BAB 25

Thriller Series 21293

PAGI mula menjengah perlahan di ufuk timur, namun suasana di hospital masih terasa berat. Langit kelihatan kelabu memendam hujan yang belum mahu turun.

Zani masih duduk di kerusi panjang itu, matanya merah dan kantung bawah matanya semakin jelas kelihatan. Sepanjang malam, tidurnya terganggu oleh mimpi-mimpi aneh yang berulang dan setiap kali dia cuba memejamkan mata. Suara Maia Karina akan bergema dalam fikirannya.

"Abang, tak tidur langsung ke?" Suzi bertanya sambil menghampiri dengan secawan kopi panas di tangannya.

Dia sendiri kelihatan lesu tetapi tetap cuba untuk kuat demi kakaknya.

Zani menggeleng perlahan.

"Tak boleh... abang risaukan Mila."

Suzi duduk di sebelahnya, menghulurkan kopi itu.

"Minum ni dulu. Nanti kalau abang sakit, siapa nak jaga akak?"

Zani menerima cawan itu dengan anggukan kecil tetapi hatinya masih tidak tenteram. Dia memandang ke arah pintu bilik rawatan Mila. Perasaan bersalah menikam hatinya seperti duri tajam.

"Suzi..." Zani akhirnya bersuara setelah beberapa minit berdiam diri.

"Hmm?" Suzi menoleh, memandang wajah abang iparnya yang nampak semakin berat memendam sesuatu.

"Kalau... kalau abang ada buat salah besar... kau rasa Mila akan maafkan abang tak?" Zani bertanya perlahan dan irama suaranya bergetar.

Soalan itu membuatkan Suzi tergamam. Dia memandang Zani dengan kening berkerut.

"Kenapa abang tanya macam tu? Salah apa ni?"

Zani menundukkan kepalanya, mengelak dari bertemu mata dengan Suzi adik iparnya itu.

"Abang cuma... abang cuma risau. Itu je."

"Kalau abang betul-betul risau, abang kena jujur dengan akak. Akak berhak tahu," balas Suzi dengan nada serius.

Sebelum Zani sempat menjawab, pintu bilik rawatan Mila terbuka. Seorang doktor melangkah keluar dengan wajah tenang tetapi sedikit keletihan.

"Encik Zani?"

Zani segera bangun.

"Ya, doktor. Macam mana isteri saya?"

Doktor itu menarik nafas sebelum menjawab.

"Keadaan Puan Mila stabil buat masa ini. Tetapi kami akan terus memantau. Kalau tiada komplikasi lain, mungkin dia boleh dipindahkan ke wad biasa esok."

Zani mengangguk, rasa lega sedikit melepasi dadanya.

"Boleh saya tengok dia sekarang?" Soal Zani setelah melafaz kata-kata syukur.

Doktor itu tersenyum kecil.

"Boleh, tetapi jangan terlalu lama. Dia perlukan rehat."

Zani melangkah masuk ke dalam bilik rawatan dengan langkah perlahan, meninggalkan Suzi yang masih duduk di luar.

DI DALAM BILIK RAWATAN

Mila terbaring di atas katil, wajahnya pucat tetapi kelihatan tenang. Mesin-mesin di sebelahnya mengeluarkan bunyi perlahan, menunjukkan tanda-tanda hayat yang stabil.

Zani berdiri di sebelah katil, memandang wajah isterinya yang masih tidak sedarkan diri. Tangannya terketar-ketar ketika dia mencapai tangan Mila, menggenggamnya dengan perlahan.

"Mila sayang... maafkan abang," bisiknya.

Air matanya mula menitis, jatuh ke atas selimut putih yang menutupi tubuh isterinya.

Namun, pada saat itu, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Mila mengerang perlahan, matanya bergerak-gerak di bawah kelopak. Zani tersentak, memandang wajah isterinya.

"Sayang..." Dia memanggil dengan lembut.

Mata Mila perlahan-lahan terbuka tetapi pandangannya kosong. Wajahnya kelihatan seperti sedang berada dalam mimpi yang menakutkan.

"Zani..." Suara Mila perlahan tetapi bernada aneh.

Zani mendekatkan diri, mendengar dengan lebih jelas.

"Mila sayang, abang ada di sini. Abang ada..."

Namun, Mila tiba-tiba menggenggam tangan Zani dengan kuat, jauh lebih kuat daripada yang sepatutnya untuk seorang pesakit lemah. Matanya memandang tepat ke arah suaminya tetapi pandangannya bukan seperti Mila.

"Kau tak akan lepas... kau akan kembali pada dia..." Suara Mila berubah, seolah-olah ada orang lain bercakap melalui dirinya.

Zani terkejut. Laju menarik tangannya dari genggaman Mila.

"Mila! Apa yang kau cakap ni?"

Mila tiba-tiba tersentak, tubuhnya terangkat sedikit sebelum kembali terbaring dengan lemah. Bunyi mesin di sebelahnya kembali normal dan dia tidak lagi bersuara.

Zani tergamam. Nafasnya semakin kencang dan peluh mula mengalir di dahinya. Dia memandang isterinya yang kini kelihatan tenang semula, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Mila. Sayang..." Dia memanggil lagi tetapi tiada respons.

Di luar bilik, Suzi yang sedang menunggu mula berasa tidak sedap hati. Dia memandang pintu bilik rawatan dengan risau, tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di dalam.

MAIA KARINA tersenyum puas sambil memegang boneka kecil yang sama, kini terlilit penuh dengan benang hitam.

"Zani, you never be free. I will show my capable to make you mine" ujarnya perlahan, matanya penuh dengan api dendam.

Dia mengambil seutas jarum panjang dari dulang kecil di sebelahnya, menikam boneka itu dengan perlahan tetapi penuh tenaga.

"Darahmu milikku. Jiwamu terikat dalam genggamanku," bisiknya perlahan sambil menarik nafas panjang.

Kelopak mata berwarna smokey-nya terpejam. Bibirnya bergerak-gerak membaca mantera dalam bahasa kuno. Lilin di sekelilingnya tiba-tiba padam satu persatu, meninggalkan bilik itu dalam kegelapan seketika sebelum satu angin dingin bertiup, menyalakan lilin-lilin itu semula secara serentak.

Senyuman sinis terukir di wajahnya. Dia tahu apa yang sedang berlaku. Zani pasti merasakan kesan mantera itu dan tidak lama lagi, dia akan kembali kepadanya sama ada secara rela atau terpaksa.

Maia Karina mencapai telefon bimbitnya, memeriksa galeri yang penuh dengan gambar Zani. Sebahagian besar gambar itu diambil secara sembunyi. Dia mengusap skrin, seperti memegang sesuatu yang bernyawa.

"Kau tak akan dapat melarikan diri dariku, Zani. Mila tak boleh melindungi kau daripada aku," suaranya penuh kebencian dan obsesi yang tidak terkawal.

Tiba-tiba, pintu bilik hotel diketuk dengan kuat, memecahkan tumpuannya. Maia Karina berpaling dengan cepat, matanya berkerut.

"Siapa pula?" gumamnya.

Dia berdiri. Membuka pintu perlahan-lahan. Tiada siapa di luar, hanya lorong hotel yang gelap dan sunyi. Tetapi di depan pintu, ada sekeping nota kecil yang dilipat kemas.

Maia Karina mengambil nota itu dengan penuh hati-hati lalu membukanya. Tulisan tangan yang halus tetapi bergetar itu membuatkan dia terhenti.

"Berhenti sebelum terlambat. Kau tak tahu dengan siapa kau bermain."

Maia Karina tersenyum sinis.

"Ancaman murahan," katanya sambil merenyukkan kertas itu dan membuangnya ke lantai.

Dia menutup pintu, kembali ke tempat lilin dan bonekanya. Namun, jauh di sudut hatinya, sedikit rasa bimbang mula merayap. Siapa yang menghantar nota itu?

Adakah mereka tahu tentang ritualnya?

Namun, dia menepis keraguan itu dengan cepat. Tiada siapa yang akan menghalangnya. Zani adalah miliknya dan dia akan memastikan perkara itu kekal selamanya.

DI WAD HOSPITAL

Zani duduk bersandar di kerusi panjang. Kelopak matanya terpejam tetapi mindanya jauh dari tenang. Suara yang memanggil-manggilnya tadi masih bermain di kepalanya.

“Za...ni…”

Dia membuka matanya perlahan-lahan, memandang ke arah bilik rawatan Mila. Pintu itu separuh terbuka dan dia dapat melihat tubuh isterinya yang terbaring di atas katil.

Dia bangkit, berjalan perlahan-lahan ke arah bilik itu. Tangannya menyentuh pemegang pintu tetapi sesuatu membuatkan dia terhenti.

Ada bayangan hitam di sudut bilik. Sesuatu yang tidak jelas bentuknya, tetapi ia cukup untuk membuatkan Zani rasa bulu romanya meremang.

“Mila?” panggilnya perlahan.

Bayangan itu tidak bergerak, hanya diam di situ memandang ke arah katil Mila. Zani memberanikan diri melangkah masuk tetapi ketika dia cuba mendekat, bayangan itu perlahan-lahan lenyap.

“Mila!” Zani memanggil dengan lebih kuat, mendekati isterinya. Tetapi Mila tetap tidak bergerak.

Zani merasakan dadanya semakin berat. Tangannya menggenggam erat pergelangan Mila, berharap ada tindak balas. Namun, Mila tetap diam, wajahnya tenang tetapi dingin.

Di luar bilik, Suzi yang sedang berjalan kembali ke tempat Zani, terdengar jeritan halus. Dia berlari ke arah bilik rawatan.

“Abang! Apa jadi?” tanya Suzi dengan panik.

Zani berpaling, matanya penuh rasa takut.

"Ada... ada sesuatu tadi. Dalam bilik ni."

Suzi memandang sekeliling tetapi bilik itu kosong seperti biasa. Dia menggeleng perlahan.

"Abang, mungkin abang terlalu penat."

"Tak. Abang nampak! Abang nampak benda tu berdiri tadi dekat sini. Hitam. Benda tu hitam!"

"Apa sebenarnya yang berlaku ni abang? Selama ni, benda-benda macam ni tak pernah berlaku. Akak dia tumpah darah pun sebab kena ganggu." Suzi semakin berasa sangsi.

"Ab...ab...abang tak tahu. Abang tak tahu!!!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience