Series
71995
Majlis pernikahan antara Suraya dan Anif diadakan secara sederhana. Tiada pelamin indah mahupun lagu romantik yang mendayu-dayu.
Yang hadir rata-rata lelaki bersenjata yang berpakaian baju Melayu. Ibu dan bapa Anif juga turut hadir memeriahkan majlis yang sudah kelihatan seperti perjumpaan ahli-ahli kongsi gelap. Tergeleng kepala mereka berdua. Ini nak kahwin ke nak berperang?
Makanan seratus peratus air tangan Piah dan Azri. Merewang mereka berdua tengah-tengah malam untuk majlis pagi itu. Anif tidak mahu mengambil katering dari mana-mana. Risau diracun oleh pihak musuh katanya. Cis! Padahal kedekut. Dasar tangkai jering. Kutuk Kamil sewaktu menjadi tukang kacau air.
Ezra pula menjadi jurucakap majlis sementara Dinas memegang jawatan DJ tidak diiktiraf. Kerjanya tidak lain tidak bukan pasang lagu kahwin dari YouTube yang sumbang tempo. Setiap kali iklan mencelah, dialah menjadi mangsa makian lelaki-lelaki gagah yang lain. Sudah dipesan berkali-kali, belilah Youtube Premium supaya tiada gangguan berlaku sewaktu lagu dipasang, tetapi sama degil macam Anif. Alasannya tidak mahu membazir untuk sekali guna.
Dari sudut lain, Dato Azlan dan Datin Fatimah kelihatan muram sejak dari mula mereka jejak kaki ke majlis pernikahan anak lelaki mereka. Masing-masing tidak yakin dengan keputusan Anif yang kadang kala memang tidak masuk akal. Dibela dari kecil, lalu dinikahi? Bukankah ianya sama seperti bela kambing, dah besar dikorbankan lalu dimasak gulai?
Dan di tengah-tengah kekecohan itu, Anif duduk membatu di atas pelamin. Bajunya segak, baju Melayu biru kelasi, rambut pula disikat kemas tapi mukanya seperti baru lepas berpantang anak kedua. Tiada seri dan nampak kusut.
Suraya pula duduk di sebelah Anif. Tudung satin lembut menjadi pilihan dan wajahnya dirias sederhana oleh Piah. Ya, dialah tukang masak, dia jugalah mak andam.
“Masih sempat kalau kau nak lari Aya...” Bisik Azara yang sedang berdiri di sebelah Suraya. Manusia seterusnya yang tidak bersenjata di majlis itu selepas Dato Azlan dan Datin Fatimah. Awal-awal pagi dia menerima panggilan untuk menjadi pengapit. Ingatkan Azri yang nak kahwin, rupanya Suraya. Terkejut bukan main sampai jatuh katil. Sedikitpun dia tidak setuju dengan pilihan teman baiknya itu. Anif memang kacak, kaya dan berpengaruh, tapi...haih.
Suraya tarik nafas dalam. “Kalau aku lari, musuh Uncle akan kejar aku. Kalau aku kahwin, aku kena tidur sekatil dengan lelaki yang bela aku dari kecil...lelaki yang aku gelar sebagai uncle...Kalau kau, kau pilih yang mana?” Bisiknya pula. Anif di sebelah cuba pasang telinga. Curi-curi mendengar perbualan rahsia antara dua gadis itu namun tidak berjaya. Suara mereka terlalu perlahan.
Azara gelak kecil. “Susah pilihan tu.” Suraya menjeling geram. Gelak pulak!
Beberapa minit kemudian, akad nikah pun bermula. Tok kadi dipanggil khas oleh Azri, dibayar tunai dan disuruh pejam sebelah mata tentang semua situasi pelik yang sedang berlaku. Terketar-ketar orang tua itu berjabat tangan dengan Anif. First time dapat job dengan ahli kongsi gelap.
“Muhammad Anif Bin Azlan, aku nikahkan dikau dengan Suraya Binti Abdullah, dengan mas kahwinnya RM300 tunai..." Suara tok kadi tenang menyebut sebaris ayat itu. Mana mungkin tidak tenang? Ada berbagai aneka senjata menjadi pameran percuma. Salah sebut, tukar alam jawabnya.
Anif angkat kening. Tangan genggam lutut sendiri kuat-kuat. Ezra ada pesan semalam. Jangan gagap lafazkan akad esok. Rakaman akan dihantar kepada orang-orang tertentu. Jadi, dia kena steady supaya Johan tahu bahawa Anif bukan calang-calang.
“Aku terima nikahnya Suraya Binti Abdullah dengan mas kahwinnya RM300 tunai.”
"Sah." Sahut kesemua di situ.
Sekelip mata, Suraya menjadi isteri kepada lelaki berhati kering itu. Dan sejujurnya, dia nak sangat masuk bawah meja sekarang.
Tepukan kecil dari Azri dan Ezra bergema, tak semeriah mana pun sebab semua orang tahu, ini bukan perkahwinan atas dasar cinta. Ini perkahwinan strategi. Perkahwinan ‘gila’. Tapi tetap sah.
Suraya berpaling ke sebelah sewaktu Anif hendak menyarungkan cincin. Apabila matanya bertemu mata Anif, dada dia seakan diremuk. Tiada senyuman. Tiada seri. Tiada keikhlasan pada wajah tampan itu. Hanya pandangan kosong dan anggukan kecil setelah siap menyarungkan cincin ke jari manisnya.
Dia tunduk. Rasa macam baru saja tandatangan kontrak dengan mafia.
Malam itu, Suraya duduk di hujung katil sambil menatap kain cadar putih yang belum dikedutkan. Anif masuk ke dalam bilik lalu membuka butang baju Melayu satu persatu, sebelum meletakkan pistolnya di tepi almari.
“Uncle…”
Suraya berhenti. Rasa pelik apabila dia sendiri masih panggil lelaki itu ‘Uncle’ walaupun kini… Anif sudah bergelar suaminya.
Anif jeling sikit. “Apa?" Soalnya dengan kasar.
Suraya terkedu. Suasana jadi sangat canggung antara mereka. Serius, kalau ada kamera tersembunyi dalam bilik itu, boleh buat reality show 'Perkahwinan Paling Janggal Abad Ini'.
Anif melabuhkan punggung di atas kerusi berhampiran tingkap. Angin malam masuk perlahan, menolak langsir nipis ke sisi. “Aku takkan sentuh kau. Jangan risau.”
Suraya angguk. Dia tak tahu nak rasa apa ketika itu. Yang pasti, dia lega.
“Katil tu kau punya. Aku akan tidur di atas sofa.” Ujarnya sebelum berdiri ingin beredar dari situ. Mahu lepak di bilik bawah tanah.
“Takpe..." Celah Suraya. "Aya akan kembali ke bilik lama. Uncle tidur je dekat sini."
Anif angkat kepala. Mata mereka bertemu. Lama. Dia menggeleng, tanda tidak bersetuju dengan cadangan itu.
“Tak boleh. Kau kena tidur di sini jugak. Kalau orang-orang tu datang semula, susah.” Suraya terdiam. Terpaksa akur demi keselamatan diri walau tidak selesa berkongsi bilik dengan lelaki itu.
Suraya senyum nipis. “Okay uncle."
Anif mengeluh. Ada ruang sunyi antara mereka berdua. Janggal. Sempit.
“Sampai bila kita kena jadi macam ni?” Tanya Suraya lagi.
“Tak tahu.” Suaranya berat. “Sampai Johan kalah.”
Suraya hela nafas. “Lepas tu, Uncle akan ceraikan Aya?”
Anif tidak menjawab. Itu sudah cukup buat pertanyaan Suraya.
Malam yang sama, berita tentang perkahwinan mereka tersebar ke dunia gelap.
Dan Johan?
Lelaki itu menumbuk kuat meja kerjanya sebaik saja gambar perkahwinan Anif dan Suraya ditunjukkan oleh salah seorang anak buahnya.
"Aku akan hancurkan kau, Anif!"
Saya update balik chapter lama...saya terpaksa edit sebab yg lama mcm tk kena sgt...hehehe
Share this novel