1

Romance Series 515

Aaliya POV

"Kak… Kak, tunggulah!" aku menjerit kecil, tercungap-cungap sambil cuba mengejar kakak kembar aku yang makin jauh di hadapan.

"Ish, kau ni! Apa lagi? Boleh cepat sikit tak? Kita dah lambat, tahu tak?" balas Alena, kakak kembar aku, dengan nada rimas.

Aku menggigit bibir, cuba menahan keletihan yang semakin mencengkam. Nafas aku masih belum teratur, tapi aku paksa juga kaki melangkah lebih laju walau terasa berat benar.

"Saya tahu… tapi boleh tak jalan perlahan sikit? Saya dah penat ni," ujar aku sambil mengeluh, cuba menenangkan dada yang semakin sesak.

"Ha, tu lah kau. Siapa suruh tak jaga makan? Tengok roti yang kau pegang tu… dah nak sama besar dengan badan kau," perlinya, sambil menjeling ke arah tangan aku.

Aku tunduk, menggenggam roti itu erat-erat. Kata-katanya mencucuk hati. Pedih. Tapi aku dah biasa. Setiap kali dia bercakap begitu, aku hanya diam… walaupun dalam diam itu, hati aku terluka.

"Dan satu lagi… aku tak nak kau panggil aku ‘kakak’ kat kolej ni. Malu aku ada adik kembar macam kau," katanya lagi, tanpa sebarang rasa bersalah.

Itulah ayat yang sering dia ulang. Seolah-olah tak pernah jemu menyakitkan hati aku.

Ya, kami memang kembar. Tapi kami kembar tak seiras jauh beza. Alena bertubuh tinggi, langsing, dan menawan. Senyuman dia cukup manis, mudah saja buat semua orang jatuh hati. Dari gaya dia berjalan, cara dia bercakap, semua saling tak tumpah seperti Ibu. Alena memang bayangan Ibu cantik, bergaya, yakin dengan diri sendiri, dan selalu tahu apa yang dia nak.

Sedangkan aku… aku berbeza. Bertubuh besar, lebih pendiam, dan mewarisi wajah serta sifat Ayah—tenang, lembut, dan penyayang. Walaupun begitu, ramai juga dalam kalangan kawan-kawan perempuan yang kata aku cantik, dengan cara aku yang tersendiri. Mereka selalu cakap, “Aaliya, kau ada aura yang orang lain tak ada.”

Bentuk badan aku mungkin tak ikut ‘standard’ cantik yang orang selalu agungkan, tapi aku masih menarik perhatian. Ada juga jejaka yang cuba mendekati… tapi akhirnya, semuanya sama mereka hanya mempermainkan perasaan aku. Bukan kerana aku tak cukup baik… tapi kerana ada seseorang yang tak pernah senang bila aku bahagia.

Alena.

Dia tak boleh lihat aku lebih daripadanya. Setiap kali aku mula rapat dengan seseorang, pasti ada sesuatu yang berlaku hingga semuanya hancur. Pada awalnya aku bingung… tapi lama-kelamaan, aku mula sedar. Dan bila aku sedar, aku cuma diam. Sebab bila aku bersuara, aku yang akan disalahkan.

Diam. Itu cara paling selamat untuk aku bertahan.

Aku masih ingat, satu demi satu lelaki datang dalam hidup aku. Mula-mula manis, penuh kata-kata indah. Ada yang sanggup tunggu aku habis kelas, belikan air, hantar mesej setiap malam kononnya ikhlas. Aku yang naif waktu tu, percaya. Hati aku cepat tersentuh, sebab aku tak biasa dilayan baik. Tapi semuanya tak kekal lama.

Tak sampai sebulan, layanan berubah. Jauh. Hambar. Ada yang tiba-tiba hilang tanpa berita. Ada juga yang sengaja malukan aku depan kawan-kawan, kononnya cuma “cuba-cuba” je nak kenal aku. Yang paling menyakitkan… bila aku dengar sendiri dari mulut mereka “Saja nak tengok kembar gemuk tu perasan.”

Dan setiap kali hati aku terluka, aku akan pandang Alena.

Sebab entah kenapa, setiap kali aku kecewa, dia bahagia. Setiap kali aku terluka, dia senyum puas. Mula-mula aku tak mahu tuduh sesiapa. Tapi satu hari aku dengar sendiri perbualan dia dengan kawan-kawan gelak tawa, bahan tentang aku, dan betapa ‘senangnya’ dia buat lelaki-lelaki tu menjauh dari aku.

Dan setiap kali itu, aku akan menangis dalam diam. Pipi aku basah dengan air mata. Bukan sebab lelaki-lelaki tu. Tapi sebab darah daging aku sendiri yang sanggup buat aku macam tu. Kakak kembar aku sendiri.

Dan sejak malam tu, aku belajar... jangan terlalu percaya senyuman, jangan terlalu berharap pada kebaikan orang. Terutama bila kau tahu bahagia kau adalah ancaman buat orang lain.

Sampai saja di depan pintu kelas, aku terus melirik jam di pergelangan tangan. Lega. Masih ada tiga minit sebelum kelas bermula. Nafas aku masih belum teratur, tapi hati sedikit tenang.

Mata aku pantas mencari dua insan yang selalu menjadi tempat aku berteduh... Mila dan Hawa. Mereka sedang duduk di sudut biasa. Aku melangkah cepat ke arah mereka, roti masih tergenggam erat di tangan.

“Kau ni kenapa? Berpeluh macam baru kena kejar anjing,” usik Mila sambil mengangkat kening, wajahnya jelas memaparkan kehairanan.

“Ish, kau ni,” aku menjeling, separuh mengah. “Time macam ni pun nak menyakat. Aku dengan Alena tertinggal bas.”

“Abang kau mana?” soal Hawa pula, turut kelihatan hairan.

“Abang dengan abah aku outstation…” Belum sempat aku habiskan jawapan, suara nyaring Puan Asmah bergema dari arah pintu. Suaranya yang lantang berjaya mematikan segala perbualan dalam kelas.

Kami segera duduk tegak. Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada kuliah. Tapi hati aku sempat terasa debar bila Puan Asmah umumkan keputusan peperiksaan telah pun keluar.

Sebaik kelas tamat, kami bertiga terus bergegas ke papan kenyataan. Langkah aku pantas, tapi dalam hati ada debar yang tak boleh disorokkan.

Dan bila mata aku jatuh pada nama aku di senarai markah itu senyum aku terukir perlahan. Seperti biasa, aku berjaya lagi. Alhamdulillah.

“Aku dapat A semua subjek!” jerit kecil Mila, matanya bercahaya. Hawa turut bersorak kecil. “Tahniah korang!”

Tapi senyum aku perlahan-lahan pudar bila aku nampak Alena berdiri di hujung lorong. Wajahnya… gelap. Mata tertunduk, bibirnya diketap.

Aku hampiri dia perlahan. “Kenapa kau sedih, Alena?”

Dia angkat muka. Pandang aku tajam, mata berapi.

“Jangan sibuk hal aku!” tengkingnya, tajam dan dingin. Aku terdiam.

“Kau ni dah kenapa, tak reti nak jawab elok-elok ke?” suara Mila naik sedikit, geram. “Dah, Aaliya. Tak payah layan dia. Jom, kita dah lambat masuk kelas seterusnya,” tambahnya sambil memegang tangan aku.

Macam biasa… kalau bukan Mila, mungkin aku hanya akan diam dan telan semua.

---

Selepas itu, kami bertiga sambung ke kelas pastri pula tempat aku rasa paling selamat, paling damai. Dalam dunia penuh aroma coklat, mentega, dan tepung, aku rasa aku hidup.

"Macam mana, puan?" aku bertanya perlahan kepada Puan Ain, pensyarah pastri kami.

"Seperti biasa, Aaliya… kek awak sentiasa kemas, lembut, dan seimbang rasa. Tak ada apa yang saya nak tegur lagi," jawabnya sambil tersenyum bangga.

Aku senyum. Dalam diam, aku tahu… ini dunia aku. Dunia yang aku cipta sendiri, tanpa bayang-bayang Alena.

“Puan, kek kami macam mana?” tanya Mila pula, matanya sempat mencuri pandang ke arah aku dengan senyuman bersahaja.

“Kamu berdua pun bagus,” jawab Puan Ain. “Cuma, Hawa… pastri kamu hari ni manis sangat. Semalam kurang, hari ni terlebih. Cuba seimbangkan ya, sayang.”

Kami ketawa kecil bersama. Untuk seketika, aku lupa semua tekanan yang menanti di rumah. Tapi aku tahu… ketenangan ini tak lama.

Terima kasih banyak sebab sudi baca cerita ni! Korang memang terbaik! Harap korang enjoy, dan jangan lupa tunggu sambungan next ya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience