“ADA orang bagi hadiah untuk Kak Zahra,” beritahu Qaireen seraya mendekati Az-Zahra yang sedang berada di kaunter.
Az-Zahra yang sedang menulis tempahan bunga daripada seorang pelanggan terus mengangkat wajah untuk memandang Qaireen yang sedang berjalan menghampirinya. Di tangannya terdapat sebuah kotak hadiah bersaiz sederhana besar yang sungguh cantik dan terdapat reben berwarna merah jambu di atasnya sebagai hiasan.
Berkerut kening Az-Zahra memandang kotak hadiah itu.
“Siapa yang bagi hadiah tu?” soal Az-Zahra seraya mengambilnya dari tangan Qaireen.
“Saya tak tahu pula sebab saya jumpa kotak hadiah ni dekat luar tadi. Tapi, apa yang saya pasti hadiah tu memang untuk Kak Zahra sebab ada nama akak yang tertulis dekat dalam kad kecil tu,” ujar Qaireen.
Benar apa yang dikatakan oleh Qaireen. Az-Zahra melihat namanya tertera di atas kad kecil tersebut. Tulisan yang tidak berapa kemas tetapi Az-Zahra masih faham apa yang ditulis.
“Tak sangka Kak Zahra ada secret admirer selama ni. Untunglah cantik, ramai peminat,” usik Qaireen sambil tersenyum-senyum.
Az-Zahra menggelengkan kepala beberapa kali.
“Tak adanya secret admirer. Saya mana ada peminat. Memandai aje awak ni,” kata Az-Zahra cuba menafikannya.
“Siapa yang bagi hadiah tu, Kak Zahra?” tanya Qaireen ingin tahu.
“Entahlah, saya pun tak tahu. Dia tak ada tulis pun nama dia dekat sini,” balas Az-Zahra. Dia juga tertanya-tanya siapakah gerangan yang mengirimkan hadiah ini kepadanya.
“Haaa...kan saya dah kata. Mesti orang yang bagi hadiah tu adalah peminat yang dah lama sukakan akak secara diam-diam. Mungkin dia bagi hadiah tu sempena hari jadi akak kut,” ujar Qaireen menyatakan firasatnya.
Az-Zahra menggeleng kepala, tidak setuju.
“Hari jadi saya dah lama lepas, Qaireen.”
Az-Zahra merasakan hadiah ini bukanlah hadiah sempena hari jadinya kerana hari jadinya sudah berlalu bulan April yang lepas. Kalau nak kata orang ini tersalah hantar memang tak logik juga sebab memang namanya yang ditulis di dalam kad kecil itu. Maksudnya, hadiah ini memang untuknya.
Tapi, siapa yang bagi?
Dan apa tujuan gerangan misteri itu memberikan hadiah ini kepadanya?
“Hadiah apa dekat tangan kau tu? Siapa yang bagi?” soal Gibran yang tiba-tiba saja muncul. Dia baru saja selesai menyusun bunga-bunga di bahagian belakang. Dia ada terdengar sedikit perbualan Az-Zahra dan juga Qaireen. Kotak hadiah yang dipegang oleh Az-Zahra sungguh menarik perhatiannya.
Az-Zahra mahupun Qaireen, kedua-duanya tersentak melihat Gibran yang tiba-tiba saja memunculkan diri. Wajah Gibran sangat serius saat ini. Seperti selalu.
“Saya pun tak tahu sebab saya belum buka lagi kotak hadiah ni. Lagipun, nama pengirim tak ada jadi saya tak pasti siapa yang bagi hadiah ni dekat saya,” ujar Az-Zahra sambil menentang berani anak mata Gibran. Tubuhnya sedikit menggigil memandang wajah serius Gibran. Dia tidak tahu apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu.
Lama Gibran memandang wajah Az-Zahra. Sesekali anak matanya memerhatikan kotak hadiah di tangan gadis itu. Masing-masing senyap dan tidak bersuara.
“Awak berdua tak nak makan ke sebab sekarang dah masuk waktu lunch?” Qaireen bersuara untuk menghilangkan suasana sunyi.
“Saya tak makan tengah hari. Tak ada selera,” balas Az-Zahra, jujur. Masalah yang dihadapinya baru-baru ini membuatkan dia langsung tiada selera untuk makan.
“Awak tak pergi makan?” Az-Zahra menyoal Gibran.
“Kenyang.” Sepatah Gibran membalas.
“Kalau macam tu, saya keluar makan dululah,” ujar Qaireen meminta diri. Dia sangat lapar ketika ini.
Az-Zahra hanya mengangguk sambil tersenyum.
Qaireen terus melangkah pergi meninggalkan Gibran dan Az-Zahra berdua di situ. Az-Zahra menoleh ke arah Gibran yang sememangnya sedang merenungnya. Az-Zahra membalas tatapan Gibran.
“What?” Az-Zahra mengangkat sebelah keningnya ke atas.
Gibran cuma diam. Hanya mata lawanya saja yang tajam merenung seraut wajah cantik Az-Zahra.
“Kenapa awak suka tenung saya?” tanya Az-Zahra menahan sebal. Geram pula dia apabila Gibran selalu merenungnya.
“Suka hati akulah. Mata aku,” jawab Gibran selamba. Jawapan yang sungguh menyakitkan hati Az-Zahra.
Dia malas mahu melayan Gibran. Akhirnya, Az-Zahra berpusing membelakangi Gibran dan mahu berlalu dari situ tetapi Gibran kembali bersuara.
“Kau tak nak buka hadiah tu?”soalnya.
“Saya tak tahu sama ada saya perlu buka atau tak kotak hadiah ni,” jawab Az-Zahra seraya melabuhkan punggung di atas sofa. Gibran turut mengambil tempat duduk di hadapan Az-Zahra.
“Kau tak nak tahu isi di dalamnya?” tanya Gibran lagi.
“Mestilah saya nak tahu tapi...saya rasa macam ragu-ragu nak buka. Saya jadi takut,” ujar Az-Zahra meluahkan isi hatinya.
“It’s okay. Kau ada aku. Kalau jadi apa-apa, aku boleh tolong. Aku pun nak tahu apa isi di dalamnya,” tutur Gibran lembut bagi menenangkan hati Az-Zahra. Dia juga mahu tahu hadiah apa yang diterima oleh Az-Zahra.
Az-Zahra berfikir sejenak.
“Kalau macam tu, saya buka sekarang.”
Gibran angguk.
Az-Zahra membuka kotak hadiah itu secara perlahan-lahan. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat isi di dalamnya. Az-Zahra terjerit kecil sehingga menyebabkan dia terjatuh dari sofa. Dia membuang kotak hadiah itu jauh daripadanya.
Membulat mata Gibran melihat Az-Zahra terjatuh dari sofa. Jejaka itu terus mendapatkan Az-Zahra.
“Kau okey tak?” Penuh prihatin Gibran bertanya. Gibran tidak menyorok perasaan bimbangnya.
“Ha...hadiah...t...tu...” Az-Zahra menggigil ketakutan. Wajahnya seakan-akan mahu menangis.
Gibran berasa kasihan. Mahu saja dia memeluk Az-Zahra ketika ini bagi menenangkannya tetapi dia sedar batas mereka. Dia tidak mahu mengambil kesempatan. Dia perlu menghormati agama Az-Zahra.
Gibran mencapai kotak hadiah di atas lantai itu. Dia mahu melihat apa yang ada di dalam kotak itu sehingga menyebabkan Az-Zahra menggigil ketakutan.
Reaksi yang sama turut terpancar pada wajah Gibran. Terkejut dia melihat sebilah pisau yang dipenuhi dengan darah. Darah yang masih baru. Terdapat gambar-gambar Az-Zahra yang rosak akibat ditoreh menggunakan pisau. Gibran membuka kertas kecil yang berlipat yang terselit di bawah gambar-gambar tersebut.
KAU AKAN MATI...
Gibran mengetap rahang dengan kuat. Timbul urat di leher dan kepalanya, menunjukkan betapa marahnya dia sekarang ini.
Dia boleh agak ini semua angkara siapa.
♡ ♡ ♡ ♡
“KENAPA kau tak pernah beritahu aku tentang semua ni? Kenapa kau tak pernah cakap yang kau pernah dapat ugutan misteri sebelum ni? Why, Mahyra? Just why?!” Tanpa sengaja Gibran meninggikan suara di hadapan Az-Zahra. Dia langsung tidak dapat kawal kemarahannya. Gibran terlalu emosi saat ini.
Terangkat kedua-dua belah bahu Az-Zahra. Sungguh dia terkejut apabila Gibran mengherdiknya seperti ini. Dia takut untuk melihat wajah garang Gibran. Sebab itu dia hanya menunduk dari tadi.
“Saya minta maaf. Saya cuma tak nak bebankan awak dengan masalah saya. Saya yakin saya dapat selesaikan masalah ni seorang diri sebab tu saya tak pernah cakap dekat awak,” ujar Az-Zahra. Kedengaran suaranya bergetar seakan-akan mahu menangis.
“You should tell me about this, Mahyra. Kalau jadi apa-apa macam mana? Sebab itulah mood kau tak baik baru-baru ni? Sebab ugutan ni mengganggu fikiran kau?” Gibran menduga walaupun dia sudah tahu jawapannya. Az-Zahra sudah menceritakan segalanya setelah didesak olehnya.
Az-Zahra mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan Gibran.
Gibran meraup kasar wajahnya. Dia bercekak pinggang di hadapan gadis itu.
Az-Zahra tidak menyangka Gibran akan marah teruk dengannya. Sangkaannya lelaki itu hanya akan bersikap biasa dan cuba membantunya apa yang patut tetapi dia silap. Sebaik saja dia habis bercerita tadi, Gibran terus berubah menjadi singa jantan. Jejaka itu benar-benar marah bila dapat tahu Az-Zahra pernah menerima surat misteri sebelum ini. Dan Gibran kecewa bila Az-Zahra langsung tiada niat mahu memberitahunya.
“Saya minta maaf, Gibran.” Sekali lagi Az-Zahra mengucapkan maaf.
Gibran mencengkam rambutnya. Seketika dia cuma berdiam diri bagi menenangkan fikirannya. Dia sedar dia sudah terlanjur memarahi Az-Zahra.
“Mana kau letak surat tu?” tanya Gibran setelah lama berdiam diri. Suaranya juga kian mengendur, tidak lagi tinggi seperti tadi.
“Saya masih simpan dalam beg saya.”
“Aku nak surat tu.”
Az-Zahra mengeluarkan sampul surat dari dalam beg tangannya lalu diberikan kepada Gibran. Sejujurnya, dia tertanya-tanya mengapa Gibran mahukan surat tersebut. Apa yang Gibran mahu lakukan?
Gibran membacanya sepintas lalu. Hatinya rasa terbakar. Dia yakin dan dia pasti siapa yang bertanggungjawab dalam semua hal ini.
Gibran berdiri di hadapan Az-Zahra sambil menatap wajah sugul gadis itu.
“Aku janji akan tolong kau selesaikan masalah ni,” ucap Gibran. Bertekad.
♡ ♡ ♡ ♡
TIDAK sedar waktu kini menginjak ke petang. Setelah memastikan semua suis elektrik ditutup dan segala peralatan mahupun bahan di dalam kedai bunga itu tersusun kemas, Az-Zahra pun mengunci pintu kedai bunganya. Waktu sekarang ini menunjukkan jam 5:28 petang.
Az-Zahra berjalan mendekati keretanya. Sempat dia mengerling ke arah Gibran yang sedang menyarungkan jaket kulit berwarna hitam di tubuh sasanya.
Hanya dia dan Gibran saja yang masih tinggal manakala Qaireen pula sudah lama pulang ke rumah lebih awal.
Az-Zahra membuka pintu kereta dan bersedia untuk masuk ke dalamnya namun suara Gibran yang tiba-tiba berbunyi menghentikan pergerakannya.
“Hati-hati pandu kereta,” pesan Gibran sambil merenung lembut wajah Az-Zahra.
Automatik bibir Az-Zahra mengukir senyum manis.
“Awak pun sama. Hati-hati tunggang superbike awak tu,” balas Az-Zahra pula.
Mereka saling berbalas pesanan.
“Hmm...”
Kereta Az-Zahra mula bergerak meninggalkan tempat tersebut. Gibran hanya memerhatikan kereta Az-Zahra yang semakin menjauh. Apabila hilang dari pandangan mata, barulah dia berlalu dari situ.
Sementara itu, Az-Zahra sedang memandu kereta sambil menyanyi kecil mengikut lirik lagu yang dipasang di dalam keretanya.
Az-Zahra mengerling sekilas ke arah cermin pandang belakang tatkala mula perasankan sesuatu yang aneh. Bulu romanya berdiri tegak. Dia baru tersedar sesuatu.
Ada sebuah kereta berwarna hitam sedang mengekorinya dari belakang. Pada awalnya, Az-Zahra tidak ambil peduli langsung tentang kereta hitam itu tetapi nombor plat kereta itu yang menarik perhatiannya. Dia sangat cam dengan nombor itu. Kereta hitam yang berada di belakang keretanya ini sama dengan kereta yang pernah hampir melanggarnya baru-baru ini.
Az-Zahra mula tak senang duduk. Tangannya berpeluh dan menggigil.
Dia takut jika sesuatu yang buruk terjadi pada dirinya.
Tanpa berfikir panjang, Az-Zahra meningkatkan kadar kelajuan keretanya sehingga mencapai tahap maksimum. Tidak peduli dengan risikonya asalkan dia dapat elak daripada kereta hitam tersebut. Az-Zahra berusaha mengelak daripada merempuh kereta lain. Sempat juga dia mengerling sekilas ke arah cermin sisi untuk melihat sama ada kereta hitam itu sudah menghilang atau masih mengekorinya. Malangnya, kereta itu masih mengejarnya malah jarak kereta mereka semakin dekat.
Nafas Az-Zahra seperti tersekat di kerongkong.
Dia sudah penat. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?
Secara tiba-tiba, kereta hitam itu merempuh bahagian belakang kereta Az-Zahra sebanyak dua kali sehingga mengejutkan gadis itu. Az-Zahra hilang keseimbangan dan dahinya terhantuk pada stereng kereta. Sungguh kuat gegarannya.
Tidak cukup dengan itu, kereta hitam itu bergerak ke sebelah kanan lalu dengan sengaja melanggar kereta Az-Zahra. Mujur saja cermin keretanya tidak pecah. Tetapi kereta Az-Zahra terkeluar dari jalan raya dan hampir melanggar pokok besar namun gadis itu sempat menekan brek kereta.
Az-Zahra menghentikan keretanya di bahu jalan. Dia melihat kereta hitam itu tidak lagi mengejarnya. Tiba-tiba saja hilang entah ke mana.
Syukurlah, dia masih hidup dan selamat.
Cecair jernih mengalir perlahan membasahi pipi mulusnya. Dia tidak tahu sebab dia menangis. Mungkin sebab menahan sakit gara-gara dahinya yang terhantuk tadi atau disebabkan perasaan takut yang menghantui dirinya.
TOK! TOK TOK!
Az-Zahra terkejut mendengar ketukan pada cermin keretanya. Wajah kacak Gibran menghiasi pandangannya. Wajah lelaki itu jelas kerisauan. Az-Zahra segera keluar dari dalam kereta.
“Gibran, saya takut.” Serentak dengan itu, air mata Az-Zahra keluar mencurah-curah. Tidak peduli dengan wajahnya yang bertukar hodoh kerana menangis dan hingus yang keluar melelah-leleh.
“Hey, calm down, okay. Kereta tu dah tak ada. Mereka tak akan cederakan kau,” pujuk Gibran dengan nada suara yang sangat lembut. Dia cuba menenangkan Az-Zahra. Hatinya sakit melihat Az-Zahra yang tercedera di dahi. Nasib baik dia sempat menyelamatkan Az-Zahra.
Az-Zahra cuba mengawal tangisan. Emosinya bercelaru ketika ini.
“Kita pergi hospital. Rawat luka di dahi kau,” kata Gibran lembut. Raut wajahnya jelas menunjukkan kerisauan.
Az-Zahra hanya mengangguk setuju. Dalam keadaannya yang sebegini, dia tidak mampu untuk berfikir dengan waras.
♡ ♡ ♡ ♡
“CIK Az-Zahra hanya mengalami kecederaan ringan saja. Hantukan di dahi tidak begitu kuat jadi tiada apa-apa kesan sampingan yang dialami. Cuma saya nasihatkan supaya awak lebih berhati-hati selepas ini,” kata doktor wanita tersebut.
Az-Zahra mengangguk lemah. Cuba mengingati pesanan doktor wanita itu.
Selesai berurusan dengan doktor wanita itu, Gibran dan Az-Zahra sama-sama keluar dari klinik. Gibran yang membantunya dan setia menemaninya di klinik. Az-Zahra terhutang budi dengan Gibran.
Gibran menolak pintu kaca itu bagi memberi laluan kepada Az-Zahra keluar terlebih dahulu.
“Terima kasih sebab awak dah tolong saya tadi,” ucap Az-Zahra. Terukir senyuman nipis di bibirnya.
“Okey.”
“Saya nak kunci kereta saya semula.” Az-Zahra menghulurkan tangannya ke arah Gibran, meminta supaya Gibran mengembalikan semula kunci keretanya.
Semasa dalam perjalanan menuju ke klinik tadi, Gibran yang memandu kereta Az-Zahra. Lelaki itu sanggup meninggalkan motosikal mahalnya di tepi jalan semata-mata ingin menghantar Az-Zahra ke klinik. Betapa risaunya dia terhadap Az-Zahra. Nyata nyawa Az-Zahra lebih penting berbanding dengan motosikal mahalnya itu.
“Tak payah mengada nak pandu kereta. Biar aku yang hantar kau pulang ke rumah. Dahi kau tu benjol. Kalau nanti kau pening masa pandu kereta tak pasal-pasal nyawa melayang.” Gibran membebel. Kasar seperti selalu.
“Habis tu, awak balik nanti macam mana? Motor awak masih dekat tepi jalan sana, kan.”
“Nanti aku suruh Luke jemput aku. Motor aku biar je dekat sana dulu.”
“Kalau ada yang curi motor awak nanti macam mana? Awak tak risau motor awak hilang?” Az-Zahra pula yang terlebih risau.
“Biar motor aku hilang asalkan kau jangan hilang dari dalam hidup aku.” Lain yang ditanya Az-Zahra, lain yang dijawab Gibran. Az-Zahra langsung tak menduga jawapan Gibran.
Terkesima gadis itu mendengar ayat yang diungkapkan oleh Gibran. Jantungnya berdegup laju.
“Awak ni jawablah betul-betul. Kalau hilang nanti memang padan muka!” ujar Az-Zahra sekadar untuk menutup perasan gemuruhnya.
“Tak payah risau sebab kunci motor ada dekat aku. Kalau orang nak curi sekalipun, aku tak kisah sebenarnya sebab aku boleh beli baru. Bukannya mahal sangat pun,” ujar Gibran bangga. Jawapan daripada orang kaya.
Az-Zahra hanya menggelengkan kepala. Suka hatilah, bukannya guna duit dia pun.
“Jadi sekarang awak yang hantar saya balik?” soal Az-Zahra mahukan kepastian.
“Ya, tapi sebelum aku hantar kau balik, kita pergi makan dulu.”
“Tapi saya tak lapar.”
“Tapi aku lapar. Jadi temankan aku makan,” kata Gibran tegas. Bukan permintaan tetapi arahan.
Az-Zahra mencebik bibir.
“Okey, jomlah!” Az-Zahra akhirnya akur.
Baru saja mereka ingin membuka langkah, kedengaran suara garau seseorang memanggil nama Az-Zahra dari belakang.
Gadis itu menoleh ke arah punca suara tatkala mendengar namanya diseru seseorang. Gibran juga turut menoleh ke belakang untuk melihat gerangan yang tiba-tiba saja muncul tanpa dipinta.
Bukan hanya Az-Zahra saja terkejut malah Gibran juga turut terkejut sama. Wajahnya automatik bertukar cemberut apabila melihat wajah lelaki itu turut berada di sini. Rahangnya diketap kuat dan tangannya digenggam erat.
“Sibuk betul lalat ni. Sakit mata aku,” gumam Gibran. Hanya telinganya saja yang mendengar.
“Faqih, kau buat apa dekat sini?” tanya Az-Zahra sebaik saja Faqih berdiri di hadapannya. Gadis itu mendongak sedikit untuk memandang wajah Faqih dengan lebih jelas.
“Aku saja jalan-jalan dekat sini lepas tu aku ternampak kau keluar dari klinik. Kenapa dengan dahi kau tu? What happened?” Tangan Faqih bergerak untuk menyentuh dahi Az-Zahra yang berbalut dengan plaster namun sekelip mata tangannya ditepis kasar oleh Gibran.
Sungguh tajam panahan anak mata hijau itu merenung wajah Faqih di hadapannya. Renungan membunuh yang dilemparkan oleh Gibran seolah-olah membawa satu amaran untuk Faqih.
“Don’t. Touch. Her.” Satu persatu Gibran menyebut perkataan tersebut. Sengaja ditekankan supaya lelaki ini faham.
Faqih tersentak.
Renungan tajam Gibran ditentang berani.
“Kau pergi klinik dengan dia?” soal Faqih menginginkan jawapan walaupun dia sudah nampak semuanya.
“Erk...ya, sebab Gibran yang ada dengan aku waktu tu jadi dia yang tolong hantar aku pergi klinik,” beritahu Az-Zahra. Tidak mahu Faqih berfikir yang bukan-bukan.
“Kenapa kau tak minta tolong aku je? Aku pun bolehlah hantar kau pergi klinik. Tak payahlah suruh dia ni,” balas Faqih seperti tidak berpuas hati.
“Dia ada aku so dia dah tak perlukan kau.” Yang jadi tukang jawabnya ialah Gibran. Laju saja mulut lelaki itu membidas kata-kata Faqih. Malah, jawapan yang keluar dari mulut Gibran juga sungguh menyakitkan hati. Gibran sengaja mencari pasal dengan Faqih.
Az-Zahra menampar lembut dahinya.
Gibran memang suka cari gaduh dengan semua orang. Memang hobi lelaki itu agaknya.
Faqih merenung tajam wajah Gibran. Gibran hanya melemparkan pandangan sinis. Mereka saling berbalas pandangan.
“Korang berdua memang suka tenung each other ke? Alang-alang masuklah pertandingan sesi tenung selama satu jam.” Az-Zahra menyampuk. Letih dia mahu melihat Gibran dan Faqih dari tadi berlawan mata.
Faqih yang mengalihkan pandangannya terlebih dahulu. Wajahnya masih tidak berpuas hati.
“Kami sebenarnya tak boleh berlama-lama dekat sini. Jadi kami pergi dulu. Jom, Mahyra. Temankan aku makan.” Gibran menarik beg tangan Az-Zahra, memaksa gadis itu untuk mengikuti langkahnya.
Az-Zahra langsung tidak sempat bersuara, Gibran sudah menarik beg tangannya. Sempat dia mengerling ke arah wajah Faqih. Lelaki itu nampak macam sedang...
Marah?
♡ ♡ ♡ ♡
“KENAPA awak macam tak suka dengan Faqih?” Itu soalan pertama yang diutarakan oleh Az-Zahra sebaik sahaja mereka tiba di restoran.
Sudah lama Az-Zahra ingin menanyakan soalan ini kepada Gibran. Sejak kali pertama Gibran dan Faqih bertentang mata, Az-Zahra dapat merasakan sesuatu yang aneh di antara mereka. Dia boleh nampak Gibran sememangnya tidak suka dengan kehadiran Faqih. Lelaki itu bersikap terlalu menonjol, jika dia tidak menyukai seseorang pasti dia akan tunjuk. Gibran seorang yang jujur.
“Aku memang tak suka dia. Lagi-lagi bila dapat tahu kau rapat dengan dia buatkan aku semakin benci dengan mamat perasan bagus tu,” jujur Gibran. Lebih baik dia mengaku daripada terus menipu. Ya, dia memang bencikan Faqih.
“Tapi, kenapa? Awak tak patut bencikan Faqih sebab dia baik. Saya dah lama kenal dia sejak sekolah rendah lagi dan saya tahu perangai dia macam mana,” ujar Az-Zahra membela Faqih.
Terukir senyuman sinis pada bibir Gibran. Panas pula hatinya. Rasa terbakar.
“Kau yakin yang kau dah betul-betul kenal dengan dia? Jangan pandang luaran saja tapi pandang dalamannya juga. Jangan tertipu dengan muka polos dia. Nampak baik tapi sebenarnya perangai macam syaitan,” cemuh Gibran tanpa rasa bersalah.
“Gibran! Jahatnya mulut awak ni.” Az-Zahra mula berasa bengang dengan sikap Gibran. Mulut lelaki itu memang tiada insurans. Mahu saja ditamparnya mulut Gibran.
Gibran tayang muka tak bersalah. Az-Zahra marah sekalipun dia tetap tidak akan mengubah pendiriannya. Dia memang bencikan Faqih.
“Saya nak tanya awak sesuatu. Macam mana awak boleh ada dekat kawasan saya diekori oleh kereta hitam tadi?” Az-Zahra tukar soalan.
Dia tidak mahu timbul pergaduhan kecil di antara mereka jika terus bercerita tentang Faqih jadi lebih baik dia Az-Zahra tukar topik perbualan.
Lagipun, hairan juga dia apabila Gibran tiba-tiba muncul tadi. Bila Gibran muncul, kereta hitam tadi terus hilang.
“Masa kau balik tadi, aku perasan ada kereta hitam macam ekori kereta kau dari belakang. Kalau kau sedar, kereta hitam tu dari tadi ada di depan kedai bunga kau. Hati aku jadi tak sedap. Aku terus ekori dari belakang dan aku nampak semua yang berlaku,” cerita Gibran ringkas.
Az-Zahra melepaskan keluhan berat. Dia memicit dahi pelipisnya. Tertekan.
“Kalau awak nak tahu, kereta hitam tu adalah kereta yang sama yang hampir melanggar saya,” beritahu Az-Zahra.
Gibran hanya mendiamkan diri. Dia tahu tentang itu. Bila Az-Zahra hampir dilanggar baru-baru ini, Gibran terus siasat. Dia sempat melihat nombor plat kereta itu. Bila dia sedar kereta hitam yang sama berada di depan kedai bunga Az-Zahra, Gibran pasti mereka sedang mengintip Az-Zahra.
“Kau jangan risau. Macam yang aku janjikan tadi, aku akan tolong kau selesaikan masalah ni. I will always be by your side,” ucap Gibran lalu mengukir senyuman manis yang sungguh menawan dihiasi dengan lesung pipitnya yang begitu dalam.
Hilang kegusaran yang melanda hati Az-Zahra apabila melihat senyuman manis Gibran. Dia percaya dengan kata-kata Gibran. Lelaki itu pasti akan mengotakan janjinya.
Share this novel