37

Romance Series 2175

Datin Wardah POV

Dia ingat dia boleh menang hanya sebab aku diam selama seminggu. Dia silap. Aku sengaja ubah semua yang dirancang ikut kehendak aku sendiri.

Aku juga telah menelefon Ibu Aaliya, dan kami sepakat untuk mengaturkan majlis ini bersama.

Sebulan berlalu. Semalam, aku beritahu Aaliya bahawa hari ni, aku mahu dia ikut aku untuk memilih baju persandingan mereka.

"Assalamulaikum, Aunty." Dia hulurkan tangan untuk bersalam.

"Hmm... panggil Mommy mulai sekarang. Jangan nanti bagi alasan kata tak biasa... atau tersasul masa atas pelamin nanti, kan?" balasku, senyum nipis, tapi mata tetap tajam.

"Baik, Mo...mmy..."

"Liza, cepat mulakan kerja awak."

Butik ini bukan calang-calang. Kawan-kawan aku pun ternganga tengok koleksi dia. Aku dah buat homework dan aku tak pilih yang biasa-biasa untuk bakal menantu aku, walaupun dia nampak lebih sesuai pegang senduk daripada pakai modern couture.

Liza memandang Aaliya dan tersenyum manis.

"Ini ke menantu Datin? Cantik... Jom kita pergi fitting dulu ya. Rasanya kerja saya tak susah sebab bakal menantu Datin ni dah cukup cantik," katanya lembut.

Aaliya nampak terkejut.

"Tapi..."

"Ramai juga bakal pengantin yang datang ke butik saya macam Cik," Liza menyambung, masih berlembut.

"Betul ke..." Aaliya kelihatan kekok.

"Liza, tak perlu semua tu," aku mencelah, tangan di pinggang. Nada cukup untuk buat Liza terdiam.

"Kita tak datang sini nak dengar puji-pujian kosong. Kita nak hasil. Saya nak dia fitting. Lepas tu, ajar dia berjalan. Pakai kasut ni." Aku tunjuk pada sepasang high heel dua inci, warna nude.

"Tingginya kasut ni, Mommy... saya tak biasa."

"Sayang, kalau nak jadi isteri orang korporat, tumit dua inci pun dah dikira basic. Biasakan dari sekarang." Nada aku manis tapi maksudnya dalam.

"Tapi..."

Aku angkat tangan, halang dia bersuara.

Aku berjalan perlahan menghampirinya. Tak perlu tinggi suara. Tekanan datang dari cara aku berdiri.

"Mulai hari ni, berlajar jalan dengan betul. Jangan seret kaki macam nak ke dapur. Berdiri tegak. Ingat, kamu bakal menantu saya. Di cafe tu, silakan buat apa kamu nak. Tapi bab majlis kahwin? Kawasan Mommy."

Aaliya hanya angguk. Tak berani kata apa.

"Satu bulan dari sekarang, Mommy nak tengok kamu jalan macam seorang model. Bukan macam budak sekolah lambat bangun pagi. Dan Mommy dah susun jadual kamu sampai hari nikah nanti. Mommy akan hantar dekat WhatsApp. Jangan 'seen' je, ya?"

Dia angguk lagi.

"Liza, pastikan dia ikut semua ni. Dan report setiap perkembangan dekat saya. Faham?"

Aku lempar senyuman nipis pada Aaliya.
"Mommy akan jumpa kamu lagi nanti."

Kemudian aku keluar dari butik dengan senyuman kecil di hujung bibir.

Bukan senym gembira. Tapi senyum orang yang tahu, dia sedang menang.

---
Aaliya POV

Entah dah berapa kali aku mengeluh hari ni. Jam dah pukul 5 petang. Aku terduduk keletihan di satu sudut butik, dengan Liza setia menemani.

"Kesian saya tengok Cik. Datin tu memang cerewet," katanya.

"Panggil saja saya Aaliya." Aku senyum nipis sambil mengurut kaki yang dah mula kejang.

"Penat juga nak belajar berjalan guna high heel ni," aku berkata perlahan.

"Saya rasa Cik Aaliya tak perlu pun buat semua ni. Bersanding tu pun banyak duduk dari berjalan. Cik Aaliya bukannya nak peragakan baju saya pun. Tak faham saya kenapa Datin suruh buat semua ni." kata Liza sambil menggaru kepala yang tak gatal.

"Tak apalah... ikutkan je apa yang dia nak. Yang penting, dia puas hati," balasku, cuba redkan situasi.

"Cik Aaliya bukan setakat cantik, tapi baik hati. Kalau Datin tu masih tak bersyukur... saya pun tak tahu nak cakap apa," kata Liza bersungguh.

"Kadang-kadang, mak mertua ni lagi teruk layanannya dari mak kita sendiri. Mak kita pun tak pernah layan kita macam tu," sambungnya lagi.

Aku hanya mampu senyum. Malas nak tambah apa-apa. Letih badan, letih hati.

Seketika kemudian, telefon aku berbunyi.

"Angel, awak kat mana? Mila cakap awak keluar dari pukul 10 pagi tadi. Ni dah pukul 5. Awak kat mana ni?" suara Irfan kedengaran risau.

"Maaf, saya lupa nak beritahu. Saya keluar dengan Mommy awak. Pergi butik... fitting baju," aku jawab perlahan.

"Sekarang awak masih kat butik ke?" tanya Irfan.

"Iya..."

"Bagi saya location. Saya datang ambil awak sekarang," ringkas tapi tegas.

Talian diputuskan. Aku cepat-cepat hantar location butik kepada Irfan. Dia memang penyelamat aku untuk hari ni. Jujur aku sendiri dah tak larat nak berjalan.

Tak sampai setengah jam, Irfan sampai. Langkahnya laju bila dia nampak aku.

Tanpa banyak tanya, dia terus melutut depan aku dan pegang kaki aku.

"Kenapa kaki awak merah? Apa yang dah jadi?" Wajahnya penuh risau.

"Oh... tadi saya cuba berjalan dengan kasut tu." Aku tunjuk high heel yang aku pakai untuk 'belajar catwalk' tadi.

"Mommy suruh awak buat semua ni ke?"

"Tak lah... saya yang nak cuba. Saya nak nampak tinggi sikit dari awak masa sanding nanti." Aku cuba buat muka selamba, harap-harap Irfan termakan.

Dia mengeluh sambil memicit dahi.

"Awak dah makan?"

Aku geleng.

"Nak makan tak?"

Aku angguk, senyum semanis mungkin. Harap-harap senyum ni boleh redakan marah dia yang sedang bersarang.

"Awak tunggu sini. Saya pergi ambil kereta. Tadi saya parking agak jauh."

"Okay." Aku angguk lagi, perlahan.

Sebaik Irfan keluar dari butik, Liza datang dekat aku.

"Bakal suami Cik Aaliya... handsome. Sama padan dengan Cik Aaliya yang cantik ni."

"Terima kasih." Aku tersenyum kecil.

"Saya rasa saya dah ada set pakaian yang sesuai untuk Cik Aaliya dan bakal suami. Nanti bila masa dah sesuai, saya tunjuk ya?"

"Betul ke? Tak sabarnya saya." Balasku, cuba nampak ceria walau badan rasa nak rebah.

"Tu, bakal suami Cik Aaliya dah sampai. Ambil kasut ni ya... nanti paktis kat rumah. Slow-slow... jangan paksa diri." Kata Liza sambil hulurkan kasut yang aku 'bergelut' tadi.

"Terima kasih atas bantuan awak, Liza. Saya balik dulu ya."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience