mila yang lembut. Mila bergerak sedikit, kelopak matanya bergetar sebelum terbuka separuh.
"Bang?" Soal Mila lemah seakan berbisik saja nadanya.
"Abang kat sini... abang kat sini, sayang," ujar Zani, cuba menyembunyikan keresahan di hatinya.
Mila mengerutkan dahi, seperti cuba mengingat sesuatu.
"Ada... ada perempuan..."
Jantung Zani berdegup kencang ketika mendengar. Semerta itulah dia dengan Suzi saling berpandangan.
"Perempuan mana?" Zani bertanya lagi. Hati diamuk resah begitu juga dengan Suzi. Lama dia menatap wajah kakak dan abang iparnya itu.
Mila menggeleng perlahan, matanya kembali terpejam.
"Abang, maksud dia apa tu?" Suzi berbisik cemas.
Zani mengetap bibir.
"Abang tak tahu... tapi abang rasa ada sesuatu yang tak kena,” jawabnya.
“Kak… siapa kakak nampak tadi? Dekat mana? Kawan kakak, kut?” Tegur Suzi sekadar menyedapkan hati padahal sedari tadi, setahu dirinya memang tiada sesiapa pun.
“Mungkin. Mungkin juga cuma ilusi akak. Akak penat,” jawab Mila masih lagi lemah biarpun pek darah kian menurun menandakan dah banyak mengalir ke sarafnya kini.
Zani hanya mampu membisu. Dia tidak berani beritahu sesiapa apa yang sudah dia alami setelah balik dari outstation itu.
Zani dan Suzi melangkah keluar dari wad dengan langkah perlahan setelah Mila tidur semula.
"Abang..." Suzi bersuara setelah mereka berdua duduk di bangku pelawat.
"Apa kata kita jumpa ustaz?"
Zani menoleh dan keningnya bertaut.
"Ustaz?" Soalnya. Suzi segera mengangguk.
“Untuk apa?” Soal pemuda itu lagi. Dan dia terus menghela nafas panjang, menyandarkan bahu ke dinding.
"Abang tak tahu, Suzi... abang sendiri tak pasti apa yang abang nampak tadi. Mungkin abang terlalu penat."
"Tapi kalau betul ada benda yang kacau kakak...
kita tak boleh tunggu, bang."
Zani kelu. Fikiran bercelaru. Bahagian dirinya mahu percaya ini semua cuma kebetulan kerana keletihan atau sekadar paranoia. Tapi rasa tak sedap di dadanya pula enggan mereda.
"Suzi kenal siapa-siapa?" soal Zani akhirnya.
Suzi mengangguk.
"Ustaz Luqman. Dulu masa Suzi kena gangguan masa praktikal, dialah yang tolong."
"Kalau macam tu... kita jumpa dia esok," ujar Zani, suaranya kedengaran berat.
"Esok?" Suzi berkerut.
"Kenapa tunggu esok? Entah-entah benda tu…"
"Kita tak tahu apa yang kita hadap ni, Suzi," potong Zani.
"Kalau abang terus serbu ustaz malam-malam macam ni, abang takut mungkin cuma bayangan."
“Tapi akak cakap dia pun nampak. Bang akak jatuh sebab dia terkejut nampak benda.” Kata-kata dari Suzi membuatkan Zani terdiam semula.
"Okey... tapi esok, kita pergi awal, bang. Kalau benda tu muncul lagi?" Akhirnya Suzi mengalah biarpun hatinya tidak selesa.
Zani menatap mata adiknya, cuba memberi keyakinan yang dia sendiri tak pasti.
"Abang takkan biar akak kau apa-apa."
“Semua ni terjadi lepas perempuan itu muncul…” Omel Suzi tak sedar yang ocehannya itu didengari.
“Apa maksud Suzi? Perempuan mana?” Zani tetap juga menyoal walau dia sendiri kurang yakin dan takut-takut.
“Setiausaha baru syarikat abang tu lah!”
“Kenapa pula nak babitkan dia? Abang tak rasa…”
“Yang abang nak berpihak pada dia kenapa pula? Bukan betul ke semua ni berlaku lepas kakak nampak abang dan dia bermesraan!” Suzi dah potong dahulu.
“Kejap. Apa yang cuba adik sampaikan ni? Kenapa babitkan orang lain pula ni? Bukan dia punca kakak kamu jatuh pun, kan? Kalau dia lebih berhati-hati tak mungkin hal ni akan terjadi,” ujar Zani cuba membetulkan keadaan.
“Abang yakin? Mana abang tahu? Suzi kenal kakak Suzi. Kita ni orang melayu bang…”
“Jadi apa masalah dengan orang melayu? Suzi sebenarnya nak kata apa ni? Berterus-terang sajalah. Tak usah kona-kona,” sahut Zani mulai berang. Kebuntuan tadi pun belum reda tambah hal lain pula.
“Abang, dah kalau tadi abang cakap nampak lembaga. Kakak pun sama sampai dia jatuh sekaligus tumpah darah. Apa lagi? Apa lagi kalau bukan buatan orang?” Sembur Suzi.
“Jadi Suzi nak cakap pada abang yang setiausaha abang pun punya pasal ke? Dia punca kakak kamu keguguran? Begitu? Ada bukti?” Zani membidas. Dia langsung tidak boleh terima andaian tersebut.
“Jangan tuduh melulu, Suzi. Tak baik. Kalau Kak Mila kamu dengar pun dia nak marah. Abang pun kenal isteri abang itu,” nasihat Zani. Masa yang sama, menafikan sesuatu.
“Abang sayangkan dia. Suzi saja yang tak tahu…”
“Kalau betul abang sayangkan akak, abang takkan buat macam ini. Di mana abang masa kakak perlukan abang? Mana? Cakaplah!” Desak Suzi geram semakin bertunas di hati.
“Kan abang outstation. Suzi pun tahukan? Tak adil salahkan abang tahu tak?” Tukas Zani pula. Dia turut panas hati.
“Boleh abang beritahu
pada Suzi apa hubungan sebenar abang dengan perempuan itu? Perempuan yang kakak nampak. Suzi pun pernah nampak,” pohon Suzi inginkan kejujuran abang iparnya itu.
“Ya Allah. Berapa kali abang kena bagitahu, ya? Abang dengan setiausaha. Setia…usaha. Kami hanya sebagai kenalan tempat bekerja. Itu sahaja. Takde salahnya pun. Tapi kalau kakak kamu tu nak cemburu bagai. Abang pun tak mampu nak kata apa dah. Dia yang salah tafsir sedangkan kami takde sebarang hubungan di luar waktu kerja…”
“Kenalan tempat kerja? Tapi boleh pula peluk-peluk? Abang Zani, takde perempuan tak rasa jealous bila nampak orang yang dia sayang bermesraan dengan perempuan lain di hadapan mata dia!” Pangkah Suzi menyebabkan Zani menelan lagi air liur.
“Lagipun abang tahu ke apa isi hati setiausaha abang tu? Kalau dengan Laila pun dia berani buat hal inikan pula isteri boss nya!” Sahut Suzi lalu memandang tepat. Zani terpaksa melarikan pandangannya.
“Jadi ini kerja si Laila? Dia yang adu macam-macam pada Suzi? So, Suzi pun percayalah ya bulat-bulat setiap pertuduhan tu? Abang ipar sendiri tak mahu percaya?” Kali ini, giliran Zani pula menghamburkan rasa.
Share this novel