36

Romance Series 2175

Aaliya POV

Sudah seminggu berlalu sejak pertemuan antara keluarga aku dan Mommy Irfan. Dalam tempoh itu, semuanya sepi—tiada sebarang khabar dari mana-mana pihak.

Namun hari ini, aku menerima mesej WhatsApp daripada Mommy Irfan. Katanya, dia telah menyusun semula keseluruhan program majlis kahwin kami nanti.

Aku terduduk lesu di kerusi, memegang telefon dengan tangan yang mula menggigil. Hampir 80% daripada rancangan asal aku telah diubah. Satu-satunya perkara yang masih kekal hanyalah jemputan anak-anak yatim.

Aku memicit dahi perlahan, menarik nafas panjang, cuba menenangkan perasaan yang semakin bergolak di dada.

Tiba-tiba, sepasang tangan memeluk bahu aku dari belakang.

“Aku rasa kau patut beritahu Irfan pasal hal ni, Liya. Kami dah tak sanggup tengok kau murung macam ni. Ini majlis kau. Kau patut happy, bukan sekadar ikut kehendak orang lain,” ujur Mila perlahan.

“Betul tu, Liya,” Hawa pula datang menghampiri, menggenggam tangan aku erat. "Kalau kau terus pendam, takkan selesai. Irfan pun perlu tahu."

Aku mengeluh perlahan. “Aku dah buntu, Hawa. Ibu sendiri pun sokong Mommy Irfan. Aku tak sangka... ibu sanggup bersubahat macam tu. Tapi aku tak nak bebankan Irfan dengan semua ni.”

“Liya, kau tak boleh terus begini. Jumpa Irfan. Cerita baik-baik,” desak Hawa lagi.

Aku angguk perlahan dan mengalah. “Boleh tak aku keluar sekejap? Aku janji lepas jumpa Irfan, aku balik semula.”

“Kafe kau jangan risau. Kami boleh uruskan. Lagi pun hari ni pelanggan tak ramai, stok kek pun cukup,” ujur Mila sambil menepuk bahu aku.

---

Selesai menguruskan sedikit urusan di kafe, aku terus menuju ke pejabat Irfan. Sepanjang perjalanan, fikiran aku ligat merancang cara terbaik untuk menyampaikan semua ini. Aku tak mahu sesiapa terluka - tak Irfan, tak Mommy, dan tak ibu.

Sampai di pejabat, aku disambut senyuman mesra oleh para pekerja. Rata-rata mereka sudah mengenali aku sebagai tunang Irfan, malah ramai antara mereka juga pelanggan tetap Langit Coklat.

Sebaik pintu lif terbuka di tingkat pejabat Irfan, aku melangkah keluar perlahan. Jantung aku berdegup sedikit kencang - perasaan berdepan dengan sesuatu yang tak pasti.

Langkah aku terhenti apabila aku terpandang seorang lelaki berkot hitam sedang berjalan dari arah hadapan, baru saja keluar dari bilik mesyuarat bersebelahan.

“Aaliya? Buat apa kat sini?” tegur lelaki itu sambil tersenyum.

Datuk Idrus.

Aku segera menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tangannya dengan penuh hormat.

“Saya nak jumpa Irfan sekejap, Datuk. Harap tak ganggu dia.”

“Berapa kali Daddy dah cakap… Aaliya kena mula panggil Daddy. Bukan Datuk lagi.” Keningnya berkerut sedikit, nada masih lembut. "Tapi kenapa tak suruh Irfan jemput?"

“Sebenarnya... saya pun tak beritahu dia saya nak datang," balasku sambil tersenyum kecil.

“Baiklah, Daddy kena pergi dulu. Ada meeting kat luar. Nanti kita jumpa lagi.”

Dia sempat melirik jam di pergelangan tangan, wajahnya kelihatan sedikit tergesa. Namun, sebelum berlalu, dia menyentuh rambut aku lembut seperti seorang ayah yang menitipkan kasih dalam diam sebelum berlalu pergi.

---

Aku berjalan menuju ke meja Hafiz.
“Hai Hafiz, busy ke?”

“Eh, Cik Aaliya! Kenapa tak beritahu nak datang? Kalau tak, saya boleh jemput,” balasnya, sedikit terkejut.

“Tak perlu susah-susah. Lagipun Langit Coklat tak jauh sangat pun dari sini.” Aku senyum. “Irfan ada? Saya nak jumpa dia. Tapi saya tak buat temu janji.”

“Tak jadi masalah langsung. Kalau Cik Aaliya, bila-bila masa pun boleh.” Hafiz tersenyum lebar.

“Oh ya, ni untuk awak.” Aku menghulurkan kotak kecil brownies yang aku bawa dari kafe.

Matanya membulat.

“Terima kasih! Kebetulan saya belum makan dari pagi. Banyak kerja banyak hari ni.”

“Rezeki awaklah tu. Saya pergi dulu, ya.”

---

Aku mengetuk pintu pejabat Irfan tiga kali. Setelah mendapat kebenaran, aku menjenguk sedikit sebelum melangkah masuk.

Dia masih khusyuk menatap skrin laptop. Wajahnya serius, langsung tidak mengangkat kepala.

Dari tempat aku berdiri, mata aku sempat meneliti raut wajahnya—gaya rambut quiff yang tersisir kemas, hidung mancung, bibir merah jambu, dan ekspresi tenang yang selalu membuatkan aku berasa dilindungi.

“Ada ap... Liya?" Suara Irfan berubah serta-merta. Wajahnya bertukar jadi risau. "Kenapa tak beritahu nak datang?”

Dia segera bangun, melangkah pantas ke arah aku dan menggenggam tangan aku lembut sebelum membawa aku ke sofa.

Aku masih diam, cuba menyusun kata. Nafas terasa tak teratur. Sebaik duduk, aku meletakkan bag kertas yang aku bawa di atas meja.

“Saya... ada bawa kopi dan kek kurang manis. Khas untuk awak,” kataku perlahan, cuba mengurangkan debar dalam dada yang makin kuat.

“Macam tahu-tahu je saya belum makan,” balasnya tersenyum.

“Awak pun belum makan?” tanyaku, sedikit terkejut.

“Minggu ni ada deadline. Saya dan Hafiz pun tak cukup rehat," katanya sambil memicit tengkuk sendiri.

Melihat keletihannya, hati aku dijentik rasa bersalah. Dalam penat pun, dia masih meluangkan masa untuk aku.

“Angel…” panggilnya perlahan. “Kerja saya boleh tunggu. Kenapa datang tiba-tiba? Awak boleh je call saya.”

Aku berdehem perlahan.

“Sebenarnya… saya dapat mesej daripada Mommy. Dia ubah hampir keseluruhan rancangan perkahwinan kita. Tapi awak jangan risau, saya okey. Yang penting, anak-anak yatim masih ada dalam senarai jemputan.”

Irfan terdiam. Matanya merenung wajah aku lama.

“Awak betul-betul okey dengan semua ni? Kalau ada apa-apa yang awak tak setuju, saya akan bercakap dengan Mommy.”

Aku genggam tangannya erat.

“Saya okey… betul. Cuma mungkin nanti masa kita untuk berjumpa akan jadi terhad sedikit. Mommy nak saya temankan dia uruskan semua persiapan majlis, jadi saya mungkin akan lebih banyak masa dengan dia. Dia juga rancang nak satukan majlis kita serentak."

Irfan mengeluh perlahan, kemudian mengangguk.

“Kalau ada apa-apa yang awak tak selesa, terus beritahu saya. Jangan simpan sendiri. Faham?”

"Faham." Aku memaksa senyuman, cuba menyembunyikan rasa yang semakin menyesakkan dada.

Tapi sampai bila aku mampu bertahan begini? Mampukah Irfan benar-benar lindungi aku... atau akhirnya dia juga akan tunduk pada kehendak keluarganya?

Aku cuma mahu sebuah perkahwinan yang bahagia - bukan medan antara siapa yang paling berkuasa.

Share this novel

Fatimah Mutazali
2025-08-15 23:49:40 

thanks update author teruskan berkarya


NovelPlus Premium

The best ads free experience