7

Romance Series 515

Aaliya - POV

“Kalau senyuman mereka ikhlas, itu tandanya menu kita dah berjaya.”

Aku bersuara sambil mata tak lepas dari dulang-dulang yang penuh dengan muffin dan tart. Suasana dapur kedai kecil kami riuh dengan hiruk-pikuk suara dan aroma pastri yang baru keluar dari ketuhar.

“Cepat sikit, Hawa! Muffin tu nak sejuk atas dulang, bukan atas tray panas!” aku menjerit, menahan gelak melihat gelagat sahabat aku yang panik.

“Eh kau ni! Bagi aku lima saat! Nak aku buat tarian muffin ke apa?” Hawa membalas sambil mengipas dulang dengan napkin, rambutnya terjuntai di sisi tudung yang sedikit senget dek peluh.

“Woi! Cupcake ni senget! Siapa yang buat piping ni?” Mila datang dari bahagian depan, muka serius.

“Tu tangan kau sendiri yang buat, Mila,” aku menjawab sambil menunjukkan rakaman CCTV pagi tadi dari tablet.

Sejurus itu, gelak tawa kami bertiga meletus. Tawa yang mencairkan ketegangan. Hari ini hari penting. Tasting Day. Hari pertama Langit Coklat memperkenalkan menu kepada jiran sekitar yang berdekatan staf pejabat, pemilik kedai buku, kafe sebelah dan kenalan dari kolej kulinari. Kami tak jemput ramai, tapi cukup untuk rasa gementar menyelinap ke tulang belakang.

---

Pukul 11 pagi, pelanggan mula memenuhi ruang kecil kami. Aku berdiri di balik kaunter sambil melayan seorang demi seorang dengan senyuman yang manis, walau hati berdegup kencang.

“Assalamualaikum, ini kedai baru tu ke?” Suara lembut seorang wanita dalam lingkungan lima puluhan menarik perhatian aku.

“Waalaikumussalam! Ya, Makcik… jemput rasa. Semua menu hari ini percuma. Kami nak tahu maklum balas,” aku berkata sambil menghulur pinggan berisi potongan mini tart buah.

“Wah… sedapnya bau kek ni. Dah lama makcik tak rasa kek macam ni,” ujarnya dengan mata bersinar.

Aku memerhati wajah pelanggan yang lain. Setiap kunyahan, setiap senyum kecil, setiap dahi yang berkerut semua aku perhati, cuba baca raut wajah mereka. Dan bila seorang kanak-kanak berbisik pada ibunya, “Ibu, ni kek paling sedap,” aku hampir menitiskan air mata.

Dari dapur, Hawa menjerit, “Aaliya, kita kena buat lagi satu tray brownies. Semua habis!”

“Siapa suruh potong kecil sangat?” aku sahut sambil tersenyum.

“Aku takut orang tak suka. Kalau bagi besar-besar lepas tu tak habis, sedihlah,” balasnya.

“Kalau sedap, semua saiz pun lesap,” jawab Mila, membuat kami tergelak lagi.

---

Seorang lelaki pertengahan usia, pemilik kedai buku yang letaknya dua lot dari kami, menghampiri kaunter.

“Saya tak sangka anak-anak muda macam kalian berani buka kedai macam ni. Resepi sendiri?” soalnya.

Aku angguk dengan bangga. “Ya, semuanya hasil ujian kami bertiga. Berbulan-bulan juga kami cuba dan gagal… dan cuba lagi.”

Dia mengangguk perlahan sambil merasa sepotong kek keju karamel.

“Teruskan. Rasa kek ni… ada ‘jiwa’. Bila saya makan, saya rasa… tenang.”

Pujian ringkas itu membuat dada aku terasa lapang. Itu impian setiap pembuat pastri untuk menyentuh hati melalui rasa.

---

Lewat petang, pelanggan mula beransur pulang. Tangan mereka berisi kotak-kotak kecil yang kami bungkus sebagai buah tangan. Sebahagian mereka sudah bertanya bila kedai akan dibuka rasmi.

Hawa menampal notis di pintu kaca:

> Pembukaan Rasmi: Sabtu Ini, 10 Pagi
Langit Coklat – Patisserie & Dreams

Kami berdiri bertiga di hadapan pintu kaca, memandang notis itu. Cahaya senja menyimbah masuk, menari di atas lantai kayu dan dulang-dulang kosong. Di luar, beberapa pelanggan masih berbual dengan pemilik kafe tentang kek yang mereka rasa.

“Kau tahu, aku pernah fikir kita takkan sampai ke tahap ni,” kata Hawa perlahan.

“Aku pernah fikir yang kita akan berhenti separuh jalan,” sambung Mila pula.

Aku hanya tersenyum.

“Tapi sekarang, kita berdiri atas impian kita sendiri. Dan kali ini, tak ada siapa boleh rampasnya.”

---

“Maaf, boleh saya beli kek atau pastri untuk hari ni? Semuanya nampak sedap-sedap belaka,” tegur seorang pemuda sambil masuk ke dalam.

Aku menoleh. Seorang lelaki muda, berkemeja putih dengan muka yang sedikit letih.

“Saya Hafiz… pejabat saya berdekatan kawasan ini juga,” katanya lagi sambil tersenyum. “Saya tengah tunggu bos saya. Nampak gaya dia lambat habis workout… lapar pula.”

“Saya rasa masih ada lagi tapi tak banyak. Awak okay ke?” tanya Mila yang tiba-tiba menjadi ramah.

“Tak ada masalah. Saya cuma nak isi perut sementara tunggu bos saya tu je,” balas Hafiz.

Aku dan Hawa hanya memerhati dari dapur. Aku menjeling Hawa.

“Tiba-tiba je dia boleh jadi peramah,” aku berbisik.

“Iyalah… aku pun pelik,” jawab Hawa sambil tersengih.

Kami kembali membersihkan dapur. Tak lama kemudian, Mila masuk semula dengan senyuman lebar.

“Amboi, lama betul ‘jual kek’ tadi ya,” usik Hawa.

“Alah, apa salahnya. Lagi pun… dia handsome, kan?” Mila menjawab sambil buat-buat main rambut.

“Bolehlah… tapi aku tak minat lelaki pendek,” aku berkata sambil menggekek.

“Halahlah! Macamlah kau tinggi sangat!” Mila menjeling.

“Dah, tak payah gaduh. Nanti aku kunci korang berdua dalam kedai ni,” Hawa berlagak serius sambil berjalan keluar ke depan.

---

“Eh… korang…” Aku memanggil perlahan, rasa segan terbit. “Boleh tak malam ni aku nak tumpang rumah korang? Papa dengan abang aku outstation. Rumah sunyi sangat…”

Mila berpaling. “Apa kau ni. Dah berapa kali kami cakap, rumah tu sentiasa terbuka untuk kau.”

Hawa hanya mengangguk laju. Aku senyum, syukur rasa.

“Terima kasih, korang. Aku inform mama dulu.”

Aku capai telefon, menaip:

> "Malam ini saya tak balik. Tidur rumah Mila dan Hawa."

Beberapa saat kemudian, mesej balasan masuk.

> "Ha! Baguslah. Sekarang dah pandai tak balik... Esok-esok jangan balik dengan perut buncit pulak."

Aku kaku. Mesej pendek itu menikam terus ke dada. Mata aku berkaca. Sampai hati mama tulis macam tu… seolah-olah aku ini…

Aku hanya mampu telan rasa. Nafas aku tarik dalam-dalam sebelum menghantar mesej kepada Papa dan abang. Sekurang-kurangnya mereka akan faham... atau aku harap begitu.

Tak lama selepas mesej Mama yang menghiris itu, telefon aku bergetar lagi.

Papa.

> “Baik-baik di rumah kawan, sayang. Jangan lupa doa sebelum tidur. Papa percaya kamu tahu jaga diri.”

Ayat ringkas itu mengalirkan sesuatu dalam dada aku. Sejuk. Tenang. Seolah-olah kata-kata itu hadir untuk membalut luka yang baru saja terbuka. Air mata aku menitis juga akhirnya, diam-diam. Cepat-cepat aku kesat, takut Hawa atau Mila nampak.

Papa memang selalu begitu tak banyak kata, tapi setiap katanya bagaikan pelukan.

Aku menaip perlahan.

> “Terima kasih, Papa. Aaliya sayang Papa.”

Dan aku benar-benar maksudkannya.

Enjoy??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience