Bab 28

Short Story Series 71995

Langkah Suraya ke dapur pagi itu terasa janggal. Dia masih mencuba untuk menyesuaikan diri dengan status sebagai seorang isteri di usia yang masih muda.

Banyak batasan yang perlu dia jaga dan tidak boleh terlepas pandang. Sekarang, dia tidak boleh sewenang-wenangnya bergurau atau bermanja dengan Ezra dan Azri yang terang-terang tiada pertalian darah mahupun apa-apa hubungan halal dengannya.

Peristiwa malam lalu kembali berlayar dalam ingatan Suraya.

"Uncle, wanginya... Masak apa tu?" Suraya berlari kecil lalu bersandar di almari dapur. Matanya tertumpu pada Azri yang sedang mengacau kuah dalam periuk. Bau kuah kacang itu memenuhi seluruh ruangan dapur sehinggakan ke ruang tamu. Azri memang jaguh memasak. Setakat ini, tiada yang mampu menandingi air tangan Azri di rumah ini termasuk Piah.

"Kuah kacang. Uncle Ezra dengan Kamal tengah bakar sate dekat luar. Kejap lagi kita makan sama-sama." Balas Azri sambil tersenyum nipis. Pandangannya sempat singgah pada jemari Suraya yang masih berinai merah.

Sukar dipercaya, anak kecil itu kini sudah bergelar isteri orang. Semasa akad berlangsung, dialah satu-satunya manusia yang menitiskan air mata. Bukan sebab gembira, tapi kerana simpati. Suraya dipaksa menikahi lelaki yang pernah menolak kehadirannya di rumah ini suatu ketika dahulu. Lelaki yang penuh misteri dan jarang menunjukkan rasa. Kejam dan dingin.

"Eh, Uncle... kenapa ni?" Suraya menghampiri Azri, ingin menyeka air mata yang mengalir di pipi lelaki itu.

"Ehem." Dehaman kuat dari belakang memeranjatkan mereka berdua.

Azri dan Suraya sama-sama kaku. Anif berdiri di muka pintu dapur sambil merenung tajam ke arah mereka berdua. Jarang sekali lelaki itu jejak kaki ke dapur. Buat air pun tidak pernah. Semua harapkan Piah dan Azri.

"Bos... kejap lagi kami hidang dinner." Kata Azri lalu kembali fokus pada masakannya.

"Kau buat apa dekat sini?" Soal Anif tiba-tiba. Nadanya dingin dan keras.

Suraya mengangkat wajah, cuba mencari nada Anif. "Tengok Uncle Azri masak..."

"Keluar. Pergi tunggu dekat depan," Arahnya dengan kasar. Azri dan Suraya terpempan. Apa salahnya kalau Suraya ingin berada lebih lama di sini? Bukannya dia mengganggu kerja Azri. Dia berniat ingin menolong lelaki itu sebentar tadi.

Suraya terpinga. "Tapi..."

"Aku cakap tunggu di depan. Sekarang kau dah jadi isteri aku. Kau tak boleh pegang dia lagi. Dia bukan mahram kau." Matanya tidak berganjak dari Suraya yang masih berdiri kaku di situ.

Azri menunduk, jelas terasa hati. Suraya menggigit bibir. Matanya berair. “Tapi dia jaga Aya sejak Aya kecil…”

"Dia bukan bapak kau." Pintas Anif. Suaranya lebih tenang kali ini, tapi penuh makna. "Kalau kau tak tahu beza antara sayang dan dosa, aku boleh ajar satu-satu." Dia memberi amaran. Entah kenapa kali ini dia berasa sangat panas hati dengan kemesraan Azri dan Suraya. Sebelum ini, mereka hendak berpeluk sakan ke, nak berguling atas jalan sekalipun dia tidak kisah.

Suraya berpaling lalu terus melangkah keluar dari dapur dengan dada yang sesak. Baru dua hari bergelar isteri, tapi sudah terasa seperti tawanan.

Suraya melabuhkan punggung di sofa ruang tamu. Tangannya meramas-ramas kain baju kurung yang dipakainya. Dia bukan sengaja. Dia tak bermaksud nak melanggar hukum. Tapi kenapa Anif perlu marah sampai begitu sekali pada Azri? Lelaki itu tidak bersalah.

Perlahan-lahan, air matanya mengalir. Bukan sebab takut, tapi sebab kecewa. Baru dua hari lepas, lelaki itu lafaz akad, kini suaranya sudah jadi keras seperti musuh. Masih tidak berubah. Dari dulu, sampai sekarang dia dilayan seperti tunggul yang tiada perasaan. Suraya tunduk, menahan tangis yang semakin menyesakkan dada.

Bunyi tapak kaki menghampiri membuatkan dia cepat-cepat menyeka air mata.

"Menangis?" Suara Anif kedengaran dari belakang. Tenang. Tapi masih tegang.

Suraya tidak menjawab.

Anif berdiri di hadapan Suraya. Dia lihat wajah gadis itu. Hidung dan pipinya sedikit merah.

"Kau tak boleh sentuh lelaki lain lepas ni..." Sebutnya perlahan.

Suraya mendongak, menatap wajah tegang Anif dalam keadaan mata yang masih basah. "Aya tahu. Tak perlu diingatkan berulang kali."

Anif menggenggam penumbuk. Ingin sahaja dia mencubit bibir yang baru melawan arahannya itu. Baru sahaja bergelar isteri, dah berani melawan kata.

"Tapi kau kena belajar. Mulai sekarang, kau bukan budak-budak lagi. Kau isteri aku. Kau kena tahu mana batas kau. Aku bukan suka-suka marah." Ujarnya lalu berpaling meninggalkan tempat itu. Suraya mengepal jemarinya. Rasa nak menjerit kuat, keluarkan rasa tidak puas hatinya pada Anif.

Suraya berdiri di hadapan cermin sambil memandang bayang dirinya dalam pakaian tidur yang longgar dan selesa.

Gaun ungu muda yang tersarung pada tubuh dipandang sekilas sebelum mata kembali meneliti wajah pada pantulan cermin meja solek. Malam makin larut dan kata-kata Anif tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.

Dia berdecit halus. Suraya masih tidak faham dengan perangai Anif. Kadang-kadang macam ais batu, beku dan dingin, kadang-kadang macam bara yang menyala dalam diam.

Sejak kecil, dia dibesarkan oleh Ezra dan Azri. Anif pula jarang ada. Kalau muncul pun, sekadar lalu di ruang tamu atau duduk di hujung meja makan dengan wajah serius dan suara ringkas. Tiada soalan peribadi, tiada perbualan panjang. Jadi, Suraya tidak pernah benar-benar mengenali lelaki itu. Dan kini, tanpa sempat bersedia, dia sudah bergelar isteri kepada lelaki yang selama ini wujud hanya sebagai bayang.

Sedang ralit melayan perasaan sendiri, tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar.

Jantungnya melonjak seketika. Sontak kepala berpusing ke arah muka pintu.

"Masuk." Dia tahu siapa di luar. Cepat-cepat kain baju tidur dibetulkan, walaupun sebenarnya tidak ada apa-apa yang mencolok. Tapi biasalah, sebagai langkah berjaga-jaga. Takut tersilap gaya, Anif salah tafsir pula. Lelaki itu memang jenis tak bercakap banyak, tapi kalau salah faham, panjang ceritanya. Maklumlah, lama hidup membujang. Karang dituduh nak goda dia pulak!

Anif melangkah masuk. Dia hanya mengenakan baju T putih dan seluar track hitam. Rambutnya sedikit basah seperti dia juga baru selesai mandi. Mandi di mana? Suraya tidak tahu dan tidak bercadang untuk bertanya. Rumah besar itu ada lebih enam bilik air. Takkan nak buat sesi soal siasat pula.

Seperti biasa, pandangan Anif tajam namun tenang.

“Kenapa tak tidur lagi?" Soal Anif sambil mendekat.

“Tak mengantuk.” Jawabnya sambil mengimbas penampilan lelaki itu atas bawah.

Anif angguk sekali. Dia berjalan ke meja sisi dan menarik kerusi. Duduk tanpa bercakap apa-apa buat seketika. Senyap. Sunyi. Bunyi pendingin hawa kedengaran lebih kuat daripada biasa. Selang beberapa detik, dia membuka mulut.

“Azri tak kecil hati. Dia faham.” Seolah-olah faham dengan kebisuan isteri mudanya.

Suraya tunduk. “Tapi Aya masih rasa bersalah.” Kata-kata Anif tadi pasti membuatkan Azri kecil hati dan sedih. Tapi nak buat macam mana, mulut suaminya memang terbukti celupar sejak dari azali lagi. Konsisten tanpa penapis. Cuma belum diiktiraf sahaja oleh mana-mana autoriti.

“Rasa bersalah tu bagus. Tandanya kau sedar.” Dia berhenti sejenak sebelum menyambung kembali. "Jangan simpan lama sangat. Nanti hati kau sakit.”

Suraya merenung wajah Anif. Buat pertama kali sejak mereka berkahwin, Anif bercakap dengan nada seperti seorang manusia.

Bukan seperti bos atau bukan seperti penjaga yang dibebani tanggungjawab, tetapi sebagai lelaki biasa yang cuba faham perasaan isteri muda yang tidak pernah meminta semua ini.

Namun, entah kenapa, tiba-tiba wajah Piah pula yang muncul dalam ruang ingatannya ketika itu. Beberapa ketika dahulu, Anif pernah memaksa Piah untuk bernikah dengannya namun ditolak bulat-bulat oleh wanita tersebut. Tapi lihatlah, sekarang dia yang memegang status sah sebagai isteri kepada Anif. Keluar lagi decitan dari mulutnya. Kali ini sedikit kuat.

“Uncle menyesal?” Soal Suraya tiba-tiba. Wajah tampan itu ditenung lama. Otaknya menghantar signal bahawa ada kelainan pada Anif pada malam ini. Cuma, dia tidak pasti apa.

“Maksud kau?” Tiada ribut, tiada banjir, tiba-tiba sahaja dia diajukan dengan soalan cepumas seperti itu.

“Terima perkahwinan ini? Terima Aya?"

Anif diam lama. Matanya jatuh ke lantai, kemudian ke tangan sendiri. Baru dia perasan keadaan tapak tangannya yang sedikit kering.

Mungkin kerana kurang minum air sejak akhir-akhir ini. Suraya menatap raut wajah Anif yang tiba-tiba berubah serius meneliti setiap inci kulit tangannya. Lah, apa yang dia sibukkan sangat dekat tangan tu. Sementara soalannya terbiar sepi seketika.

“Kadang-kadang." Ujar lelaki itu selepas lama membisu dan kembali memandang Suraya di hadapan. “Bila aku teringat hidup aku sebelum ni...Tenang, sunyi, bebas. Tapi, sekarang…” Sambungnya lagi sambil memandang isterinya atas bawah. Bukan main labuh baju tidurnya.

Suraya telan liur. “Sekarang?” Boleh pulak dia stop dekat situ!

“Sekarang aku kena fikir pasal kau.” Dia angkat mata. “Tapi… aku juga tak menyesal. Sebab mungkin untuk sekali dalam hidup, aku buat keputusan bukan untuk diri aku.” Suraya mengherot bibir. Anif sememangnya terkenal dengan sikap mementingkan diri sebelum ini. Mustahil ayat sebegitu keluar dari mulutnya.

“Aya tak janji boleh jadi isteri sempurna." Katanya perlahan. “Tapi Aya akan cuba...untuk jaga hati semua orang.”

Anif senyum nipis. “Kau tak perlu jadi sempurna. Kau cuma perlu jujur.”

Mereka diam seketika.

“Aku ada satu soalan lagi."

Suraya angkat kening.

Anif angguk. “Tapi kali ni, kau jawab dulu.”

“Okay.” Jangan ditanya soalan yang bukan-bukan sudah. Getus hati Suraya.

“Apa benda paling kau takut dalam hidup?”

Suraya tarik nafas dalam-dalam. “Hilang orang yang saya sayang…"

Anif bertukar posisi. Dia lantas bersandar pada kerusi, matanya sedikit kuyu. Dia sudah mula mengantuk.

"Uncle?”

“Entah. Tak pernah fikir pasal perkara tu sebelum ni." Suraya mengangguk faham.

"Kau pernah bercinta sebelum ni?" Suraya menggeleng perlahan.

"Tak. Uncle?" Dia sememangnya tidak pernah bercinta apatah lagi berkawan rapat dengan mana-mana lelaki sebelum ini.

New chap lagi..selamat membaca

Share this novel

imyourss
2026-01-31 19:57:30 

thanks update

Zubaidah
2026-01-30 14:49:58 

bila nk muncul...dh lama menghilang...

Sittizk
2025-09-19 15:40:06 

update plss


NovelPlus Premium

The best ads free experience