Bab 9

Short Story Series 56792

"Aya?!" Suraya meneruskan langkahnya tanpa menoleh ke belakang. Kaki sengaja dihayun laju. Hanya berbaki beberapa meter sahaja lagi sebelum dia sampai ke pintu pagar sekolah.

Kawasan sekolah pada ketika itu agak lenggang kerana rata-rata pelajar sudah pulang ke rumah. Yang tinggal, hanyalah pelajar Tingkatan 3 dan juga Tingkatan 5 yang mempunyai kelas tambahan.

"Aya tunggu!" Tiba-tiba, lengan Suraya disambar dari tepi lalu tubuhnya ditarik mendekat. Suraya terkedu.

"Ish, apa ni Yasin? Pegang-pegang saya! Lepaslah!". Marahnya. Dia cuba meleraikan genggaman Yasin pada lengannya, namun gagal. Suraya meringis kesakitan kala kuku jejaka itu menekan isi lengannya dengan kuat.

"Aya, please. Dengar dulu. Saya dah lama nak beritahu awak pasal benda ni." Rayunya. Mata sempat memerhati keadaan sekeliling. Bimbang ada yang ternampak perbuatannya.

"Tak payah beritahu apa-apalah Yasin. Saya dah tahu semua tu. Sekarang ni, tolong lepaskan saya. Saya nak balik." Katanya dengan tegas. Dia masih meronta supaya Yasin melepaskan lengannya.

"Please Aya... 10 minit je. Tak lama." Suraya menggigit bibir bawah. Dia menoleh sekilas ke arah pintu pagar yang masih sunyi. Mana uncle ni? Tubir matanya mula basah.

"Lepaslah Yasin!" Suraya menumbuk kasar tangan Yasin yang sedang mencengkam lengannya. Geram dengan perangai jejaka itu yang masih tidak faham bahasa.

Dia dihantar ke sekolah untuk belajar, bukan untuk bercinta. Suraya masih ingat, betapa susahnya Ezra dan Azri lalui sewaktu ingin mendaftarnya ke sekolah kerana dia tidak mempunyai surat beranak seperti pelajar lain.

Barulah Suraya tahu bahawa, dia hanyalah sekadar anak angkat yang dijaga oleh Ezra dan Azri. Dan dia, bersyukur kerana mempunyai lelaki-lelaki itu dalam hidupnya.

Tidak pernah walau sekalipun, dia berasa sedih atau terkilan kerana tidak mempunyai ibu dan bapa seperti rakan-rakannya yang lain. Kerana lelaki-lelaki itu selalu memenuhi hari-harinya dengan kebahagiaan.

"Aya!" Serentak kepala Yasin dan Suraya berpaling ke arah seorang pelajar perempuan yang sedang menghampiri mereka dengan laju. Lengan baju disingsing sehingga siku.

Gaya jalan dah serupa gangster jalanan baru nak up! Bukan main mata sepet itu mencerlung tajam wajah pucat Yasin yang kelihatan sangat terkejut dengan kehadirannya di situ.

Beg sekolah yang digalas ditanggal lalu dilemparkan ke atas tanah. Belakang kolar baju Yasin dicekak lalu ditarik sehingga menjauh dari Suraya. Cengkaman pada lengan Suraya turut sama terlepas.

Terhuyung-hayang Yasin cuba mengimbangi diri kerana impak tolakan daripada Azara Syamimi. Gadis kacukan Melayu dan mamak. Cuma, yang peliknya, bentuk matanya yang agak sepet seperti orang Cina.

"Apa masalah kau ni Yasin?! Tak dak kerja lain kah? Yang duk pegang-pegang anak dara orang tu dah kenapa? Gersang sangat?" Berdesing gegendang telinga Suraya kerana kata-kata Azara yang agak 'lucah' itu. Azara kalau sudah naik angin, entah apa-apa ayat yang keluar dari mulutnya.

"Le...lepaskan aku Zara. Sakitlah bodoh!" Tempik Yasin. Kolar baju yang sedang dicekak oleh Azara cuba dileraikan namun, Azara malah menguatkan cengkamannya.

"Oh...sakit? Yang kau pegang lengan Aya tu kuat-kuat, dia tak rasa sakit kah? Ni aku nak tanya, kau takdak benda lainkah nak buat dalam sekolah?" Atas bawah Yasin dijeling tajam. Kurus kering macam ni pun ada hati nak paksa anak dara orang.

"Aku...aku minta maaf." Kepala tertunduk malu. Suraya hanya memerhati tanpa bersuara. Ada eloknya juga Si Azara ni muncul. Kalau tak, pasti dia terpaksa bergelut dengan mamat sewel tu sampai sekarang.

"Banyaklah kau punya maaf. Kau ingat aku tak tahu perangai miang kau dekat sekolah? Tukar girlfriend macam tukar baju. Hajar tu kau nak tarok celah mana? Mina tu, budak kelas 2 Cerdas, yang tergila-gilakan kau sangat tu, kau dah campak dalam sungai kah?" Sindirnya lagi. Menggelegak tengok muka sayu Yasin. Memang mintak penampar!

"Kenapa ni?" Tiba-tiba, dua orang lelaki menghampiri mereka bertiga. Suraya membatu di tempatnya. Memandang wajah Ezra dan Azri tanpa berkelip. Habislah!

"Uncle Zera, Uncle Zeri..." Lidah Suraya menjadi kelu. Tanpa sedar, bibir Azara menyungging senyuman lebar kala melihat Ezra yang sedang memandang ke arah Suraya.

Serta merta cengkaman pada kolar Yasin terlepas. Kedua belah tangan dibawa menongkat dagu. Keindahan ciptaan tuhan ditatap penuh khusyuk. Ya Allah, jodoh siapalah ni? Mula hanyut dalam angan-angan ciptaan sendiri.

"Apa yang jadi tadi? Kenapa korang nampak tegang je?" Soal Ezra lalu mendekati Suraya yang kelihatan teragak-agak untuk menjawab. Dia bimbang Yasin akan dimarahi oleh kedua lelaki itu.

"Tak...err. Tadi...tadi Aya..." Kehilangan diksi. Dia menoleh ke arah Azara, meminta pertolongan daripada kawan baiknya itu. Namun, hampeh! Minah tu tengah berangan.

"Kenapa ni Aya? Kau orang bergaduh ke?" Kali ini Azri bersuara, lebih tegas berbanding Ezra. Dia memandang wajah Suraya, Yasin dan Azara silih ganti. Pelik pula dia tengok Azara yang sedang tersengih-sengih sendiri.

"Aya...tadi nak balik. Lepas tu, Yasin panggil Aya. Katanya nak tanya pasal kerja sekolah semalam." Bohongnya. Jemari meramas baju kurung sekolahnya.

"Jadi, kenapa Si Azara ni pegang-pegang kolar baju budak tu? Uncle tengok, macam tengah bergaduh aje?" Teka Ezra. Suraya lantas memejam erat kelopak matanya.

"Azara? Azara?!" Ezra melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Azara. Berangan apa budak ni...

"Ha, ya...ya?" Sedar pun.

"Kenapa kamu tarik kolar baju Yasin tadi? Korang bergaduh ke?" Tergeleng kepala Ezra. Apa kena dengan budak sorang ni?

Ketika itu, Azara melirik sekilas ke arah Suraya yang sedang memberikan isyarat mata kepadanya.

"Eh tak! Tadi Azara nak buangkan labah-labah yang ada dekat kolar baju Yasin. Tapi, Si Yasin ni tak nak. Dia kata Azara sengaja nak sentuh-sentuh dia." Jawabnya penuh yakin. Bukan main mereka ayat sendiri. Suraya menarik nafas lega. Begitu juga dengan Yasin.

"Betul ke ni Yasin?" Yasin menelan air liurnya sebelum menganggukkan kepala. Mengiyakan kata-kata Suraya dan Azara.

"Baiklah kalau macam tu. Aya, jom balik." Kata Azri sebelum melangkah keluar dari pintu pagar sekolah. Laju betul lelaki itu berjalan.

"Err, Encik Ezra?" Lantas, Ezra berhenti melangkah lalu merapati Azara yang memanggil namanya tadi.

"Panggil uncle je." Ujar lelaki itu dengan mesra. Dia kenal Azara kerana Suraya sering bercerita tentang gadis itu kepada mereka.

"Eh, takpe! Saya panggil Encik je." Jawabnya sebelum tersengih.

"Ada apa panggil saya tadi?" Berkerut dahi Ezra.

"Ermm, sa...saya sebenarnya nak tanya sesuatu. Tapi, Encik jangan marah ya?"

"Tanya apa?" Semakin berkerut wajah Ezra.

"Encik Ezra ni, dah ada girlfriend ke?" Terletus tawa Ezra mendengar soalan Azara. Kepala digeleng beberapa kali.

"Takde Azara. Kenapa, awak nak carikan saya calon ke? Boleh jugak." Azara tersenyum kambing. Ada peluang nampaknya.

"Ezra! Cepatlah!" Laung Azri dari kereta.

"Baiklah. Saya mintak diri dulu ya? Hati-hati balik. Siapa yang ambik nanti?" Soalnya dengan prihatin. Yasin sudah hilang entah ke mana. Risau juga nak tinggalkan Azara seorang diri di sekolah yang sunyi.

"Mak. Mak datang ambik kejap lagi." Jawabnya dengan sopan. Rasa macam ada rama-rama berterbangan dalam perut kala Ezra senyum manis padanya.

"Oh...okay. Saya mintak diri dulu ya. Assalammualaikkum." Azara perhatikan Ezra yang sudah masuk ke dalam kereta. Senyumannya terus mati kala guruh mula berdentum kuat.

"Ya...nak baliklah ni!" Rungutnya sebelum berlari mendapatkan beg sekolahnya yang terdampar di atas tanah.

"Ezra dan Azara. Sepadan giler wei!" Muka ditutup dengan tapak tangan. Malunya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience