"Bos, kami dah buat apa yang bos suruh tadi." Ujar lelaki bertubuh tegap itu kepada Anif. Takut-takut dia menentang panahan mata majikannya.
Puntung rokok yang hampir pendek itu dilenyekkan di atas sebuah mangkuk kecil. Air arak keluaran dari luar negara diteguk sekilas sebelum dia mengalihkan pandangan ke arah beberapa anak buahnya.
Lelaki-lelaki itu lantas tertunduk menekur lantai. Gerun dengan tatapan tajam yang dilemparkan oleh majikan mereka.
"Betul kauorang dah settlekan kerja tu? Boleh diharap ke? Can I put my trust on you this time?" Soalnya dengan sinis. Sudut bibirnya ternaik sedikit.
Lelaki-lelaki di situ mengangguk beberapa kali tanpa bersuara. Harap kali ini rancangan mereka tidak gagal.
Bimbang akan menjadi mangsa Anif sekali lagi. Pagi tadi, lelaki itu mengamuk sehingga menembak mati beberapa orang rakan mereka kerana gagal menyelesaikan tugas yang diberi. Rancangan asal mereka juga tidak berjaya kerana ada di antara mereka membocorkannya kepada pihak musuh.
"Pastikan Johan dan yang lain tak tahu pasal hal ni. Dan, aku taknak sesiapapun antara kauorang, bukak mulut dan pergi cerita dekat public. Orang-orang Johan ada di merata tempat." Sekali lagi anak-anak buahnya mengangguk faham. Salah seorang daripada mereka bergerak setapak ke hadapan sebelum menyerahkan sehelai sampul surat kepada Anif.
"Wow, impressive." Bibirnya rekahnya melengkung ke bawah. Tawa sinisnya meletus kala membaca isi yang tertulis di dalam helaian kertas itu.
"Kami jumpa surat tu semasa pasang bom di bilik tahanan Johan." Jelas lelaki itu. Kemudian, dia berundur semula ke tempat asalnya lalu berdiri tegak bersama rakan-rakannya yang lain.
"Bangsat tu kena diajar! Ada hati nak serang hendap kubu aku." Ludahnya ke atas lantai. Api kemarahannya mula marak. Permusuhan antara Johan dan kumpulan kongsi gelapnya sudah lama berlangsung. Semua ini kerana peristiwa hitam itu. Sedang dia melayan perasaan, sayup-sayup kedengaran suara rengekan seseorang dari luar.
Sepasang matanya menikam muka pintu kala suara bebelan Suraya menyapa pendengaran. Macam mana budak tu boleh terlepas masuk ke bilik bawah tanah ini? Dia memberikan isyarat mata kepada anak buahnya untuk keluar dan lihat apa yang sedang berlaku di luar.
"Alah, bolehlah uncle. Aya nak jumpa sekejap je. Janji...Aya nak bagi coklat ni dekat Uncle Anip. Bolehlah please." Serba salah lelaki itu mendengar rayuan daripada Suraya. Dia menggaru belakang tengkuknya sebelum mengalihkan mata ke arah rakannya yang sedang menghampiri mereka.
"Apa yang bising-bising ni Mil? Bos dah marah dekat dalam tu..." Ujar lelaki itu. Tajam matanya mencerlung wajah Kamil di hadapan. Baru je tadi beberapa orang rakan mereka menjadi mangsa, takkan tak serik-serik lagi.
"Ni hah, Aya nak jumpa dengan bos. Katanya nak bagi coklat. Aku dah halang, tapi dia masih nak jumpa." Jawab Kamil sebelum menoleh ke arah Suraya yang sedang memerhatikan mereka berdua.
"Jap, aku tanya dekat bos dulu. Aya tunggu dekat sini ya, kejap lagi uncle datang balik." Lelaki itu masuk semula ke dalam bilik.
"Apa hal dekat luar tu?" Soal Anif dengan berang. Dia paling pantang kalau ada yang menganggu waktu-waktu kerjanya.
"Aya, dia datang nak jumpa bos. Katanya, nak bagi coklat."
"Coklat?!" Sepasang mata helangnya terbuntang luas. Lantas, dia memicit dahi yang mula berdenyut. Haih, budak ni. Ada je ragamnya. Selalu menyakitkan hati aku.
"Suruh dia masuk!" Arah Anif. Lelaki itu melangkah semula ke arah muka pintu sebelum membawa Suraya bersama dalam dukungannya. Rata-rata anak buah Anif, memang rapat dengan Suraya.
"Uncle Anip, Uncle Anip...Tadi, Aya ada belikan coklat untuk Uncle Anip. Nah..." Kata suara kecil itu sebelum menghulurkan beberapa bungkusan coklat ke arah Anif yang berkira-kira untuk menyambutnya.
"Kenapa kau bagi aku coklat?" Mahu tidak mahu, Anif terpaksa juga menerima coklat-coklat itu.
"Sebab tolong Aya masuk sekolah. Uncle Zeri dengan Uncle Zera cakap, kita kena selalu cakap terima kasih dekat orang yang dah bantu kita. Terima kasih Uncle Anip." Kata si kecil itu sebelum melabuhkan satu kucupan singkat pada pipi Anif tiba-tiba. Lelaki itu terkedu sejenak.
"Bye Uncle Anip." Tubuh kecil itu menghilang di sebalik muka pintu. Anif terkebil-kebil cuba mencerna insiden tadi. Pipi yang baru dicium oleh Suraya dipegang sebelum dia menggelengkan kepalanya.
"Entah gosok gigi ke tidak budak tu..." Rungutnya. Dia memandang kosong coklat-coklat yang berada di atas meja. Wajah tegas anak-anak buahnya dipandang silih ganti.
"Korang nak coklat-coklat ni?" Serentak kesemua lelaki itu mengangguk sambil tersengih. Siapa tak suka coklat woii. Anif melepaskan keluhan berat. Cakap pasal makanan je, nombor satu. Kutuknya sebelum turun dari atas meja kerjanya.
"Aku nak keluar kejap. Jaga kubu kita. Jangan sampai pihak musuh lepas masuk. Anything, just call me." Arahnya sebelum melangkah keluar dari bilik bawah tanah itu.
"Wuish, ada macam-macam jenis coklat wei. Ada Kitkat, Cadbury...Kutip cepat wei, sebelum bos masuk balik." Lelaki-lelaki itu mula berebut mengutip coklat-coklat yang ditinggalkan di atas meja oleh Anif. Bolehlah buat jajan waktu berjaga malam nanti. Takdelah mengantuk sangat.
"Ezra!" Laung Anif dari ruang tamu. Tidak lama selepas itu, kelihatan Ezra dan Azri beriringan masuk ke dalam rumah sambil menjinjit beberapa buah beg plastik di tangan mereka. Dahi Anif berkerut melihat plastik-plastik yang penuh dengan barangan dapur itu.
"Korang ni beli barang masak banyak-banyak ni, nak buat kenduri tahlil ke?" Sindirnya. Azri menjeling tajam wajah sinis Anif. Mulut tu jaga sikit!
"Err, tak bos. Kan start esok, Suraya nak pergi sekolah. Kami kalau boleh, nak dia bawak bekal setiap hari. Tak mau dia makan makanan dekat kantin tu. Sekarang ni kan, banyak kes keracunan makanan. Kami risau." Jelas Ezra sebelum menyiku lengan Azri yang sejak tadi memandang Anif dengan tatapan tidak puas hati. Nasib lelaki itu tidak sedar tatapan maut Azri. Kalau tidak, pasti kena belasah teruk lelaki itu nanti.
"Apa-apa jelah. Aku nak pesan, korang tengok-tengokkan sikit budak-budak kat bawah tu. Buat kerja macam hampeh." Pesannya dengan kasar sebelum menghayunkan langkah ke arah sofa mewahnya. Punggung lantas dihenyakkan di atas permukaan lembut dan empuk itu. Kepala disandarkan di dada sofa berkenaan. Lega sikit sakit kepalanya.
"Baik bos. Nanti, kami tengok-tengokkan." Balas Azri dan Ezra serentak. Kedua lelaki itu saling berbalas pandangan sebelum mencebik.
"Lagi satu. Tolong jaga anak angkat kesayangan korang tu. Pening kepala aku nak melayan dia." Rungutnya tiba-tiba. Azri sudah mengepal penumbuknya, menunggu masa untuk melayangkan buku lima itu ke muka tampan Anif. Lantaklah nak jadi apa pun, lelaki itu perlu diajar. Sombong sangat.
"Dia budak-budak lagi bos. Lama-lama nanti, okaylah tu. Lagipun, lepas ni, dia dah masuk sekolah. Mesti tahu apa yang elok dan apa yang tidak. Bos jangan risau ya..." Pujuk Ezra dengan nada yang lembut.
"Alah bos, biasalah budak-budak. Esok lusa, bos pun kena hadap jugak. Dah kahwin nanti, kena layan anak bini. Lagi perit hidup bos nanti." Perli Azri tanpa mengendahkan jelingan Ezra di sebelah. Peduli apa aku! Mata Anif masih terpejam rapat. Tidak dinafikan, kata-kata Azri itu ada benarnya. Lepas dia kahwin nanti, dia perlu menghadap kerenah isteri dan anak-anaknya. Lagi susah! Memikirkan soal itu saja sudah cukup membuatkan Anif sakit kepala.
"Haih, pening kepala aku ni." Keluhnya dengan kesal. Tidak bolehkah dia hidup sebatang kara seperti ini sampai bila-bila? Lagi aman hidup. Tak perlu hadap ragam-ragam manusia yang kadang menjejaskan mental dan emosi.
♡Selamat membaca
Share this novel