Aaliya POV
Keesokan paginya, aku bangun lebih awal daripada biasa. Rumah masih sunyi. Aku turun ke dapur perlahan-lahan.
Mak Jah sedang mengelap meja, wajahnya nampak penat.
Aku berdiri sejenak di belakangnya sebelum bersuara, lembut tapi tegas.
"Mak Jah, boleh kita bercakap sekejap?"
Mak Jah tersentak sedikit, tapi cepat-cepat mengangguk. Dia letakkan kain lap ke tepi.
Kami duduk di meja makan. Aku pandang mata Mak Jah, cuba baca riak wajahnya.
"Mak Jah... saya tahu malam tu Mak Jah nampak sesuatu. Saya tak marah. Saya cuma nak tahu... siapa yang masuk dapur?"
Mak Jah kelihatan serba salah. Dia tunduk lama sebelum perlahan-lahan membuka mulut.
"Saya... saya nampak Puan."
Dada aku terasa ketat. Aku tarik nafas panjang.
"M-mak Jah pasti? Puan... maksud Mak Jah, ibu saya?"
Mak Jah mengangguk perlahan. Air matanya bergenang di hujung mata.
"Saya fikir mungkin Puan cari sesuatu, jadi saya tak berani tegur. Tapi bila saya dengar bunyi macam orang mengubah sesuatu di dapur, hati saya dah rasa tak sedap."
Aku pejam mata seketika.
Sakitnya bukan kepalang bila kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Walaupun aku dah agak, tapi dengar ia disahkan sendiri... rasa macam ada sesuatu yang menikam dalam dada aku.
"Mak Jah, saya minta tolong satu perkara saja," aku berkata perlahan, mengawal suara yang bergetar. "Kalau nanti mereka siasat tentang tuduhan ke atas saya... sudi tak Mak Jah beritahu apa yang Mak Jah nampak?"
Mak Jah menggenggam tangan aku dengan kedua-dua tangannya yang kasar dan hangat.
"Saya akan tolong Cik Aaliya. Saya janji. Saya tak sanggup tengok orang aniaya Cik Aaliya. Cik orang yang baik, Cik berusaha sendiri... saya tahu."
Air mata aku hampir tumpah, tapi aku tahan.
"Terima kasih, Mak Jah... saya hargai sangat."
Sebelum aku bangkit meninggalkan meja, Mak Jah sempat berkata perlahan:
"Kadang-kadang... orang yang paling kita percaya, yang paling kita sayang... itulah yang paling mudah lukakan kita, Cik Aaliya."
Aku angguk perlahan. Aku dah tahu itu sekarang.
Dan untuk pertama kalinya dalam hidup aku, aku sedar—keluarga tak selalu membawa makna perlindungan.
Kadang-kadang, keluarga adalah luka yang paling dalam.
Dua hari selepas sesi penilaian, aku dipanggil semula ke pejabat Program Sokongan Usahawan Muda untuk satu pertemuan khas.
Puan Ain yang aturkan segalanya. Dia kata ini peluang aku untuk membela diri aku, dan kalau boleh—buktikan siapa sebenarnya yang cuba menjatuhkan aku.
Aku genggam erat fail biru dalam tangan aku. Di dalamnya, semua bukti yang aku kumpul: resipi asal aku, catatan eksperimen, gambar-gambar semasa sesi latihan, dan yang paling penting—keterangan bertulis daripada Mak Jah.
Hari itu, aku melangkah masuk ke bilik mesyuarat dengan dada yang berdebar, tapi aku tetapkan hati. Tak kurang juga sokongan dari dua sahabat baik aku.
Di dalam, sudah ada tiga orang panel. Puan Ain turut berada di situ sebagai saksi.
"Aaliya, sila duduk," kata seorang daripada mereka, Encik Harris, dengan nada formal.
Aku duduk perlahan, membuka fail biru di hadapan.
"Kami terima aduan mengatakan awak mungkin meniru resipi orang lain dalam pertandingan ini. Jadi, kami berikan peluang untuk awak beri keterangan."
Aku angguk.
"Saya faham. Dan saya berterima kasih kerana beri saya peluang ni," aku mulakan. "Semua resipi yang saya gunakan dalam penilaian adalah hasil kerja saya sendiri. Saya sertakan salinan catatan asal, tarikh latihan, gambar bahan-bahan yang saya gunakan, serta keterangan saksi yang menyokong kejadian sabotaj terhadap bahan saya."
Aku serahkan satu salinan kepada mereka.
Panel mula membaca. Sesekali Encik Harris mengerutkan dahi, sesekali mengangguk perlahan.
"Sabotaj bahan? Awak maksudkan... ada orang yang sengaja rosakkan bahan awak sebelum sesi penilaian?" soal seorang lagi panel, Puan Faridah.
"Ya," jawab aku tanpa ragu. "Saya ada saksi yang nampak seseorang memasuki dapur saya malam sebelum hari penilaian. Dan keesokannya, semua bahan penting saya rosak."
Aku tunjukkan surat keterangan Mak Jah.
Puan Ain pula mengangguk perlahan dan menambah:
"Saya sendiri nampak keadaan Aaliya pada pagi penilaian. Dia terpaksa cari bahan gantian saat akhir. Tapi hasil kerjanya tetap berkualiti tinggi."
Suasana dalam bilik jadi hening beberapa minit.
Akhirnya, Encik Harris meletakkan fail itu ke atas meja dan memandang aku.
"Kami akan buat siasatan lanjut berdasarkan keterangan dan bukti ini. Tapi secara peribadi, Aaliya... kami sangat kagum dengan cara awak mengendalikan diri dalam keadaan tertekan. Itu mencerminkan karakter seorang usahawan sejati."
Aku tunduk sedikit, menahan sebak dalam dada.
Akhirnya, aku rasa ada cahaya di hujung cabaran ini.
---
Di Rumah (Petang itu)
Aku balik ke rumah dengan rasa sedikit lega.
Tapi belum sempat aku buka kasut, aku dengar suara ibu dari ruang tamu.
"Aaliya! Apa yang kau buat kat luar tu?! Kami dengar orang cerita kau heboh tuduh keluarga sendiri sabotaj kau!"
Aku pejam mata seketika, mengumpul kekuatan.
Aku berjalan ke ruang tamu dan berdiri tegak di hadapan mereka—ibu dan Alena, kedua-duanya berpeluk tubuh, wajah penuh marah dan benci.
"Saya tak pernah sebut nama sesiapa. Tapi kalau terasa... itu pilihan sendiri."
Wajah ibu merah padam. Alena di sebelahnya tersenyum mengejek.
"Kau ingat kau siapa, hah? Kalau bukan sebab keluarga ni, kau tak ke mana pun!" bentak ibu.
Aku diam sebentar.
Kemudian, dengan suara yang paling tenang aku pernah guna, aku balas:
"Mungkin... sebab keluarga ni lah saya belajar jadi kuat. Sebab saya tahu, bukan semua orang yang panggil kita 'anak' atau 'adik' betul-betul mahukan kita berjaya."
Aku berpaling dan naik ke bilik, tinggalkan mereka terdiam.
Dalam hati aku berjanji—aku akan berjaya.
Bukan untuk mereka.
Tapi untuk diri aku sendiri.
---
Beberapa Hari Kemudian
Telefon aku berdering pagi itu—nombor tidak dikenali.
"Hello, boleh saya bercakap dengan Cik Aaliya?"
"Ya, saya."
"Saya Faridah dari Program Sokongan Usahawan Muda. Kami ingin maklumkan bahawa keputusan rasmi telah dikeluarkan. Boleh saya minta awak datang ke pejabat petang ini? Kami akan serahkan surat keputusan secara rasmi."
Aku menggenggam telefon erat. Nafas aku jadi pendek.
"Baik, saya akan datang."
---
Di Pejabat Program Sokongan Usahawan Muda
Aku melangkah masuk ke pejabat dengan jantung berdegup laju. Semua rasa bercampur—takut, berharap, dan resah. Puan Ain, Hawa dan Mila tersenyum menyambut aku di ruang menunggu, lalu mereka mengiringi aku masuk ke bilik mesyuarat yang sama.
Di dalam, Encik Harris dan Puan Faridah menanti. Di atas meja, ada satu sampul surat putih.
"Aaliya," Encik Harris mula bersuara. "Kami sudah teliti semua bukti dan penilaian semula prestasi awak. Kami juga siasat dakwaan yang dibuat terhadap awak."
Dia tolak sampul itu ke arah aku.
"Keputusan rasmi: awak telah lulus dengan cemerlang. Kami juga ingin maklumkan bahawa laporan palsu terhadap awak telah dibatalkan. Awak bersih dari sebarang tuduhan."
Aku terkedu. Mata aku mula berkaca.
"Bukan itu sahaja," Puan Faridah menyambung, "kami memilih awak sebagai salah seorang penerima Geran Usahawan Muda bagi pembukaan kedai pastri. Awak telah tunjukkan bukan hanya bakat, tapi integriti dan ketabahan yang luar biasa."
Aku tutup mulut dengan tangan. Tak percaya.
Puan Ain letak tangannya di bahu aku.
"Tahniah, Aaliya. Ini baru permulaan."
---
Di luar pejabat, Mila dan Hawa sudah pun menanti aku.
Aku keluar dengan langkah ringan. Matahari petang menyimbah cahaya hangat ke wajah aku, seolah-olah turut meraikan berita gembira ini bersama aku.
Di tangan aku, surat keputusan itu aku genggam erat. Bukan semata-mata kerana kertas itu, tetapi kerana setiap titik peluh, air mata, dan pengorbanan yang mengiringi perjalanan ini—akhirnya terbukti bermakna.
Aku pandang langit.
“Kita tak akan sia-siakan peluang ni. Kita akan buka kedai pastri kita. Aku akan buktikan… aku layak berdiri atas kaki sendiri.”
Mila dan Hawa masing-masing memandang aku sambil senyum, mata mereka juga berkaca. Mereka tahu betapa lama aku menunggu saat ini.
Aku tak keseorangan lagi.
Aku ada impian.
Dan kali ini, aku ada sahabat yang akan berdiri bersama aku.
Aku takkan benarkan sesiapa pun rampasnya lagi.
Share this novel