Series
71995
Setahun berlalu begitu pantas. Sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Suraya diminta untuk menguruskan kerja-kerja di rumah bersama Piah. Bukan apa, Piah sering jatuh sakit sejak belakangan ini. Kadang kelihatan lesu, terkadang mudah marah, cepat melenting tanpa tujuan dan ada kalanya, wanita itu menyendiri tanpa sebab. Bila disoal, ditengkingnya balik orang-orang itu. Maka, para penghuni di rumah agam ini hanya mampu menutup mulut sambil meneruskan kehidupan masing-masing. Sementara bagi Suraya pula, dia begitu teringin untuk keluar berdikari sambil mencari wang. Hasratnya ingin mengumpul duit belanja sendiri sebelum masuk ke mana-mana universiti yang terpilih. Tapi, disebabkan permintaan Azri, dia akurkan sahaja untuk bekerja di rumah, menguruskan kebajikan di sana, bersama Piah. Anif? Hanya usia sahaja yang meningkat, namun statusnya masih sama, bujang dan sentiasa bersedia untuk berkahwin. Tapi, ada sahaja yang tidak kena dengan setiap pasangannya. Kekasihnya pada tahun lalu, boleh dikatakan satu-satunya wanita yang berjaya memecahkan rekod dalam hidup Anif. Wanita berkacukan Cina-New Zealand itu bertahan selama 6 bulan bersama Anif. Tapi, masuk sahaja bulan ketujuh, wanita itu bertindak memutuskan hubungan mereka dengan alasan Anif terlalu tua untuk dirinya yang masih bergelar seorang pelajar universiti. Mati-mati, Anif ingat Elizabeth akan menjadi kekasih terakhir dan pasangan hidupnya yang pertama, tapi, lain pula yang jadinya. Kalau saja dia tahu dari awal, perkara sebegini akan terjadi, pasti sudah lama dia menaburkan benih-benih cinta ke dalam rahim wanita itu. Biar dia melekat bersamanya sehingga ke akhir hayat! Keputusan SPM Suraya juga agak cemerlang. Jadi, dia mengusulkan kemahuan untuk menyambung ijazah sarjana muda di mana-mana universiti terkemuka di dalam negara. Hal itu mendapat kebenaran daripada kedua bapa angkatnya, Ezra dan juga Azri. Masakkan susah-susah dihantar menuntut ilmu di sekolah selama 17 tahun, tapi tidak dibenarkan untuk melanjutkan tahap pendidikan sehingga ke peringkat menara gading bukan? Mereka sedia tahu mengenai cita-cita Suraya yang ingin menjadi seorang guru. Ezra dan Azri masih seperti dulu. Tiada apa yang berubah pada kedua lelaki itu, kecuali stail jambang dan gaya rambut mereka. Hampir setiap dua bulan diubah mengikut peredaran semasa. Umur sahaja yang hampir mencecah angka 40an, namun personaliti dan peribadi mereka tetap sama seperti remaja 20an. Masih hot, masih top, masih bergetah! OH, lupa... Azara pula bekerja sambilan di kebun sayur bersama Junaidah. Pernah beberapa kali anak beranak itu bersusah payah menghantar sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipanen di kebun peninggalan arwah suami Junaidah ke rumah Anif. Semuanya sebagai tanda terima kasih Junaidah terhadap Azri dan Ezra yang banyak membantunya sewaktu Azara berada di sekolah dahulu. Jika boleh, hari-hari Azara mahu ke rumah Suraya. Hanya di sana dia dapat melepaskan rindunya terhadap Ezra. Pandang lama-lama, sehingga rasa cinta itu meresap dalam jiwanya selalu. Nak bagi sayur itu sekadar alasan, nak masuk meminang itulah tujuan sebenar. Suraya tersenyum sendiri sambil membayangkan nasib masa depan Ezra sekiranya dia menjadi suami kepada Azara. Tersengih dia mengenangkan kisah lama bersama teman baiknya itu. Ada sahaja telatah dan perangai nakalnya yang sentiasa menghiburkan hati. "Sekarang!" Sebaik sahaja arahan itu melantun ke deria pendengaran, kepalanya langsung terangguk. Picu ditarik lalu satu das tembakan dilepaskan serta merta. Bang! Bergema kawasan kejiranan mewah itu dengan bunyi letupan yang maha kuat. "Allahuakbar!" Piring di tangan berkecai menimpa bumi. Suraya tergamam tanpa kata. Butir peluru di dalam singki diperhati lama. Tangannya menggigil hebat. Mata lantas meliar memerhati sekeliling yang jelas sunyi. Suraya terduduk ketakutan di atas lantai dapur. Kedua belah telinga ditekup kuat. Air matanya mengalir tanpa dipinta. Apakah gerangan itu akan melepaskan tembakan lagi? Suraya menjadi tidak keruan. "Aya!" Piah berlari mendapatkan Suraya yang sedang menggigil keseorangan. Pili air segera ditutup. Hampir sahaja air melimpah keluar dari singki. Piah lantas berteleku di hadapan gadis itu lalu menariknya ke dalam dakapan. Belakang badan Suraya yang sedang berombak kencang ditepuk lembut. Ikutkan, Piah juga sedang berasa takut. Tidak lama kemudian, tangisan Suraya mula reda namun, irama nafasnya masih belum kembali normal. Perlahan dia mendongak memandang wajah Piah yang jelas kelihatan pucat tanpa darah. Tanpa membuang masa, Piah menyambar lengan Suraya sebelum mereka berdua mengesot beberapa kali ke belakang. Suraya akur sebelum mereka berdua bersandar membelakangi kabinet dapur. Moga-moga dengan cara ini, penembak itu tidak akan nampak kedudukan mereka dengan jelas. Bila-bila masa sahaja peluru boleh dilepaskan, jadi mereka perlu melindungi diri. Beberapa minit berlalu, sebelum kedengaran beberapa buah suara garau berbual rancak di luar dapur. Isi bicara lelaki-lelaki itu tidak begitu jelas pada pendengaran Piah. Begitu juga dengan Suraya yang masih trauma dengan bunyi-bunyian yang kuat. Tiba-tiba, tombol pintu dapur dipulas kasar berulang kali dari luar. Suraya dan Piah terjerit kecil sebelum kembali menikus di penjuru dapur. Mereka mengeratkan pelukan sebelum memejam erat kelopak mata. Tidak berani melihat wajah penjahat itu. "Jangan takut Aya...Kak Piah ada. Uncle-uncle kamu takkan biarkan kita dalam bahaya. Aya jangan gerak dulu. Mungkin tu mereka. Kita tunggu dulu di sini. Aya peluk je Kak Piah." Suraya hanya mampu menganggukkan kepala dalam keterpaksaan. Ingin sahaja dia bangun lalu memeriksa keadaan di luar, namun ketakutannya membataskan kemahuan itu. Dia tidak berani selepas insiden tembakan sebentar tadi. Jantungnya berdegup laju tika membayangkan nasib diri yang hampir saja kehilangan nyawa kerana sebutir peluru yang hanya pernah dia lihat di kaca televisyen. Dia patut berterima kasih pada piring yang kini bertebaran merata di atas lantai kerana sudah menyelamatkannya daripada menjadi mangsa peluru itu. Kalaulah dia tidak mengangkat piring kaca berkenaan sedikit tinggi semata-mata untuk melihat ukiran pada permukaannya, pasti peluru tersebut sudah terkena pada dahi atau kepalanya. Suraya menjadi tertanya-tanya. Siapakah yang begitu berani memecah masuk ke dalam kawasan taklukan Anif? Setahunya, tiada yang berani berbuat demikian, termasuklah musuh ketat Anif sejak azali. "Piah, bawa Aya ke bilik! Dan jangan keluar dari sana sehingga diberitahu. Cepat!" Tercengang Piah dan Suraya melihat Anif yang tiba-tiba berdiri tegak di hadapan mereka bersama sepucuk pistol di tangan. Bukan keresahan pada wajah Anif yang mereka tumpukan, namun, penampilannya yang begitu segak dan hot pada mata mereka! Hampir tidak berkelip keduanya menyaksikan kesempurnaan makhluk tuhan yang terpaling seksi itu. Otot dada yang berketul-ketul, urat tangan yang tersembul keluar, bisep di lengan yang begitu menonjol...nikmat apa yang mampu mereka dustakan? "Piah! Cepat!" Terjaga dari mimpi, cepat-cepat Piah menelan air liurnya, sebelum menganggukkan kepala. Ikutkan, nak tengok lama-lama, tapi nyawa lagi penting sekarang ni. Buru-buru dia menarik lengan Suraya untuk segera berdiri. Wajah tegang milik Anif sempat Suraya lirik melalui ekor mata sewaktu melintasinya ke tingkat atas. Dia bimbang dengan keadaan pakcik-pakciknya. Adakah mereka semua berada dalam keadaan yang selamat? Kalau gerangan itu boleh masuk ke dalam kawasan Anif, pasti dia seorang yang sangat hebat. Jadi, kemampuannya tidak boleh dipandang remeh. Selepas lebih 1 jam terkurung di dalam bilik, akhirnya pintu bilik Suraya diketuk bertalu-talu dari luar. Piah melompat turun dari katil sebelum melangkah ke arah pintu. Pintu bilik dikuak perlahan. Bersambung... ~~~~~~~~~~~~~~~~~ Maaf saya berehat terlalu lama. Banyak urusan perlu di'settle'kan, jadi tkde masa nak mengarang, apatah lagi memikirkan idea utk menyambung chapter. Maaf sekali lagi kerana telah membuatkan kamu semua tertunggu2. Dan, terima kasih kerana sudi membaca karya2 saya setakat ini. Sayang kalian semua ketat2
Share this novel
lagi.