Bab 5

Short Story Series 56792

"Macam mana? Setuju ke dengan calon pilihan mama semalam?" Atas bawah penampilan anak lelakinya dilirik dengan tajam. Anif melepaskan satu keluhan berat sehingga menaikkan amarah Datin Fatimah. Berkerut seribu wajah tua wanita itu.

"Hei, yang mengeluh tanpa alasan ni dah kenapa? Mama suruh kamu kahwin aje, takkan tu pun susah? Mama dengan papa kamu tu, ada Anif seorang je sebagai penyambung legasi. Kalau kamu pun tak nak kahwin, macam mana keturunan kita ni nak berkembang? Yang kamu liat sangat nak terima calon pilihan mama ni kenapa? Atau Anif sebenarnya, tak suka pada perempuan? Taste kamu orang lelaki je?" Terbeliak kedua biji mata Anif mendengar tuduhan Datin Fatimah.

"Ma merepek apa ni?! Tuduh orang macam-macam. Anif masih normal. Bagilah Anif ni masa sikit. Hal kahwin ni bukan benda remeh, macam beli anak patung dekat kedai tu. Banyak prosesnya. Sekali tersilap pilih, musnah masa depan Anif nanti. Yang mama ni, paksa-paksa Anif kahwin cepat ni kenapa? Kalau kempunan sangat nak ada budak kecil dalam rumah, suruh je papa kahwin baru. Rasanya, mama boleh pinangkan calon mama tu untuk papa. Confirm papa nak. Tak sampai setahun kahwin, riuhlah nanti rumah ni dengan suara tangisan bayi macam yang mama nak selama ni." Semburnya tanpa memikirkan perasaan Datin Fatimah. Wanita itu menggigit bibir bawahnya. Tersentap kerana kata-kata itu.

"Sampai hati Anif kan, cakap macam tu dekat mama. Mama cuma nak yang terbaik je untuk kamu." Anif memutarkan bola mata ke atas. Dah mula dah! Dialog yang sama lagi.

"Nak yang terbaik macam mana, kalau selalu paksa Anif. Stress Anif kena fikir banyak hal. Pasal bisnes papa lagi, pasal syarikat Anif lagi, tanah-tanah dekat kampung tu pun Anif juga yang kena uruskan. Macam-macam benda Anif kena hadap." Bentaknya dengan nada yang keras. Biar ibunya sedar diri sikit. Ini bukan drama Akasia. Kahwin tanpa dasar cinta, lama-lama jatuh sayang dan live happily ever after. Ini realiti kehidupan. Sebelum berkahwin, lebih elok kalau dia tahu perangai dan kekurangan pasangannya. Jadi, selepas kahwin, tiadalah isu Tipah tertipu, atau masing-masing lari bersembunyi di rumah keluarga. Jenuh nak mencarinya nanti.

"Ikut kamulah Anif. Hidup kamu kan. Bukannya nak mendengar nasihat orang-orang tua macam kami ni. Ingat ya, esok lusa jangan menyesal pulak sebab jadi antertu." Anif memandang pelik wajah Datin Fatimah. Kurang faham dengan istilah yang terakhir itu.

"Antertu?" Soalnya dengan hairan.

"Anak teruna tua." Balas Datin Fatimah sebelum berlalu meninggalkan Anif di ruang tamu.

"Sentaplah tu. Selalu paksa orang. Tak fikir langsung pasal pros and cons hidup berumahtangga ni. Main ikut cakap je. Esok kalau jadi apa-apa, mulalah play victim." Tali leher dilonggarkan sebelum dia menyilangkan kakinya ke atas. Tubuh disandarkan pada dada sofa. Tangan direhatkan di atas kusyen.

"Hah, Anif. Mimpi apa kamu datang ke rumah papa?" Ni lagi seorang. Anif hanya mengerling lelaki itu melalui ekor matanya. Kaki lantas diturunkan sebelum dia membetulkan posisi duduk. Dato Azlan merapati tempat duduk Anif sebelum melabuhkan punggung di hadapan lelaki itu.

"Mama suruh datang. Bincang pasal kahwin." Jawabnya dengan malas. Dato Azlan mengangguk faham sebelum mengintai pintu dapur. Takut isterinya memasang telinga dari jauh.

"Jadi, macam mana? Kamu setuju ke nak memperisterikan anak Datin Maria tu?" Dato Azlan bertanya dengan nada yang perlahan. Bimbang didengari oleh Datin Fatimah. Melenting wanita itu nanti.

"Haih, entahlah papa. Anif tak suka hidup Anif ni ditentukan oleh orang lain, walaupun orang tu mama Anif. Biarlah Anif putuskan pasangan hidup Anif sendiri." Dato Azlan terdiam mendengarnya. Sebenarnya, dia juga setuju dengan kata-kata Anif. Zaman sudah berbeza. Dulu, walau berkahwin tanpa rasa cinta, tapi pasangan masih mampu bertahan sehingga ke anak cucu. Tapi sekarang, bercinta 10 tahun sekalipun, pasti akan menghadapi masalah sejurus selepas menikah. Itu jadi tak kena, ini jadi tak betul.

"Mama kamu kata apa?" Bukannya dia tidak kenal dengan sikap suka memaksa isterinya. Hanya dia sajalah yang betul.

"Entah. Dia okay ke, tak okay ke, Anif tak kisah. This is my future." Jawabnya dengan ringkas. Ikutkan dia malas mahu datang ke sini.

"Ikut kamulah. Papa bukan taknak masuk campur, tapi, kamu tahu sendirikan perangai mama kamu tu macam mana?" Anif mengangguk perlahan. Dato Azlan sebenarnya takut dimarahi isterinya. Wanita itu kalau mengamuk, kalah singa betina.

"It's okay. Anif boleh handle sendiri." Fikirannya mula berlayar jauh. Di manakah jodohnya berada? Mengapa susah sangat dia mahu terpikat dengan mana-mana gadis? Calon-calon yang dipilih oleh Datin Fatimah juga bukan calang-calang orangnya. Cantik, berpendidikan, elegan, kaya dan mempunyai status sendiri dalam karier masing-masing. Tapi, masih saja Anif merasakan kekurangan di situ. Seperti ada yang tidak kena pada mereka semua.

"Tak bawak Suraya sekali? Papa rindu cucu papa." Anif menggelengkan kepala. Rimas apabila disoal tentang budak itu.

"Tak. Buat pening kepala je." Terletus tawa Dato Azlan. Geli hati dengan reaksi anaknya.

"Yang kamu ni, benci sangat dengan Suraya kenapa? Kesian dia..."

"I just hate kids. Menyakitkan hati dan memeningkan kepala." Dengusnya.

"Jangan terlalu berkasar dengan Aya, Anif. She's just a kid. Papa dengar, kamu ada tolong dia masuk ke sekolah ya?" Dia tahu melalui Azri. Lelaki itu pagi-pagi lagi sudah menghantar gambar Suraya yang lengkap beruniform sekolah ke aplikasi Whatsappnya.

"Hmm..."

"Baguslah kalau macam tu." Susah mahu memancing minat Anif untuk berbual. Sejak dari kecil lagi, Anif seorang yang pendiam. Bersuara bila perlu sahaja. Sejurus selepas tamat peperiksaan SPM, lelaki itu sudah keluar dari rumah dan tinggal seorang diri di banglo peninggalan arwah neneknya, Datin Fauziah.

Walau dihalang berkali-kali oleh Fatimah, lelaki itu masih berkeras ingin hidup berdikari di usia yang sangat muda itu. Akhirnya, dia dan Fatimah terpaksa melepaskan Anif pergi dengan hati yang berat.

"Anif balik dulu. Ada hal sikit. Nanti beritahu mama." Seusai berpesan kepada Dato Azlan, Anif meluru keluar dari rumah keluarganya. Ada tugas yang perlu dia selesaikan.

"Anif!" Panggil Azlan tiba-tiba, membuatkan Anif menghentikan langkahnya lalu berpusing ke belakang.

"Hati-hati. Pihak musuh sentiasa memerhatikan pergerakan kita." Anif mengangguk faham sebelum masuk ke dalam keretanya lalu meninggalkan perkarangan banglo milik Azlan.

"Cis, tak guna kau Johan! Takpe, kali ni kau terlepas. But next time, I will make sure, kau jatuh tersungkur. Just wait and see!" Stereng kereta dihentak kuat beberapa kali. Telefon bimbit dikeluarkan sebelum nombor Azri didail.

"Hah, hello. Suruh orang-orang kita berkumpul." Talian diputuskan lalu peranti canggih itu dicampakkan ke tempat duduk di sebelah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience