Series
2175
Irfan POV
Panggilan telefon dengan Aaliya tadi masih terngiang-ngiang dalam kepala aku.
“Mommy dah tahu.”
Tiga patah perkataan itu cukup untuk buat darah aku berderau.
Aku pandang Mommy yang duduk tegak di hujung sofa ruang tamu. Siapa sebenarnya yang nak kahwin? Aku atau Mommy? Kenapa Mommy marah macam ini, seolah-olah aku dan Aaliya tidak diberi peluang langsung untuk bersuara tentang perkahwinan kami?
Aku bersandar, jari menggenggam cawan kopi yang sudah lama sejuk. Tapi jantung aku berdegup laju. Tak pernah aku rasa dada aku sesak begini.
Tak lama kemudian, Aaliya muncul di pintu. Sekelip mata rasa bersalah menimpa — dia datang seorang diri, semata-mata nak hadap Mommy. Wajahnya nampak tenang, tapi aku kenal sangat dengan riak itu: dia tengah menahan sesuatu.
Aku cepat bangun, menyambut Aaliya, menuntunnya duduk di sebelah aku.
“Assalamualaikum, Mommy.” Suara Aaliya lembut, penuh sopan.
Mommy hanya mengangguk kecil. Wajahnya kosong, tapi aku tahu — senyap Mommy lebih menakutkan daripada marahnya.
Beberapa saat hanya bunyi jam di dinding yang kedengaran.
Akhirnya Mommy bersuara.
“Kenapa kamu berdua pergi butik semalam tanpa pengetahuan Mommy?”
Nada dia mendatar, tapi jelas terasa bara amarah Mommy.
Aku tarik nafas panjang.
“Mommy, saya cuma temankan Aaliya fitting. Lagi pun saya sendiri belum pilih baju saya, jadi lebih mudah kalau kami buat di butik yang sama.”
Mommy alihkan pandangan pada Aaliya. “Kamu yang rancang semua ni, kan?”
Aku cepat menyampuk sebelum Mommy sempat menuduh.
“Mommy jangan salahkan Aaliya. Saya yang buat keputusan tu, bukan dia.”
Mommy memandang aku dengan wajah merah padam, nafasnya naik turun.
Aaliya akhirnya bersuara, lembut tapi jelas.
“Saya… cuma nak cuba gaun yang saya rasa sesuai dengan diri saya. Bukan nak melawan Mommy. Saya cuma nak sedikit ruang untuk buat keputusan sendiri.”
“Ruang?” Nada Mommy meninggi.
“Kamu tahu tak berapa banyak masa, duit, dan tenaga Mommy habiskan untuk pastikan majlis ni sempurna? Gaun yang Mommy pilih tu rekaan khas! Senang-senang saja kamu tolak?”
Aaliya diam. Tapi dia tidak tunduk. Matanya berani memandang Mommy. Dalam hati aku bangga — dia tak goyah walau ditekan.
Aku bersuara tegas.
“Mommy… saya tahu Mommy buat semua ni sebab sayangkan saya. Tapi saya pun sayang Aaliya. Saya nak dia bahagia, bukan terpaksa ikut sesuatu yang dia tak selesa.”
Mommy ketap bibir. “Maksud kamu… kamu lebih sokong dia daripada Mommy sendiri?”
Aku tarik nafas. “Ini bukan soal sokong siapa. Ini perkahwinan kami, Mommy. Kami yang akan naik pelamin nanti. Dan gaun tu, Aaliya yang akan pakai. Biarlah dia pilih sesuatu yang buat dia rasa cantik dan selesa.”
Suasana semakin tegang. Mommy nampak macam nak meletup. Sebelum aku sempat sambung, Aaliya genggam tangan aku. Suaranya halus, tapi setiap perkataan jatuh tepat pada Mommy.
“Saya minta maaf kalau tindakan saya lukakan hati Mommy. Tapi saya tak pernah ada niat nak abaikan pendapat Mommy. Saya cuma manusia biasa, Mommy. Saya pun ada impian kecil untuk hari bahagia saya. Saya bukan boneka.”
Sunyi.
Kata-kata terakhir Aaliya bagaikan tamparan lembut. Mommy terdiam, matanya menatap Aaliya lama.
“Mommy cuma nak yang terbaik untuk kamu berdua…”
Belum sempat Mommy habiskan ayat, suara Daddy bergema dari pintu.
“Tak salah kalau awak nak yang terbaik untuk mereka, tapi awak dah melampaui batas, Wardah.”
---
Datuk Idrus POV
Langkah Wardah kedengaran kasar ketika dia mengikut aku masuk ke bilik bacaan. Aku menutup pintu rapat. Aku tidak mahu Aaliya atau Irfan terdengar. Nafas aku berat — selama ini aku bersabar dengan sikap Wardah, tapi malam ini kesabaran aku sudah sampai penghujung.
“Apa sebenarnya yang awak cuba buat tadi, Wardah?” Suara aku rendah, tapi tegas. Aku renung wajahnya lama, mencari kelembutan. Tapi yang aku nampak cuma keangkuhan.
Wardah mendengus kecil. “Saya cuma nak yang terbaik untuk anak kita, Bang. Abang tahu tak Aaliya tu tak ada citarasa? Dia… tak ada kelas. Kalau saya biar dia pilih ikut suka, kita akan jadi bahan ketawa orang.”
Aku meraup muka. “Tak ada citarasa? Wardah, yang nak kahwin tu mereka, bukan awak. Awak sepatutnya bantu, beri pandangan bila perlu, bukan ambil alih semua. Bila awak berkelakuan begini, mereka tak nampak bahagia. Kita sebagai ibu bapa tanggungjawabnya meringankan, bukan menambah beban.”
Wardah silang tangan di dada, matanya tajam. Aku kenal renungan itu — renungan ego.
Aku menahan sabar. “Wardah, saya nampak sendiri. Aaliya cuba hormat awak. Dia cuba ikut. Tapi awak tekan dia. Awak buat dia rasa rendah diri.”
“Itu semua untuk mendidik dia!” Wardah meninggi suara. “Kalau ikut kepala dia, orang akan kata saya gagal didik menantu. Saya nak dia belajar jadi isteri Irfan. Menantu keluarga Idrus!”
Aku mengetap bibir. “Dengan cara awak, itu bukan didik. Itu menghina, Wardah.”
Sunyi. Bunyi jam antik berdetik. Aku tahu Wardah keras hati. Tapi aku juga tahu ada sesuatu di sebalik semua ini.
Aku dekatkan diri, suara diturunkan. “Wardah… awak berpakat dengan ibu Aaliya, kan?”
Wajah Wardah berubah — jelas terkejut. Dia cuba alihkan pandangan, pura-pura sibuk betulkan rambut. Itu sudah cukup jadi jawapan.
“Wardah.” Nada aku tegas. “Jangan tipu. Saya suami awak. Saya tahu sejak Aaliya semakin dekat dengan keluarga kita, awak makin keras. Benci awak bukan sekadar benci. Ada orang menghasut.”
Wardah menggigit bibir, resah. Lama dia berdiam. Akhirnya, perlahan dia bersuara.
“Saya… cuma fikir Aaliya tak sesuai. Dan ya… saya ada dengar daripada orang lain juga.”
Jantung aku berdegup kencang. “Orang lain? Siapa, Wardah?”
Dia berdiam. Aku menunggu, tangan menggenggam meja. Akhirnya Wardah mengalah.
“Iya… ibu Aaliya. Dia selalu telefon saya. Dia kata Aaliya bukan menantu yang baik. Dia sendiri buka aib anak dia. Dia pesan kalau saya nak jaga maruah keluarga, saya kena kawal Aaliya.”
Aku terpegun. Nafas terasa terhenti. “Apa? Ibu kandung Aaliya sendiri?”
Wardah mengangguk perlahan. “Ya. Dia yang buat saya sedar. Kalau saya tak tegas, Aaliya akan jatuhkan maruah kita.”
Aku hentak meja jati itu kuat hingga Wardah tersentak.
“Wardah! Awak sanggup percaya cakap orang luar — malah ibu kandung Aaliya sendiri — lebih daripada awak percaya dengan mata awak? Lebih daripada Irfan, daripada saya?”
“Abang, jangan tinggi suara dengan saya! Saya cuma nak jaga anak kita!” bantah Wardah, tapi suaranya sudah bergetar.
Aku berdiri tegak. “Bukan jaga, Wardah. Awak hampir hancurkan. Irfan makin jauh sebab awak tekan Aaliya. Awak sanggup biar anak kita menderita semata-mata nak ikut telunjuk seorang wanita yang jelas tak sayangkan darah dagingnya sendiri?”
Wardah mengelak pandangan. Wajahnya pucat. Keyakinan tadi runtuh sedikit.
Aku menghela nafas panjang. “Wardah, ini bukan lagi soal awak betul atau salah. Ini soal masa depan anak kita. Kalau awak terus ikut telunjuk perempuan tu, awak bukan saja hancurkan Aaliya, awak hancurkan rumah tangga Irfan.”
Aku merenung keluar jendela, ke arah langit malam. Dalam hati aku berjanji: aku takkan biarkan Wardah dan ibu Aaliya bersekongkol lagi.
Aku berpaling semula, renung Wardah yang kini kelihatan goyah.
“Dengar cakap saya baik-baik. Saya akan siasat. Dan kalau betul awak masih nak ikut rancangan dia, saya sendiri yang akan halang. Demi Irfan. Demi keluarga kita.”
Wardah terdiam. Nafasnya cepat, pendek. Pertarungan sebenar baru bermula.
Dalam hati aku, ada luka — wanita yang aku pilih jadi ibu anak aku, sanggup diperalat dendam orang lain. Tapi tekad aku menguat.
Malam ini, satu kebenaran sudah terbongkar: Wardah tidak bertindak sendirian. Dia hanyalah bidak dalam permainan ibu Aaliya.
Dan aku… tidak akan berdiam diri lagi.
Share this novel