BAB 33

Thriller Series 22533

USTAZ LUQMAN masih bersila. Tangan kejap menggenggam tasbih. Zikirnya tenang meskipun tubuh Mila yang merangkak liar di lantai kini semakin hampir ke tubuhnya.

Nafas Mila laju seperti binatang yang mendekati mangsa. Matanya memerah namun ada senyum yang sangat aneh di bibirnya.

Lidah Mila yang masih berlumur darah menjilat bibirnya sendiri perlahan-lahan. Suaranya berubah lembut seperti bisikan asmara.

"Ustaz... tak penat ke baca ayat tu, banyak sangat?" katanya dengan senyum menggoda, suara gabungan Mila dan makhluk yang menguasainya.

Dia duduk melutut betul-betul di depan Ustaz Luqman, kepalanya senget sedikit seperti mahu mengkaji wajah lelaki muda itu.

Zani yang memegang Ika semakin berdebar. Dadanya terasa panas. Matanya terpaku melihat Mila, isterinya dalam keadaan begitu. Berbaju tidur yang koyak sedikit di bahu, rambut mengurai kusut tanpa hijab dengan mata yang meliar penuh daya pikat aneh.

Tangan Mila naik perlahan. Dia sentuh bahu Ustaz Luqman dengan hujung jarinya.

"Tak nak rehat, ustaz? Saya... boleh bantu ustaz hilangkan letih..." ucapnya dengan suara mendesah.

Tiba-tiba dia bersujud, merangkak mengelilingi Ustaz Luqman seperti kucing manja, menggeselkan pipinya ke belakang tubuh ustaz muda itu.

Kemudian dia berdiri perlahan, tubuhnya melentik dan mula berjalan mengelilingi ustaz seperti wanita di pentas catwalk tapi liar. Ghairah. Dan menakutkan.

Dia merapat. Sangat-sangat rapat, berdiri betul-betul di hadapan Ustaz Luqman kemudian duduk di riba lelaki itu tanpa sebarang amaran.

Zani bangkit, hampir meluru tapi pembantu ustaz cepat-cepat menahan dada lelaki itu.

"Jangan, Encik. Jangan ganggu proses. Itu bukan isteri Encik!"

Mila mengangkat tangan ustaz dan letakkan di sisi pinggangnya.

"Kau tahu, Luqman... aku pernah tunggu lelaki yang suci. Yang masih belum disentuh perempuan mana-mana... kau ingat, kau kuat?" Mila bersuara. Zani makin cemburu. Tak pernah lagi dia nampak Mila berperangai macam itu. Ika makin teresak-esak.

"Aku boleh buat kau goyah, aku boleh buat kau jatuh cinta pada tubuh ini..." ujar Mila cuba menggoda.

Dia menjilat telinga Ustaz Luqman perlahan. Zani menggigil menahan geram. Matanya merah.

"Cukup! Itu isteri aku!" pekik Zani sambil meletakkan Ika ke bawah. Dia mahu menyerang Ustaz muda itu. Sudah melampau!

"Jangan, Encik! Bawa bertenang!" Nasiblah pembantu kepada Ustaz Luqman tangkas menangkap lengan lelaki itu. Tangan lagi sebelah memegang ubunnya sambil membaca doa.

Ustaz Luqman yang tadinya tenang tiba-tiba membuka mata. Wajahnya tegang tapi mata tajam menentang pandangan Mila.

"La taqrabuu zina! Aku bukan hamba nafsu! Aku tahu kau siapa!"

Tasbih di tangan Ustaz Luqman diangkat tinggi dan dengan sekelip mata, dia menekapkannya ke tengah dahi Mila. Tubuh wanita itu melonjak seperti disambar api.

"Argh!!!"

Dia melompat ke belakang, meraung merangkak laju memecah ruang tamu sambil meracau.

Zani mendakap Ika yang sudah menangis semahu-mahunya. Tubuhnya menggigil dengan marah. Dengan cemburu dan takut setelah tersedar.

"Ustaz...tolong selamatkan dia... saya tak sanggup tengok Mila diguna macam tu." Zani akhirnya merayu. Dia tak kuat.

Ustaz Luqman berdiri, wajah seriusnya sempat berpaling belakang biarpun saat itu, Mila sudah mahu bangun.

"InsyaAllah. Tapi ini bukan gangguan biasa. Jin ini sudah terlalu lama bersarang dan dia kenal kelemahan kamu berdua."

"Dia tahu godaan akan pecahkan kekuatan kamu sebagai suami."

Zani terduduk. Ika menangis di sisi. Dan di penjuru ruang tamu, Mila sedang berguling di lantai ketawa mengekek, matanya merah membara.

Petikan surah ruqyah bergema memenuhi ruang. Suara Ustaz Luqman lantang, dalam dan menekan. Mila duduk bersimpuh di hadapan. Tubuhnya tegang, tangan menggenggam kuat kain baju.

Zani duduk di belakang, jantungnya berdegup kencang.

"Afaḥasibtum annamā khalaqnākum ‘abathan wa-annakum ilainā lā turja’ūn..."

Mila menggigil. Dahinya berpeluh, mata tertutup rapat tapi tubuhnya mula bergoyang kiri-kanan seperti menahan sesuatu yang mendesak keluar.

Nafasnya bertukar berat. Tiba-tiba bibirnya bergerak-gerak. Ada suara lain yang bukan suara Mila, mula kedengaran. Parau. Dalam.

“Berhenti… Kau tak patut sentuh dia. Dia milik kami!”

Dalam masa yang sama, jauh dari rumah itu di dalam sebuah bilik sempit yang dindingnya penuh cermin hitam dan anyaman rotan tua, Kak Suri bersila di dalam lingkaran kapur hitam.

Bau tanah lembap dan miang rebung menguasai udara. Di hadapannya, sebiji tempurung tanah liat berisi air kehitaman. Cebisan rambut dan kain perca yang ditulis jampi.

Kak Suri mengangkat kedua-dua tangannya dan suara kecil bergema dari kerongkongnya.

“Jangan biarkan dia keluarkan kau. Jangan biar dia lepas dari ikatan ni...” ungkapnya lalu menghembus perlahan ke dalam tempurung itu.

Api kecil pada pelita di sebelahnya berkelip—kelip dan cermin-cermin mula berkabus. Tangannya menggigil tapi matanya tidak berkedip.

Di rumah Mila semula, Ustaz Luqman menekan jari telunjuknya ke dahi Mila. Mila terjerit tapi jeritannya bukan suara wanita biasa. Lidahnya terjelir sedikit, matanya memutih.

“Dia undang 'kami' sendiri. Dia yang buka pintu. Kau siapa nak halau?”

“Aku bukan siapa-siapa. Tapi nama Allah lebih tinggi dari semua makhluk.”

Mata Ustaz Luqman tidak berganjak. Dia teruskan bacaan ayat demi ayat. Semakin kuat dibacanya, semakin tubuh Mila melenting, seakan-akan ada arus yang cuba meresap keluar dari tubuhnya.

Tangan Zani menggigil dan tiba-tiba dia terjelopok, lututnya longlai. Sesuatu sedang berlaku yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa.

Dalam masa yang sama, Kak Suri menjerit. Tempurung kelapa di hadapannya meletup. Menyembur cebisan kotor ke lantai. Dia terdorong ke belakang. Cermin-cermin hitam berderai tanpa disentuh. Satu bayang gelap melintas di sudut biliknya dan lenyap.

Kak Suri ternganga. Matanya merah. Darah mengalir keluar dari hidung dan telinganya. Dia cuba bangun tapi sendi-sendinya seperti lumpuh.

“Tidak! Aku belum habis! Dia belum lepas!”

Di rumah Mila, Mila tiba-tiba terdorong ke depan lalu tersungkur. Mulutnya terbuka dan satu nafas dalam dan berat, keluar darinya seperti hembusan terakhir seekor binatang yang mengalah.

Suasana menjadi senyap serta-merta. Hanya tinggal dengusan nafas Mila yang tercungap-cungap selain bacaan Ustaz Luqman yang mula perlahan. Ustaz Luqman mengesat peluh di dahi.

“Dah keluar," ujarnya pada Zani yang masih berwajah terpinga-pinga.

"Abang..." Suara serak namun masih lemah memanggil. Barulah Zani tersentak.

"Mila...sayang..." serunya perlahan.

"Ika..." panggil Mila mahu memeluk si anak selain suaminya walau tak memahami apa dah terjadi sebenarnya.

"Mama..." Ika menjawab sambil berlari. Zani jua.

Dan jauh dari mereka, dalam rumah yang sunyi dan cermin-cerminnya kini berkecai, Kak Suri menekup dada. Dia tunduk dan meludah darah ke lantai.

“Luqman... aku akan patahkan kau!” Suara itu bergema di telinga, Ustaz Luqman.

"Laillahaillantaminalkuntuminalzolimin..."

***

KAFE yang berkonsepkan urban-industrial itu tenang suasananya. Muzik latar perlahan. Bau kopi segar memenuhi udara.

Maia Karina duduk penuh gaya. Skirt midi jeans ketat, top hitam stripless dan jaket kulit singkat membalut tubuhnya yang ramping. Wajahnya bersolek ringkas tapi beraura wanita yang tahu, apa dia mahu.

Di hadapannya, lelaki berusia lewat 40-an dan juga bekas suaminya, kelihatan serabut. Dia kelihatan resah.

"Apa yang kau buat pada dia, Maia? Razlan tak ingin berbasa-basi lagi.

"Siapa you maksudkan ni? Zani? Hmm… I cuma singgah dalam hidup dia. Dia yang buka pintu..." jawab Maia Karina dengan jari berkutek merah bata, menyeret-yeret nakal muncung gelas.

"Dia ada isteri. Anak. Kau tahu tu. Tapi kau tetap sihirkan dia. Kau tarik dia dari keluarga sendiri," selar Razlan. Maia Karina hanya naikkan kening.

"Kalau cinta tu rapuh sangat sampai satu sentuhan boleh hancurkan, salah I ke?"

"Aku tahu tanda-tanda dia."

"Huh, you risau sebab you pernah rasa semua tu dulu, kan? Kan?" ejek wanita itu lagi. Hirup sedikit lagi air minumannya.

"Kau makin jauh, Maia. Sudah-sudahlah. Jangan kacau kehidupan..."

"Hei, you tu siapa yang nak tegah I? Ingat sikit you tu bekas I..." jawab Maia Karina setelah memintas.

"Dia yang datang sendiri. I tak paksa."

"Dia takkan datang dengan sendiri jika tak diguna-guna, Maia..."

"Yang you nak kesah sangat ni, dah kenapa? Cemburu? Kalau cemburu cakap sajalah. See, tanpa you di sisi pun I boleh bangkit apa?" sindir Maia Karina seolah dia dah menang besar sangat.

"Zani tu bukan milik kau. Kau takkan dapat dia… tak dengan cara ni."

'Kita tengok nanti.' sahut Maia Karina tertunduk dan tersenyum. Mendongak.
Razlan bangun dan pergi. Maia Karina tetap duduk. Tangannya menyeluk poket jaket. Menggenggam satu loket hitam kecil.

"Kalau aku tak boleh miliki dia di dunia… aku nak dia datang merangkak dalam mimpi aku, setiap malam."

sikit lagi habis

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience