Aaliya POV
Sudah seminggu berlalu sejak keputusan rasmi diumumkan. Tapi semangat dalam diri aku tak pernah reda. Setiap pagi, aku bangun lebih awal, mengisi hari aku dengan perancangan, mencuba resipi baru dan panggilan demi panggilan mencari pembekal bahan terbaik.
Hari ini, aku dan dua sahabat baik aku Mila dan Hawa bertemu di sebuah lot kedai kosong di hujung deretan bangunan komersial. Ia tak besar, tapi cukup untuk permulaan.
“Kau rasa okay ke tak dengan tempat ni?” tanya Hawa, matanya sedang meneliti keadaan sekeliling.
Aku memandang ke dalam lot kedai itu. Dindingnya masih kosong, cat lama mulai terkopek, tapi aku nampak sesuatu yang lebih penting potensi.
“Tempat ni... aku dapat rasakan mempunyai potensi yang besar,” jawab aku, sambil tersenyum.
Mila segera mengeluarkan telefon dan mengambil gambar sudut dalam kedai. “Kita boleh cat semula. Letak rak pastri dekat sini, kaunter dekat hujung sana. Dan... ada ruang kecil untuk pelanggan duduk santai sambil makan.”
“Dan kalau kita ada dapur terbuka, pelanggan boleh tengok kita buat pastri secara langsung!” tambah Hawa penuh teruja.
Aku mengangguk. “Kita bukan sekadar nak jual makanan. Kita juga boleh cipta pengalaman. Setiap kek, setiap pastri biar orang rasa dan bercerita di sebalik rasanya.”
Kami bertiga berdiri dalam kedai kosong itu, diam seketika, membayangkan masa depan yang sedang kami bina.
Untuk pertama kalinya, aku rasa impian aku dah semakin dekat. Ia sedang perlahan-lahan bertukar jadi kenyataan dengan tangan kami sendiri, dan dengan mereka di sisi aku.
---
“Biar kecil, tapi ia milik kami.”
Bunyi gerudi dan ketukan memecah kesunyian pagi di ruang kedai kecil kami. Dinding yang dulu kelihatan kusam kini sedang dikikis, digosok dan dicat semula. Kabel elektrik ditarik kemas, meja kaunter mula dibentuk, dan jubin baru mula disusun satu demi satu. Bau simen dan cat baru memenuhi udara bau permulaan, bau harapan.
Aku berdiri di tengah ruang, memegang pelan susun atur yang Hawa lukiskan malam semalam. Mila muncul dari belakang dengan dua plastik besar berisi minuman dan makanan untuk semua.
“Chef besar, rehatlah kejap. Kau tu nampak macam nak pengsan dah,” usik Mila sambil menghulur air kotak.
“Alah, sikit je lagi nak siap. Nanti aku rehat puas-puas bila kedai dah buka,” balas aku sambil menyeka peluh di dahi.
“Kau ni, Aaliya,” celah Hawa yang baru turun dari kereta dengan tablet di tangan. “Kalau boleh, kau nak buat semua benda sendiri. Dari lantai sampai ke lampu.”
“Mana tahu lepas ni kau jadi kontraktor pastri,” Mila menyambung, membuat kami semua tergelak.
Kami bertiga duduk di atas kotak kayu, berbual sambil makan makanan yang dibeli. Sekejap-sekejap kami pandang sekeliling kedai yang semakin berubah. Dulu ruang ini kosong, penuh habuk dan sarang labah-labah. Sekarang, ia mula dipenuhi dengan impian kami.
“Aku masih tak percaya… kita betul-betul nak buka kedai sendiri,” Hawa bersuara perlahan.
“Aku percaya sejak hari pertama kau dua orang jerit dalam kelas nak buka kafe sendiri, lepas kita habis praktikal,” balas Mila sambil tersenyum.
“Aku jerit ke kau yang jerit?” Hawa buat-buat serius, menjeling Mila.
“Dahlah tu jangan gaduh. Dua-dua pun jerit. Aku je masa tu diam-diam pasang angan-angan,” aku menyampuk sambil ketawa.
Gelak kami bergema dalam ruang separa kosong itu. Sejenak, suasana terasa ringan dan penuh kasih.
---
Lewat petang itu, kami mula susun pelan yang kami atur. Hawa bentangkan jadual promosi, Mila kemas kini senarai pembekal, dan aku fokus pada susunan menu dan percubaan resipi.
“Aaliya, untuk 'signature item' kita nanti, kau rasa kita guna kek coklat atau tart lemon?” tanya Hawa.
“Tart lemon! Sebab nama kedai kita ‘Langit Coklat’. Nampak kontras, menarik perhatian,” Mila menjawab dulu, sambil sengih.
Aku ketawa kecil. “Langit tu warna lembut. Tart lemon kita pun lembut. Tapi coklat masih kena ada. Kita masukkan kedua-duanya. Tart lemon sebagai ‘hero’, kek coklat sebagai ‘soul’.”
“Kau ni, kalau bab food poetry, kalah chef TV,” Mila menyiku lengan aku main-main.
“Ala, dia kan tengah ‘in love’ dengan impian. Bukan senang nak tengok Aaliya berjiwang macam ni,” Hawa pula mengusik.
“Eh, kau jangan… Aku memang berjiwa lembut sejak azali tau,” aku jawab, buat-buat angkat dagu tinggi.
Tawa kami meledak lagi. Rasanya macam kembali ke zaman kolej dulu—zaman resah gelisah, tapi penuh kenangan. Bezanya kali ini, kami bertiga bukan sekadar berangan. Kami sedang membina impian kami.
---
Sebelum pulang, kami berdiri di luar kedai. Papan tanda sementara sudah tergantung:
“Langit Coklat - Patisserie & Dreams”
Kami diam seketika, memandang nama itu.
Aku rasa dada aku lapang. Ada satu rasa yang tak dapat aku ungkap.
“Langit Coklat… kedai yang lahir dari luka, tapi dibina dengan harapan,” aku berbisik.
“Kedai yang kita akan jaga macam nyawa kita sendiri,” tambah Hawa.
“Dan kalau jiwa tu buat perangai, aku serah pada Aaliya,” usik Mila lagi.
“Aku buat kek bentuk muka kau, Mila. Bagi pelanggan potong dulu,” aku balas, pura-pura serius.
Kami tergelak sampai hampir menitiskan air mata. Gelak yang jujur, tulus dari hati. Bukan kerana lawak itu terlalu lucu, tapi kerana kami bertiga tahu betapa besar maknanya untuk sampai ke titik ini.
---
Malam itu, di rumah, aku menatap semula pelan pemasaran yang kami susun. Hati aku tenang. Bukan kerana semuanya sempurna, tetapi kerana aku tahu… aku tak keseorangan.
Mak Jah masuk dengan secawan air suam. “Kamu nampak bahagia, Aaliya.”
Aku senyum. “Saya rasa… saya sedang hidup dalam impian yang selama ni saya lukis dalam diam.”
Mak Jah duduk di sebelah. “Jangan padam impian tu. Dunia ni dah cukup ramai yang kejam. Jangan kamu pun jadi kejam pada diri sendiri.”
Kata-katanya menusuk. Aku angguk perlahan, memandang ke luar tingkap. Bintang di langit bertaburan, seperti mengiyakan apa yang aku rasa.
Maaf sangat sebab lambat post bab baru! Ada sikit hal yang tertunda, tapi janji lepas ni saya usahakan yang terbaik untuk korang! Thanks sebab sabar dan terus support!
Share this novel