3

Romance Series 515

Alena POV

Sejak keputusan peperiksaan diumumkan semalam, aku perasan sesuatu semua orang memandang Aaliya. Bukan macam selalu. Kali ni pandangan mereka lain. Kagum. Bangga.

Dan aku tahu sebabnya.

Markah dia.

Semua A.

Sementara aku? Aku cuma cukup-cukup makan. Cukup untuk lulus. Tapi bukan cukup untuk dipuji.

Tengah aku duduk sorang-sorang dekat kafe, aku terdengar suara kawan-kawan sekelas bercakap.

“Tak sangka Aaliya tu pandai gila weh... Senyap-senyap je, semua A,” kata salah seorang mereka.

“Ala, dia tu memang rajin. Selalu nampak ulang kaji waktu rehat,” sambung seorang lagi.

Aku menggenggam sudu plastik di tangan. Rasa menyucuk naik ke dada. Tak sedap hati. Tak suka. Kenapa mesti Aaliya? Selama ni semua orang puji aku. Semua suka aku.

Tiba-tiba, sekarang nama dia pula yang naik?

---

Petang itu – Di Rumah

Bunyi enjin kereta di luar buat aku terus berlari ke pintu. Ayah dan abang sulung kami baru pulang dari outstation. Aku rindu. Tapi lebih daripada itu, aku teruja sebab aku tahu mereka mesti bawa balik sesuatu.

“Alena! Aaliya!” suara abang memanggil kami.

Aku cepat-cepat sambut mereka di luar. Aaliya pun turun dari bilik, seperti biasa dengan wajah tenangnya yang aku benci.

“Ni ha, hadiah untuk dua-dua orang,” kata abang sambil hulur dua beg berbalut cantik.

Aku terus buka hadiah aku... jam tangan jenama mahal. Cantik. Aku senyum puas.

Tapi senyuman aku mati bila aku lihat Aaliya buka hadiahnya seutas rantai emas putih dengan loket berbentuk buku kecil. Terselit nota kecil:

"Untuk si bijak abang yang selalu buat kami bangga."

Hati aku terus terbakar.

Kenapa dia dapat lebih?

Kenapa dia yang abang puji?

Aku pandang wajah abang yang tersenyum pada Aaliya. Ayah pun menepuk bahu Aaliya sambil berkata, “Kamu memang harapan ayah, Aaliya. Teruskan usaha, ya.”

Aku berdiri tegak di situ, tak mampu nak senyum, walaupun semua orang tengah gembira.

Dalam hati, aku cuma mampu jerit. “Kenapa bukan aku?”

Suasana ruang makan tengah hari itu sepatutnya hangat dan mesra. Bau lauk-pauk kegemaran kami memenuhi ruang kari ayam, sambal udang, dan ikan masak lemak. Mak Jah menyediakan semuanya sempurna, seperti biasa.

Ayah duduk di hujung meja, senyum lebar sambil menyenduk nasi ke pinggan. Abang sulung pun kelihatan santai, masih dalam baju kemeja kerja yang sedikit renyuk.

"Aaliya, duduk sini, dekat ayah," panggil ayah dengan nada lembut.

Dia menurut, duduk di antara aku dan ayah. Aku hanya diam, memerhati.

“Ayah,” Aaliya mula bersuara sambil memandang kami satu-satu, “Saya ada berita gembira nak kongsi.”

Aku berpaling separuh hati, pura-pura sibuk dengan lauk di pinggan.

"Apa dia?" tanya abang sulung dengan senyuman teruja.

“Kedai pastri yang saya, Mila dan Hawa rancang tu... permohonan lesen perniagaan kami dah dalam proses kelulusan. Cikgu pastri kami pun sudi jadi penyelia tetap,” katanya, penuh bangga.

Aku dapat rasakan jantung aku berhenti seketika.

“Alhamdulillah!” seru ayah dengan gembira. “Baguslah, Aaliya! Dari dulu lagi ayah tahu anak ayah ni ada potensi. Ayah akan bantu apa yang perlu nanti.”

"Alhamdulillah, dan permohonan kedai pastri tu dalam proses terakhir, ayah. Insya-Allah, tak lama lagi boleh mula ubah suai," katanya dengan penuh semangat.

Aku mengetap bibir. Ayah dan abang tersenyum bangga. “Bagus, Aaliya. Ayah tahu Aaliya boleh pergi jauh. Kami semua bangga dengan kamu,” kata ayah, suaranya lembut tapi cukup menyengat di telinga aku.

“Terima kasih, ayah, abang…” Aaliya senyum, tersipu malu.

Aku pura-pura senyum. Tapi dalam hati, mendidih. Aku pun anak ayah. Aku pun adik abang. Tapi kenapa semua pujian, kasih sayang, hadiah semuanya untuk dia?

Lepas makan, aku naik ke bilik dengan langkah deras. Aku hempas pintu, dan berdiri di depan cermin. Aku tengok wajah aku sendiri ya, aku cantik. Lebih dari Aaliya. Tapi kenapa semua orang tak nampak?

Tak lama lepas tu, pintu bilik diketuk. Ibu masuk, mukanya masih berkerut.

“Lama-lama naik lemak dia tu,” ibu bersuara perlahan tapi penuh bisa. “Depan ayah dan abang, pandai dia main peranan. Macam baik sangat. Lembut. Penyayang. Konon gigih…”

Aku terus bersuara, geram. “Ibu, saya tak faham. Kenapa semua orang anggap dia sempurna? Dia bukan siapa-siapa pun. Kalau bukan sebab abang dan ayah sokong, tak ke mana pun kedai dia tu!”

Ibu duduk di birai katil, tangan diriba, renung jauh. “Ibu dah lama perhati. Sejak kecil, semua orang pandang dia. Padahal yang paling menyerupai ibu, yang paling cantik ialah kau, Alena.”

Aku memandang ibu, perlahan-lahan rasa amarah dalam dada bertukar menjadi dendam yang dalam.

Ibu diam sejenak, tapi aku nampak mata dia mula menyala. “Kau ada rancangan?”

Aku mengangguk perlahan, lalu bersandar rapat ke arah ibu. "Saya tahu minggu depan dia ada sesi penilaian terakhir untuk kedai tu. Dia dah sediakan segalanya bahan, resipi, malah plan dekorasi. Kalau sesuatu terjadi sebelum hari tu, dia akan gagal."

Ibu tersenyum sinis, mengangkat kening. “Contohnya?”

“Kalau kita rosakkan bahan-bahan dia... atau ubah sikit resipi dia... atau hantar email palsu pada pegawai penilai tu, konon-konon Aaliya pernah tiru resipi orang. Biar imej dia tercalar. Biar semua nampak siapa dia yang sebenar.”

Ibu ketawa perlahan. “Kau memang anak ibu. Pandai.”

Malam itu, dua hati bersatu dalam satu niat ingin meruntuhkan seorang gadis yang mereka sendiri tak mahu lihat berjaya.

Beberapa hari selepas perbualan malam itu, aku mula gerak senyap-senyap. Aaliya langsung tak curiga. Dia masih dengan dunia dia sibuk siapkan dokumen, cuba resipi baru, dan kemas kini mood board dekorasi untuk kedai yang dia konon nak buka tu.

“Esok aku nak ke kedai pembekal, nak ambil bahan awal,” katanya pada aku suatu malam sambil tersenyum. “Kalau buat semua lebih awal, aku tak kelam-kabut nanti.”

Aku hanya senyum dan angguk. “Baguslah… semoga semuanya lancar.”

Tapi dalam kepala aku, satu demi satu langkah sedang tersusun rapi.

---

Esoknya, sewaktu Aaliya keluar ke kelas, aku terus masuk ke bilik stor tempat dia simpan bahan-bahan mentah untuk uji resipi. Ibu dah siapkan senarai. Gula kami tukar dengan garam. Serbuk penaik diganti dengan tepung jagung. Dan beberapa bahan penting aku buang terus.

Sementara itu, ibu pula gunakan akaun emel palsu yang kami cipta malam sebelumnya. Dia taip dengan penuh berhati-hati seolah-olah ia datang dari seseorang yang benar-benar kecewa dan ingin memberi amaran kepada pegawai penilai.

Kepada: Penilai Rasmi Program Sokongan Usahawan Muda
Daripada: Pengguna Prihatin
Subjek: Laporan Peniruan Resipi oleh Aaliya Binti Hadi

Saya ingin melaporkan bahawa Aaliya Binti Hadi telah beberapa kali meniru resipi milik chef lain dan menyatakan ia sebagai hasil ciptaannya sendiri. Beberapa hasilnya juga kelihatan diambil dari blog dan saluran Yo*Tu** milik usahawan pastri bebas.

Saya harap pihak tuan/puan dapat membuat siasatan sewajarnya sebelum memberi kelulusan pembukaan kedai tersebut.

Yang Benar,
Pemerhati Jujur

Ibu membaca semula emel itu dua tiga kali, sebelum klik ‘Hantar’. Dia berpaling kepada aku dan senyum puas.

“Malam ni kita tidur lena, Lena. Esok Aaliya akan rasa dunia dia runtuh,” kata ibu, matanya bersinar puas.

Aku ketawa perlahan, lalu bersandar di dada ibu. Rasa manis dendam ini terlalu indah untuk aku lepaskan.

Tapi satu perkara yang aku tak tahu waktu itu dendam tak pernah berhenti setakat menang pertama. Dendam akan cari mangsa... dan kadang-kadang, dia berpatah balik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience