Completed
                        
68208
                    Tiba di rumah anak-anak yatim, semua pelajar turun dari bas. Nurul membaca papan tanda di hadapan rumah itu. Teratak Az-Zahra. Kemudian, dia memandang Cikgu Zulkifli dan Cikgu Syuhada sedang berbual dengan gadis cantik.
Nurul mengamati wajah gadis itu. Siapa gadis itu? Kenapa aku seperti pernah melihat wajahnya?
Tak lama kemudian, Arshad dan Qaisara selaku ketua dan penolong ketua lawatan itu mengarahkan peserta berkumpul. Mereka dibawa berjumpa dengan gadis yang berbual dengan guru pengiring mereka tadi.
Irfan mengecilkan matanya memandang wanita itu. Dia seakan mengenali gadis itu. Itu bukan ke...
“Assalamualaikum, adik-adik semua. Nama akak, Sharifah Aulia Afiqah. Panggil sahaja Kak Lia. Akak bukanlah pemilik tempat mahupun penghuni Teratak Az-Zahra ni. Akak hanyalah orang yang selalu berkunjung ke tempat ini dan bermain dengan mereka semua. Namun begitu, Umi Zahra selaku tuan pemilik tempat ini, meminta bantuan akak untuk mengenalkan tempat ini pada awak semua. Ada soalan?”
Fatin menyiku Nurul. Dia berbisik, “Muka akak tu macam muka kaulah, Nurul.”
Amira turut menyiku Nurul. Dia turut berbisik, “Haahlah. Ada iras-iras.”
Nurul memutar bebola matanya. Dia malas mahu melayan.
Seorang peserta lelaki mengangkat tangan. “Umur akak berapa?”
Semua peserta memandang peserta lelaki yang bertanya itu. Irfan berbisik dalam hati, amboi, budak ni! Tahulah Kak Lia cantik, agak-agaklah pun. Err... tapi lebih bagus dari dia pergi mintak nombor telefon kan?
Aulia tersenyum. “Umur akak... umur tingkatan lima tambah dengan sepuluh. Bahagi sembilan. Lepas tu, darab tujuh. Siapa boleh jawab, akak bagi hadiah.”
Semua terpinga-pinga. Mereka semua cuba mengingati soalan itu tadi. Nurul mengira di dalam otaknya. Dia mengangkat tangan.
“Iya, apa jawapan adik?”
Nurul terdiam seketika. Dia rasa sesuatu yang dia sendiri tdak tahu apabila Aulia memanggilnya, adik. Apabila semua peserta memandangnya. Dia cuba untuk tidak memikirkan perkara lain. “Ermm... Dua puluh satu?”
Aulia tersenyum manis. “Ulang soalan saya tadi dan huraikan serta berikan jawapannya. ”
“Umur tingkatan lima iaitu 17 tahun, tambah dengan 10, sama dengan 27. Kemudian bahagi sembilan, jadi tiga. Tiga darab tujuh, dua puluh satu.”
Aulia masih tersenyum. “Pandai! Nanti akak bagi hadiah. Ada soalan lagi?”
Irfan mengangkat tangan. “Berapa umur semua penghuni Teratak Az-Zahra?”
“Good question, Shazril Irfan.”
Nurul mengerutkan dahi. Kak Aulia tahu nama Irfan?
Aulia menjawab soalan Irfan. “Umur yang paling tua dalam Teratak Az-Zahra ni dalam lingkungan 14 hingga 16. Dan umur yang paling muda ialah 4 hingga 5 tahun.”
Nurul sekali lagi mengangkat tangan. “Berapa orang penghuni Teratak Az-Zahra dan bila Teratak Az-Zahra ditubuhkan?”
“Terima kasih kerana bertanya. Bilangan penghuni dalam rumah ini akak tak tahu sebenarnya. Tapi boleh dikira dalam 40-50 orang macam tu. Teratak Az-Zahra ditbuhkan enam tahun yang lalu. Akak tahu tempat ni pun lima tahun yang lalu. Akak selalu datang dengan adik akak. Tapi sekarang seorang sahajalah.” Aulia tersenyum kelat.
Nurul dapat menangkap kesedihan di mata Aulia. Dia berasa simpati. Pasti dia kehilangan adiknya. Kesian...
“Ada soalan lagi?” soal Aulia menyembunyikan kesedihannya.
Semua peserta lawan menggelengkan kepala.
“Baiklah, awak semua bolehlah jalan-jalan kat tempat ni. Berkenalan dengan semua orang dekat dalam ni.”
Semua peserta bersurai kecuali Irfan.
Nurul menyedari Irfan sahaja yang tidak pergi berjalan melawat tempat ini. Dia pelik. Bagaimana Kak Lia tahu nama Irfan? Hmm... mungkin mereka saling mengenali.
NURUL duduk seorang diri di taman mini. Taman itu dipenuhi bunga-bunga yang mekar. Peserta lain sedang berseronok melayan kerenah budak di dalam rumah dan taman permainan.
Tiba-tiba Nurul terlihat seorang kanak-kanak perempuan berjalan seorang diri. Dia melihat bunga-bunga. Leka dia melihat bunga-bunga sehingga tidak sedar akan kewujudannya di situ.
Tatkala kanak-kanak itu berpusing, matanya terbuntang luas melihat Nurul yang memerhatinya. Dia lari sembunyikan diri di sebalik pokok bunga.
“Hei, jangan takut. Akak takkan apa-apakan awak,” pujuk Nurul. Kakinya melangkah menghampiri tempat kanak-kanak itu bersembunyi. Kanak-kanak itu hanya memandang wajah Nurul.
“Siapa nama adik?” soal Nurul.
“A...ri... ana,” jawab kanak-kanak itu takut-takut.
Nurul mencangkung. “Oh, Ariana. Nama akak Nurul Andriana Antasya. Ariana boleh panggil akak, Kak Nurul.”
Ariana masih kaku di tempat persembunyiannya. Nurul cuba memikirkan sesuatu agar Ana tidak takut dengannya. “Ermm... Ariana suka bunga ya?”
Ariana mengangguk perlahan.
“Akak pun suka bunga,” jelas Nurul.
Mata Ariana bercahaya. “Akak pun suka bunga?”
Bibir Nurul mengukir senyuman. Dia menngangguk. “Ariana tak nak tengok bunga lagi ke? Kalau Ariana duduk situ mana nak nampak bunga?”
Ariana mengerutkan keningnya. Mungkin berfikir tentang kata-kata Nurul. Tak lama kemudian, dia keluar dari tempat persembunyiannya. Dia melihat bunga-bunga yang memenuhi taman itu.
Nurul tersenyum melihat gelagat Ariana yang comel itu. dia terfikir, berapa umur Ariana? Tengok macam 4 hingga 6 tahun. Tapi, budak-budak sekarang, pendek macam darjah satu tapi hakikatnya umur 13 tahun. “Ariana berapa tahun?”
Ariana menunjukkan semua jari tangan kanannya sambil berkata, “Lima!”
“Ariana, boleh tak akak panggil Ariana, Ana je?”
Ariana terkebil-kebil. “Kenapa? Akak tak suka nama Ariana ke?”
Nurul menghela nafas. “Bukan akak tak suka. Tapi akak saja nak panggil Ana. Kalau Ariana tak suka takpelah. Akak boleh je panggil Ariana.”
Ariana melihat atas. Mungkin sedang berfikir. “Boleh. Tapi akak je boleh panggil Ariana, Ana. Orang lain tak boleh.”
Nurul tergelak kecil. “Kenapa pulak?”
“Sebab akak cantik. Macam Kak Lia. Akak adik dia ke?” tanyanya.
Nurul menggeleng. “Taklah. Mungkin muka kitaorang memang iras-iras kut.”
Kening Ariana berkerut. “Iras-iras tu apa?” soalnya dengan wajah polos.
Nurul mengetap bibir. Alahai, comelnya budak ni! Nak je aku cubit-cubit pipi dia! “Iras-iras tu macam lebih kurang samalah.”
Ariana mengangguk faham.
Ariana dan Nurul berbual bersama. Mereka kelihatan seperti sudah lama kenal. Nampak seperti adik dan kakak pun ada.
Tanpa mereka sedari, Aulia leka memerhati gelagat mereka berdua. Tiba-tiba bahu Aulia dicuit seseorang. Dia menoleh. Irfan.
“Khusyuk akak tengok diorang tu. Kenapa?” soal Irfan ingin tahu.
Aulia menggeleng kecil. Dia menghela nafas perlahan. “Ariana satu-satunya budak yang duduk dekat sini dari dia masih bayi. Dia dibuang oleh ibu bapanya dengan penuh kejam. Umi Zahra jumpa dia terbuang di tepi jalan. Dahulu, Ana yang jaga Ariana dari sekecil bayi. Tapi selepas dia tiada. Akak mengambil alih tempatnya. Nama Ariana tu, dia yang bagi. Semua sebab namanya Andriana. Dia mahu nama bayi itu ada kaitan dengan namanya,” ceritanya. Air mata mula bergenang. Aulia mengesat air matanya. Sayu hatinya melihat Ariana bersama Nurul. Alangkah bagusnya, Andriana masih ada sekarang.
Irfan terdiam. Matanya tak lepas memandang Nurul dan Ariana.
Share this novel