Terjengul kepala Piah dari dalam. Wanita itu langsung melebarkan senyumannya kala wajah-wajah yang dinantikan mereka sejak tadi menyapa pandangan mata. Syukur lelaki-lelaki itu masih berada dalam keadaan yang baik.
"Korang! Masuk, masuk." Piah segera berundur ke tepi, memberikan laluan kepada mereka untuk masuk ke dalam. Pintu dibiar terkuak luas.
Azri dan Ezra lantas mengambil tempat di sebelah Suraya. Rambut gadis itu dielus perlahan.
Azri dan Ezra terpaksa menyertai Anif dan yang lain untuk menyerang serta mencari identiti penceroboh yang berani masuk ke dalam kawasan Anif. Mereka benar-benar terkejut ketika bunyi tembakan tiba-tiba sahaja bergema di seluruh kejiranan itu. Ini pertama kali, pihak musuh berani menjejakkan kaki ke dalam kediaman Anif.
Selepas mendapat berita tentang Suraya yang hampir-hampir menjadi mangsa tembakan, Azri dan Ezra bergegas ke tempat kejadian. Tapi, malangnya, penceroboh licik itu berjaya melarikan diri tanpa mereka kenal pasti identiti sebenarnya.
Azri masih hairan. Siapakah di antara musuh mereka yang begitu berani menyerang kawasan mereka. Keliling rumah Anif dilengkapi dengan sistem kawalan keselamatan yang cekap, dan anak-anak buah lelaki itu juga sentiasa memantau keadaan di luar rumah pada setiap masa. Bukan sahaja manusia, kucing pun susah nak masuk ke dalam kawasan ini sesuka hati.
Apa-apa pun, Azri yakin, gerangan itu bukan calang-calang orang yang boleh mereka pandang rendah. Siapapun itu, dia memang seorang yang sangat berani kerana sanggup berhadapan dengan Anif.
"Uncle." Suraya mengeratkan pelukannya pada pinggang Ezra. Dia hampir saja keluar dari bilik untuk mencari mereka berdua, namun dilarang keras oleh Piah. Suraya bimbang terjadi apa-apa yang tidak diingini pada Ezra dan Azri. Hanya mereka satu-satunya ahli keluarga yang dia ada sekarang. Dan, dia tidak rela kehilangan mereka walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Kamu okay? Maaf uncle lambat." Luah Azri sebelum menarik tubuh Suraya ke dalam pelukannya pula. Gadis itu membiarkan Azri menepuk lembut belakang badannya. Dia berasa lebih tenang dan selamat bersama mereka.
"Aya okay. Aya risaukan Uncle Zera dengan Uncle Zeri. Uncle Anif mana?" Pelukan pada tubuh Azri terlerai. Matanya mencari Anif.
"Uncle Anif kamu ada di bilik bawah. Tengah bagi arahan pada yang lain." Jelas Ezra. Azri lantas mengganggukkan kepala, mengiyakan penjelasan Ezra.
"Aya dengan Kak Piah risau tadi." Piah menyeka air matanya dengan hujung jari. Mungkinkah, gerangan itu akan kembali lagi ke sini nanti? Esok, giliran dia pula untuk mencuci piring. Harap-haraplah, Anif sempat memperketatkan sistem keselamatan di sekeliling rumah ini sebelum hari esok. Usianya masih terlalu muda untuk mati ditembak. Dia takut.
"Basuh pinggan kotor pun berjam-jam! Apa yang kau terhegehkan sangat tadi?! Nasib kau baik hari ni. Kalau tak, dah lama peluru tu dah tembus dalam kepala engkau!" Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja suara Anif bergema di dalam bilik itu. Semua yang berada di situ langsung terperanjat.
Suraya menelan air liurnya. Sedikit kesal dengan sikap Anif. Apa sahaja yang dia lakukan, selalu saja nampak salah pada pandangan lelaki itu.
"Aya hanya tolong Kak Piah cuci piring-piring kotor. Bukan niat Aya nak berlewa-lewa dekat dapur, tapi jumlah piring kotor terlalu banyak. Itu yang Aya lambat sikit." Jelasnya sambil menunduk ke bawah. Mengelak dari menentang tatapan bengis Anif. Piah lantas mengganggukkan kepala, mengiyakan kata-kata Suraya.
"Kau ke mana waktu tu Piah?!" Jantung Piah bagaikan direntap keluar dari tubuhnya ketika itu. Dia juga memilih untuk menekur lantai di bawah.
"Maaf tuan. Saya diperintahkan oleh Kamil untuk membersihkan bilik bawah tanah. Sebab tu saya minta tolong daripada Suraya untuk uruskan dapur." Jawabnya dengan jujur. Jelingan tajam Anif dilirik melalui ekor mata.
"Sama-sama lembab!" Bahu Suraya dan Piah sama-sama terhenjut kerana terkejut.
"Kita kena cari orang tu bos. Tidak mustahil dia akan kembali semula ke sini nanti." Pandangan Anif beralih pada Ezra. Suraya dan Piah menarik nafas lega. Kini, perhatian lelaki itu tertumpu pada Ezra dan Azri.
"CCTV rosak. Orang-orang kita tak boleh kesan bangsat tu." Anif mengepal penumbuk. Insiden yang berlaku sebentar tadi, pasti akan menjejaskan reputasi serta namanya pada mata musuh-musuh di luar sana.
"Pasti bukan calang-calang orang. Berani dia menjejakkan kaki ke dalam kawasan kita." Ujar Azri pula setelah sekian lama berdiam diri. Ezra menggangguk, menyetujui pendapat Azri. Sementara Anif, kekal membisu.
"Aku nak kauorang ketatkan kawalan di setiap sudut rumah. Jangan ada yang curi tulang. Apa pun yang berlaku, aku nak setan tu ditangkap hidup-hidup." Sebaik memberikan arahan, Anif beredar dari situ. Langkah besarnya kelihatan begitu tergesa-gesa. Pasti dia ingin pergi ke sesuatu tempat. Tapi mereka tidak pasti ke mana.
"Uncle turun dulu ya. Aya duduk dulu dalam bilik." Suraya terpaksa akur walaupun berat hati.
"Saya, boleh keluar ke?" Soal Piah takut-takut. Sebenarnya dia sedang lapar.
"Duduk dulu di sini bersama Aya. Jangan ke mana-mana." Wajah Piah langsung kelat. Begitu juga dengan Suraya. Nampaknya, mereka perlu terkurung di dalam bilik ini lagi.
"Aya, ambil sikit lauk-lauk tu. Takkan kamu nak makan dengan sayur kailan saja?" Kata Ezra. Suraya mengganggukkan kepalanya sebelum menghulurkan sudu ke arah mangkuk besar yang berisi sup ikan merah. Itu lauk kegemaran Suraya. Cuma, dia tidak berselera pada malam ini kerana insiden petang lalu.
TING!
Sudu mereka berlaga. Kesemua mata di situ tertumpu pada Anif dan Suraya. Anif tetap kelihatan beku dan dingin seperti biasa. Hanya Suraya yang sedikit terkejut.
Lelaki itu tidak berganjak sama sekali. Nampaknya, Suraya terpaksa mengalah lagi. Gadis itu menarik kembali sudunya sebelum mengambil lauk lain.
Ezra dan Azri hanya memandang tanpa suara. Suraya menyuapkan kembali makanannya ke dalam mulut tanpa mengendahkan pandangan orang-orang di situ.
Terik matahari mulai menyucuk kulit. Namun, dua gadis itu masih tekun melakukan tugas yang diberi.
"Kau gosok macam tu, sampai ke sudahlah tak hilang lumut dekat longkang tu Aya..." Rungut Azara dari jauh. Dari tadi dia memerhatikan Suraya.
"Penatlah Zara! Lenguh tangan aku ni." Adu Suraya. Berus sabut kelapa dilempar masuk ke dalam baldi. Dia bersandar pada dinding, cuba berehat.
Sejak pagi mereka membersihkan halaman rumah yang maha luas itu tanpa henti.
"Jap, aku mai sana." Azara menyarungkan selipar ke kakinya sebelum melangkah ke arah Suraya. Tugasnya sudah selesai. Deretan pasu bunga yang baru sahaja disusun ditatap sekilas. Boleh tahan kemas. Sekarang, dia akan membantu Suraya di sana.
"Eh, tak payah. Kau duduk je dekat sana. Aku nak settlekan longkang ni. Ini kan kerja aku, biar aku yang buat." Azara menarik muncung. Suka hatilah. Gadis itu melabuhkan punggungnya di atas bangku rehat.
Suraya menyambung semula kerja menyentalnya. Air sabun dicampurkan lagi sekali dengan cairan Clorox lalu disemburkan ke permukaan longkang yang berlumut. Berus sabut digosok berkali-kali sehingga kesan lumut dan karat mula luntur. Suraya tersenyum puas.
Namun, dia tidak sedar bahawa terdapat sisa air sabun yang masih menempel pada lantai. Suraya melangkah semula ke arah baldi untuk mengambil air sabun.
"Sikit lagi nak hilang kesan-kesan karat tu. Lepas ni, aku nak re...Mak!!!" Beberapa saat berlalu.
"Eh?" Dia berasa hairan. Mengapa badannya masih belum rebah ke atas tanah? Mata dicelik sedikit, cuba mengintai keadaan apabila bahunya seakan ditahan sesuatu.
Share this novel
nk lg..tlg la sambung lg
hahaha...kemuncak cerita..siapa agaknya yang selamatkan aya dari jatuh
lagi