Bab 7

Short Story Series 56680

Masa berlalu begitu pantas tanpa mereka sedar. Kini, si kecil itu sudah pun menjadi seorang anak dara yang cantik. Semakin membesarnya Suraya, semakin ketat peraturan kawalan yang dikenakan oleh Azri dan Ezra ke atas pergerakan gadis itu.

Macam-macam spesies buaya dan biawak yang berkeliaran di luar sana. Masakkan mereka mahu satu-satunya anak angkat mereka ini disakiti oleh spesies-spesies hidup segan, mati tidak mahu itu.

"Dah siap ke homework tu?" Azri muncul bersama segelas susu panas dan sedikit kudapan. Waktu hampir mencecah tengah malam, namun Suraya masih gigih menyalin tugasan sekolahnya.

Walau mata sudah mengajaknya untuk tidur, namun Suraya masih memaksa diri untuk terus berjaga sehingga dia dapat menyiapkan tugasan tersebut.

Tidak lama lagi, dia bakal menduduki peperiksaan PT3. Oleh itu, dia terpaksa berusaha lebih kuat untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang, yang semestinya boleh membanggakan Azri, Ezra dan juga, Anif. Anif? Sebut pasal lelaki itu, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dia sering pulang lewat ke rumah.

Ada satu ketika, dia membawa masuk seorang wanita yang berpakaian seksi ke dalam biliknya. Tidak lama kemudian, kedengaran suara erangan dan raungan dari dalam. Pelik jadinya Si Suraya. Apa yang mereka berdua lakukan di dalam bilik sehingga perlu meraung-raung?

"Hah, berangan apa?!" Sergah Azri tiba-tiba. Kus semangat. Suraya mengurut dadanya yang berombak laju akibat sergahan Azri.

"Uncle...terkejut Aya tau." Rungutnya sebelum menjeling tajam ke arah Azri.

"Eleh, uncle panggil banyak kali, buat dek je. Fikirkan apa? Boyfriend?!" Naik seoktaf nada Azri ketika menyebut perkataan 'boyfriend'. Dia bercekak pinggang sebelum menjegilkan biji matanya, memberi amaran kepada Suraya.

"Ish, uncle ni. Mana ada." Nafi Suraya. Tapi, memang dia tidak ada pun. Macam mana nak ada, kalau ke mana saja dia pergi, Azri dan Ezra mengekorinya kehulu kehilir. Rimas juga kadang-kadang, tapi bila memikirkan tentang kes-kes jenayah yang semakin berleluasa dalam negara, Suraya akurkan sahaja.

Teringat pula insiden pada dua bulan yang lepas, di mana salah seorang daripada senior sekolahnya hilang tanpa khabar sehingga ke hari ini. Desas-desus mengatakan bahawa gadis yang menuntut di Tingkatan 5 itu lari bersama kekasihnya.

Takkanlah! Satu sekolah kenal perangai Zana, gadis itu seorang yang pendiam dan tidak gemar berbual dengan mana-mana individu terutamanya kaum lelaki, kecuali tanpa sebab yang munasabah.

Jadi, mungkin saja khabar angin itu hanya sekadar penyedap rasa yang direka cerita oleh seseorang demi menambahkan perisa ke atas isu hangat tersebut. Menggelegak pula darah Suraya kala mengenangkan perasaan keluarga Zana selepas anak mereka dicemuh dan dihina sebegitu rupa.

Tanpa sedar, lolos satu keluhan pendek dari mulutnya sehingga didengari oleh Azri di sebelah. Lelaki itu lantas melambaikan tangan di hadapan wajah Suraya sehingga menyedarkan gadis muda itu dari lamunannya. Jauh dia berlayar tadi sampai terlupa tentang kehadiran Azri di situ.

"Berangan lagi dan lagi! Kenapa dengan Aya? Aya demam ke? Tak sihat?" Tangan melekap kemas di dahi mulus Suraya. Berkerut dahinya setelah merasakan suhu badan gadis itu yang tidaklah panas sangat.

"Aya, cuba cerita dengan uncle, ada orang ganggu Aya dekat sekolah ke? Jangan takut, uncle janji, uncle tak marah." Lelaki itu menarik sebuah kerusi kosong yang berada tidak jauh dari situ, sebelum melabuhkan punggung di atasnya. Azri sedikit tegas berbanding Ezra.

Ezra jenis happy-go-lucky dan tenang, sementara Azri pula gunung berapi yang senang meletus mengikut keadaan sekelilingnya. Suraya menelan air liur sebelum menggelengkan kepala.

"Aya okay je uncle. Aya cuma teringat pasal kakak Zana. Tengah hari tadi, ada beberapa pegawai datang ke sekolah dan soal siasat cikgu-cikgu dan rakan sekelas Kak Zana lagi. Tapi, tiada siapa yang tahu ke mana dia pergi. Dah 2 bulan lebih. Ayah dia pun selalu datang ke sekolah, tunggu depan pagar, tengok seorang-seorang pelajar yang masuk ke dalam sekolah. Mesti dia rindu kakak Zana." Ujar Suraya dengan sayu. Matanya mula berkaca. Hatinya tersentuh melihat usaha bapa Zana yang sanggup datang setiap hari ke sekolah tanpa mengira waktu, semata-mata untuk mencari anaknya.

"Masih tak jumpa? Haih, ke manalah budak tu pergi. Uncle harap, dia sampai dengan selamat ke pangkuan keluarganya. Risau pulak uncle. Kamu tu, jangan ikut siapa-siapa kalau diaorang ajak kamu balik tau. Tunggu dekat pondok jaga, sampai uncle atau uncle-uncle yang lain sampai. Ingat pesan ni." Arah Azri dengan tegas. Tidak dapat dia bayangkan sekiranya dia berada di tempat bapa Zana. Pasti boleh separuh gila dia mencari Suraya. Dia terlalu menyayangi Suraya sehinggakan sanggup mengorbankan nyawanya sendiri jika perlu. Dan dia yakin, Ezra juga begitu.

"Dah, tak mau nangis. Tak comel..." Tangan naik menyeka air mata Suraya yang semakin lebat.

"Aya sayang uncle... Terima kasih sebab jaga Aya dengan baik." Tercebik-cebik bibirnya menahan esak. Jemari Azri digenggam erat lalu dibawa ke ribanya.

"Dah. Stop crying little mess. Nanti Uncle Zera kamu tuduh uncle buli kamu pulak." Dia mengelus lembut rambut hitam milik Suraya.

"Ma...mana Uncle Zera?" Meliar bola mata mencari Ezra. Lelaki itu, seperti biasa, dari Bab 1 sampailah sekarang, selalu hilang pada detik-detik yang penting.

"Tadi dia keluar dengan Uncle Azim. Nak beli barang dapur sikit." Bohongnya. Orang gila mana jual barang dapur waktu tengah-tengah malam begini? Barang yang dimaksudkan adalah senjata api yang baru sampai ke sempadan negara.

"Oh. Uncle..." Meleret suara kecil itu memanggil Azri. Azri menarik wajah masam. Adalah tu, benda yang nak dimintaknya.

"Hah, apa dia?" Soalnya dengan garang.

"Alah. Janganlah marah." Sempat mengulum senyuman kambing ke arah lelaki itu.

"Ya, tak marah. Apa dia? Ni mesti nak mintak something kan?" Membulat sepasang mata bundar itu memandang wajah tampan Azri.

"Boleh tak, kalau esok, uncle buatkan lagi chocolate cookies macam hari tu? Aya teringin..." Bukan main manja perangai. Kepala dilentokkan ke atas bahu tegap Azri. Tangan naik mencubit lembut otot lengan Azri.

"Haih...yelah-yelah. Esok uncle buatkan." Malas-malas dia menjawab. Kena sarung apron baliklah nampaknya. Semakin lama, dia semakin lupa tentang identiti dirinya yang sebenar.

Dari ahli kumpulan kongsi gelap yang digeruni musuh, tup-tup berubah menjadi tukang masak peribadi pulak. Lama-lama, boleh lupa diri aku dibuatnya. Keluh Azri, perlahan. Tapi, sayang punya pasal, ikutkan sajalah. Janji, Suraya bahagia. Jam dinding diamati sebelum dia menepuk belakang bahu Suraya yang sedang leka memicit-micit otot lengannya.

"Pergi siapkan kerja kamu. Lepas tu, minum susu tu. Dan masuk tidur. Jangan berjaga lama sangat. Tak elok untuk kesihatan." Pesannya sebelum berdiri. Suraya mengangguk perlahan sebelum mengatur langkah ke meja belajarnya sebelum menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Ni kalau tak siap esok, tak pasal-pasal kena dengar leteran Cikgu Aminah.

"Eh, Ri. Mana Aya, dah tidur ke?" Ezra yang baru pulang, menghampiri bilik tidur Suraya. Azri menutup rapat daun pintu, sebelum mendekati Ezra.

"Ada, tengah siapkan kerja sekolah. Kejap lagi tidurlah tu." Jawabnya ringkas. Ezra mengangguk faham.

"So, macam mana kerja tu? Okay?" Tangan dimasukkan ke dalam saku seluar.

"Settled. Tunggu bos je periksa esok pagi. Oh, sebelum aku terlupa, esok jangan lupa berkumpul dekat bilik bawah tanah." Ujar Ezra. Risau Azri terlewat menyertai mereka.

"Aku kena buat cookieslah esok pagi. Aya mintak tadi. Kau tolong cover aku ek?" Bahu Ezra ditepuk sekilas sebelum Azri melangkah masuk ke dalam bilik tidurnya. Ezra hanya memerhati sebelum menggelengkan kepala. Ada yang kena masak jadi tomyam ni esok!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience