Irfan POV
Aku bukan jenis lelaki yang mudah gelabah. Tapi malam ni… tangan aku berpeluh. Jari aku berulang kali buka dan tutup WhatsApp di telefon. Chat terakhir dengan Aaliya masih terbuka:
> "Awak free malam ni? Saya belanja dinner, tapi saya nak cerita satu perkara yang awak perlu tahu."
Ringkas. Tapi cukup buat dada aku bergelora.
Ini ajakan pertama Aaliya selepas tiga hari aku menyepikan diri. Selepas tiga hari aku memilih untuk melarikan diri demi menjaga hati sendiri biarkan tergantung dengan seribu persoalan.
Dan ya—aku salah. Mungkin sangat bersalah.
Tiga hari lepas, aku lihat dia... di luar Langit Coklat... dipeluk erat seorang lelaki yang aku tak kenal. Mereka berpelukan. Lama. Terlalu akrab untuk dianggap 'biasa'. Aku tak sempat tanya apa-apa. Aku terus undurkan diri. Sebab… aku takut. Takut kalau aku dah terlambat. Kalau aku hanya bayang-bayang yang muncul di saat dia dah ada seseorang.
Tapi dalam diam, hati aku meronta.
Dan kemudian, tanpa diduga, Aaliya sendiri yang mencari aku. Malam ni, dia nak perjelas sesuatu. Dan aku… tak akan sia-siakan peluang yang diberikan.
---
Aku tiba di Café Hujan Panas, tempat yang Aaliya pilih. Kafe kecil itu diterangi cahaya kuning malap, menyelubungi ruangannya dengan kehangatan dan privasi. Di satu sudut, Aaliya duduk bersendirian.
Malam ni dia mengenakan blaus peach lembut, rambutnya dibiarkan lepas melepasi bahu. Nampak manis… dan terlindung. Senyumannya apabila aku tiba, walau tipis, masih mampu menusuk terus ke hati aku.
Aku berjalan perlahan dan berdiri di hadapannya. “Awak dah lama tunggu?”
Dia geleng perlahan. “Baru je.”
Aku duduk dan cuba tenangkan degupan jantung. Dia tak banyak cakap. Kemudian dia menolak menu ke arah aku.
Kami pesan makanan. Sepi. Tapi sepi yang sarat dengan makna. Dan bila pelayan berlalu pergi, Aaliya angkat muka.
“Irfan,” dia mulakan, nada suara tenang. “Lelaki yang awak nampak hari tu… itu abang sulung saya. Aryan.”
Aku terdiam. Tak berkelip.
“Abang saya baru balik dari outstation. Masa event tu dia tak dapat datang. Dia tak sempat nak bagi semangat juga, sebab dia tahu saya tengah stres.” Aaliya tersenyum kecil. Tapi senyum tu nampak pahit. “Kami memang rapat... Di sebabkan itu juga mama saya dan Alena selalu cemburu. Saya rindukan abang saya. Itu saja.”
Aku menunduk, malu. Malu kerana mudah membuat kesimpulan.
“Kenapa awak tak tanya saya?” Aaliya bersuara perlahan. “Kenapa terus jauhkan diri?”
Aku genggam tangan atas meja. “Sebab ada satu perasaan yang hadir dalam diri saya... Cemburu. Saya terlalu cepat buat andaian. Saya… saya takut awak dah ada seseorang. Saya takut kalau saya ni cuma watak sampingan dalam hidup awak.”
Aaliya menarik nafas, kemudian melepaskannya perlahan. “Dan saya pula takut… awak menjauh sebab awak dah tak peduli. Atau awak tak rasa apa-apa. Saya juga takut di kecewakan lagi dan lagi”
Aku pandang dia. Mata kami bertembung. Dalam tenang wajahnya, ada luka yang aku ciptakan sendiri. Apa kurangnya aku. Aku juga sama seperti mereka yang pernah sakitkan hatinya.
“Saya minta maaf,” aku bersuara juga akhirnya. “Saya sepatutnya tanya awak bukannya terus buat andian sendiri.”
Aaliya senyum. Kali ni lebih lembut. “Dan saya pun patut lebih berani bertanya, bukan tunggu awak cari saya dulu.”
Kami diam seketika. Tapi kali ni… senyap yang sangat mendamaikan.
“Aaliya,” aku panggil, nada sedikit bergetar. “Saya suka awak.”
Dia pandang aku, mata membulat sedikit.
“Saya… saya dah suka awak sejak kali pertama lihat awak pertahankan kedai Langit Coklat. Awak garang, tegas… tapi apabila awak senyum, saya dapat lihat satu sisi lain awak. Sisi yang lembut.”
Aku telan liur, kemudian menyambung.
“Tapi saya lambat. Saya tak tahu bila masa yang sesuai. Bila saya tengok awak peluk abang awak, saya terus rasa macam semua harapan musnah.”
Aaliya senyum kecil. Tapi senyuman tu kali ni lain. Dia angkat tangan dan letakkan atas meja—jarinya sedikit menyentuh jari aku. Sentuhan yang kecil, tapi cukup untuk buat jantung aku tak tentu arah.
“Irfan,” dia balas perlahan, “awak tahu tak… sejak malam event tu, saya berulang-ulang baca mesej awak tak tahu berapa kali?”
Aku tergelak kecil. “Saya pun sama berkali-kali tengok bunga tu dalam kereta selama tiga hari ni. Akhirnya saya bagi kat mommy saya.”
Aaliya ketawa kecil. Suara dia… tenang. Lembut. Macam lagu yang aku tak sedar aku sedang rindu.
“Jadi,” katanya, “lepas ni… kalau ada salah faham, awak tanya dulu, ya? Jangan terus senyap.”
Aku angguk. “Janji.”
“Dan awak jangan lupa, saya tak pandai main teka-teki. Kalau awak suka saya, bagitahu betul-betul.”
Aku genggam tangannya perlahan.
“Saya suka awak, Aaliya. Saya nak kenal awak lebih dari sekadar pembuat kopi kegemaran saya. Saya nak jadi lelaki yang awak boleh harapkan, bukan lelaki yang cepat melarikan diri.”
Dia tak tarik tangannya. Kemudian, dia genggam balik.
“Saya pun suka awak, Irfan.”
Ayat itu. Empat patah perkataan itu. Buat aku rasa macam dunia ni berhenti bergerak.
---
Malam makin larut. Tapi kami tak peduli. Makanan tinggal separuh, tapi perbualan kami makin penuh dengan gelak tawa kecil dan jujur.
Kami berbual tentang masa depan Langit Coklat. Tentang projek terbaru syarikat aku. Tentang plan cuti hujung minggu. Tentang Hafiz dan Mila (yang terang-terang suka sama suka tapi dua-dua degil tak nak mengaku). Dan tentang jambangan bunga yang dia tak sempat terima.
“Saya nak bunga baru,” Aaliya seloroh, senyum senget.
“Esok saya hantar sejambak. Tapi saya nak awak pilih sendiri.”
“Mawar biru.”
Aku angguk. “Done.”
---
Sebelum pulang, aku melangkah ke sebelah Aaliya dan membuka pintu keretanya.
Aaliya terdiam sebentar, kemudian berkata, “Irfan.”
“Ya?”
“Terima kasih sebab datang malam ni. Dan… terima kasih sebab betulkan salah faham ni.”
Aku tersenyum. “Saya akan betulkan lebih dari tu. Saya akan pastikan awak tak perlu terluka lagi.”
Dia angguk, senyum sambil masuk ke dalam kereta.
Dan malam itu, masa aku pandu pulang ke rumah… aku sedar sesuatu.
Untuk kali pertama dalam hidup aku, aku tak sabar nak mulakan esok.
Sebab esok dan seterusnya, Aaliya bukan lagi teka-teki... tapi masa depanku.
Share this novel