14

Romance Series 515

Alena POV

Pagi tu, aku buka Ins** macam biasa, siap nak post selfie dengan caption pedas.

Tapi sebelum sempat buat apa-apa, satu video muncul di feed aku—muka aku terus jadi pucat.

> “Langit Coklat Diserang? Ini Bukti Akaun Palsu yang Cuba Jatuhkan Perniagaan Tempatan!”
Video ni diterbitkan oleh satu akaun yang nampak profesional, lengkap dengan logo, suara narator, dan grafik IP address yang disorok separa.

“Mana datang video ni?” aku tekan volume kuat. Mama yang tengah sibuk kat dapur terus datang tengok.

Video tunjuk bukti tangkap layar hantaran fitnah terhadap Aaliya—fitnah yang aku dan Mama sendiri pernah buat sebelum ni. Tapi tiada nama atau wajah disebut.

Narator cuma kata:

> “Kami kesan penggunaan akaun palsu dari individu yang rapat dengan pemilik Langit Coklat. Motifnya? Dengki. Tapi jangan risau, siasatan sedang dijalankan.”

Aku tergamam. “Macam mana dia boleh dapat semua ni? Kita dah padam semua...” aku berbisik, jantung berdegup laju.

Mama duduk perlahan di sofa, muka dia serius. “Ini kerja siapa?”

Aku geleng kepala. “Aaliya tak pandai IT. Dia mana tahu nak buat video ni.”

Mama mengangguk, “Jadi mesti ada orang kuat belakang dia.”

Kami diam. Tapi aku rasa hati makin berat. Kalau mereka boleh kesan sampai tangkap layar dan IP, berapa lama lagi sampai nama aku kena dedah?

> “Dan ini baru permulaan,” suara lelaki dalam video kata.

Aku genggam telefon erat. Permulaan?

Kalau ini permulaan... aku tak tahu aku mampu hadap apa lagi.

---

Dua hari lepas video tu viral.

Setiap kali aku buka media sosial, mesti ada yang sebut pasal Langit Coklat. Hashtag #LangitCoklatBack, dan yang paling menyakitkan hati — #TeamAaliya. Semuanya makin rancak. Macam orang lupa terus pasal fitnah.

Mama dah mula kurang cakap, tapi aku tahu dia perhati. Setiap kali aku scroll dan nampak video baru dari akaun sama, jantung aku makin laju. Kali ni video pelanggan puji brownies dan ice coffee Aaliya.

“Dah macam drama pulak,” aku geram.

Mama pandang aku, “Kau rasa dorang tahu ke pasal kita?”

Aku diam. Aku pun tak pasti. Tapi tekanan tu makin kuat. Rasa macam ada tali yang perlahan-lahan cekik aku.

Tengah malam tadi aku tak boleh tidur. Aku stalk akaun Langit Coklat. Story penuh testimoni pelanggan. Ada video Aaliya senyum, selfie dengan budak kolej. Muka dia nampak letih, tapi jelas... dia bahagia.

“Kenapa orang sokong dia sangat? Padahal...” aku berhenti, hentak telefon atas katil.

Aku tahu dia bukan sebaik tu. Aku tahu Aaliya tak sekuat yang orang sangka. Tapi sekarang, semua orang percaya dia semula. Dia yang menang.

Aku buka akaun fake yang aku dan Mama pernah guna. Dah sunyi. Followers makin turun. Post terakhir aku delete takut kena jejak. Tapi... macam mana mereka boleh dapat tangkap layar?

Siapa yang bantu Aaliya?

“Ma...” aku pandang Mama yang baru keluar bilik air. “Kalau kita buat lagi... kita betul-betul kantoi nanti.”

Mama pandang aku lama. “Kita tengok sejauh mana dia boleh pergi. Belum tentu orang akan sokong dia lama.”

Tapi aku nampak dia risau. Tangan dia bergetar masa tengok satu video baru—Aaliya dan kawan-kawan bagi kek percuma pada pelanggan pertama selepas insiden.

Video tu viral.

“Langit Coklat kembali dengan lebih kuat. Awak tak nak lepaskan peluang rasa brownies viral ni, kan?”

Ada satu komen buat aku rasa nak campak telefon keluar tingkap:

> “Kadang orang yang jatuh tu sebenarnya ada malaikat yang tolong dia bangkit.”

Aku tekan komen tu. Ramai yang suka.

Ada reply dari akaun video pertama:

> “Kebenaran akan keluar juga. Satu-satu.”

Dada aku rasa sesak.

Satu-satu?

Mereka nak dedah lagi ke?

Aku tak tahu berapa bukti dorang ada. Tapi satu yang aku tahu...
Aaliya bukan seorang diri. Aku pula dah mula jatuh.

---

Baru nak lelap, telefon berbunyi.

Video call dari Abang Aryan.

Mama pandang aku, wajah dia berubah sikit tapi angguk.

Aku tekan terima. Wajah abang muncul, dari bilik hotel dengan langsir tebal dan lampu meja. Dia nampak tegang.

“Alena,” suara dia tenang tapi tegas.

Aku cuba senyum kecil. “Abang… kenapa call malam-malam ni.”

Suara lain ikut masuk, dalam dan berat.

“Papa ada sama.”

Papa muncul, duduk bersandar. Pandang kami lama.

“Kami tengok keadaan Aaliya. Dia hadap banyak sangat cabaran... dan syukur dia masih kuat.”

Aku dan Mama diam.

“Yang pelik,” abang cakap perlahan, “kecaman dia tu macam dah dirancang rapi. Bukan kebetulan.”

Jantung aku berdetik kencang. Mama cuba bersuara, “Aryan... mungkin netizen biasa. Media sosial ni boleh buat macam-macam.”

Papa tarik nafas, tunduk sikit.

“Papa tak nak buat andaian. Tapi sebagai ayah, Papa malu kalau ada yang jatuhkan darah daging sendiri,” katanya, pandang terus ke kamera.

Aku terkedu. Mata aku panas.

“Abang tak tuduh sesiapa,” sambung Aryan. “Tapi sekarang... Aaliya dapat bantuan orang yang tahu cara bersihkan nama dia. Abang yakin kebenaran akan muncul juga.”

Papa sambung dengan suara tegas, “Apa-apa yang kamu tahu... fikir betul-betul. Sebelum jadi perkara yang tak boleh ditarik balik.”

Skrin jadi sunyi.

“Aryan balik hujung minggu ni. Kita bincang kat rumah. Tak ada main-main.”

Klik.

Panggilan tamat.

Aku pandang skrin kosong. Nafas sesak, dada berat.

Mama genggam lengan aku perlahan, tapi dia sendiri diam.

Apa yang kami mula dengan yakin... sekarang menggigit balik.

Aku tak tahu siapa bantu Aaliya.

Tapi aku pasti... aku dah mula jatuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience