Bab 13

Romance Series 1424

Secawan coklat panas diletakkan diatas meja sisi. Laci kemudian dibuka lalu sebatang sikat dikeluarkan. Dia mula menyisir lembut rambut milik neneknya yang hari ini kelihatan agak lain. Warna rambut wanita itu sedikit perang daripada sebelum ini. Pasti ia dikerjakan sahabat baik neneknya.

"Kamu bertolak petang nanti?"bicara Nenek Aghavni sambil meniup perlahan air di tangan. Alec melepaskan keluhan berat.

"Iye, nek.. Rasa tak sampai hati nak tinggalkan nenek sendirian kat sini,"luah tentera itu sedih. Nenek Aghavni menggenggam erat jemari cucunya.

"Setahun je kan. Lagipun nak risau apa? Banyak yang jaga nenek kat sini. Ada Gaia, Louys, Makcik Suri.."

"Hmm..Alec banyak terhutang budi pada pakcik Louys dan makcik Suri. Diorang selalu tolong tengok tengokkan nenek,"

Nenek Aghavni tersenyum. Walaupun sahabatnya si Suri itu tidak mempunyai perasaan namun gadis itu selalu ambil berat tentang dirinya. Sentiasa memastikan dia mendapatkan rawatan kimoterapi seperti yang dijadualkan.

Alec memeluk erat wanita tua di hadapannya. Hanya nenek sahaja yang dia punya di dunia ini. Ibunya meninggal dunia sewaktu melahirkannya dan bapanya terkorban saat bertempur dengan penyeludup dadah di sempadan.

"Alec janji...selepas balik dari bertugas, Alec akan bawak nenek keluar dari sini. Kita akan duduk sama sama di sebuah rumah yang ada pantai di depannya..bila petang kita boleh pergi memancing. Mesti seronok kan,hehe,

Nenek Aghavni mengusap lembut wajah cucunya. Setahun. Moga dia mampu bertahan untuk setahun lagi.

"Papa!!"

Kedua beranak itu terkejut begitu juga Gaia yang sedang membahagikan ubat di pantry. Dia pantas menjenguk keluar. Kelihatan seorang wanita berhoodie hampir menutupi keseluruhan wajah sedang berlari dari satu dorm ke dorm yang lain seperti mencari seseorang.

"Papa! Mana papa! Papa! Hera datang ni!!"teriak wanita itu lagi. Serta merta matanya menangkap wajah Gaia yang sedang berdiri di depan bilik pantry. Dia lantas berlari mendapatkan jururawat itu.

"Gaia! Ayah saya mana? Boleh saya jumpa dia?!"soal wanita itu sambil menggoncang kuat bahu Gaia yang jelas terkejut.

"Cik..Hera? Ke..napa dengan wajah cik?"

Hera pantas menarik hoodie bajunya menyorokkan wajah yang dipenuhi bintik bintik merah bernanah terutama di kawasan mulut.

"Papa saya mana?!"bentak Hera kasar apabila soalannya masih belum dijawab. Gaia menggaru lehernya serba salah.

"Cik Hera tak tengok phone? Saya call cik banyak kali, mesej pun banyak kali. Cik tak terima ke?"

"Phone saya...tak boleh pakai. Kenapa? Apa yang susah sangat awak nak jawab! Soalan saya senang je, papa saya mana?!"

Alec menjengah di tingkap kemudian berpaling pada neneknya. Wanita tua itu sekadar menggeleng, meminta Alex supaya tidak ikut campur. Nenek Aghavni menghela nafas berat.

Kenapa semua orang selalu menyesal pada masa yang salah?

"Cik Hera....ayah cik, dah meninggal.."

Mata wanita itu terbelalak, dia terjelepok ke lantai dan mula meraung.

"Papaaa!!!! Papa!!! Papaaa!!!!"

****************

Satu demi satu kereta tiba di perkarangan Dewan Peringatan yang terletak di kaki Bukit Deghz bagi upacara penghormatan terakhir Sarjan Araz Kud. Memandangkan jasad sarjan itu sudah terlalu lama berada di bilik autopsi, Madlene selaku keluarga terdekat meminta agar jasad tunangnya itu dikebumikan pada hari ini juga.

Upacara penghormatan hanya akan berlangsung selama 9 jam sahaja, tidak selama 2 hari seperti kebiasaan. Tepat jam 5 petang, keranda Araz akan diturunkan ke dalam makam khas buat para wira negara. Dan Police of Erevan akan melakukannya dengan adat istiadat mereka.

Louys, Aaram dan Dr Hazar kelihatan segak bersut hitam menyambut tetamu dengan sekuntum bunga ros putih. Bunga tersebut akan diletakkan oleh para tetamu ke dalam makam Araz sebagai tanda perpisahan. Suri dan Vanya tidak turut serta kerana berada di Bandar Erebuni, ibukota Erevan. Disitu juga terletaknya Ibupejabat Polis Erevan.

Tro melirik ke belakang mencari wajah seseorang dibalik lautan manusia itu namun tidak berhasil. Tangannya mula mendail nombor seseorang.

Tuutt...Tuttt..

Tidak diangkat. Naib inspektor itu mendengus lemah. Entah dimana Hayk sekarang. Dari pagi tadi dia masih belum melihat lelaki itu. Upacara penghormatan akan berakhir sebentar lagi.

"Angkatlah, Hayk.."

*
* *
* *
*

Vanya terkebil kebil dengan mulut yang ternganga sementara Suri hanya memeluk tubuh dengan wajah nonchalantnya. Gadis itu menjeling ke kiri dan kanan kedai yang dipenuhi barangan makeup itu, ia terlihat seperti syurga buat Vanya.

"Aku perasan yang barang barang makeup dalam tempat kerja kau tu dah lama. Semua tu makeup dari zaman Aghavni dulu. Jadi...pilihlah mana yang kau suka,"ujar Suri sedikit janggal.

"Betul ke ni, cik Suri?! Apa apa jer?"soal Vanya teruja. Gadis berbaju hitam itu menjawab dengan anggukan.

"Terima kasihh!" Jurusolek itu melemparkan tubuhnya pada Suri. Nyaris gadis berambut merah itu tergolek ke belakang. Vanya kemudian berlari bagaikan anak kecil ke dalam kedai itu.

"Err..Vanya.." panggil Suri. Gadis itu berpaling.

"Jangan pilih untuk kerja jer...pilihlah untuk kau sekali.."

"Terima kasih, cik Suri!"teriak Vanya sekuat hati menyebabkan semua orang di dalam kedai itu menoleh kearah mereka.

Isy, budak ni!

Wahh, Suri..semakin prihatin sekarang..

Kedengaran suara lunak seorang lelaki bergema di dalam kedai itu. Tetapi hanya Suri sahaja yang boleh mendengarnya.

"Diamlah kau," bentak Suri. Dia tahu lelaki itu sengaja mengejeknya.

"Apa? Aku puji kau kot," Dalam sekelip mata, seorang lelaki berambut panjang diikat separa ponytail sudah berada di sebelah Suri. Kali ini lelaki itu mengenakan kemeja T putih dengan blazer merah

"Grr, semaklah. Kau nak apa?"

Lelaki itu tersenyum menampakkan taring kecilnya. Dengan hidung yang mancung, bibir yang halus serta pipi berona merah, kehadirannya membuatkan setiap wanita yang melewati berpaling dua kali. Ada yang hampir menabrak dinding dek tampannya jejaka di sebelah Suri itu.

"Takde apa. Saja nak kacau kau. Siapa tu?" Soal Kach sambil melihat Vanya yang sedang mencuba lipstick di cermin.

"Oh. Tu Vanya Mher. Pekerja baru aku, dia gantikan tugas Aghavni,"

Suri mula berjalan mencuci mata di sekitar kedai itu. Setiap wanita pasti menganggap tempat ini sebagai syurga namun tidak bagi Suri. Setiap pewarna bibir, pemerah pipi, foundation atau pembayang mata, semua kelihatan bosan baginya.

Kach mengekori gadis itu dengan senyuman. Jari jemarinya perlahan membelai rambut merah Suri. Gadis itu berpaling. Mata biru mereka saling menatap lama. Para wanita yang berada di dalam kedai itu memandang mereka dengan pandangan cemburu. Sedangkan mereka tidak tahu bahawa Suri dan Kach saling membenci satu sama lain.

"Tentang Aghavni...."suara lelaki itu kedengaran tenang.

"Kau perlu...bersiap sedia,"

Mata Suri membulat. Kach melemparkan senyuman buat kali terakhir lalu hilang.

"Cik Suri!"

Huh? Suri menoleh. Vanya kini sudah berdiri di hadapannya bersama dua bakul penuh dengan barangan makeup.

"Saya dah selesai,hee.."

Tssk. Kening Suri terangkat sebelah saat melihat jumlah keseluruhan barangan makeup tersebut. Hampir tiga ratus ribu dram. Apa bendalah yang mahal sangat. Barangnya kecil kecil sahaja.

Kedua majikan dan pekerja itu berlalu menuju ke van milik rumah persemadian mereka. Suri membuka bonet yang sudah dipenuhi dengan pelbagai barangan masakan yang dipesan Louys. Dia berpaling sebaik menyedari yang Vanya tidak datang meletakkan barang.

Gadis berumur 18 tahun itu sedang tercegat melihat sesuatu di seberang jalan. Suri turut menjeling kearah yang sama.

KOLEJ SENI EREBUNI

"Oi! Cepatlahh!"teriak Suri mematikan lamunan Vanya. Gadis itu terkial kial berlari dengan bag yang penuh di kiri kanan tangannya.

"Maaf cik Suri," ujarnya. Beg segera diletakkan ke dalam bonet.

"Grr..jom!"

*****************

Tro melemparkan kuntuman bunga ros putih ke dalam lubang makam Sarjan Araz Kud kemudian tunduk hormat pada Madlene yang dari tadi tidak berhenti menangis. Dia kemudian berdiri di sebelah Arakel dan pegawai yang lain. Selaras senapang tersandang di bahu.

Tuan Ethan menganggukkan kepala. Serentak itu satu demi satu tembakan kedengaran di udara. Para pekerja juga turut mula menggembur tanah menutupi keradna milik lelaki bermata sepet itu.

Sepasang kaki berjalan perlahan lalu berhenti di belakang sebatang pokok pic. Matanya menatap jasad sahabat baiknya disemadikan dengan hati yang remuk. Dia tidak mahu mengucapkan selamat tinggal. Dia belum bersedia menghantar Araz pergi. Tangannya digenggam erat.

"Selepas aku tangkap dia....baru aku jumpa kau. Tunggu aku, Araz.."

*****************

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience