Bab 13

Romantic Comedy Completed 68208

Tamat sahaja ucapan dari pengetua, pengerusi majlis iaitu pengawas mengarahkan pelajar bersurai. Mereka dikendaki mencari pengawas yang ditugaskan untuk membawa mereka melawat sekeliling sekolah. Nurul dan Aisyah bergerak keluar dari kelas. Mata mereka melilau mencari pengawas yang menjaga kelas mereka.

Tak lama kemudian, Aisyah terlihat dua orang pengawas berlainan jantina sedang memegang kad besar yang tertulis, 4 Akaun 1. Dia mencuit Nurul. Nurul menoleh Aisyah yang memuncungkan mulut pada pengawas tadi. Dia mengajak Nurul mendekati pengawas itu. Nurul hanya mengikut. Mereka berdua dan beberapa orang pelajar bergerak menghampiri kedua-dua pengawas itu.

“Awak semua ni, pelajar kelas akaun 1 ke?” soal Arlyssa, pengawas yang menjaga meja pendaftaran pagi tadi. semua pelajar di situ mengangguk. Arlyssa terus mengira jumlah pelajar di situ. 1, 2, 3... 19. Eh, bukan setiap kelas 20 orang ke?

Arlyssa mencuit pengawas lelaki yang masih memegang kad besar itu. Pengawas itu menoleh. “Ada 19 orang. Seorang tak cukup.”

Pengawas lelaki itu meletakkan kad besar di atas lantai lalu mencapai kertas yang tertulis nama pelajar. Dia melihat nombor terakhir di dalam kelas itu. “Haah. Lagi seorang tak sampai lagi kut.”

Arlyssa mengangguk perlahan. Dia memandang junior di hadapannya. Mereka semua sudah mula berasa panas. Maklumlah, matahari sudah pun berada tegak di atas kepala. Arlyssa pun mengeluarkan arahan, “Awak semua duduk sekejap. Ada lagi seorang tak sampai.” Semua pelajar 4 Akaun 1 menurut tanpa sepatah kata.

Tak lama kemudian, datang seorang pelajar lelaki berlari menghampiri mereka. pengawas lelaki itu bertanya, “Awak kelas 4 akaun 1 ke? Mengapa lewat?”

Pelajar itu mengangguk. “Maaf, bang. Saya pergi tandas tadi.”

Pengawas itu mengangguk lalu mengeluarkan arahan, “Awak semua boleh bangun. Ikut abang dengan akak. Jangan berpecah dan tolong jalan ikut barisan, ya?”

Sekali lagi pelajar tingkatan 4 itu mengangguk. Kedua-dua pengawas itu berjalan menuju ke sebuah pondok setelah mengambil barang-barang mereka. “Semua sila tanggalkan kasut. Kita duduk di sini. Duduk dalam satu bulatan.” Pelajar itu akur dengan arahan pengawas lelaki itu. Mereka mula membuat bulatan sebelum melabuhkan punggung.

Pengawas lelaki itu kembali bersuara, “Nama abang, Haikal Tarmizi. Awak semua boleh panggil abang, Abang Haikal.”

Kemudian, Arlyssa memperkenalkan dirinya, “Nama akak pula, Putri Arlyssa. Awak semua boleh panggil, Kak Lyssa. Akak dan abang ditugaskan untuk membawa awak semua melawat sekeliling sekolah tapi sebelum kita pergi buat aktiviti itu, akak mahu awak semua pula memperkenalkan diri awak masing-masing. Boleh, semua?”

“Boleh!” sahut semua pelajar 4 Akaun 1. Seorang demi seorang memperkenalkan diri masing-masing.

Nurul menyiku lengan Aisyah perlahan lalu berbisik, “Aisyah, cantik kan Kak Lyssa ni? Padan dengan namanya.”

Aisyah hanya mengangguk tanda bersetuju. Tiba giliran Nurul memperkenalkan diri, dia mulai menyebut nama, tempat tinggal, dan nama sekolah lamanya.

HARI ketiga sekolah, Irfan menumpukan sepenuh perhatian sewaktu Puan Anita mengajar mata pelajaran Matematik Tambahan. Salah satu subjek yang digemarinya. Seusai loceng berbunyi menandakan waktu Puan Anita mengajar sudah tamat, pelajar tingkatan 5 Akaun 1 memberi ucapan terima kasih pada guru mereka.

Sebaik sahaja Puan Anita keluar dari kelas, kelas tersebut mulai riuh rendah dengan suara pelajar-pelajar. Mereka ini memang tak makan saman, ada ketua pelajar dalam kelas pun, tak pandai-pandai lagi mahu duduk diam!

Arlyssa yang duduk di belakang Irfan asyik mengerling jam di tangan sedari tadi. sesekali dia memandang Irfan yang khusyuk membuat kerja sekolah yang baru diberi Puan Anita. Ish, dah pukul 9.25 pagi ni! Irfan ni perasan ke tak jam dah pukul berapa? “Irfan!”

Irfan segera berpaling memandang Arlyssa. Kening sebelah kanannya diangkat sedikit tanda bertanya, ‘apa?’

Arlyssa mengetuk-ngetuk cermin jam tangannya. Kening Irfan semakin terangkat. Dia tidak mengerti apa yang ingin disampaikan gadis itu. Arlyssa mengetuk cermin jamnya lagi. Kemudian, jarinya ditunding ke dada Irfan. Dia melakukan kedua-duanya silih berganti.

Dahi Irfan berkerut seribu. Apakah? Dia memandang pergelangan tangan kanannya. Allah! Aku terlupa pakai jam ke?

Irfan memandang Arlyssa kembali seraya tersengih kecil. Dia menunjukkan pergelangan tangannya yang kosong tanpa jam. Sebenarnya, jejaka itu menyangka Arlyssa ingin memaklumkan padanya bahawa dia tidak memakai jam. Arlyssa membuat mimik muka seakan berkata, ‘Cis, tak pakai jam rupanya! Hampeh betul!’

Arshad yang duduk di sebelah Irfan, memandang ke belakang. Dia mengerutkan kening. Pelik melihat kawan dan teman wanitanya bercakap dengan bahasa isyarat. “Kauorang berdua ni mengapa? Dah bisu ke sehingga bercakap guna bahasa isyarat?”

Irfan mengerling tajam kawannya. “Uishh... Mulut! Kau nak kami jadi bisu ke?”

Arshad menyengih. “Tak adalah sampai macam tu! Aku pelik dengan kauorang berdua ni, tak reti nak bukak mulut ke apa?”

“Gilfriend kau ni, ha! Nak bagitahu aku tak pakai jam,” terang Irfan.

Arlyssa menepuk dahi perlahan. Allahu Akbar, tak faham rupanya mamat ni! “Saya bukan nak cakap awak tak pakai jamlah! Saya nak cakap pasal mesyuarat pengawas hari inilah!” marah gadis itu.

“Laa... Awat hang tak habaq? Dari tadi pakai bahasa isyarat apahal? Manalah saya faham... Lagipun, bukan ada cikgu pun... Oh ya, hampir terlupa pula pasal mesyuarat! Hmm... kenapa dengan mesyurat tu?” tanya Irfan lagi.

Arshad memandang Irfan. “Kau ni memang semua lupa! Hari pertama, lupa kot dengan spec. Hari ni lupa jam, lupa meeting! Macam umur dah masuk 71 tahun je...” kutuk jejaka itu.

Irfan mengetap bibir. Dia menjeling Arshad tajam “Kurang asam punya kawan! sesedap rasa kau saja mengutuk aku, ya?”

Arshad menyengih lagi. “Fakta, bro!”

Irfan memandang Arlyssa kembali. “Kenapa dengan mesyuarat tu?”

“Mesyuarat tu start pukul 9.25. Sekarang dah pukul 9.27, dah!” jawab Arlyssa.

“Hah, betul ke?” tanya Irfan. Dia terkejut. Dia memandang pergelangan tangannya sebelum merengus. Dah tahu tak pakai jam lagi mahu lihat jam! Irfan mengutuk dirinya sendiri.

“Ha, ha! Tengok jam lah tu... Fan, jam kau tertinggallah! Lupa lagilah tu!” kutuk Arshad lagi. Irfan mengerling tajam kawannya sekali lagi. Heh, mamat ni! Perasan aje! Lantas Irfan menyekeh kepala kawannnya setelah berdiri.

“Woi! Habis rambut aku!” marah Arshad. Irfan malas mahu melayan kawannya. Dia menggerakkan kepala ke kanan sedikit tanda mengajak Arlyssa pergi ke bilik pengawas. Arlyssa hanya menurut tanpa kata.

Irfan dan Arlyssa berjalan beriringan menuju ke bilik pengawas. Sambil-sambil itu, mereka berbual kosong. Tiba-tiba satu suara menyapa, “Hai, Kak Lyssa!”

Serentak mereka menoleh. Kelihatan Nurul dan Aisyah yang membawa buku tersenyum manis memandang mereka berdua. “Oh, hai! Nurul, Aisyah! Awak berdua dari mana ni?” tanya Arlyssa.

“Kami dari makmal biologi,” terang Aisyah. Serentak kening Irfan dan Arlyssa berkerut.

“Makmal Bio? Awak berdua kelas akaun, kan? Macam mana boleh pergi ke makmal Bio?” soal Arlyssa. Pelik? Bagaimana pula pelajar kelas akuan boleh masuk ke makmal biologi? Lainlah kalau pelajar kelas sains yang sememangnya belajar subjek Biologi.

“Memanglah kak! Entah apa mimpi Cikgu Maria bawa kami ke makmal bedah katak tu...” ujar Aisyah.

“Agaknya, Cikgu Maria bermimpi menjadi katak pada malam tadi. Itu yang teringin sangat masuk makmal tu sehingga hilang semua ketakutan. Takpun, dia mimpi yang katak dari makmal datang ke rumahnya ingin menuntut nyawa. Itu yang cikgu pergi ke makmal itu, bagi memastikan katak-katak dikurung dan tidak berkeliaran.”

Dengarkan saja kata-kata Nurul, serentak Aisyah, Alyssa dan Irfan menghamburkan tawa. Nurul... Nurul... pepandai kau saja buat teori sendiri!

“Mungkin macam tu kut ceritanya... Cikgu Maria yang selama ini takut pada katak sudah tak takut akibat mimpi yang dialaminya!” sokong Aisyah.

“Ish, pelik betul! Kenapalah orang takut dengan katak. Kasihan dia... Sudahlah dijadikan bahan eksperimen, makhluk yang besar darinya pula takut dan geli melihat dia. Bukan dia yang pinta, mempunyai kulit lembap. Lagipun, katak tu comel apa?”

“Comel?!” serentak ketiga-tiga pelajar itu bertanya dengan riak wajah penuh terkejut. Mata mereka hampir-hampir tersembul keluar.

Irfan mengerutkan dahi. Comel dikatanya? Hodoh adalah...

Aisyah berkata dengan nada tidak puas hati, “Mengarutlah kau ni! Kau fikir, katak itu akan bertukar menjadi seorang putera kacak selepas kau cium dia seperti dalam cerita dongeng?”

Kening Nurul bertaut. “Apa kena-mengena pula? Putera itu hensem, apa yang sama dengan katak yang comel itu? Aku mahu cium katak? Pleaselah... memanglah katak itu comel, tapi aku bukanlah bodoh sangat sehingga mahu cium katak! Nanti tak pasal-pasal dapat penyakit pelik-pelik!” marah Nurul. Ish, sesedap rasa sahaja kata aku cium katak! Err... jijik! Lelaki pun aku tak berani inikan pula katak?! Bibir aku ni terhad untuk yang halal sahaja, okey?!

“Memanglah kau tak bodoh! Tapi kalau sudah si katak itu merayu, ‘Nurul, tolonglah cium aku! Aku ni putera yang disumpah menjadi katak!’ pasti kau akan buat juga disebabkan rasa simpati?” soal Aisyah. Dia siap buat reaksi muka lagi seolah-olah sedang berlakon menjadi seekor katak.

Irfan dan Arlyssa tertawa melihat Aisyah yang berdrama itu.

Nurul mengerling Aisyah tajam. Tak guna kau Aisyah! Kut ya pun tak perlulah sampai buat drama di sini! Eh, kejap katak itu bercakap? “Oh no! Kalau katak itu bercakap, belum habis kata-katanya, aku cabut dulu! Tak kisahlah dia tu sebenarnya hensem macam Zul Ariffin ke Tom Cruise sekalipun... Gila apa katak boleh bercakap? Kau banyak tengok cerita fantasi, lah Ecah!”

“Eh, okey apa? Sekali, katak itu bukan putera biasa, tapi putera bunian! Dia pun bawa kau lari tinggal di alamnya,” usik Aisyah.

“Uishh... Putera bunian? Hensem tu!” ujar Arlyssa pula. Dia turut menyertai Aisyah mengusik Nurul.

Nurul terasa bulu romanya meremang. Dia berasa seram sejuk tatkala mendengar perkataan ‘putera bunian’. “Ish, benda-benda ghaib jangan disebut! Buatnya dia muncul depan mata, tak ke naya?”

Arlyssa tersenyum mengusik. “Eh, Nurul takut hantu? Impressive!”

Aisyah turut sama menyengih jahat. Dia berkata dengan suara yang perlahan, “Hati-hati Nurul. Malam nanti dia tarik selimut kau. Lepas itu dia bawa kau lari!”

Nurul terjerit kecil. Dia memukul Aisyah dengan buku teks Sains. “Ish, jahatlah kau ni! Dahlah, aku tengah ‘bercuti’ sekarang ni!”

Aisyah mengaduh, “Aduh, sakitlah!”

“Padanlah dengan muka kau! Kenakan aku lagi! Ambik kau!” Nurul masih memukul Aisyah.

Arlyssa tergelak kecil. Dia tidak menyangka gadis itu takut dengan hantu.

Irfan tersenyum kecil. Entah mengapa, kelakuan Nurul kelihatan comel di matanya.

“Eh, sudahlah Nurul! Aku panggil hantu raya suruh dia sampuk kau baru tahu!” ujar Aisyah masih mahu menakut-nakutkan Nurul.

“Ha sebut pasal sampuk, kita ni nanti, mesti akan kena sampuk dengan si Farhana!” ujar Irfan setelah sekian lama diam memerhati.

“Hah, Kak Farhana?” tanya Aisyah dan Nurul serentak. Tangan Nurul yang tak henti-henti memukul Aisyah dengan buku teks terus terhenti.

“Kenapa pula kena sampuk dengan kakak singa?” tanya Aisyah pelik.

Dahi Arlyssa dan Irfan berkerut. “Kakak singa? Kenapa awak panggil Kak Farhana itu, kakak singa?” tanya Arlyssa.

“Sebab Kak Farhana tu garang,” jawab Nurul dengan mimik muka. Nada suaranya itu tak ubah seperti seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang baru pandai bercakap yang takut dengan kakaknya yang garang macam singa!

“Dan FYI, Syam yang mula gelar Kak Farhana, kakak singa. Kami ni terjangkit saja,” terang Aisyah pula.

Irfan dan Arlyssa tersenyum simpul seraya memadang antara satu sama lain. “Memanglah Kak Farhana tu garang tapi garangnya bersebab,” jelas Irfan.

Nurul dan Aisyah hanya mengangguk tanda faham. “Eh, kami pergi dululah! Terbanyak berbual pula dengan awak berdua.” Arlyssa meminta diri.

Nurul mengangguk lalu berkata, “Haah, menyesal saya tegur akak tadi. Kami pun dah terlambat masuk ke kelas.”

“Eh, mana boleh menyesal! Memang tanggungjawab kita menegur sesama Muslim,” ujar Irfan pula.

Nurul terdiam. Alahai, Ustaz Irfan ini! Bikin lidahku kelu saja! Kemudian mereka pun berpecah menuju ke hala tuju masing-masing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience