Series
2175
Wardah POV
Aku tiba di sebuah kafe kecil di tengah bandar yang sibuk dengan pelanggan keluar masuk. Aku memilih meja di sudut paling hujung—tempat agak terlindung daripada pandangan. Tangan aku meramas-ramas beg tangan di riba, hati berdebar setiap kali pintu kaca berbunyi menandakan ada orang masuk. Aku sendiri tidak pasti kenapa aku masih bersetuju untuk datang walaupun sudah diberi amaran keras oleh Idrus.
“Mana dia ni… lambatnya,” aku berbisik.
Tidak lama kemudian, kelibat seorang wanita masuk dengan penuh yakin. Senyumannya tipis, langkahnya penuh gaya. Wanita itu—ibu Aaliya—tidak buang masa. Terus sahaja dia menuju ke arah aku, seakan sudah biasa dengan tempat ini. Aku menarik nafas panjang, cuba menyembunyikan kegelisahan.
“Assalamualaikum, Datin. Lama tunggu?” suara ibu Aaliya tenang, namun ada aura mendesak di hujung nadanya.
“Waalaikumussalam. Tak… baru saja sampai,” aku cuba bersikap biasa.
Kami memesan minuman—aku dengan teh panas, sementara ibu Aaliya memilih cappuccino. Saat pelayan beredar, suasana menjadi senyap seketika. Aku menyusun ayat, mahu berterus terang.
“Saya… sebenarnya kena lebih hati-hati lepas ni. Suami saya dah tahu, dia juga dah beri amaran sebab saya terlalu banyak campur tangan dalam hal perkahwinan Aaliya dan Irfan. Jadi, mungkin kita kena kurangkan pertemuan macam ni.”
Ibu Aaliya tersenyum nipis, wajahnya langsung tidak terkejut.
“Kurangkan komunikasi? Datin… kalau kita biarkan, siapa yang akan ajar budak tu? Aaliya tu keras kepala. Percayalah, kalau awak tak kawal dia, lambat-laun dia akan pijak kepala kita semua.”
Aku menelan liur. Ada kebenaran dalam kata-katanya, tapi aku masih teringat wajah serius Idrus malam tadi.
“Saya cuma tak mahu perkara ni berulang. Pada pandangan saya, Aaliya bukanlah anak yang jahat…”
“Bukan jahat, tapi dia pandai ambil kesempatan. Awak tak nampak ke macam mana semua orang mula nampak dia calon menantu sempurna? Sedangkan hakikatnya dia masih mentah. Kalau bukan kita yang kawal dia, dia akan buat sesuka hati.”
Nada suara ibu Aaliya semakin meyakinkan, penuh manipulasi. Aku diam, merenung teh yang masih berasap. Ada keinginan untuk setuju, tapi dalam masa sama ada juga suara hati yang mahu menolak.
“Awak jangan risau. Saya pun tak mahu kita terlalu menonjol. Kita buat cara halus saja. Awak mainkan peranan sebagai bakal mertua, saya akan pastikan Aaliya ikut sahaja arahan dari kita. Asalkan dia dikawal.”
Aku menghela nafas perlahan. Aku tahu aku sudah terjerat—antara takut pada amaran suami dan ketagihan rasa kuasa yang diberi persekongkolan ini.
“Baiklah… tapi selepas ini, cukuplah mesej atau panggilan bila perlu. Saya tak mahu suami saya syak lagi.”
Ibu Aaliya tersenyum puas.
“Bagus. Itu lebih selamat. Saya janji, kita mainkan peranan dengan lebih halus selepas ini.”
Aku mengangguk perlahan, walaupun hati aku semakin kacau.
---
Dahlia POV
Selepas Wardah pergi, aku masih duduk sambil menghabiskan kopi bersama sepotong kek yang aku pesan tadi.
“Ibu, macam mana?” tanya Alena.
Aku pandang Alena tanpa senyum. Tadi aku memang datang ke kafe ini bersamanya, tapi dia ke pusat beli-belah berdekatan untuk shopping katanya.
“Tak berapa bagus. Si Datin tua tu dah mula mengalah… katanya dah kena amaran dengan suaminya.” Aku menjawab perlahan.
Alena mengeluh.
“Haritu bukan main lagi cakap boleh kawal keadaan. Sekarang lepas kena ‘sound’, dah nak berhenti.”
Kami sama-sama diam. Tak lama kemudian, Alena tersenyum sinis.
“Ibu, majlis mereka ada lebih kurang lima bulan lagi kan?” Aku mengangguk.
“Apa kata kalau kita sibukkan Aaliya?”
“Macam mana maksudnya?” aku bertanya.
“Ibu cakap dengan Datin tu, suruh dia booking spa untuk Aaliya.”
“Spa? Untuk apa pula?”
“Aduh, ibu… pergi spa buat apa? Mestilah facial. Siang dia sibuk dengan kafe, malam kita biar dia sibuk dengan spa. Jadi masa mereka berjumpa terhad. Waktu tu Irfan akan rasa sunyi.”
Aku pandang Alena, kemudian tersenyum perlahan.
“Kamu memang bijak. Kalau dulu masa sekolah kamu sama bijak macam Aaliya, ibu takkan jadi macam ni tau.”
“Ibu ni… kenapa nak samakan Lina dengan dia tu? Apa sekarang Lina tak bijak lagi ke? Semua idea ni idea siapa? Lina kan?” suara Alena meninggi sedikit.
Dari kecil lagi, Alena selalu tinggi suara pada aku. Tapi Aaliya, walau macam mana pun aku marah, dia tak pernah melawan.
“Tadi pergi shopping beli apa?” aku bertanya, cuba alih topik.
Alena mengeluarkan telefonnya lalu menunjukkan satu gambar. Alangkah terkejutnya aku melihat Aaliya di gym bersama Irfan. Penampilannya sudah banyak berubah… cantik.
Aku cuba menyembunyikan keterkejutan. “Kenapa dengan gambar ni?”
“Lina dah beli gym outfit. Dari sini Lina akan jalankan tugas Lina,” jawabnya sambil jarinya menunjuk ke arah Irfan dalam gambar.
Aku hanya tersenyum nipis melihat keyakinan Lina. Dalam hati, aku tahu permainan baru sahaja bermula.
Share this novel