Completed
                        
68208
                    Andriana mengayuh basikal dengan penuh santai. Dia baru sahaja pulang dari kedai runcit bagi membeli beberapa barang dapur. Sedang dia kayuh, tiba-tiba matanya tertancap pada seorang lelaki yang turut sedang mengayuh basikal.
Andriana mengerutkan kening. Siapa lelaki itu? Macam pernah nampak aje... Tapi, kat mana ya? Dia menggaru kepala. Hatinya tergerak mahu mengekori lelaki itu.
Andriana mengayuh basikal perlahan-lahan mengekori lelaki itu. Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dirinya. Ke mana lelaki itu mahu pergi?
Dia ekori lelaki itu sehingga ke suatu tempat yang penuh dengan pokok. Ia kelihatan seperti satu kawasan hutan. Kaki yang mengayuh basikal itu terhenti seketika. “Hutan? Biar betul? Tak takut ke mamat tu sampai nak masuk hutan ni? Dahlah gelap semacam. Tak ada orang pulak tu,” ujarnya sendirian.
Andriana menoleh kiri dan kanan. Dia masih berkira-kira mahu patah balik ataupun ikut sahaja. “Hmm... argh lain kali sajalah aku ekori dia. Nanti opah marah pulak balik lambat,” putusnya.
Andriana mengayuh pulang ke rumah dengan rasa berat hati. Dia ingin tahu apa yang lelaki itu lakukan di dalam hutan itu. Tapi malangnya, rasa takut yang menyelubungi diri menyebabkan dia terpaksa berpatah balik. Sesekali dia menoleh ke belakang melihat hutan itu. Bimbang sekiranya lelaki itu dapat tahu yang ada orang mengekorinya.
ANDRIANA mengayuh laju mengejar Shazril yang jauh di hadapannya. “Shazril, tunggulah saya! Saya nak ikut awak!” jeritnya.
“Aku kata balik, baliklah! Nanti Opah Mizah marah aku pulak! Pergi jelah balik! Tak payah nak ikut aku!” pekik Shazril yang berada beberapa meter di hadapan Andriana.
“Ish, minah ni! Dia tu perempuan! Mana boleh ikut aku pergi memancing. Kalau dia bawak kawan-kawan dia tak apalah, ini dia seorang je! kawan-kawan aku tu semua lelaki!” gumam Shazril.
“Saya tak kira! Saya nak ikut jugak. Bukannya pergi mana pun... Memancing je kan?” soal Andriana tidak mengalah.
“Memanglah! Tapi kawan-kawan aku semua lelaki. Kau je perempuan. Memancing tu pulak hobi lelaki bukan perempuan!” balas Shazril.
“Tak kisah lah hobi lelaki ke perempuan ke, saya tetap nak ikut jugak!”
“Aku kata balik, baliklah! Kalau apa-apa jadi kat kau, aku jugak yang kena! Pergi balik!” marah Shazril. Baran betul dia ni...
“Tak nak! Saya tak nak balik! Saya nak ikut awak! Shazril, tunggulah saya! Janganlah laju sangat! Penat saya nak kejar!” jerit Andriana degil.
“Kau tak payah degil sangat boleh tak, Ana?! Pergi baliklah! Nanti apa-apa jadi kat kau macam mana?” soal Shazril. Dia masih tidak memperlahankan basikalnya.
“Awak kan ada, boleh tengok-tengokkan saya? Saya tak nak balik! Awak, tunggulah saya! Awak!” panggil Andriana.
“Pergilah balik! Tak payah ikut aku! Kau tu tahu nak...” belum sempat Shazril menghabiskan ayatnya tiba-tiba satu jeritan menyapa telinganya.
“Awa... Arrgh!!”
Pantas Shazril menoleh. Kakinya serta-merta berhenti mengayuh. Kelihatan Andriana terduduk ditimpa basikalnya. Mata Shazril membulat. Pantas dia bangun dari basikal lalu berlari mendapatkan Andriana. Basikalnya tadi dicampak ke bawah.
Shazril mengangkat basikal Andriana lalu diletakkan ke tepi. Dia mencangkung di hadapan Andriana. “Tulah, aku dah cakap jangan ikut aku! Kan dah kena!” marahnya.
Shazril memegang lengan Andriana yang terluka. Namun Andriana pantas melarikan lengannya. “Apa awak nak buat ni?”
Shazril merengus. “Buat apa lagi? Bagi lengan kau tu! Aku nak tengok lukanya. Dah tahu sakit masih nak melawan!”
“Tak boleh! Bukan muhrim!” marah Andriana. Dia memang tegas dan jaga dalam batasan pergaulan.
“Tahulah! Tapi masalahnya, sekarang siapa kau nak mintak tolong? Mana ada sesiapa nak lalu sini!”
Andriana rasa berat hati mahu membenarkan Shazril menyentuh lengannya. Shazril meraup wajahnya berkali-kali. “Okey, macam nilah! Aku hantar kau balik. Jom, cepat!” ujarnya lalu bangun dari mencangkung. Dia segera mendapatkan basikalnya. Dia menuntun basikal menghampiri Andriana.
Sementara itu, Andriana cuba bangun dari jatuh. Dia terjerit kesakitan. Dia mencengkam lututnya. Argh.. sakitnya! Shazril menongkat basikalnya lalu berlari menghampiri Andriana. “Lutut kau pun luka ke?!”
Andriana mendongak memandnag Shazril yang berdiri. Dia membuat muka meminta simpati. Shazril menghela nafas perlahan. Dia segera membantu Andriana bangun. Dia memapah perempuan itu ke basikalnya. Andriana langsung tidak membantah.
Shazril membantu Andriana duduk di tempat pembonceng. Kemudian dia duduk di tempat penunggang. Dia mengayuh pulang ke rumah Opah Mizah.
Setibanya di rumah Opah Mizah, wanita tua itu sedang menyiram pokok bunga. Dia terhenti menyiram apabila pelik melihat Shazril yang memapah Andriana masuk ke rumah. Opah Mizah meletakkan getah paip ke tempat asalnya. Pili air ditutup rapat. Dia segera masuk ke rumah.
Opah Mizah terkejut melihat lengan Andriana yang luka. “Astaghfirullah al azim... Macam mana boleh jadi macam ni? Ana? Ril?” soalnya. Dia membelek-belek lengan Andriana yang luka itu. Kemudian dia masuk ke dalam bilik. Beberapa saat kemudian dia keluar dengan sebotol minyak dan kotak tisu di tangan.
“Ril, tolong opah ambilkan sebesen air dekat dapur,” arah Opah Mizah. Shazril hanya menurut tanpa kata.
Tak lama kemudian, Shazril datang dengan sebesen air seprti yang diarahkan. Opah Mizah membasahkan tisu lalu mengelap luka di lengan Andriana dengan berhati-hati. Sesekali Andriana terjerit kecil.
“Macam mana boleh jadi macam ni? Kamu berdua pergi mana sampai Andriana luka-luka macam ni?”
Andriana baru sahaja ingin membuka mulut, Shazril memintas, “Ril yang nak bawak Ana pergi memancing. Ril ejek dia sebab dia lambat sangat. Ana cuba lajukan kayuhan dia tapi last-last dia jatuh.”
Andriana membulatkan mata memandang Shazril. Dia berasa marah kerana Shazril mereka cerita dan sudah tentunya cerita itu menunjukkan bahawa lelaki itu yang salah. padahalnya Andriana yang berdegil mahu mengikut Shazril memancing.
“Ya Allah, Ril! Memancing tu untuk lelaki. Yang kamu pergi bawak Ana sama tu kenapa? Dia perempuan, tak elok memancing. Lagipun kawan-kawan kamu tu semua lelaki. Ana seorang saja perempuan. Kalau jadi apa-apa macam mana?”
Shazril menunduk mendengar leteran Opah Mizah. “Opah bukan marah kamu. Opah nasihat. Lain kali jangan buat lagi. Nak bergurau pun biar bertempat. Faham, Ril? Ana?” soal Opah Mizah.
Shazril dan Andriana mengangguk perlahan.
ANDRIANA menemani Shazril sehingga ke pagar rumah dengan langkah terhincut-hincut. Shazril memegang basikalnya. Andriana terus bertanya sebelum sempat Shazril melangkah menaiki basikalnya, “Kenapa awak reka cerita?”
Perlakuan Shazril terhenti seketika. Keningnya berkerut. “Reka cerita pasal apa?”
Andriana menjulingkan matanya ke atas. Aiseyman dia ni! Buat-buat tak faham pulak... “Kenapa awak reka cerita yang awak ejek saya sampai saya rasa tercabar, bla, bla, bla... kenapa tipu opah sedangkan saya yang degil sangat nak ikut awak?” tanyanya lagi.
Shazril mengangguk perlahan. “Suka hati akulah nak reka cerita pasal bla, bla, bla... tipu opah dan biarkan opah marahkan saya. Ada masalah ke, pada kau?” soalnya selamba.
Andriana mencerlung matanya memandang anak mata Shazril. Eh, suka suki dia je ambil perkataan bla, bla,bla aku tu! “Ya, memang ada masalah! Saya yang salah. Kenapa awak tipu opah dan reka cerita yang menunjukkan awak yang bersalah?”
Shazril merengus. “Eh, suka hati akulah! Yang kau banyak tanya tu kenapa? Kau patut bersyukur sebab opah tak marah kau. Dan kau patut berterima kasih pada aku sebab aku backup kau. Dahlah, aku nak balik. Layan kau ni sampai esok pun tak habis!”
Shazril pantas melangkah menaiki basikal lalu mengayuh laju meninggalkan rumah Opah Mizah. Andriana merengus. Dia menjerit, “Shazril! Saya belum habis cakap lagilah!”
Dia merengus lagi. “Ish, dia ni... tahu nak ikut kepala dia aje,” rungutnya. Dia segera berjalan masuk ke dalam rumah.
SUATU hari, Andriana dan Shazril mengulang kaji bersama di kediaman Nek Maznah, nenek Shazril. Suasana begitu sepi tanpa sepatah kata keluar dari mulut masing-masing. Andriana semakin rasa bosan. Dia memang tak suka mengulang kaji. Membosankan! Dia mengeluh dalam hatinya, aduh, bosannya! Berapa lama lagi nak kena ulang kaji ni? Huh, kan best kalau ada novel sekarang ni...
Andriana menongkat dagu memandang Shazril yang khusyuk mengulang kaji pelajaran. Langsung tidak angkat muka dari tadi. biasalah, Shazril kan sudah masuk 12 tahun. Dia perlu sentiasa serius dan belajar bersungguh-sungguh demi mendapatkan 5A dalam peperiksaan UPSR. Berbanding Andriana yang setahun lebih muda daripada Shazril, dia lebih banyak bermain dari belajar.
Pelik! Biasanya lelaki yang suka main dari belajar. Perempuan pula lebih fokus. Ini, sudah terbalik pula jadinya.
“Boleh tak kalau kau jangan pandang aku macam tu? Rimas tahu tak?!” marah Shazril tanpa mengangkat muka.
Andriana tersentak. Keningnya berkerut. Macam mana Shazril boleh tahu aku pandang dia sedangkan matanya tak berkalih langsung dari buku tu? Apa cantik sangat ke buku tu sampai muka aku yang cun ni, dia tak nak pandang langsung?
Ah, mula dah sikap perasan dia tu!
“Lantak sayalah. Mata saya. Bukan saya pandang awak guna mata awak pun,” jawab Andriana selamba.
“Masalahnya, kau pandang aku! Aku tak boleh nak fokus tahu tak? Ish, menyusahkan aku betul!” Shazril menumbuk meja melampiaskan kemarahan.
Andriana terkejut. “Okay, fine! Saya tak kan pandang awak lagi.”
Shazril menjeling Andriana sekilas. “Kau boleh balik tak?”
“Kenapa pulak saya kena balik? Saya nak belajar dengan awak? Salah ke?” soal Andriana dengan wajah polos.
Shazril merengus perlahan. “Kau tu menganggu ketenteraman aku tahu tak? Kau buat aku tak boleh fokus. Tak boleh nak belajar. Satu apa pun latihan yang aku buat tadi langsung tak masuk dalam kepala otak, tahu tak? Kau ni betul-betul menyusahkan hidup aku! Aku menyesal kenal dengan kau. Sekarang, aku nak kau pergi balik! Kulit gelap, ada hati pulak nak kawan dengan aku!” satu per satu ayat dihamburkan Shazril. Ayat yang meletakkan diri Andriana di kedudukan yang paling bawah sekali.
Andriana menahan air mata dari menitis. Sungguh dia rasa terluka tatkala mendengar ayat-ayat Shazril yang menunjukkan lelaki itu begitu benci pada dirinya. “Baiklah, saya pergi. Saya janji, saya takkan muncul di depan awak lagi. Saya harap awak gembira tanpa saya.” Dia mengemas buku-bukunya lalu melangkah laju keluar dari rumah Nek Maznah.
Shazril hanya memandang Andriana yang semakin jauh tanpa berniat mahu menghalangnya pergi.
Share this novel