Series
2175
Aaliya POV
Aku cuba tenangkan Irfan. Nasib baik malam ni pelanggan tak seramai biasa. Sekurang-kurangnya aku tak terlalu malu. Tapi dalam hati… aku tahu situasi tadi tak patut jadi setegang itu.
Bila aku tengok Irfan cuba pertahankan aku, aku rasa terkedu. Sebak. Tak pernah ada sesiapa berdiri untuk aku macam tu sebelum ni.
Ya, aku sedikit kecewa. Aku pesan iced coffee dengan susu dan krim — kurang manis, sejuk, menenangkan. Tapi yang sampai cuma black coffee. Pahit. Kosong. Macam kisah silam yang pernah buat aku rebah.
Tapi yang lebih buat jantung aku tak menentu sekarang... perkataan "tunang saya" yang keluar dari mulut Irfan tadi.
Tunang?
Aku tersalah dengar ke? Atau... dia memang maksudkan begitu?
Aku diam lama, tunggu keadaan reda. Bila pengurus restoran datang minta maaf dan pelayan tadi ditarik ke belakang dapur, barulah aku rasa selesa untuk bersuara.
“Tak patut awak marah dia tadi, Irfan. Kita boleh je minta tukar air tu elok-elok,” aku bersuara perlahan.
Irfan angkat wajah. Pandangan dia masih tenang, tapi aku tahu — dalam nada dia masih lagi ada marah yang cuba disimpan.
“Awak tak nampak ke cara dia layan awak tadi? Macam awak tak layak untuk dihormati. Saya takkan biar siapa pun layan awak macam tu.”
Aku terdiam. Satu bahagian hati aku terasa terharu, tapi ada juga rasa bimbang. Aku takut kalau terlalu terbiasa dilindungi, aku lupa macam mana nak berdiri sendiri.
“Baiklah, awak…” aku senyum, cuba pulihkan suasana. “Boleh tak kalau kita mula makan sekarang?”
Irfan hela nafas panjang, dan akhirnya tersenyum tipis. “Jom,” katanya, sambil jari telunjuk dia mencuit hidung aku perlahan.
Aku ketawa kecil. ketegangan yang menghimpit dada tadi, akhirnya perlahan-lahan menghilang.
---
Kami nikmati makan malam dalam suasana yang lebih tenang. Tapi aku dapat rasa Irfan tengah simpan sesuatu. Dia pandang aku lama, dan setiap kali dia cuba bersuara, dia hanya berdehem.
Akhirnya, dia meletakkan sudunya, lap mulut perlahan, dan bersandar.
“Sebenarnya…” suara dia kedengaran rendah tapi jelas. “Saya ajak awak keluar malam ni sebab saya nak cakap sesuatu yang penting.”
Aku angkat muka, hati mula berdegup laju. Pandangan kami bersatu. Dia genggam tangan aku atas meja.
“Saya nak lamar awak, Aaliya.”
Dan... aku tersedak. Betul-betul tersedak.
Irfan tersentak, cepat-cepat hulur air. Aku minum sambil cuba tenangkan diri. “Awak… apa awak cakap tadi?” Suara aku serak dan perlahan.
Dia masih tersenyum, tapi mata dia bersungguh.
“Saya nak kahwin dengan awak. Saya tahu mungkin awak rasa ini cepat sangat. Tapi saya dah fikir panjang. Setiap kali saya pandang awak… saya tahu, saya tak nak orang lain.”
Aku terkedu. Air mata aku hampir jatuh — bukan sebab sedih, tapi sebab… aku tak sangka. Tak sangka ada orang nampak aku lebih daripada sekadar bertubuh besar atau kekurangan pada masa lalu.
“Aaliya, awak tak perlu jadi orang lain untuk layak dicintai. Cukup sekadar awak jadi diri sendiri, dan kerana itulah hati saya terpaut. Awak… lebih dari cukup.”
Aku telan liur. Lama aku pandang mata dia.
“Tapi awak tak rasa ke… kita ni terlalu cepat?” soalku, jujur.
“Kita dah kenal hampir setahun, Liya. Dan saya rasa macam dah lama sangat kenal awak. Tapi kalau awak belum bersedia, tak apa… kita bertunang dulu. Kita ambil masa, kenal lebih dalam — perlahan-lahan sampai awak betul-betul yakin dan bersedia.”
Apa yang dia kata… sama dengan apa yang aku rasa. Walaupun kami belum lama bersama, aku kenal hati dia — tenang, jujur, dan selalu buat aku rasa selamat.
Dia tak pernah anggap fizikal aku satu kekurangan. Tak pernah sekalipun buat aku rasa perlu sembunyi siapa diri aku yang sebenar.
Tanpa aku sedar, aku tersenyum. Dan Irfan angkat keningnya.
“Kenapa senyum macam tu? Saya tengah serius ni, tau.”
Aku ketawa perlahan, rasa hangat dalam dada.
Tapi tiba-tiba, senyuman aku mati. Teringat semula perbualan aku dengan abang Aryan petang tadi.
Irfan segera genggam tangan aku. “Liya... kalau ada apa-apa yang berlaku, ceritalah dengan saya. Jangan pendam sendiri.”
Aku pandang tangan kami yang berpaut erat. “Tadi abang saya telefon… dia suruh saya balik ke rumah. Tapi kalau boleh, saya memang dah tak nak balik ke sana lagi.”
Irfan diam seketika. Kemudian dia angguk.
“Kalau macam tu, apa kata kita terus set tarikh? Saya boleh bincang dengan keluarga saya. Kami datang rumah awak, bawa hasrat yang baik. Kita tunang dulu, ya?”
Aku tenung wajah Irfan.
“Awak okay ke…? Maksud saya, Ibu dan Alena… saya risau. Saya takut mereka buat hal lebih-lebih lagi depan keluarga awak.”
“Jangan risau. Kita doa yang baik-baik. Awak ada saya, dan saya takkan biar sesiapa sakiti awak lagi,” balas Irfan, lembut tapi tegas.
---
Selesai makan, Irfan bawa aku balik. Sebelum turun dari kereta, dia hulurkan sejambak bunga.
Bunga lily dan baby's breath Putih dan biru. Cantik sangat.
“Untuk awak. Sebab awak dah buatkan saya jadi seorang lelaki paling bertuah malam ni,” katanya.
Aku genggam bunga itu erat. Dan malam itu, untuk pertama kalinya dalam hidup… aku rasa ada seseorang yang benar-benar memilih aku — bukan kerana aku berubah, tapi kerana aku menjadi diri aku sendiri.
---
Catatan Diari Digital Aaliya
> Malam ni…
Seseorang lamar aku sambil pegang tangan aku — dan dia serius.
Aku hampir tersedak.
Tapi aku juga hampir percaya…
Bahawa mungkin cinta itu memang wujud untuk aku juga.
Bahawa aku tak perlu ubahkan diri aku untuk ke dalam hati sesiapa.
Sebab malam ni, dia sendiri dah buktikan — bahawa hati dia cukup untuk terima aku, seikhlasnya.
Get to love si Aaliya the angel... Happy reading!!
Share this novel