12

Romance Series 515

Aaliya POV

Aku duduk perlahan di bangku kecil dapur, membiarkan tubuh tenggelam dalam keheningan yang menggigit. Telefon masih erat dalam genggaman. Skrinnya menyala, notifikasi tak berhenti masuk. Dada terasa sempit, seolah-olah seluruh udara dalam bilik ini disedut keluar tanpa belas.

Ruang yang biasanya meriah dengan aroma manis kek coklat kini sunyi… dan kelam. Tiada lagi bunyi loyang, tiada tawa kecil Hawa atau Mila. Hanya suara hati yang bergema.

Lagi komen. Lagi kecaman.
Ada yang percaya bulat-bulat. Ada yang sekadar datang menonton—menyimbah minyak ke api demi hiburan.

Aku tekan nama akaun yang buat hantaran fitnah itu. Kosong. Tiada gambar profil. Tiada bio. Tapi gaya tulisannya, nada sinis yang dibalut manis beracun… aku kenal sangat.

> “Manis pada rupa, tapi busuk di dalam.”

Ayat itu.

Ayat dari mulut Alena, dulu, masa kami bertengkar selepas aku menang pertandingan bakeri sekolah. Aku fikir dia cuma cemburu. Sekejap. Tapi sekarang?

Kenapa mereka sanggup buat aku begini?

Apa salah aku sebenarnya pada mereka?

Tak cukupkah dengan apa yang telah mereka rampas dulu?

Aku masih ingat malam itu. Mama duduk diam di meja makan, senyum halus sambil mendengar Alena bercerita panjang lebar. Aku tahu mereka rapat. Tapi tak pernah aku sangka, mereka sanggup bersubahat sejauh ini.

Langit Coklat bukan sekadar kedai. Ia rumah kecil impian kami—aku, Hawa, dan Mila. Dari pelanggan pertama yang hanya beli satu cupcake dan senyum puas, hingga ke hari ini. Setiap inci ruang ini penuh dengan peluh, air mata, dan harapan.

Dan sekarang… semuanya hampir musnah, hanya kerana satu hantaran palsu.

Air mata menitis. Aku tak sedar bila ia mula mengalir. Tapi aku tahu, aku tak boleh rebah.

Kalau aku jatuh sekarang, siapa yang akan bangkitkan semula tempat ini?

Aku pandang cermin kecil di dinding dapur. Wajahku lesu. Mata bengkak. Tapi di sebalik semua itu… masih ada bara yang menyala perlahan dalam dada.

“Kalau mereka nak jatuhkan aku…” aku bisik perlahan, “mereka kena usaha lebih daripada ni.”

Aku tarik nafas panjang. Dalam.
Ini bukan masa untuk bersedih.
Ini masa untuk bersihkan nama Langit Coklat. Dan bongkarkan dalang sebenar.

---

Denting loceng pintu menyentak lamunanku.

“Hai, selamat datang ke Langit Coklat! Encik nak pesan apa?” suara Hawa menyambut seperti biasa, walau aku tahu hatinya juga sedang terluka.

“Hai… saya nak brownie dan iced coffee. Makan sini ya,” jawab seorang pelanggan lelaki muda. Wajahnya familiar. Pernah datang sebelum ni.

“Kami minta maaf, Encik. Hari ini brownie tak ada. Tapi kami masih ada pastri dan soft drink,” kata Hawa lembut.

“Sedihlah macam tu… Saya ingat nak repeat hari ni. Kek dan kopi semalam sedap gila.” Dia tergelak kecil.

Hawa kelihatan teragak-agak. Kemudian dia bertanya, suara perlahan, “Semalam… lepas makan kek kami, Encik ada rasa tak selesa ke? Sakit perut, muntah… apa-apa?”

Aku tahu dia cuba kawal nada, tapi kegusaran itu nyata.

“Eh, tak ada pula. Saya okey je. Sihat macam biasa,” jawab lelaki itu. Santai. Sambil angkat bahu.

Wajah Hawa berubah lega.

“Kalau macam tu… saya ambilkan egg tart dan soft drink ya? Kawan saya pun akan datang kejap lagi.”

“Baiklah, Encik duduk dulu. Nanti saya hantar ke meja.”

---

Aku menatap skrin telefon. Kosong. Tiada idea nak mula dari mana. Kami bertiga bukan orang IT. Nak jejak siapa pemilik akaun palsu tu… terasa terlalu jauh dari kemampuan.

Aku jeling ke arah Mila. Dia sedang menaip sesuatu di telefonnya, dahinya berkerut. Pandangan kami bertemu. Tak perlu kata. Pandangan itu cukup menyampaikan seribu tanya… dan sedikit harapan.

Dia sedang cari jalan.

Tapi sampai bila kami nak bertahan begini?

Denting loceng lagi.

“Selamat datang… Eh, Hafiz? Hari Sabtu pun masih kerja ke?” suara Hawa dari kaunter cuba ceria, walau aku tahu dia sedang menahan perasaan.

Aku tersentak. Jam sudah 1.30 petang. Aku masih belum buat satu pun kek untuk hari ni.

Perlahan, aku bangkit dan melangkah ke meja yang ada bahan kek. Hafiz berdiri di situ. Senyum tenangnya masih sama. Menenangkan.

"Awak sorang je ke hari ni, Hawa? Mana Mila dan Aaliya?" soalnya sambil mata melilau ke sekeliling.

"Mereka kat belakang," balas Hawa. Suaranya lembut, tapi nadanya berat.

Hafiz mengangguk. “Saya tahu apa yang berlaku. Saya nampak semua di media sosial semalam.”

Wajah Hawa tunduk. Cuba nampak tenang, tapi aku tahu dia rapuh. Sama seperti aku.

“Sebab tu saya datang hari ni,” sambung Hafiz. Nada dia berubah serius. “Kami akan cuba bantu Langit Coklat.”

“Kami?” dahi Hawa berkerut.

Hafiz tersenyum lebar. “Boss saya… on the way. Sekejap lagi sampai lah dia.”

Dadaku berdetak.

Irfan.

Hati aku bergolak. Antara malu, terharu… dan satu rasa lain yang aku tak berani tafsirkan.

Dia datang?

Dia… peduli?

Kenapa?

Aku pegang hujung apron dengan jemari yang sedikit menggigil. Tapi ada sesuatu dalam dada yang mula mengembang perlahan-lahan.

Mungkin, untuk pertama kali sejak semalam—

aku tak lagi berseorangan.

Maaf geng! Bab baru tersangkut kat deadline dunia nyata. Tapi tenang… dia dah selamat mendarat. Terima kasih sebab masih tunggu. Korang memang terbaik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience