Sudah seminggu berlalu sejak peristiwa itu berlaku. Kini, Piah dan Anif, masing-masing buat hal sendiri. Tapi, kecanggungan antara mereka masih lagi terasa.
Sekiranya, Anif muncul di ruang makan, Piah akan cepat-cepat bersembunyi di belakang rumah. Begitu juga dengan Anif. Seawal subuh lagi, dia sudah bertolak ke pejabat kerana tidak mahu bertembung dengan Piah di dapur.
Ikutkan hati, nak saja Anif menenggelamkan dirinya ke dasar laut. Malu tidak terkata dengan sikapnya yang terlampau jujur atau dalam erti kata lain, terdesak sehingga terlupa untuk menjaga reputasi sendiri.
Entah kepada siapa-siapa Si Piah itu menyebarkan tentang hal ini. Tapi, berdasarkan reaksi anak-anak buahnya, kelihatan seperti tiada yang tahu menahu tentang kejadian itu. Nampaknya, Piah masih belum menceritakannya kepada mereka. Baguslah, kalau begitu. Terpelihara sikit maruah dirinya.
"Aku kesianlah tengok bos tu...sampai bila dia kena hidup macam ni?" Azri menoleh ke arah Ezra. Menjeling tajam ke arah lelaki di sebelahnya sebelum mengalihkan wajah ke hadapan.
"Sampai Aya habis belajar." Balas Azri sedikit dingin, sebelum kembali meneguk air di dalam botol minumannya.
"Kalau bos dapat tahu pasal kita, macam mana?" Azri tidak menjawab, sebaliknya hanya mengangkat bahu. Dia yakin bahawa sampai bila-bila pun Anif tidak akan mendapat tahu tentang perbuatan mereka.
"Benda ni, hanya untuk sementara je Ra. Lepas Aya dah selamat dalam pangkuan orang lain, aku takkan ganggu bos kita tu. Ini janji aku." Jelas Azri dengan tegas.
"Aku tak sedap hatilah Azri. Orang-orang bos ada di merata tempat. Tak pun, bayangkan, salah seorang daripada ex-girlfriend bos, pecahkan rahsia tentang kita. Habis kita nanti Ri!" Ezra mengeluh kesal.
"Engkau dengan aku ni, anak yatim piatu Ra. Sama-sama datang ke KL nak cari kerja, tapi sebabkan kita masih terlalu muda waktu tu, orang buli kita, ambil kesempatan terhadap kepolosan kita, buat macam-macam dekat kau dengan aku. Kau tak ingat ke semua tu?!" Situasi antara kedua lelaki itu menjadi tegang.
"Aku ingat Ra..." Ezra tertunduk sayu. Peristiwa lalu masih lagi segar dalam ingatannya. Tidak mungkin dia dapat melupakan kisah-kisah lama mereka yang banyak mengajar tentang erti kehidupan. Ada duit dan pengaruh, sesiapa saja boleh pergi jauh ke hadapan. Tidak seperti mereka berdua, miskin, tiada harta mahupun keluarga. Senang diperguna, mudah dipijak sesuka hati.
"Masa kita merempat dekat tepi jalan, ayah bos yang ambil kita kerja sebagai kuli. Bagi kita makan dan minum, sampailah kita kerja sebagai gangster di bawah naungan bos. Kau pernah terfikir tak pasal nasib Aya? Kut-kut, satu hari nanti, bos kita tu dapat kahwin dengan someone, dan perempuan tu halau Aya keluar sebab ikutkan, Aya tiada kaitan langsung dengan bos. Bukan anak, bukan adik, bukan juga saudara, bukan siapa-siapa! Mana Aya nak pergi? Kau nak ke Aya lalu benda yang sama macam kita? Aya tu perempuan. Kau rasa, binatang-binatang tak berhati perut dekat luar sana, akan lepaskan dia hidup-hidup ke? Selama ni, dia tinggal dekat sini pun disebabkan kita berdua. Aku tak kisah hilang kerja, cuma, mana kita nak bawa Aya pergi? Kita ni, rumah pun takde tau Ri..." Nada suara Azri mula bergetar.
Sejak hadirnya Suraya dalam hidup mereka, Azri banyak belajar tentang kesabaran dan, gadis itulah yang mengajarnya tentang kasih seorang anak. Walau bukan darah daging sendiri, Azri terlalu menyayangi Suraya bahkan, nyawa juga sanggup dia korbankan demi kebahagiaan anak angkatnya itu.
Jeda. Masing-masing tidak bersuara buat sementara. Mengambil nafas, cuba menenangkan diri.
"Aku sedar, apa yang aku buat ni salah. Aku dah mengkhianati kepercayaan bos, cuma itu saja cara yang kita ada untuk lindungi Aya. Benda ni semua, hanya untuk beberapa tahun je lagi, lepas tu, aku akan stop. Aku tak takut mati kena belasah dengan bos demi Aya." Ezra terpaku mendengar luahan Azri. Dia juga sayangkan Suraya, cuma dia takut untuk berdepan dengan kekecewaan Anif angkara perbuatan mereka. Dia tidak sanggup.
"Ri..."
"Kau yang jumpa dia waktu masuk ke dalam bilik tu. Bapa Aya mati disebabkan aku. Kalaulah aku tak menembak rambang kawasan gudang tanpa usul periksa hari tu, pasti bapa Aya masih hidup." Sesalan yang tiada penghujung buat Azri, dan Ezra. Atas arahan Anif, mereka terpaksa melepaskan tembakan ke setiap sudut di dalam gudang tersebut, demi menumpaskan kumpulan Johan.
"Kau tak sengaja Ri... Lagipun, kita tak tahu, yang dalam gudang tu ada orang lain selain geng Johan." Ezra cuba memujuk Azri.
"Sejak hari tu, aku tak dapat nak lelap mata aku dengan tenang Ra. Aku rasa takut. Rasa berdosa pada Aya." Tubir matanya basah kala mengenangkan nasib Suraya yang kehilangan satu-satunya ahli keluarga kerana kecuaian mereka.
"Aya kan dah maafkan kita..." Ketika, Suraya menginjak ke usia 13 tahun, Azri memutuskan untuk menceritakan kisah sebenar tentang status Suraya.
Saat itu, Suraya hanya mampu mendengar tanpa memberikan apa-apa reaksi. Dia terkejut dengan pengakuan Azri.
Terselit sedikit kemarahan dan kekecewaan dalam dirinya saat itu, ke atas Azri dan Ezra. Tapi, dia tidak mampu menidakkan rasa sayangnya terhadap lelaki-lelaki tersebut.
Suraya menjadi serba salah untuk memarahi mereka. Terlalu banyak pengorbanan Azri dan Ezra untuk dia hargai. Lelaki-lelaki itu, membesarkannya tanpa apa-apa kekurangan.
Terbit rasa hiba kerana dia kehilangan satu-satunya ahli keluarga yang dia ada, tapi bagaimanapun, Suraya terpaksa merelakan hal itu, kerana tiada apa yang berlaku tanpa keizinan-Nya. Insiden itu berlaku tanpa sengaja. Dia yakin, sekiranya Azri dan Ezra tahu tentang keberadaan bapanya di dalam bilik itu, pasti mereka tidak akan berbuat demikian.
"Rasa bersalah masih tersemat dalam jiwa aku ni Ezra." Ezra menepuk perlahan bahu Azri.
"Uncle!" Tiba-tiba, Suraya menghampiri mereka berdua. Cepat-cepat, Azri menyeka air matanya.
"Eh, Aya! Awal bangun. Nak keluar dengan Zara ke?" Soal Ezra sambil mengawal reaksi muka.
"Taklah. Terjaga dari tidur." Suraya terus melabuhkan punggung di hadapan lelaki-lelaki itu.
"Patutlah..." Tambah Ezra sebelum membetulkan posisi duduknya.
"Uncle Ra, Cik Ju pulangkan balik duit yang uncle kasi dekat dia hari tu?" Ujarnya sebelum menghulurkan beberapa keping not RM50 kepada Ezra. Ezra menelan air liur sebelum mengambil wang tersebut.
"Duit? Duit apa?" Dahi Azri berkerut. Dia memandang wajah Ezra dan Suraya silih ganti.
"Oh...minggu lepas, mak Azara, kawan Aya ni jatuh motor. Buku lali dia tercedera. Itu yang aku bagi duit belanja sikit." Azri mengangguk perlahan. Namun, tetap terasa curiga dengan riak wajah Ezra. Ada apa-apa ke yang dia rahsiakan daripada pengetahuan aku? Azri yakin bahawa Ezra sedang menyembunyikan sesuatu. Tapi tidak apa, lambat laun dia akan dapat tahu juga. Dia tersenyum tipis.
Share this novel