Series
2175
Irfan POV
Sudah hampir sebulan berlalu sejak Aaliya mula sibuk dengan persiapan perkahwinan kami — tapi jujur, aku rasa kami semakin jauh.
Dia bangun awal setiap pagi, uruskan kafe, kemudian terus ke butik atau spa seperti yang disusun oleh ibunya. Bila aku ajak keluar, alasan dia tetap sama — penat… letih.
Aku faham dia penat. Tapi yang aku tak faham, kenapa dia nampak semakin jauh dari aku — perlahan-lahan, seolah-olah jarak antara kami makin melebar tanpa aku sedar.
Malam-malam kami dah tak macam dulu. Tiada lagi panggilan panjang sebelum tidur, tiada lagi tawa kecil yang selalu buat hari aku tenang. Kadang-kadang aku pandang skrin telefon, tengok mesej yang aku taip tapi tak jadi hantar.
Aku tahu ada sesuatu yang tak kena.
---
Hari ini aku ke gym seorang diri lagi. Biasanya Aaliya akan ikut — dia suka treadmill di tepi cermin sambil pasang lagu lembut dari telefon. Tapi sejak dia mula ke spa setiap hujung minggu, aktiviti ni tinggal kenangan.
Baru saja aku habis pusingan terakhir di trek larian bila satu suara lembut menegur dari belakang.
“Irfan? Tak sangka kita jumpa kat sini!”
Aku menoleh — dan di situ, berdiri Alena, dengan pakaian sukan yang terlalu sempurna untuk jadi kebetulan.
“Oh… Alena. Hai,” aku jawab ringkas, menyeka peluh di dahi.
Dia tersenyum manis, melangkah sedikit rapat. “Dah lama tak nampak. Aaliya sihat?”
Aku kerutkan dahi. “Setahu saya dia sekarang ni di rumah keluarga awak, kan? Awak sepatutnya lagi tahu Aaliya sihat atau tak.”
Muka Alena berubah, nampak sedikit cuak. “Err… saya tak balik rumah dah beberapa hari. Ingatkan dia dah balik rumah sewa dia.”
Nada dia cepat — macam orang yang cuba cari alasan.
Aku tak jawab. Tapi mata aku memerhati setiap gerak-gerinya.
Dia berdehem perlahan, cuba ubah topik. “Awak sorang je hari ni? Kalau ya, apa kata awak jadi coach saya. Front desk tadi kata tak cukup jurulatih hari ni.”
Aku teragak sekejap — tapi akhirnya setuju. Mungkin sebab tak nak nampak kasar.
Tanpa sedar, habis sesi senaman, aku sempat juga bawa Alena makan tengah hari. Dan yang paling menyakitkan… aku bawa dia ke restoran yang selalu aku pergi bersama Aaliya selepas kami bersenam.
---
Hari kedua pun sama. Aku masih bantu Alena di gym, dan sekali lagi kami makan di restoran yang sama.
“Kesian Aaliya kan,” kata Alena sambil ketawa kecil. “Ibu cakap dia ke spa setiap minggu. Hebat juga dia boleh urus semua sendiri.”
Aku hanya senyum kecil, menahan rasa tak selesa.
“Rasanya masa Aaliya dengan awak pun dah makin kurang, kan? Macam mana awak boleh tahan?”
Aku menatapnya sekejap, cuba tenangkan nada. “Kami selalu berbual di telefon. Lagipun saya tak ada masalah. Nanti bila dah kahwin, hari-hari saya boleh tengok muka dia.”
“Wah, bagusnya awak. Kalau saya, dah lama…”
Dia berhenti di situ, pura-pura minum air.
Aku hanya balas dengan senyum nipis. “Aaliya memang rajin. Saya sokong saja apa yang dia buat.”
---
Masuk hari ketiga, rutin tu berulang lagi.
Alena masih muncul di gym, aku masih bantu dia — dan tanpa sedar, aku dah mula terbiasa dengan kehadirannya.
Tapi pagi tu, Hafiz dah tunggu aku di depan restoran selepas sesi senaman. Wajahnya jelas tak puas hati.
“Apa hal pandang aku macam tu?” aku tanya sambil masuk ke dalam kereta.
“Boss,” nada dia berat, “tiga hari berturut-turut boss dengan Alena. Jangan main api. Jangan sakiti hati Cik Aaliya.”
Aku geleng kepala. “Kau ni… bila pula aku buat hal? Dia datang gym, aku cuma tolong. Tak ada apa pun.”
Hafiz merenung aku lama. “Sebelum ni tak pernah pun dia muncul. Tapi kali ni, tiba-tiba muncul masa Cik Aaliya tengah sibuk. Boss tak rasa pelik?”
Aku senyap.
“Boss, saya bukan nak menuduh. Tapi… hati-hati. Kadang-kadang perangkap tu nampak macam kebetulan.”
Kata-kata Hafiz tu terngiang-ngiang dalam kepala aku sepanjang perjalanan balik.
Dan entah kenapa… untuk pertama kali, aku mula rasa takut kehilangan Aaliya —
bukan sebab orang lain,
tapi sebab mungkin aku sendiri sedang membuka ruang tanpa sedar.
Happy reading semua!!?
Share this novel