21

Romance Series 515

Aaliya POV

Sudah hampir sebulan aku dan Irfan… 'Dating’.

Walaupun hubungan kami ini masih baru, tapi tenangnya macam aku dah kenal dia bertahun-tahun. Ada masa kami keluar minum petang, kadang lepak dalam kereta sambil dia dengar aku bebel pasal pelanggan Langit Coklat. Dan bila aku penat, dia hanya diam, tapi diam dia cukup untuk buat aku rasa selamat.

Tapi hari ini… bukan tentang kami.

Hari ini tentang rumah yang aku tinggalkan hampir dua bulan lepas — dan kini, aku di seru pulang semula.

---

Papa dan abang Aryan baru tiba dari outstation semalam. Terus ke rumah tanpa sebarang amaran. Dan aku tahu, mereka bukan pulang kerana rindu semata-mata — mereka pulang kerana mereka tahu, ada yang tak kena.

Dan mereka dah mula bertindak sebelum aku sempat buka mulut.

> “Papa dan abang dah jumpa mama dan Alena pagi tadi,” pesan Abang Aryan tadi melalui panggilan video.

“Sekarang abang nak Liya balik rumah. Kita akan bincang semua sekali.”

---

Aku berdiri di hadapan pintu rumah.

Rumah besar ini sepatutnya jadi tempat paling selamat. Tapi sekarang, perut aku terasa sebu. Nafas aku menjadi sesak. Mila yang hantar aku hanya menepuk bahu aku perlahan.

“Kalau apa-apa jadi, call aku terus.”

Aku angguk, senyum tipis. “Doakan aku kuat.”

Mila angguk perlahan, tapi jelas wajahnya menunjukkan sedikit resah.

---

Suasana ruang tamu senyap bila aku masuk.

Papa di sofa, bersandar dengan wajah tenang tapi tegas. Abang Aryan di sisi, tangan silang di dada, mata tak beralih dari mama dan Alena yang duduk di kerusi bertentangan.

Aku terus bersalaman dan berpelukan dengan papa dan abang Aryan.

“Duduk, Aaliya,” arah papa. Suaranya lembut tapi tegas.

Aku patuh.

Alena hanya menjeling tanpa sepatah perkataan. Mama pula… buat-buat sibuk dengan hujung selendangnya.

Papa buka bicara. "Papa dah dengar semuanya—tentang sabotaj, akaun palsu, dan penghinaan terhadap kamu di media sosial."

Aku tunduk.

“Papa minta maaf sebab tak ada waktu tu. Abang kamu pun sama kami rasa bersalah.”

“Papa…” suara aku perlahan. “Saya dah redha. Saya anggap ujian tu ajar saya untuk menjadi lebih kuat.”

Papa angguk perlahan. Tapi matanya tajam menoleh ke arah mama. “Tapi salah tetap salah. Dan orang yang buat salah kena tanggung akibatnya.”

Mama tarik nafas panjang. “Saya cuma nak ajar dia saja. Dia makin kurang ajar—”

“Dan awak balas dengan membuka aib anak sendiri dalam media sosial?” papa bersuara, kali ini suaranya keras. “Alena pun, kamu yang reka akaun palsu tu, kan?”

Alena menjeling aku. “Dia yang selalu berlagak suci. Semua orang sayang dia. Semua orang puji dia. Saya ni… tak ada siapa pandang!”

“Jadi kau pilih untuk hancurkan hidup kembar kau sendiri semata-mata sebab rasa tak dipedulikan?!” Suara abang Aryan memecah ruang tamu. Dia bangun, wajahnya merah menahan marah. Papa cepat-cepat menahan bahunya, mengisyaratkan dia duduk semula.

Aku hanya duduk membatu. Tak ada air mata yang gugur. Tak ada jeritan. Sebab segalanya... dah aku hadap dalam hati, beribu kali sebelumnya.

Dan hari ini… aku nak lepaskan semuanya.

---

Selepas suasana reda sedikit, aku bangkit.

“Papa… saya nak minta sesuatu.”

Papa angkat muka. “Apa dia, Aaliya?”

“Saya… saya tak nak tinggal di sini lagi.”

Semua terdiam.

“Saya sayang papa. Saya sayang abang. Tapi rumah ni… bukan tempat yang sihat untuk saya. Saya terpaksa jadi orang lain setiap kali balik ke sini. Saya terpaksa senyum… walau hati saya menangis. Saya terpaksa sabar bila saya dimaki oleh darah daging sendiri.”

Suara aku bergetar, tapi aku tak berundur.

“Saya nak bina hidup saya sendiri, papa. Mungkin rumah sewa kecil… mungkin tak selesa di rumah ni. Tapi saya nak belajar berdikari. Tanpa luka emosi dari mereka.”

Mama ketawa sinis. “Huh. Baru naik sikit dah nak jadi wanita berdikari lah konon.”

Aku pandang dia tepat. “Saya berdikari bukan untuk lari dari tanggungjawab. Tapi kerana saya penat… penat hadap kebencian yang saya sendiri tak tahu puncanya. Tapi hari ni, saya pilih untuk hidup. Tanpa awak berdua.”

Papa bangun, berjalan ke arah aku. Dia letakkan tangan di atas bahu aku.

“Kalau itu keputusan kamu… papa izinkan. Tapi papa tetap akan bantu kamu. Dan rumah ini tetap rumah kamu, bila-bila masa kamu mahu balik.”

Air mata aku jatuh. Tapi kali ini bukan kerana sedih. Tapi sebab aku rasa… aku disokong.

---

Selepas perbincangan itu, aku duduk di bilik sendiri. Mengemas barang. Tapi hati aku tenang. Ini kali pertama aku buat keputusan besar bukan kerana terdesak, tapi kerana aku mahu berubah.

Abang Aryan ketuk pintu perlahan dan masuk.

“Liya.”

“Hmm?”

Dia duduk di tepi katil. “I’m proud of you. Really.”

"Liya nak ucap terima kasih sebab abang percaya pada Liya. Jangan risau… Mila dan Hawa ada. Dia orang akan teman Liya.” Aku berkata.

"Abang tak pernah ragu dengan Liya cuma abang harap Liya boleh balik jenguk abang dan papa." Pesan abang Aryan.

Aku peluk abang Aryan dan senyum. “Abang tahu tak, masa abang peluk Liya hari tu, ada orang sangka abang tu boyfriend Liya?”

Aryan tergelak besar. “Ya, dan adik abang ni dah ada peminat ke?" tanya abang Aryan bergurau.

Muka aku pula dah kemerahan, malu.

Kami ketawa seketika. Ringan rasa dada aku.

“Dia dah okay ke sekarang?” tanya abang Aryan.

Aku angguk, pipi sedikit merah. “Kami okey. Pelan-pelan.”

Abang Aryan angguk, tapi sempat usik. “Kalau dia lukakan hati adik abang ni… dia kena berdepan dengan abang dulu.”

“Ceh. Abang pun janganlah garang sangat macam papa.”

Abang Aryan senyum. “Mestilah abang nak dia tahu yang adik abang ni ada dua orang pelindung.”

---

Beberapa hari kemudian, aku pindah ke rumah Hawa dan Mila sepenuhnya — rumah sewa kami taklah sebesar rumah papa tapi yang penting aku di kelilingi oleh orang-orang yang terima aku seadanya.

Irfan juga turun membantu angkat barang.

Malam pertama aku sepenuhnya duduk sendirian berdikari sendiri… aku pandang sekeliling ruang kecil bilik ni. Tak ada Alena. Tak ada jeritan mama. Tak ada sindiran. Tak ada tekanan.

Hanya aku… dan ketenangan yang aku cari selama ini.

Lamunan aku terhenti bila telefon aku berbunyi.

> Irfan: “Bagaimana awak rasa?”
Aku: “Happy sangat, bahagia ada orang-orang yang sangat terima saya seadanya.”
Irfan: “Termasuk saya juga ke?”
Aku: “Hmm… awak rasa?”
Irfan: "Saya yakin yang awak sekarang tengah rindukan saya"
Aku: “Perasannya... Tapi untuk pertama kalinya dalam hidup saya, saya rasa saya di tempat yang betul.”
Irfan: “Saya yakin awak telah buat satu keputusan yang sangat tepat.”

Aku letakkan telefon dan baring di atas tilam empuk.

Di luar, angin malam menyapa perlahan di celah tingkap. Tiada lagi jeritan. Tiada lagi luka yang aku perlu sembunyikan.

Malam ini, untuk pertama kalinya… aku tidak berlakon untuk sesiapa.

Dan aku tahu — ini bukan pengakhiran.
Tapi satu permulaan hidup yang aku pilih sendiri.

Agak lama menyepi.. Bukan apa pening nak melayan si Alena ni.. huhuhu... Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience