Jeritan disusuli dengan suara gelak ketawa yang nyaring menyapa pendengaran Anif sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke muka pintu. Habis bergema satu ruang tamu itu dengan bunyi hempasan dan hentakan barang dari tingkat atas.
Hampir meletup gegendang telinga Anif dibuatnya. Terlalu bingit! Isi kepalanya berdenyut hebat, sehingga pandangannya mula berpinar. Hampir tubuh sasa milik lelaki itu tumbang ke atas lantai.
Lantas, jemari dibawa memicit pelipis dengan perlahan. Satu dengusan kasar dilepaskan sebelum Anif mencari keberadaan Ezra. Kiri kanan setiap sudut di rumah itu diperhati.
Meliar bola mata mencari keberadaan Ezra, namun kelibat lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Sah! Pasti sedang bermain bersama-sama Suraya! Anif mengetap bibirnya dengan geram. Buku lima dikepal erat, menahan amarah yang kian memuncak. Apa guna dia mengupah lelaki-lelaki itu untuk menjaga keselamatan di dalam rumah ini?
Sejak kehadiran Suraya di rumah ini, Ezra dan Azri sering menghabiskan masa dengan kanak-kanak itu. Kalau hal ini sampai ke telinga musuh, pasti dengan mudah mereka akan menyerang kawasannya nanti.
Anif terus mengatur langkah ke arah tangga sebelum mendongakkan kepala, memandang ke atas. Memang betul tekaannya tadi! Ezra dan Azri sedang bermain bersama-sama Suraya. Dia menghentak kuat pemegang tangga sebelum mendaki satu persatu anak tangga, menuju ke tingkat atas.
"Uncle Zeri kalah! Uncle Zeri kalah!" Teriak Suraya sambil berlari mengelilingi meja kopi. Ezra pula sibuk mengutip bola-bola kecil yang bertebaran di atas lantai. Sementara, Azri sedang gigih mengejar kanak-kanak itu tanpa menyedari ada sepasang mata yang sedang merenung tajam ke arah mereka sejak tadi.
"Eh, tak guna kau Ezra!" Marah Azri sebelum mengutip kembali bola yang barusan dibaling oleh Ezra ke arahnya. Melantun bola kecil itu apabila terkena pada dada kekar milik Azri.
Bola itu hampir-hampir menghentam muka tegang Anif yang sedang memerhatikan mereka dari belakang. Azri segera mengeluarkan bola yang lain lalu membalingnya ke arah Ezra. Lelaki-lelaki itu lantas tertawa. Entah apa yang kelakar sangat pun tidak tahu. Kecil besar sahaja mereka berdua pada pandangan Anif ketika itu.
Suraya pula sibuk membongkok sambil mengutip bola-bola yang berada di bawah rak hiasan sebelum menghulurkannya kepada Azri.
"Ehem!" Serentak mereka berpaling ke arah pemilik suara itu. GULP. Air liur ditelan berkali-kali saat anak tekak hampir layu jatuh ke dalam kerongkong.
Masing-masing membisu sambil menekur lantai. Tidak berani menentang sepasang mata helang yang sedang tajam menghala ke arah mereka. Boleh berlubang dada kerana panahan mata hitam yang semakin marak dengan api kemarahan.
Dengan perlahan, Azri memasukkan bola-bola dalam genggamannya ke dalam sebuah bakul kecil sebelum menolak bakul itu menjauh daripadanya. Ezra lantas menarik tubuh Suraya bersembunyi di belakangnya. Kanak-kanak itu mempereratkan tautan pada jemari Ezra. Mata bundarnya tidak berkelip memandang Anif di hadapan.
"Happy nampak?" Ezra dan Azri serentak menggelengkan kepala sambil menggigit bibir bawah. Suraya tidak menjawab, sebaliknya merenung anak patung beruang yang berada dalam pelukan. Setitik demi setitik air mata mengalir membasahi pipi gebu itu. Dia hairan, mengapa layanan Anif sering kali kasar, tidak seperti Ezra dan Azri.
"Aku tanya ni, jawablah!" Bentak Anif dengan kuat. Terhinjut bahu mereka bertiga. Semakin kuat tangisan Suraya. Dia bukan takut, cuma lebih kepada terasa hati. Walaupun, dia baru berusia 7 tahun, dia tahu bahawa Anif tidak menyukainya. Dan, dia tidak tahu mengapa.
"Tak...tak bos. Kami teman Suraya main bola je." Balas Azri dengan gugup. Suaranya bergetar. Amukan majikannya tidak boleh dibuat main.
"Oh...habis tu, kerja-kerja dekat bawah, siapa yang nak buat?! Ada kau fikir?!" Herdiknya lagi sebelum mencekak kuat kolar baju Azri lalu mendorong tubuh lelaki itu dengan kasar ke arah dinding. Azri hanya mampu tertunduk sambil menggelengkan kepala. Gerun dengan amukan Anif.
"Bos...bos. Azri tak salah bos. Saya...saya yang paksa dia main tadi. Maafkan kami bos." Ezra cuba meleraikan genggaman Anif pada kolar Azri. Risau dengan keadaan wajah Azri yang mula berubah pucat. Nafas kawannya tersekat-sekat.
"Shit! Tak boleh diharap langsung korang dua ni! Aku balik rumah, nak rehat, nak tenangkan fikiran. Bukannya nak dengar suara memekak korang ni!" Marahnya sebelum menolak tubuh Azri sehingga terjelepok di atas lantai. Suraya segera berlari mendapat Azri lalu lengan lelaki itu diusap lembut. Sepasang mata kecil itu berkaca-kaca. Hatinya jatuh kasihan melihat keadaan Azri yang sedang menahan sakit.
"Uncle okay? Uncle sakit ke?" Soalnya dengan polos. Wajah comel itu basah dengan linangan air mata.
"Kau, pergi masuk dalam bilik sekarang!" Arah Anif sambil menuding telunjuknya ke tingkat bawah. Bilik tidur kanak-kanak itu berada di tingkat paling bawah.
Suraya terpaksa akur walau dia tidak sampai hati meninggalkan Azri dalam keadaan seperti itu. Perlahan, Suraya mengalihkan pandangan dari wajah bengis Anif ke wajah Ezra yang menganggukkan kepala padanya supaya segera turun ke tingkat bawah. Bimbang Suraya pula akan menjadi mangsa amukan Anif.
"Baik uncle." Takut-takut dia menentang renungan tajam Anif sebelum berdiri. Patung beruangnya dipeluk erat sebelum dia melangkah menuruni satu-persatu anak tangga.
"Kau! Suruh Piah buatkan kopi untuk aku." Ujar Anif yang turut beredar dari situ. Bilik tidurnya terletak di tingkat tiga. Sempat dia menjeling Azri yang sedang tersandar pada dinding.
"Baik, bos." Jawab Ezra dengan perlahan. Sejurus selepas Anif meninggalkan mereka, Ezra meluru mendapatkan Azri. Tubuh kawannya diangkat lalu dibaringkan di atas sofa.
"Kau okay tak ni?" Dia mula risau. Wajah Azri yang sedikit pucat itu ditatap cemas. Azri hanya menggeleng sambil tersenyum tipis.
"Aku okay. Sesak nafas sikit je ni. Kau pergilah buat apa yang bos suruh tadi. Nanti dia mengamuk pulak." Bisik Azri sambil memandang ke arah tangga. Bimbang Anif akan turun semula dan membelasah mereka.
"Kau duduk sini dulu. Kejap lagi aku datang semula. Kita pergi klinik." Belum sempat Ezra bangun dari tempat duduknya, Azri menghalang. Lengan kawan baiknya itu ditarik sedikit kuat.
"Tak payah. Aku okay je ni. Nanti, jangan lupa plan kita semalam." Ezra lantas menarik nafas.
"I don't think this is the right timelah Ri. Dia dalam badmood tu." Larang Ezra.
"Kita kena pujuk dia dari sekarang Ezra. Dah masuk bulan 5, Aya masih tak sekolah. Kita dah terlambat." Paksa Azri. Ezra hanya mampu menelan air liur. Aduh...
"So, apa yang aku dapat dengan tolong budak tu?" Soalnya dengan sinis. Sudut bibirnya ternaik sedikit.
"Dapat pahala." Jawapan daripada Azri mengundang tawa Anif. Dia bingkas berdiri dari tempat duduknya.
"Pahala? Apa je aku boleh buat dengan pahala tu Azri?" Azri dan Ezra saling berpandangan sebelum sama-sama tertunduk. Panas hati dengan kesombongan Anif. Jangankan kata berbuat baik, solat pun tidak. Lelaki itu terlalu taksub dengan harta, pangkat dan duit.
"Mana tahu, lepas Aya dah besar, bos boleh kahwinkan dia dengan mana-mana orang kaya. Boleh bos bolot harta mamat tu nanti." Cadang Azri. Hanya itu alasan yang dapat dia fikirkan. Ezra sudah terkebil-kebil di sebelah. Seriously, Ri, ini alasan yang kau dapat fikir?
Anif lantas tergelak besar. Berkali-kali Azri membuat lawak di hadapannya.
"Bolot harta orang buat apa? Hei, harta aku ni, makan 7 keturunan pun tak habis tau. Dah, jangan nak merepek. Pergi settlekan kerja korang." Halaunya sebelum menghampiri rak yang menempatkan pelbagai jenama arak dari luar negara. Gelas kosong dicapai sebelum dia mencari arak kegemarannya.
"Alah, tolonglah kami bos. Bos tak perlu fikir pasal kos apa semua. Yang tu, pandai-pandailah saya dengan Azri uruskan. Kami cuma, nak bos tolong Suraya dapatkan tempat di sekolah je. Kami ni, mana ada kabel. Bos takpelah, ramai kawan yang boleh tolong. Bolehlah bos...Kami janji, lepas ni kami tak akan minta apa-apa dah daripada bos." Rayu Ezra. Masih berharap Anif akan membantu mereka berdua. Moga-moga sajalah. Lelaki ini, susah sikit nak tolong orang. Kedekut nak mampus!
"Yang korang nak menyusahkan diri untuk budak tu buat apa?" Bentaknya dengan geram. Dia menjadi hairan dengan sikap Ezra dan Azri yang terlalu mengambil berat tentang Suraya, sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa pertalian dengan budak itu.
"Kami...kami rasa bersalah bos. Kalau bukan..." Terus Anif melepaskan satu keluhan berat.
"Ish, dah-dah! Sakit telinga aku asyik dengar alasan yang sama daripada korang ni!" Naik meluat dia mendengar alasan yang sama terpacul keluar dari mulut Ezra dan Azri. Asyik-asyik itu juga modal mereka. Pusinglah macam mana sekalipun, pasti ayat itu juga yang akan mereka gunakan.
"Kami nak Aya belajar je. Tak lebih dari itu." Tambah Azri.
"Nanti-nantilah aku fikirkan. Dah, berambus dari sini. Jangan menyemakkan kepala aku!" Air di dalam gelas kaca diteguk sekilas sebelum dia melabuhkan punggungnya di atas sofa. Kaki disilangkan ke atas paha. Kedua lelaki itu lantas menunduk hormat sebelum keluar dari bilik Anif.
"Terbaiklah Ri! Nak jugak bos kita tu tolong akhirnya." Kedua lelaki itu berpelukan dengan gembira. Hampir menjerit kerana terlalu excited tapi terpaksa tahan. Jatuh air muka nanti.
"Nasib baik alasan tu valid lagi." Kata Azri dengan bangga. Sempat dia melirik sekilas ke arah pintu bilik Anif. Bimbang lelaki itu memasang telinga perbualan mereka.
"Uncle Zeri, Uncle Zera..." Terkedek-kedek si kecil itu menghampiri mereka berdua. Tidak lupa juga, sebuah patung beruang yang setia berada dalam dakapannya. Bibir comel itu tersenyum lebar ke arah Ezra dan Azri.
"Eh, Aya tak tidur lagi ke?" Soal Azri bersama kerutan di dahi. Dia melutut di hadapan Suraya, sebelum melabuhkan satu kucupan lembut pada pipi gebu itu.
"Belum. Aya takut..." Azri dan Ezra saling berpandangan.
"Takut apa?" Ezra menarik perlahan tubuh kecil itu ke arahnya. Lantas, tubuh Suraya diangkat lalu didukung dengan erat.
"Uncle Anip, tolak Uncle Zeri." Kanak-kanak itu berbisik sambil menjeling ke arah pintu bilik Anif.
"Oh...Tadi tu, Uncle Anip gurau je. Aya jangan risau okay?" Ujar Azri sebelum mengosok lembut kepala Suraya. Si kecil itu mengangguk faham sebelum membalasnya dengan satu senyuman yang lebar. Comel~
"Lepas ni, Aya tak boleh tidur lewat dah..." Ezra membawa tubuh kecil itu bersama menuruni anak tangga menuju ke tingkat bawah. Belakang Suraya ditepuk lembut.
"Kenapa?" Tangan kecilnya menekup kedua belah pipi Ezra.
"Sebab Aya kena bangun awal. Pergi school." Balas Azri sebelum membuka pintu bilik Suraya. Tubuh kecil itu dibaringkan di atas katil sebelum selimut tebal ditarik sehingga ke paras dada.
"Aya boleh pergi sekolah?" Bersinar sepasang mata bundar itu. Tidak sabar mahu pergi ke sekolah dan mencari kawan. Pasti seronok!
"Ya. Dah jom masuk tidur."
"Yay! Sayang Uncle Zeri, sayang Uncle Zera!"
Share this novel