Buk! Buk! Buk!
"Bodoh! Kerja macam ni pun korang tak boleh buat! Bodoh!" Tumbukan bertubi-tubi dilayangkan ke perut anak buahnya.
Tersembur keluar darah dari mulut lelaki itu. Matanya terpejam rapat menunggu masa untuk rebah ke bawah. Ezra dan Azri hanya memerhati tanpa bersuara. Kasihan juga melihat keadaan rakan mereka, tapi, apakan daya.
"Arghh!" Tubuh lemah itu ditendang kuat sehingga terlantar lemah di atas lantai. Tiada yang berani membantu. Masing-masing tertunduk ketakutan. Termasuk Azri dan Ezra yang sudah lama bekerja bersama Anif.
Tangan kotornya dilap pada sehelai kain bersih sebelum dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Sebatang rokok dibawa keluar dari kotak, sebelum dibakar hujungnya.
Asapnya disedut sebelum dilepaskan ke udara. Kepulan asap memenuhi ruang bawah tanah itu.
"Angkat dia! Panggil Dian bagi rawatan." Arahnya. Terkocoh-kocoh Kamil dan Azim menghampiri tubuh Alan lalu mengangkatnya sebelum dibawa keluar.
"Si Johan tu tahu pasal serangan kita. Dia dah pasang anak-anak buah dia dekat kawasan Dragon. Habis kacau kumpulan Dragon sampai ada yang cedera parah." Gelas kaca di sebelah dicapai lalu dihempas kuat ke atas lantai. Anak-anak buah yang lain hanya memerhati dalam diam. Tiada yang berani menghalang, mahupun menegur perbuatan lelaki itu.
"Bangsat tu dah lama tak kena dengan aku. Bodoh! Percayakan sangat kata orang sampai musnahkan diri sendiri." Puntung rokok lantas dicampakkan ke lantai sebelum dia mengatur langkah menuju ke arah Azri dan Ezra. Lelaki-lelaki itu sudah menelan air liur kala Anif mendekati mereka berdua tiba-tiba.
"Aku nak lepas ni, korang memperketatkan keselamatan dalam banglo aku. Jangan ada yang terlepas masuk. Kalau aku dapat tahu...korang, tahu akibatnya." Entah arahan ataupun ugutan yang diberi, tapi Azri dan Ezra tetap juga mengangguk seperti lembu yang dicucuk hidung. Terlebih berani karang, lebam satu badan.
"Ba...baik bos!" Jawab mereka semua serentak. Kamil menghampiri Anif dengan wajah kendur.
"Bos, Doktor Dian katanya tiada di daerah. Dia outstation sampai lusa. Kami terpaksa mintak doktor lain menggantikan Doktor Dian." Ujarnya sebelum mengalihkan pandangan ke arah Azri dan Ezra.
"Hmm. Budak tu macam mana?"
"Alan okay. Cuma, masih lemah." Balas Kamil sebelum meninggalkan ruang itu. Manusia bila ada kuasa, mudah lupa diri. Sampai sanggup menyakiti orang yang tidak bersalah.
"Bersurai!" Mereka semua menunduk hormat serentak ke arah Anif sebelum berpusu-pusu keluar dari bilik itu. Azri dan Ezra melangkah pantas ke bilik rawatan yang terletak di tingkat atas.
"Wei, Alan. Kau okay tak ni?" Soal Azri lalu memegang perut Alan yang berbekas dengan kesan tumbukan.
"Jangan sentuhlah bodoh! Sakit!" Tempik Alan sebelum menepis tangan Azri yang berada di atas perutnya. Orang tengah tahan sakit, dia boleh pulak meraba-raba.
"Alah, aku nak tengok je. Overlah kau ni." Rungut Azri. Gedik!
"Tepi...tepi! Doktor dah sampai." Kamil menolak jauh tubuh-tubuh yang mengelilingi katil Alan. Macam lalat jumpa tahi.
"Maaf, sila tunggu di luar ya. Saya nak periksa keadaan pesakit. Boleh saya tahu apa yang dah jadi pada beliau? Dia nampak macam baru lepas dibelasah oleh seseorang." Doktor lelaki dalam lingkungan 50-an itu bertanya sejurus selepas melihat keadaan Alan.
Masing-masing terkedu sambil memandang sesama sendiri. Nak jawab apa?
"Err...pakcik...Eh, maaf. Doktor, dia...dia jatuh katil." Redup pandangan Azri dan yang lain melihat wajah bersahaja Kamil. Ingat doktor tu bodoh agaknya. Bagilah alasan yang logik sikit.
"Jatuh katil boleh sampai berdarah hidung, mulut?" Soal doktor itu dengan sinis. Rasa nak cucuk je mulut Kamil dengan jarum. Nak kelentong pun, berpada-padalah sikit.
"Kalau doktor tak percaya, tanyalah Alan sendiri. Kan Alan kan? Kau jatuh katil tadi kan?" Kecil besar, kecil besar saja doktor tu tengok Kamil. Ada yang ditidurkan ni karang.
"Sudah! Keluar. Saya nak rawat pesakit. Aini, mana stetoskop saya?" Tangan dihulur pada jururawat di sebelah. Wanita itu memberikan peralatan yang diminta sebelum mengeluarkan ubat cuci luka dari peti kecemasan.
"Macam serius je Si Alan tu? Risau pulak aku..."
"Kau ni pun satu, ada ke cakap mamat tu jatuh katil. Curiga doktor tu nanti!" Marah Hazrin.
"Alah, semua nak salahkan aku. Dah tu, kenapa waktu doktor tu tanya, takde yang jawab?" Herdiknya dengan sebal. Muncung bibir ditarik sedepa. Kamil sejenis lelaki yang mudah merajuk. Susah nak pujuknya wei...
"Siapa punya kerja pergi kantoikan plan kita dekat Si Johan tu? Sebabkan mamat tu, habis Alan kena." Gerutu Fahmi. Buku lima dikepal erat. Geram dengan lelaki bernama Johan.
"Lambat laun, dia akan tumpas di tangan kita. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh menimpa tanah jugak." Balas Ezra sambil memandang wajah Azri. Kamil dan yang lain mengangguk setuju. Tidak sabar mahu menumpaskan kumpulan Johan yang selalu menganggu perniagaan mereka.
"Saya sudah periksa dan dah beri rawatan. Ubat semua saya sudah letak di atas meja. Nanti boleh rujuk nota yang saya sediakan semasa beri ubat kepada pesakit. Apa-apa pun, saya tetap berasa pelik dengan kesan-kesan lebam pada badan Encik Alan. Macam dibelasah tanpa belas kasihan." Kata doktor itu. Dia memandang satu persatu wajah yang berada di situ. Ada sesuatu yang tidak kena pada anak-anak muda ini. Cuak habis muka masing-masing. Ada yang melarikan pandangan. Ada yang buat-buat tidak dengar.
"Terima kasih doktor. Pasal kecederaan tu, kami sendiri tak tahu sebenarnya. Mungkin bergaduh dengan kekasih baru ex girlfriend dia. Sebab sebelum ni pun, benda macam ni pernah jadi." Doktor itu mengangguk perlahan.
"Macam-macam hal budak-budak sekarang. Bergaduh sebab perempuan. Maaf saya nak tanya, rumah ni, asrama pelajar ke?" Azri terkedu sejenak. Dia melirik sekilas rakan-rakan di sebelah.
"Err, ya doktor. Kami pelajar seni mempertahankan diri." Jawabnya sambil tersenyum kambing.
"Aik, tapi yang kat dalam tu, kenapa sampai boleh kena belasah macam tu sekali? Kan tahu seni mempertahankan diri?" Kaku terus lelaki-lelaki itu.
"Dia amatur doktor. Baru belajar. Banyak kekurangan. Itu yang teruk tu..." Ezra menggaru kepalanya.
"I see. Takpelah kalau macam tu, saya minta diri dulu. Semoga menjadi ahli-ahli seni mempertahankan diri yang berjaya di kemudian hari." Lelaki-lelaki itu menunduk hormat sebelum tersengih bagai kerang busuk.
"Banyak betul ubat. Nak kena bagi semua sekali ke?" Azim membaca helaian nota yang ditinggalkan oleh doktor tadi. Arahan yang terkandung di dalamnya, dibaca satu persatu.
"Bukan semua tu ubat untuk ditelan. Ada ubat sapu jugak." Balas Azim sebelum meletakkan nota itu semula di atas meja.
"Kau rehatlah Alan. Kami keluar dulu. Apa-apa hal panggil je Kamil. Dia ada dekat luar." Alan mengangguk lemah.
Share this novel