Suraya mengundur setapak saat Anif semakin menghampiri. Batang mop di tangan digenggam erat, kononnya boleh dijadikan senjata andai lelaki itu buat hal. Tapi, lupakah dia yang sedang berdepan dengan bapak segala gangster? Anak tekaknya bergerak turun naik, menelan liur bila Anif melangkah setapak demi setapak ke arahnya.
Nafasnya makin sesak. Otak ligat melakar senario yang bukan-bukan. Bibir bawah digigit perlahan ketika Anif kini berdiri tegak di hadapannya, merenung wajah pucat gadis itu tanpa sekelip.
“Sebelum ni, ada sesiapa ikut kau? Atau kau rasa macam ada orang perhati kau dari jauh?” soal Anif tiba-tiba.
Suraya termenung sejenak, cuba mengingat. Akhirnya, dia menggeleng perlahan. Setakat ini, tak pernah pula dia rasa begitu. Cuma, beberapa bulan lepas, waktu dia temankan Piah ke pasar, ada seorang lelaki berpakaian serba hitam, bertopi, terlanggar bahunya lalu meragut dompetnya. Tapi Suraya tak pernah lapor pada sesiapa, termasuk Ezra dan Azri, sebab dalam dompet tu cuma ada gambar lama mereka bertiga. Tiada wang, tiada juga dokumen penting.
“Kenapa uncle tanya macam tu?” soalnya dengan suara bergetar. Pelik benar dengan soalan tadi. Jangan-jangan, ada musuh Anif yang ingin jadikan dia sebagai umpan?
Fikirannya melayang lagi ke insiden tembakan pagi itu yang hampir meragut nyawa. Bulu tengkuknya terus meremang.
Anif diam. Tidak menjawab. Cis, bedebah betul! Suka buat orang tertanya-tanya, rungut Suraya dalam hati.
Lelaki itu menuju ke almari pakaian, menarik keluar sehelai slack hitam. Dia bukan peminat jeans, apatah lagi yang berlubang sana sini macam digaru harimau lapar. Slack hitam itulah gaya tetapnya sejak dulu, senang bergerak, senang nak ‘mengajar’ orang.
Suraya masih terpaku di sisi meja solek. Pandangannya jatuh tepat pada Anif yang sedang mengangkat kaki, bersedia menyarung seluar. Mujur kain tuala masih melilit pinggangnya. Dia telan liur. Situasi ini… janggal sangat.
Aku nak buat apa sekarang ni? Keluar ke? Atau tunggu je?
“Sampai bila kau nak tercegat dekat situ? Keluar!” herdik Anif tiba-tiba.
Terkejut, Suraya terus capai bakul kain kotor dan bergegas keluar. Pintu bilik dihempas dari dalam. Suraya berdiri terpinga-pinga di luar.
“Takde adab langsunglah mamat ni,” gumamnya sebelum menuruni tangga ke bawah.
Mop dan vakum disimpan dalam stor. Bakul kain kotor dibawa ke bahagian belakang. Satu persatu pakaian dimasukkan ke dalam mesin basuh. Butang "On" ditekan, serbuk pencuci dah diletak siap-siap tadi.
Bunyi air mengalir ke dalam mesin basuh bergaung perlahan di ruang belakang. Suraya berdiri sejenak, merenung pusaran kain yang mula berpusing dalam dram. Fikiran masih kacau. Soalan Anif tadi terus berlegar dalam kepala. Ada orang perhati aku? Siapa? Kenapa?
Tangannya refleks menyentuh dada sendiri. Jantung masih laju. Dia menggeleng, cuba menenangkan diri.
“Chill, Suraya. Jangan overthinking,” bisiknya pada diri sendiri.
Tapi macam mana nak bertenang bila kau duduk serumah dengan lelaki misteri yang setenang batu nisan tapi penuh rahsia macam kubur tak bertanda?
Tiba-tiba, derap langkah dari ruang dapur menarik perhatiannya. Suraya cepat-cepat pusing.
“Suraya,” suara garau itu muncul lagi. Kali ini lebih perlahan, tapi cukup buat jantung dia gugur sikit.
Anif berdiri di ambang pintu, kini lengkap berpakaian. Masih slack hitam yang sama, tapi kemeja yang dipakainya berwarna biru gelap, digulung sedikit di lengan. Gaya preman korporat, kata orang.
Dia hulurkan sesuatu.
“Apa ni?” Suraya pandang bungkusan kecil dalam genggaman Anif.
“Pilih. Sama ada kau nak tahu apa yang aku tahu… atau kau nak terus pura-pura semua ni tak wujud.”
Suraya terkebil. Dahi berkerut. Tangannya teragak-agak nak ambil.
“Kalau Aya ambik, uncle janji tak libatkan Aya dalam benda pelik-pelik?” suaranya lirih.
Anif senyum senget. Senyum yang bukan jawapan. Tapi cukup buat darah Suraya naik ke muka.
“Cis... susah betul hidup dengan orang macam kau ni,” rungutnya perlahan dalam hati sambil menyambar bungkusan itu dari tangan lelaki itu.
Dia tak sedar, dari jauh, ada sepasang mata sedang memerhati dari celah pagar belakang rumah.
Dan bayang itu… adalah milik seseorang yang Suraya kenal.
Suraya menjeling bungkusan kecil di tangannya. Ringan. Tak berbunyi. Tak berbau.
Hatinya mula rasa tak sedap.
Dia melangkah ke tong sampah di hujung dapur, bersedia nak lempar benda tu tanpa banyak soal. Tapi separuh jalan, rasa ingin tahu tu kuat sangat. Dia bukak juga bungkusan tu… perlahan-lahan.
Isi dalamnya? Sehelai tisu terpakai dan sebiji gula-gula Hacks separuh cair yang dah melekat dengan cebisan plastik.
"Apa benda ni?!" jerit Suraya.
Dia terus pusing ke arah Anif yang sedang bersandar dekat pintu dapur dengan muka selamba badak.
“Ni ke benda penting sangat yang uncle bagi Aya tadi?!” matanya hampir berair, antara geram, malu dan rasa nak campak selipar.
Anif angkat bahu. “Kau yang pilih nak tahu apa aku tahu.”
“Uncle ni memang gila agaknya! Aya patut...”
Belum sempat habiskan ayat, kakinya pula terpijak air sabun yang meleleh dari mesin basuh. Lantai yang licin tak beri amaran pun, sekelip mata, badannya dah hilang imbangan.
“Ya Allah...”
Tapi sebelum sempat dia mencium jubin, sepasang tangan kasar tapi pantas menyambut tubuhnya.
Degup jantung dia bukan main lagi. Tapi bukan sebab nyaris jatuh.
Sebab Anif.
Dia tergolek separuh atas dada lelaki tu yang entah bila sempat berlari dari pintu dapur tu sampai ke sebelah dia. Lengan berurat tu masih kejap memegang pinggangnya. Nafas Suraya jadi tak tentu hala. Matanya bertembung dengan pandangan Anif yang... entah kenapa, kali ni tak nampak garang langsung.
Lebih... lembut. Dalam. Mencengkam. Macam ada sesuatu yang dia sendiri tak nak akui.
“Berapa kali aku nak cakap…” suara Anif perlahan, hampir berbisik dekat telinga Suraya. “Time buat kerja, tengok kiri, kanan, depan, belakang, atas bawah?"
Suraya terkedu. Jantungnya dah bukan degup biasa, ni macam irama kompang masa orang kahwin.
Tapi dia cepat-cepat tolak dada lelaki tu, berdiri tegak balik walaupun lututnya masih longgar.
“Uncle ni kan… annoying gila, tahu tak?!” bentaknya, separuh malu separuh bengang.
Anif senyum kecil. Bukan senyuman sinis yang biasa. Tapi senyuman... yang lain macam. Hangat. Macam dia tahu dia dah berjaya kacau jiwa Suraya cukup-cukup.
“Annoying pun... nampak macam kau suka..." katanya sambil berpaling, berlalu pergi ke ruang tamu.
Suraya pandang belakang lelaki tu. Tangan dia masih genggam bungkusan tisu dan Hacks separuh cair tu. Geram tu ada, tapi lebih kuat rasa pelik dalam dada sendiri.
Apa masalah jantung aku ni sebenarnya?
Nah, kita dah masuk versi romantik lepas bnyk bulan I tak update apa2...sorryyy
Share this novel