Aaliya POV
Selepas kelas pastri tamat, kami bertiga melangkah keluar dari kolej dengan langkah yang penat tapi puas. Bau kek dan pastri masih melekat di pakaian kami satu bukti hasil kerja keras sepanjang hari.
"Aku hantar kau balik, Aaliya," ujar Hawa, sambil memandang aku dengan senyuman kecil. "Abang kau kan outstation. Takkan kau nak naik bas sorang-sorang?"
Aku mengangguk perlahan. "Terima kasih, Hawa. Aku pun sebenarnya dah tak larat nak tunggu bas. Penat sangat hari ni."
Sepanjang perjalanan, kami bercerita dan bergelak ketawa. Untuk seketika, beban yang aku pikul terasa ringan. Suara Mila dan Hawa yang ceria, disulami gurauan mereka, buat aku terlupa sejenak tentang luka yang aku simpan. Tapi bila kereta Hawa mula membelok masuk ke simpang rumah aku, perasaan berat itu kembali menyapa dada.
"Terima kasih sebab sudi hantar aku balik," aku berkata perlahan.
"Eh, dari dulu lagi aku dah pesan, kalau abang kau tak ada, call aku je. Tak pernah pun aku anggap kau menyusahkan," balas Hawa dengan wajah serius tapi lembut.
Aku tersenyum hambar. "Aku tahu... tapi aku tak nak susahkan kau."
Hawa menjeling manja. "Siapa cakap kau susahkan aku?"
Aku geleng perlahan, cuba sembunyikan rasa sebak yang tiba-tiba hadir. "Oklah, oklah. Esok kau datang ambil aku. Puas hati?"
Hawa ketawa kecil sambil mengangguk. "Ha, macam tu lah baru Aaliya yang aku kenal."
Sebaik saja aku menapak ke depan pintu rumah, ia terbuka dengan kasar. Berdiri di situ ibu, dengan wajah yang mencuka, tangan bersilang di dada.
"Baru balik? Dah senja pun! Kau ingat rumah ni hotel ke, Aaliya?" tengkingnya lantang tanpa salam.
"Ibu..." aku cuba bersuara, tapi ibu cepat memotong.
"Masuk dapur. Sediakan makan malam. Mak Jah, jangan tolong dia!" arahnya tanpa sedikit pun memandang aku.
Mak Jah yang sedang menyapu kelihatan serba salah, tapi hanya mengangguk patuh.
Aku segera melangkah ke dapur, tak mahu ibu makin naik angin. Aku mula memasak dengan pantas. Sesekali Mak Jah menjenguk ke dapur secara senyap, cuba bantu dengan pandangan simpati. Tapi aku tahu, dia tak boleh berbuat apa-apa. Dia dah lama tahu... beginilah keadaan aku setiap kali ayah dan abang tiada di rumah.
Selesai masak dan menghidang, ibu datang menjenguk.
"Letak semua atas meja. Lepas tu naik bilik. Jangan sentuh pun makanan tu. Badan kau tu dah cukup besar. Makan sikit pun boleh tahan tiga hari!" katanya dengan nada sinis.
Aku terkedu. Kata-kata itu menikam jiwa, tapi aku hanya diam. Aku tahu, kalau aku melawan, aku akan dibalas dengan kata-kata yang lebih kejam… atau mungkin lebih dari itu.
Dengan hati yang pedih, aku naik ke bilik. Perut kosong, jiwa kosong… mata mula berkaca.
Aku duduk perlahan di tepi katil. Air mata yang aku tahan sejak tadi akhirnya gugur juga.
Kenapa ibu layan aku macam ni?
Apa salah aku?
Aku pandang siling bilik, kosong. Seperti jiwa aku. Tak ada pelukan hangat seorang ibu, tak ada kata semangat... yang ada cuma sindiran, perbandingan, dan luka yang makin dalam.
Aku buka laci meja dan tarik keluar diari lusuh. Di situlah aku tumpahkan segala rasa. Aku capai pen dan mula menulis:
> “Hari ini… macam semalam. Aku penat bukan sebab fizikal, tapi sebab menahan rasa. Aku cuma nak rasa disayangi. Tapi setiap kali aku cuba, aku cuma disakiti. Sampai satu tahap, aku dah tak tahu apa salah aku. Tapi aku tetap sabar… sebab aku tahu, Tuhan itu tak pernah tidur.”<
Telefon aku berbunyi. Mesej masuk daripada Mila.
Mila: “Aaliya, kau okay ke? Kalau nak borak, aku ada.”
Walau ringkas, mesej itu cukup buat aku rasa sedikit lega. Ada juga yang masih peduli.
Aaliya: “Aku okay. Terima kasih sebab selalu ada.”
Aku letak telefon di sisi, baring perlahan, menatap siling dengan mata yang masih basah. Dalam diam aku berdoa, semoga satu hari nanti... aku tak perlu pura-pura kuat lagi.
Dan semoga, satu hari nanti… aku akan temui bahagia yang aku simpan dalam doa sejak kecil lagi.
Aku baring di katil dengan mata yang masih basah. Belum sempat lena, terdengar ketukan perlahan di pintu bilik.
Tok. Tok.
"Aaliya, ni Mak Jah. Cepat buka pintu ni, Ibu masih kat tingkat bawah tu."
Aku bingkas bangun dan buka pintu perlahan. Di tangan Mak Jah, ada satu dulang kecil berisi nasi putih, ayam masak merah, dan segelas air kosong.
"Mak Jah tahu kamu belum makan. Jangan cakap kat ibu, ya," bisiknya sambil tersenyum lembut.
Air mata aku gugur sekali lagi, tapi kali ini kerana terharu.
"Terima kasih, Mak Jah..." suara aku tersekat di kerongkong.
"Mak Jah kenal kamu sejak kecil. Kamu anak yang baik. Sabar ya, sayang. Allah nampak semuanya," katanya sebelum berpaling dan berjalan perlahan keluar.
Aku tutup pintu dan duduk di tepi katil, menatap makanan itu penuh syukur. Biarpun kecil, tapi cukup besar maknanya bagi aku malam itu.
---
Keesokan Paginya Di Kolej
Matahari pagi memancar terang. Suasana di kolej kembali sibuk dengan derap langkah pelajar yang menuju ke kelas masing-masing. Aku berjalan bersama Mila dan Hawa, lebih tenang dari semalam, walaupun mata aku masih sembap sedikit.
"Macam okay sikit kau hari ni," tegur Mila, sambil perhati wajah aku.
Aku senyum sedikit. "Mak Jah hantar makanan malam tadi."
"Ya Allah, nasib baik ada Mak Jah," kata Hawa sambil pegang lengan aku.
"Kalau tak ada dia, aku rasa aku dah tak tahu macam mana nak bertahan," aku balas perlahan, tapi penuh makna.
Kami bertiga terus ke kelas seperti biasa. Di sepanjang perjalanan, kami bergurau, bercakap tentang kelas pastri dan idea baru untuk resepi kek coklat yang lebih moist.
Sebaik sahaja duduk di tempat, telefon aku bergetar.
[Abang Sulung – Call Incoming]
Aku terkejut sedikit. Segera bangun dari tempat duduk dan keluar kelas untuk menjawab.
"Assalamualaikum, abang."
"Waalaikumussalam. Aaliya, abang tengok markah exam dah keluar. Alena dah tunjuk. Mana kau punya result?"
"Er… Aaliya dapat semua A, bang," aku berkata perlahan, malu-malu.
"Serius? Alhamdulillah! Abang bangga sangat dengan kau, tahu tak? Dari dulu lagi abang tahu kau pandai. Kau ni rajin, Aaliya," suaranya jelas teruja.
Aku tergamam. Lama dah aku tak dengar pujian sebegitu lebih-lebih lagi dari orang yang aku sayang.
"Terima kasih, bang..."
"Teruskan macam ni, okay? Kalau ada apa-apa, call abang. Abang sentiasa ada untuk kau."
Air mata aku hampir menitis lagi. Tapi kali ini bukan sebab sedih tapi sebab rasa dihargai.
"InsyaAllah, abang. Aaliya janji."
Share this novel