Aaliya POV
"Cik Aaliya, kopi yang ini tak nak gula ya. Boss saya tu kalau bab makan memang cerewet sikit," ujar Hafiz sambil menunjukkan cawan yang sudah ditanda dengan penuh keyakinan.
Aku tersenyum kecil. “Oh, ni mesti Encik Hafiz dah lama kerja dengan dia kan? Sampai dah hafal macam-macam yang boss suka dan tak suka,” sela Mila dengan senyuman manja, sambil menepuk bahuku ringan.
Dalam diam, aku menjeling Mila—gatalnya tu memang tak boleh dibiarkan begitu saja.
“Ok, semuanya dah siap. Encik Hafiz, yang ini encik bawa ya. Berat sikit yang ini,” kata Hawa sambil menyerahkan kotak kek yang bertimbun penuh warna-warni.
Aku menarik Hawa ke dapur sambil bertanya risau, “Aku ok kan hari ni, Hawa? Tak selekeh sangat ke muka aku?”
Hawa ketawa kecil sambil meyakinkan, “Kau ok. Cantik macam biasa. Jangan risau, pergi cepat, boleh balik cepat juga. Lepas ni turn kau masuk dapur.”
Sambil membetulkan ikatan messy low bun di rambut, aku menyelinap pandang ke cermin pintu peti ais. Blouse ungu lembut ini, jeans biru, dan black pump heels yang aku pilih cukup untuk aku rasa sedikit confident hari ini.
Mila menepuk tangan sambil bergurau, “Kau ni cuma nak pergi buat delivery, tapi macam nak pergi dating pun ada!”
Aku tersenyum nipis. “Mestilah aku kena jaga imej untuk Langit Coklat. Lagi pun… tak ada siapa yang nak pandang aku pun. Aku tak cantik macam korang berdua,” jawabku, nada suara sedikit perlahan, cuba sorokkan rasa rendah diri yang sentiasa datang.
Hawa menepuk belakangku, “Beb, stop cakap macam tu. Kau cantik... luar dan dalam. Dah, pergi hantar cepat kek tu. Lama dah mamat tu tunggu kat depan.”
Aku mengangguk, rasa hangat di dada tiba-tiba mengusik semangatku.
“Maaf, Encik Hafiz. Tunggu saya lama. Jom, kita pergi sekarang,” kataku dengan senyuman sebelum melangkah keluar.
Langkah kami senyap dalam koridor, cuma bunyi tapak kasut dan deru angin dari luar tingkap menyapa. Aku tahu, bukan semua lelaki selesa dengan gadis berbadan besar macam aku. Tapi aku dah biasa dengan itu. Sekarang, aku hanya mahu Langit Coklat berjaya.
“Cik Aaliya ok?” suara Hafiz memecah kesunyian.
“Ya, saya ok. Masih jauh lagi ke?” aku cuba mengendurkan suasana.
“Haa… kita dah sampai. Jom, ikut sini,” jawabnya sambil menunjuk arah lif.
Sampai di tingkat lapan, kami masuk ke bilik mesyuarat yang sunyi dan kemas.
“Cik Aaliya boleh letak kat atas meja kecil tu. Nanti saya aturkan semuanya,” katanya sambil menolak pintu.
Aku mengerutkan dahi. “Tapi Encik Hafiz... ok ke nak susun semua ni?” Aku lihat dia pegang kotak dengan cara yang agak kekok.
Dia menggaru kepala, “Saya tak berapa pandai, tapi ok kot. Kakak biasa buat ni cuti hari ni. Jadi saya terpaksa ke kafe Cik Aaliya beli semua ni.”
Aku tersenyum. Jujur dan bersahajanya Hafiz buat aku rasa senang.
“Disebabkan Encik Hafiz pelanggan tetap Langit Coklat, biar saya tolong susun,” aku ajak.
“Boleh ke?” dia tanya, nada terkejut dan tak percaya.
“Kena la. Jom cepat. Nanti lambat pula meetingnya.”
Kami sama-sama menyusun kek dan kopi dengan pantas. Tak sampai sepuluh minit, semuanya tersusun rapi, kelihatan cantik dan menggoda.
“Oklah Encik Hafiz, semua dah siap. Saya balik ke kafe semula ya,” aku beritahu.
“Terima kasih sekali lagi, Cik Aaliya. Petang sikit saya hantar payment ke kedai Cik Aaliya ya,” katanya sambil tersenyum.
Aku mengangguk, membuka pintu bilik mesyuarat, dan tiba-tiba terlanggar seseorang.
Tubuhnya tegap, tinggi, dan tangan kuat memaut pinggang aku dengan erat—pelukan spontan yang membuat degup jantung aku naik mendadak.
Aku sempat pegang dahi yang terasa berdenyut.
“Maafkan saya, Encik. Saya tak sengaja,” aku cepat-cepat berkata, cuba kawal nafas yang terhenti seketika.
“Eh, boss! Buat apa kat sini? Awal lagi ni,” Hafiz bersuara.
“Awak tengok telefon awak. Banyak kali saya call, awak tak jawab,” suara lelaki itu tenang tapi tegas.
Aku pandang Hafiz yang kelihatan pucat.
“Sorry, boss… saya tak dengar,” jawab Hafiz perlahan.
“Eh, lupa pula. Boss, ni Cik Aaliya. Cik Aaliya ni owner kedai kek yang saya selalu pergi tu! Cik Aaliya, ni bos saya, Encik Irfan,” Hafiz memperkenalkan kami.
“Hai, Encik Irfan,” aku hulur tangan, sambutannya lembut dan penuh keyakinan.
“A-awak ok kan? Tak ada cedera kat mana-mana?” Irfan tanya dengan nada penuh prihatin.
“Saya tak ada apa-apa. Jangan risau,” jawab aku walau denyutan di dahi masih terasa.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” aku berkata sambil perlahan-lahan mengundur diri.
Tiba-tiba telefon aku bergetar. Nama ‘Papa’ tertera di skrin.
Aku cepat-cepat angkat dengan senyuman yang cuba aku pertahankan.
“Hello, papa. Sekejap ya,” aku berkata, memandang Hafiz dan Irfan seketika. “Saya keluar dulu ya. Terima kasih sudi beli kek di kedai kami.”
Langkah aku semakin laju keluar dari bilik, namun hati aku lembut menyambut panggilan itu.
“Papa sihat? Bila papa nak balik? Ada hadiah untuk Liya tak?” soalan aku bertalu-talu, rindu jelas menggantung di dada.
“Sabar sayang… papa tak sempat nak bernafas ni,” suara papa diselingi tawa kecil. “Papa sihat. Mungkin kena extend kerja. Banyak lagi belum siap. Tapi hadiah Liya, papa tak pernah lupa. Abang Liya pun sama. Maaf tak dapat call selalu.”
“Apa papa cakap, Liya faham. Liya tak kisah pun,” aku jawab, menahan sebak yang tiba-tiba menyesak dada.
Papa diam sejenak sebelum suara dia kembali, kali ini lebih lembut.
“Tapi… kenapa Liya dah tiga hari tak balik rumah? Mama risau.”
Aku terdiam. Tarik nafas panjang, “Bukan Liya tak nak balik, papa. Sekarang ni banyak tempahan. Jadi Liya tumpang rumah Hawa dan Mila, jimat masa,” aku cuba terangkan.
“Papa faham… tapi mama bising. Dia kata Liya langsung tak hormat dia. Kenapa Liya jadi macam ni, sayang?”
Aku terkedu. Hati aku pedih. “Tak, papa. Mana ada Liya buat macam tu. Liya dah cuba terangkan pada mama, tapi mama selalu salah faham. Kadang-kadang Liya sendiri tak faham kenapa mama jadi macam ni.”
Airmata menggenang di tepi mata, tapi aku kuatkan diri.
“Papa… Liya cuma nak keluarga kita bahagia. Itulah yang Liya harapkan selama ni.”
Thank you for reading??
Share this novel