Bab 13

Short Story Series 56680

Sambungan daripada Bab 11.

"Mana kawan kamu?" Akhirnya, terluah juga soalan itu.

"Kawan? Kawan yang mana satu?" Suraya menarik tali pinggang keledar sebelum menoleh sekilas ke arah Ezra di sebelah.

"Zara?" Balas Ezra lambat-lambat.

"Oh...dia dah balik tengah hari tadi." Jawab Suraya dengan perlahan.

"Kenapa balik awal sangat?" Ezra menjadi penasaran. Wajah sugul milik Suraya ditatap dalam. Jarang sekali Azara pulang awal ke rumah. Pasti ada yang tidak kena dengan gadis itu.

Suraya melepaskan keluhan sebelum toleh ke arah Ezra. Matanya juga berkaca-kaca, menunggu masa untuk menitiskan air mata.

"Takpe, saya okay Encik Ezra. Cuma, kesian dekat Zara jelah, kena jaga saya buat beberapa hari ni. Esok mungkin dia tidak dapat pergi ke sekolah." Terang Junaidah sebelum tersenyum tipis kepada Ezra dan Suraya.

"Kalau Puan nak minta bantuan apa-apa, boleh call saya melalui nombor ni." Ezra mengeluarkan sekeping kad yang tertera nama serta nombor telefonnya lalu kad itu diserahkan kepada Junaidah. Wanita itu mengambil kad tersebut sebelum mengangguk kecil.

"Terima kasihlah, sudi jenguk saya dan Zara." Suraya lantas mencapai kedua belah tangan Junaidah sebelum mengelusnya dengan lembut.

"Cik Ju, jangan risau okay. Kalau ada apa-apa, Aya boleh tolong Zara. Err, Zara mana Cik Ju? Cirit-birit dia dah okay ke?" Soal Suraya sebelum mengerling sekilas ke arah pintu bilik Azara yang tertutup rapat. Pasti kawannya sedang berehat.

"Dia dah telan pil herba dari kedai runcit tu. Rasanya dah okay. Tulah, semalam makan sambal sotong banyak sangat. Dahlah pedas. Mak, Cik Ju buatkan, lepastu hantar ke sini." Jelas Junaidah sebelum tertawa kecil. Geli hati dengan perangai anak tunggalnya yang macam-macam ragam dan keletah. Hanya Azara satu-satunya harta yang dia ada selain rumah peninggalan arwah suaminya.

"Oh...patutlah. Tadi, masa dekat sekolah dia tak duduk sebelah Aya. Aya ingatkan dia merajuk." Balas Suraya dengan sedih. Dia memang tidak boleh berenggang dengan Azara. Mereka memang akrab sejak Darjah 1 lagi. Pergi ke mana-mana pun, mesti kena sekali.

"Dia malu kut. Dia kata, takut terberak dalam seluar. Tu yang dia duduk jauh dekat belakang kelas." Suraya dan Junaidah terkekek mengetawakan Azara. Sementara Ezra pula menjadi pemerhati. Matanya tertumpu pada sekeping gambar yang tergantung pada dinding rumah Junaidah. Itukah arwah suaminya dulu? Kacak dan boleh tahan segak orangnya.

"Alahai, mak aku ni pun! Ada ke patut gi bocorkan rahsia dekat depan Encik Ezra. Mana aku nak letak muka ni nanti? Sia-sia je aku cerita dekat dia tadi..." Rungut Azara dari sebalik pintu biliknya.

Tadi dia terjaga dari tidur kerana terdengar suara Suraya di ruang tamu. Baru sahaja dia ingin melangkah keluar dan menemui teman baiknya itu, tiba-tiba dia terdengar suara Ezra yang turut sama berbual bersama Junaidah. Terus rasa malu menyerbu dalam sanubari. Jadinya, Azara tidak keluar dari bilik.

Sekitar tengah hari, dia bergegas pulang ke rumah bersama pak cik saudaranya selepas mendapat tahu tentang kecederaan Junaidah. Sampai sahaja di muka pintu, hatinya hancur lebur melihat keadaan buku lali ibunya yang berbalut.

Beberapa orang saudara mara turut berada di rumah mereka ketika itu. Jadi, dia terpaksa menahan tangisannya yang hampir meledak.

Sejak kematian bapanya, Junaidah terpaksa berkorban banyak perkara demi membesarkan Azara seorang diri. Bergelar ibu tunggal di usia yang muda, bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi, ketika itu Junaidah baru sahaja berusia 19 tahun.

Junaidah pada awalnya, menolak bulat-bulat pinangan keluarga Azmi kerana pada waktu itu, dia mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Keputusan SPM yang cemerlang membuatkan Junaidah bersemangat ingin berhijrah ke kota dan menyambung Diploma.

Namun, arwah bapanya tidak membenarkan. Katanya, sudah sampai masa Junaidah mendirikan rumah tangga dan menguruskan kerja-kerja rumah. Hanya tuhan saja yang tahu betapa sakitnya hati Junaidah pada saat itu.

Kerana tidak mahu menderhaka kepada ibu bapa, Junaidah dengan berat hati menerima pinangan Azmi. Tanpa rasa cinta, dia bernikah dengan jejaka pilihan keluarganya. Selang beberapa minggu kemudian, Junaidah disahkan hamil.

Seiring berlalunya waktu, Junaidah cuba berdamai dengan takdir dan menerima Azmi sebagai jodohnya dengan ikhlas, walaupun jejaka itu mempunyai banyak kelemahan.

Tapi, demi meraih cinta Junaidah, Azmi sanggup melakukan apa sahaja supaya Junaidah terbuka hati untuk menerimanya.

Berkat daripada usaha dan doa, akhirnya berputik juga cinta antara mereka berdua. Namun, takdir seakan mencemburui kebahagiaan pasangan itu. Ketika usia kandungan Junaidah mencecah 8 bulan, Azmi pergi buat selamanya kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Berkali-kali orang sekeliling Junaidah memujuknya untuk berkahwin buat kali kedua, kerana waktu itu, dia baru sahaja berusia 18 tahun. Namun, dia tidak mampu menyerahkan hatinya kepada mana-mana lelaki lagi selepas perginya Azmi.

Seluruh jiwa dan raganya dikuasai kenangan bersama Azmi. Berbekalkan doa dan sokongan keluarga, Junaidah berjaya membesarkan Azara sebagai seorang ibu tunggal.

Ketika Azara berumur 3 tahun, Junaidah memutuskan untuk kembali tinggal di rumah peninggalan arwah. Dia tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa.

Dia yakin, dia mampu pikul tanggungjawab yang berat ini. Membesarkan seorang anak perempuan sebagai ibu tunggal, bukanlah satu tugas yang mudah.

Setiap hari, selepas menghantar Azara ke sekolah, dia akan berasa gelisah memikirkan soal keselamatan Azara. Hanya Azara satu-satunya anak yang dia punya. Dan, Junaidah sanggup berbuat apa sahaja, demi kebahagiaan anaknya.

"Hari pun dah senja ni, kami minta diri dululah Cik Ju." Ujar Suraya. Junaidah menganggukkan kepala sebelum mengusap bahu Suraya dengan lembut.

"Baiklah. Hati-hati ya. Terima kasih datang melawat Cik Ju." Suraya mengukir senyuman sebelum menyalam tangan Junaidah.

"Uncle, jom." Ezra masih kaku di tempat duduknya. Seakan tenggelam dalam fikiran sendiri.

"Encik Ezra?" Panggil Junaidah pula.

"Ha, ya...ya? Oh, ma...maaf. Saya tak dengar tadi. Apa dia Aya?" Soalnya dengan polos.

"Uncle ni, termenungkan apa sampai tak dengar apa yang Aya cakap tadi?" Ujar Suraya sebelum menggelengkan kepalanya. Sejak akhir-akhir ini, lelaki itu sering mengelamun.

Ezra tersenyum sumbing sebelum berdiri. Dia mengeluarkan beberapa helaian not RM50 lalu menyerahkannya kepada Junaidah.

"Eh, apa ni Encik Ezra?! Tak payahlah. Susah-susah je." Tolak Junaidah, serba salah.

"Ambil je Cik Ju. Kami ikhlas." Balas Suraya.

"Buat belanja sementara Puan cuti ni. Ambil lah, saya ikhlas." Lambat-lambat, Junaidah menerima huluran Ezra.

"Terima kasih banyak Encik Ezra, Aya. Cik Ju, tak tahu nak cakap macam mana lagi dah. Semoga tuhan melancarkan rezeki kamu berdua." Ezra dan Suraya membalasnya dengan senyuman sebelum meminta diri untuk pulang.

"Haih, baik benar calon suami aku ni. Tak sia-sia aku crush dekat Encik Ezra..." Azara memeluk erat bantal tidurnya ke dada. Berbunga-bunga sekeping hati kala Ezra mengambil berat tentang mereka. Makin bertambah sayangnya pada Ezra.

"Zara! Pergi mandi, kejap lagi nak Maghrib." Laung Junaidah dari ruang tamu. Azara terpinga-pinga sebentar.

"Ish, mak aku ni pun, masa orang nak feeling-feeling lah, dia kacau." Gerutunya dengan sebal. Dia segera turun dari katil lalu mencapai tuala yang tersidai di atas kerusi.

"Ya! Zara nak mandilah ni!" Katanya dengan kuat sebelum berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience