Aaliya POV
Sabtu pagi. Langit mendung sekejap tadi kini perlahan-lahan cerah. Matahari mula mencelah di celah awan, seolah memberi restu. Aku berdiri di hadapan pintu kedai, meneliti dari atas hingga ke lantai, memastikan semuanya sempurna. Hawa dan Mila muncul dari belakang dengan apron seragam yang baru warna krim lembut bertulis Langit Coklat – Patisserie & Dreams di dada.
“Aku rasa nak pengsan,” aku tarik nafas dalam-dalam.
“Kalau kau pengsan sekarang, siapa nak senyum kat pelanggan?” Hawa menepuk belakang aku.
Mila tersenyum sambil menyusun kotak hadiah di tepi kaunter. “Kita dah buat semua yang kita mampu, Aaliya. Hari ini, kita sambut dunia.”
Aku angguk. Ya, hari ini hari besar kami. Hari yang menjadi jawapan kepada malam-malam tanpa tidur, air mata kegagalan, dan tohmahan yang tak pernah surut.
---
Pukul 10 pagi, pintu kaca kami dibuka perlahan oleh pelanggan pertama seorang wanita muda berambut pendek yang memegang tangan anak kecil.
“Selamat pagi,” katanya dengan senyuman. “Saya ternampak poster awak dekat pejabat. Bau dari luar pun dah cukup menggoda.”
“Selamat datang ke Langit Coklat,” aku jawab, menghulurkan menu. “Kami sangat hargai kedatangan puan.”
Lepas itu, pelanggan datang bertali arus. Meja kecil kami yang hanya ada empat tempat duduk sudah penuh dalam setengah jam. Selebihnya memilih untuk bungkus. Ada yang datang dari pejabat-pejabat sekitar, ada jiran-jiran dari tingkat atas, dan tak kurang juga pelanggan baharu yang tertarik dengan dekorasi luar kedai yang ringkas tapi memikat.
Setiap satu kek, setiap pastri, setiap secawan kopi yang kami hulurkan semuanya dihantar dengan senyuman.
“Cik Aaliya, saya nak ucap tahniah. Tempat ni... lain dari yang lain,” kata seorang pelanggan lelaki dalam lingkungan 30-an, sambil mengangkat kotak choux yang sudah dibelinya. “Saya rasa macam balik ke zaman kecil masa makan kek mak saya.”
Aku tersenyum. “Terima kasih, tu yang kami impikan. Rasa yang bukan sekadar sedap... tapi rasa yang ada kenangan.”
---
Hampir tengah hari, Hafiz muncul lagi kali ini dalam kemeja putih dan seluar slack, nampak lebih formal berbanding kelmarin.
“Wah, meriah betul. Saya nak bungkus lagi hari ni tapi nak beli lebih sikit. Mana tahu boss saya nak rasa,” katanya sambil berdiri di sisi Mila yang sedang menyusun muffin.
Mila hanya tersenyum nipis, tapi aku perasan pipinya sedikit merah. Aku dan Hawa sempat bertukar pandang, senyum penuh makna.
---
Petang itu, kami berempat aku, Mila, Hawa dan pekeria sambilan yang diupah khas untuk hari ini berdiri di dapur. Lenguh kaki tak terasa bila hati dipenuhi puas dan syukur. Di luar, pelanggan masih ada. Masih ramai. Tapi dalam hati kami, satu suara sama bergema:
Kami berjaya.
Aku capai telefon, ambil gambar bertiga di hadapan kaunter yang dihias bunga segar. Aku muat naik di laman media sosial Langit Coklat dengan kapsyen ringkas:
> “Hari pertama penuh syukur. Terima kasih kerana hadir. Ini baru permulaan. #LangitCoklat #PatisserieAndDreams”
---
Malam itu, sebelum tidur di sofa rumah Hawa dan Mila, aku sempat semak semula mesej dari Papa. Aku baca sekali lagi ayatnya.
"Papa percaya kamu tahu jaga diri."
Aku senyum kecil. Dalam diam, aku berjanji pada diri sendiri aku akan terus kuat, terus berdiri. Biar siapa pun cuba menjatuhkan. Kerana hari ini, aku bukan Aaliya yang dulu.
Hari ini, aku berdiri atas impian yang nyata.
---
Dua minggu selepas pembukaan rasmi, Langit Coklat mula punya ritma sendiri.
Setiap pagi jam 7:30, aku dan Hawa akan sampai lebih awal. Mila biasanya sampai 15 minit selepas itu dengan kopi dalam tangan dan mata yang masih separuh terbuka.
Jam 8:30, bau roti croissant dan butter roll mula penuhi ruang. 9:00, pelanggan pertama akan masuk biasanya Pak Azmi dari pejabat guaman di tingkat tiga. Katanya, tak lengkap hari kalau tak minum kopi kami sambil makan kek marble.
Kami mula ada pelanggan tetap. Ada yang datang waktu pagi untuk kopi dan muffin, ada yang singgah waktu makan tengah hari, dan ada yang akan bungkus roti untuk dibawa pulang.
Aku simpan setiap resit hari-hari pertama dalam fail khas. Setiap pujian pelanggan, aku salin dalam buku kecil yang kuletak di bawah kaunter bukan untuk menunjuk, tapi sebagai semangat kalau aku hilang arah.
---
Petang itu, selepas pelanggan terakhir melangkah keluar, aku duduk sebentar di belakang kaunter. Telefon aku bergetar mesej dari abang.
> “Aaliya, Mama tanya bila nak balik. Dia kata kau dah lupa rumah.”
Aku diam. Rasa pedih mencuit dada. Bukan aku tak mahu balik. Tapi tiap kali aku pulang, aku bawa harapan untuk disambut dengan senyuman… tapi selalunya hanya sinis, sindiran dan sunyi.
Belum sempat aku balas, telefon aku berdering.
“Nombor tak dikenali?”
“Hello?”
“Hello… ini Aaliya ya?” Suara wanita. Lembut tapi tajam.
“Ya, saya. Boleh saya tahu siapa bercakap?”
“Awak tak kenal suara mak sendiri ke sekarang?” suara itu bertukar sinis.
Aku terkedu. “Mama…”
“Bagus. Ingat juga. Mama nak cakap sikit je. Jangan fikir kau buka kedai, kau dah berjaya. Rezeki tu boleh ditarik balik sekelip mata.”
Aku terdiam. Tak tahu nak jawab apa.
“Dan jangan lupa… Alena pun boleh buat benda yang sama. Jangan terkejut kalau nanti pelanggan lari satu-satu,” katanya sebelum talian diputuskan.
Aku genggam telefon erat. Nafas turun naik. Dunia terasa sunyi walau ada muzik jazz perlahan masih dimainkan dari pembesar suara kedai.
---
Malam itu aku tidur di rumah Mila dan Hawa lagi. Mereka tak tanya banyak, tapi mata mereka tahu ada sesuatu yang tak kena.
“Kalau kau penat… kau boleh rehat kejap,” kata Hawa.
“Kalau kau jatuh… kau ada kami untuk pegang kau,” sambung Mila.
Aku senyum, walau air mata bergenang.
---
Keesokan paginya, pelanggan masuk macam biasa. Tapi satu per satu aku mula perasan... sesuatu berubah.
Seorang pelanggan tetap Puan Jasmin yang biasanya membeli tiga box tart telur, hari itu hanya beli satu dan tergesa-gesa keluar tanpa senyum.
Seorang lagi pelanggan lelaki kelihatan seperti ingin berkata sesuatu, tapi menahan diri. Bila aku tegur, dia hanya berkata, “Saya dengar macam-macam… tapi saya tak percaya cakap orang. Saya tetap sokong awak.”
Jantung aku berdetak laju. Macam-macam? Apa yang mereka dengar?
Aku ke belakang dapur dan buka telefon. Jari aku menggigil semasa membuka Ins**gr** Langit Coklat. Ada akaun baru yang menandai nama kami dalam satu hantaran.
> “Kek buatan semalam rasa basi, customer ramai yang sakit perut. Jangan percaya kedai viral ni sangat.”
Ada dua puluh komen. Separuh daripadanya akaun palsu, tapi yang paling menyakitkan… ada gambar Langit Coklat dari luar, disertakan kapsyen “Manis pada rupa, tapi busuk di dalam.”
Aku genggam apron. Air mata bergenang, tapi aku tahan.
Aku tahu siapa yang buat semua ni.
Alena.
Dan aku tahu siapa yang mendorongnya.
Mama.
Share this novel