Bab 10

Romantic Comedy Completed 68208

Empat tahun telah berlalu...

Nurul bersemangat untuk hadir ke sekolah. Hari ini merupakan hari dimana pelajar tingkatan tiga mengambil keputusan PT3. Eee... tak sabarnya aku nak ambil result! Aku harap result aku dapat membanggakan ibu dan ayah. Aamiin...

Nurul berjalan menuju ke dataran perhimpunan. Langkah kakinya laju menuju ke satu kumpulan pelajar perempuan yang sedang berbual kosong. “Assalamualaikum,” sapa Nurul sebaik sahaja tiba di hadapan kumpulan itu.

“Waalaikumussalam. Happy kau hari ni?” soal Amirah pelik. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Dah semestinya!” Nurul menyambut tangannya lalu bersalaman dengan setiap orang dalam kumpulan itu. Kemudian dia duduk bersila menyertai kumpulan itu.

“Gilalah kau ni!” ulas Nadiah. Nurul hanya menjungkitkan kening sebelah tanda bertanya, gila? Apakah?

“Ha’ah. Orang lain punya lah nervous sehinggakan semalaman tak dapat tidur. Kau pula, boleh tersenyum sampai telinga?” tanya Husna. Dia menyokong kata-kata Nadiah.

Itukah yang dimaksudkan Nadiah tadi? “Of course! Tapi aku tak adalah gila! Apa yang menjadi masalahnya jika aku terlebih happy?” soal Nurul. Dahinya berkerut-kerut tidak mengerti mengapa semua kawannya tidak berpuas hati apabila dia senang hati pada hari ini?

Apa-apa sajalah mereka ini! Aku mahu gembira pun salah ke? Aku yang happy mereka pula yang panas, apahal?! Ini pun sudah kira baik dari aku asyik menangis mengenangkan result PT3 yang bakal kita tahu pada hari ini. Apa yang mengerikan sangat tentang ‘mengambil slip keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga?’ Lagipun, hidup mesti sentiasa cool, beb!

“Memang bermasalah! Bagaimana kau boleh gembira di saat semua orang gemuruh ingin mengambil keputusan peperiksaan terbesar? Bukan peperiksaan pertengahan tahun mahupun bulanan, tapi PT3, beb! Dan kau macam confident saja bagaikan kau sudah tahu kau bakal mendapat straight A’s!” terang Sabreena. Wajahnya jelas menunjukkan dia tidak puas hati dengan Nurul.

“Ya, betul itu!” sokong Fatihah. Yang lain hanya mengangguk tanda setuju.

“Okey. Sebenarnya, aku sendiri tak pasti mengapa aku boleh terlebih gembira nak ambil result. Arghh, tak kisahlah! Sekarang kau semua beritahu sebab mengapa perlu berasa gemuruh? Just relax and be cool, okay? Tawakal sajalah. Tak kisahlah dapat result macam mana sekalipun. Tapi cuba fikir, macam mana kita berusaha gigih sehingga kita boleh dapat result yang sebegitu. Last but not least, Aamiin... minta-mintalah mulut kau masin, Sabreena! Aku pun harap kau semua dapat straight A’s,” ucap Nurul. Bukan main panjang dia berceramah!

Serentak itu, kelima-lima gadis itu meraup wajah sambil berkata, “Aamiin...”

Fatihah tersengih lalu berkata, “Harapnya, mulut kau pun masinlah ya?” semua gadis dalam kumpulan itu tertawa mendengar kata-kata Fatihah.

“Apa yang mulut masinnya? Mengapa kau semua ketawa?” soal Nabilah yang baru tiba di sekolah. Lebih kepada menyampuk sebenarnya! Dia bersalaman dengan setiap gadis dalam kumpulan itu.

“Nurul doakan kami semua dapat straight A’s dalam PT3. Kami sekadar Aamiinkan saja. Selepas itu, Fatihah cakap, harapnya mulut Nurul masin. Itu sahaja,” terang Husna kepada Nabilah yang baru sahaja duduk.

“Oh, I see...”

Amirah turut mendoakan Nabilah. Dia bimbang jikalau Nabilah kecil hati disebabkan dia datang lewat sedikit. “Aku pun harapkan kau dapat straight A’s!” serentak semua gadis di situ mengaminkan doa Amirah.

Tidak berapa lama kemudian, kedengaran suara Izzah, pengawas sekolah memberi arahan, “Semua pelajar tingkatan tiga diminta beratur mengikut kelas masing-masing.”

“Eh, dah beraturlah! Jom, jom!” ajak Husna seraya berdiri diikuti Nadiah dan yang lain. Mereka beriringan berjalan menuju ke barisan kelas 3 Arif. Mereka semua sememangnya belajar di dalam kelas yang sama.

Seusai sahaja taklimat dan ucapan daripada pengetua, pelajar tingkatan tiga dibenarkan mengambil keputusan di meja kelas masing-masing di dewan terbuka. Setiap meja kelas dijaga oleh guru kelas masing-masing. Nurul dan kawan-kawannya bergerak ke dewan terbuka untuk mengambil slip keputusan mereka. Setibanya di dewan terbuka, mereka berbaris.

Tiba-tiba sahaja tubuh Nurul menggigil. Tangannya mulai menggeletar. dia berasa gemuruh. Allahu Akbar! Mengapa aku teras gemuruh ni? Itulah kau, Nurul! Tadi beria confident nak ambil result. Sekarang rasakan! Nurul Andriana Antasya, just keep calm, okay?

Nurul cuba menenangkan dirinya. Kira-kira lima belas minit kemudian, tiba giliran Nurul untuk mengambil slip PT3nya. Dia melabuhkan punggung di kerusi yang berhadapan dengan Puan Delisha iaitu guru kelasnya. Puan Delisha memberikan senyuman yang manis kepada anak muridnya sebelum mencari slip keputusan Nurul. Nurul membalas senyuman gurunya dengan senyuman yang kurang berperisa. Haih, cikgu ini dah kenapa? Senyum saja. Senyuman itu tak nampak macam kelat mahupun payau pun. Tapi... argh, tak kisahlah tentang senyuman cikgu. Apa yang penting result aku!

“Tahniah, Nurul,” ucap Puan Delisha lalu memberikan slip PT3 kepada Nurul. Nurul mengambil slip tersebut lalu melihat dan mengira jumlah gred A yang berjaya diperolehinya. 1, 2, 3... 10 kesemuanya. Eh, biar betul! Straight A’s?!

Nurul memandang wajah Puan Delisha ingin mendapatkan kepastian. Puan Delisha mengangguk cuba meyakinkan Nurul. Ish, biar benar! Sungguh sukar untuk aku mempercayai! Benarkah ini slip aku? Jangan-jangan slip orang lain tak?

Nurul segera membaca nama dan angka giliran yang tertera di dalam slip itu. Nama? Betul. Angka giliran? Juga betul. Semuanya benar belaka! Syukur Alhamdulillah...

“Terima kasih, cikgu!” ucap Nurul sambil bangun dari kerusi. Dia menyalam dan mengucup tangan guru kelasnya. Kemudian, dia meluru ke arah Sabreena yang berbual kosong dengan Amirah, Nadiah, Husna, Fatihah, dan Nabilah.

“Sabreena, thanks!” ucap Nurul lalu berjalan laju keluar dari perkarangan dewan terbuka. Dia sudah tidak sabar ingin memberitahu berita ini pada ibu bapanya. Ya Allah, terima kasih! Sungguh tidak menyangka!

Aku tekad mahu belajar bersungguh pada tahun-tahun yang akan datang. Aku tekad aku mahu medapat semua A dalam SPM dua tahun lagi! Dan aku harap, permohonan aku lulus ataupun aku dapat tawaran untuk belajar di sekolah berasrama!

Nurul mengucup perlahan slip keputusan PT3 di tangannya. Terima kasih, ya Allah!

NURUL berjalan kaki menuju ke peti surat yang terletak di antara dua bangunan pangsapuri. Ya, dia sekeluarga hanya tinggal di sebuah rumah pagsapuri yang terletak di Shah Alam. Puan Naqibah, ibunya yang menyuruh dia menjenguk peti surat yang sudah hampir tiga minggu tidak dijenguk. Al maklumlah dia dan ibu bapanya bukannya rajin sangat mahu menjenguk peti surat. Dah disebabkan peti surat itu agak jauh dari rumahnya. Malaslah mahu pergi setiap hari. Nurul membetulkan tudung bawal hitam yang membaluti kepala. Dia memasukkan kembali tangannya ke dalam poket track bottom setelah berasa agak selesa.

Tiba sahaja di ruang peti surat, Nurul segera mengeluarkan kunci lalu membuka peti surat yang tertulis nombor rumahnya di pintu peti itu. Dia mengeluarkan semua surat dan kertas di dalam peti tersebut sebelum kembali mengunci peti surat itu. Dia mengorak langkah pulang ke rumahnya. Sambil dia berjalan, dia membaca tulisan-tulisan yang tertera di sampul surat dan kertas di tangannya. Tiba-tiba pergerakan tangannya terhenti pada satu sampul.

Nurul Andriana Antasya

Pangsapuri Kejora, K2-02-13,

Laluan Taman Murni Jaya,

Seksyen 9, 40250

Shah Alam, Selangor

Tangan Nurul laju membuka sampul tersebut. Dia mengeluarkan isi sampul itu lalu membuka lipatan surat. Dia membaca isi warkah itu dengan teliti. Matanya membulat. Mulutnya sedikit terlopong. Biar betul ni? Atau ada orang nak kenakan aku? Nurul membaca isi surat itu sekali lagi sehingga dia mempercayai isi surat itu. Dia yang tadi berjalan, terus membuka langkah seribu. Surat ni mesti ditunjuk pada ibu. Wajib! Aku rasa bagaikan berada di dalam mimpi sahaja.

Tiba di hadapan rumahnya, Nurul pantas mendaki tangga sehinggakan dia melangkah dua anak tangga. Sambil itu, mulutnya menjerit memanggil ibunya, “Ibu! Ibu! Ibu!”

Nurul terus meluru masuk ke dalam rumah tanpa menutup mahupun mengunci pintu. Puan Naqibah yang sedang menonton televisyen pelik melihat anak gadisnya itu. Dia bertanya, “Nurul ni kenapa? Dari tadi asyik panggil ibu sehinggakan pintu pun tak ditutup.” Nurul terus menghulurkan surat yang dibacanya tadi kepada tanpa mempedulikan soalan ibunya. Puan Naqibah terus menyambut lalu membaca isi surat itu.

SURAT TAWARAN BELAJAR DI SEKOLAH BERASRAMA PENUH TAIPING

Mata Puan Naqibah berkaca. “Alhamdulillah, tak sia-sia usaha Nurul selama ini. Dapat juga Nurul bersekolah di SBP.”

Nurul mengangguk sambil tersenyum kecil. “Ibu, Nurul nak telefon ayah. Nurul nak beritahu berita gembira ni.” Puan Naqibah mengangguk tanda memberi kebenaran. Nurul pantas mengambil telefon bimbitnya. Eee... tak sabarnya nak beritahu ayah!

NURUL melipat baju-bajunya sambil menonton televisyen yang menayangkan cerita Bila Kau Datang. Sudah berulang kali cerita itu ditayangkan di kaca televisyen. Namun, dia tetap tidak jemu menonton. Lakonan Nabil Ahmad dan Liyana Jasmay serta kanak-kanak perempuan yang tidak diketahui namanya menggelikan hati Nurul.

Hajah Hamizah yang tadi mengemas dapur melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu. Dia menyoal cucunya,“Nurul, Nurul yakin mahu bersekolah asrama?”

Nurul berpaling memandang wajah opahnya. Wajah gadis itu tampak ceria sahaja. “Opah, dah tentulah, Nurul yakin. Tambahan pula dari Nurul berumur 8 tahun, Nurul sudah menyimpan impian mahu bersekolah asrama,” jawabnya lalu kembali melipat baju.

“Kalau begitu, baguslah! Asalkan Nurul tak rasa seperti terpaksa bersekolah asrama. Nurul, nanti apabila kamu dah mula bersekolah, ingat apa yang opah mahu pesan pada kamu ini.” Kata-kata Hajah Hamizah mematikan pergerakan tangan Nurl yang melipat baju. Dia memusingkan tubuhnya menghadap opahnya.

“Jangan sesekali lawan cakap guru dan senior. Kerja sekolah pastikan siap sebaik sahaja guru suruh Nurul hantar. Kerja jangan buat last minute. Jangan cari gaduh dengan orang ataupun bersubahat dengan kawan yang ingin melakukan kejahatan. Patuhi peraturan sekolah, arahan guru, nasihat senior. Hormat senior dan guru itu sebagaimana Nurul hormat pada ibu, ayah dan adik-beradik Nurul. Anggap senior itu seperti seorang kawan ataupun kakak dan abang Nurul. Jangan takut senior mahupun pengawas melebihi daripada takut pada guru. Jaga maruah diri, kesihatan diri dan tutur kata. Jadi seorang yang berdisiplin, rendah diri dan menepati masa. Faham?” tanya Hajah Hamizah setelah menasihati cucunya panjang lebar.

Nurul mengangguk. Dia mengangkat tangan kanannya separas bahu lalu berkata, “Nurul janji, Nurul akan ikut dan ingat segala pesanan opah.”

Hajah Hamizah tersenyum. “Baguslah sekiranya begitu. Ha, lagi satu! Jangan bercinta di sekolah. Sekolah tempat belajar bukan tempat bercinta. Ada faham?”

“Faham, opah!” Bercinta zaman belajar? Oh no! Itu bukan prinsip aku! Kalau setakat minat dalam diam itu, tak kisahlah! Tapi bercinta? Kalau mahu bercinta, lebih baik tak payah datang sekolah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience