Series
2175
Aaliya POV
Langit senja mula berlabuh, perlahan-lahan berubah dari biru lembut ke warna jingga keemasan. Aku berjalan perlahan masuk ke halaman rumah keluarga, hati aku berat. Bau masakan Mak Jah menyambut dari muka pintu bau yang selalu mengingatkan aku pada waktu kecil dan kehangatan rumah ini. Tapi hari ini, kehangatan itu bercampur rasa resah.
Dalam hati, aku ingin sekali berkongsi berita gembira, tarikh nikah aku dan Irfan sudah ditetapkan. Tapi kata-kata Mommy Irfan semalam masih berlegar-legar dalam kepala.
Aku duduk di ruang tamu, menanti semua berkumpul. Bunyi tapak kaki perlahan kedengaran. Abah masuk dahulu, diikuti Abang Aryan. Tak lama kemudian, Ibu muncul dengan wajah yang sukar aku tafsir. Dia memeluk tubuh, berdiri sedikit jauh dari tempat duduk aku.
Aku tarik nafas, cuba menenangkan hati yang berdegup tak menentu. "Abah... Ibu... Abang. Aaliya nak beritahu sesuatu." Aku menatap mereka bertiga satu persatu. "Insyallah, tarikh nikah Aaliya dengan Irfan dah diputuskan. 23 November."
Abah tersenyum. "Alhamdulillah. Baguslah. Masih ada masa untuk buat persiapan. Abah setuju, tak ada masalah." Suaranya tenang, menyejukkan hati aku seketika.
Aku berpaling ke arah Abang Aryan pula. Dia mengangguk perlahan. "Kalau nak Abang tolong katering ke pelamin ke, cakap je. Abang ada kenal orang."
Aku senyum. Tapi senyuman aku luntur saat pandangan aku bertembung dengan mata ibu. Wajahnya kelihatan tegang. Dia menghela nafas panjang sebelum bersuara.
"Kenapa cepat sangat? Majlis kahwin ni bukan benda main-main, Aaliya. Semua kena sempurna. Apa orang akan kata nanti kalau kau buat cincai sangat? Nak malukan keluarga ke?"
Aku cuba kekal tenang. "Ibu... saya nak buat majlis secara sederhana. Saya nak jemput anak-anak yatim juga. Saya nak majlis yang bawa keberkatan. Bukan semata-mata nak menunjuk."
Ibu mendengus. "Sederhana? Habis tu, orang akan fikir kita tak mampu? Takkan kau tak fikir? Bakal suami kau tu anak orang berada. Nanti apa Mommy dia fikir?"
"Ibu... janganlah macam ni," aku cuba memujuk.
Tapi ibu terus melontar kata. "Atau kau ada benda yang kau sembunyikan? Kalau tak, takkanlah kau beria nak buat majlis macam ni?"
"Apa yang ibu cakapkan ni? Aaliya tak buat benda-benda macam tu!" Nada suara aku sedikit meninggi. Mata aku mencari sokongan dari Abah dan Abang Aryan.
Abang Ayran bersuara dengan tegas, "Ibu, jangan tuduh adik saya macam tu. Saya kenal Aaliya. Tak salah pun kalau dia nak buat majlis sederhana. Yang penting, Irfan setuju. Ini majlis dia."
Ibu mendengus lagi, kali ini dengan wajah penuh kecewa. "Itulah kamu semua. Manjakan sangat dia. Tengok sekarang, ikut kepala sendiri je."
Dia bangun dan terus meninggalkan ruang tamu. Langkahnya laju, suaranya masih bergema dalam hati aku. Aku diam, menelan semua yang pahit. Aku tahu, ibu terlalu fikirkan pandangan orang. Tapi aku tak mahu hari bahagia aku menjadi pesta kemewahan yang kosong.
Abah bangun dan memeluk aku erat. "Aaliya, sayang... jangan ambil hati. Abah akan pujuk ibu ya."
Aku hanya mampu mengangguk.
"Sudahlah... malam ni tidur sini. Dah lewat sangat. Esok pagi Abang dan Abah hantar Liya ke cafe," ujur Abang Aryan sambil menyentuh lembut rambut aku seperti dulu.
Malam itu, aku berbaring dalam bilik lama. Lampu sudah ditutup, tapi mata masih terbuka. Siling di atas terasa kosong, tapi kepala aku penuh sesak. Kata-kata Mommy Irfan dan bantahan ibu berputar dalam fikiran. Aku rasa seperti ditarik dari dua arah antara kehendak sendiri dan harapan mereka.
---
Keesokan paginya, aku duduk di sebuah kafe kecil berhampiran pejabat Irfan. Bunyi cawan disusun dan aroma kopi memenuhi ruang. Tapi hati aku masih gelisah.
Irfan tiba tepat pada waktunya, senyuman tenangnya masih seperti biasa. Dia menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan aku.
"Awal pagi call ajak jumpa. Rindu ke?" Dia tersenyum mengusik.
Aku hanya senyum hambar. "Nak bincang semula pasal majlis kita."
Dia angkat kening. "Hmm? Semalam kan dah bincang dengan keluarga? Ada masalah ke?"
Aku mengeluh. "Abah dengan Abang Aryan dah setuju. Tapi ibu tak. Dia rasa majlis sederhana ni memalukan. Dan semalam... Mommy awak pun cakap benda yang sama. Dia nak majlis besar-besaran. Katanya awak anak tunggal. Dia nak hari tu jadi kenangan untuk semua."
Wajah Irfan berubah sedikit. Dahinya berkerut. Tapi dia tetap menggenggam tangan aku di atas meja.
"Liya, kita dah bincang sebelum ni. Kita dah sepakat. Kenapa nak ubah semata-mata kerana mereka?"
Aku tunduk. "Sebab mereka orang tua kita, Irfan. Mommy awak cuma nak tengok anak dia bahagia dengan cara dia. Ibu pun sama. Mungkin... mungkin kita boleh ikut sedikit kehendak mereka. Majlis tetap ikut konsep kita, tapi kita gabungkan. Biar mereka punup rasa dihargai."
Dia memandang aku lama. Wajahnya serius, seolah-olah sedang menimbang kata-kataku.
"Liya, awak dulu kata nak majlis yang sederhana. Tapi sekarang... awak nampak terbeban. Saya tak suka tengok macam ni."
Aku tarik nafas. "Ya, saya tahu. Tapi saya rasa, kita masih boleh buat sesuatu yang membawa keberkatan. Kita tetap akan jemput anak-anak yatim. Kita tetap buat bahagian kita. Cuma... kali ni, kita izinkan mereka juga rasa gembira."
Irfan menghela nafas panjang. Tapi genggamannya tak lepas.
"Baiklah... kalau itu yang buat awak tenang. Saya ikut. Tapi dengan satu syarat majlis ni tetap majlis impian awak. Walaupun ia besar."
Aku mengangguk perlahan. Cuba tenangkan hati sendiri, walaupun jauh di sudut hati... aku tahu, perubahan ini seperti menyerahkan sedikit kawalan. Dan aku hanya mempu berharap... ia tak akan mengubah segalanya.
Share this novel