SAMPUL surat bersaiz sederhana besar diserahkan kepada Az-Zahra yang sedang duduk di hadapannya bersama riak wajah yang kelihatan sungguh serius. Qaireen meneguk air liur tatkala melihat wajah cantik itu sangat dingin pagi ini. Memang agak jarang sekali dia melihat wajah Az-Zahra serius begitu.
“Apa ni?” soal Az-Zahra seraya mengambil sampul surat yang diberikan oleh Qaireen.
“Itu surat cuti saya,” jawab Qaireen sambil melihat Az-Zahra yang sedang membuka isinya lalu membacanya dengan sungguh fokus.
Qaireen menggigit bibir bawahnya. Perasaan bersalah menyelubungi dirinya tatkala melihat perubahan pada wajah majikannya.
“Awak nak minta cuti selama sebulan?” soal Az-Zahra sambil menatap wajah Qaireen yang sedang menunduk ke bawah.
Pertanyaan Az-Zahra dibalas dengan sekali anggukkan. Dia langsung tidak memandang wajah Az-Zahra.
“Kenapa awak nampak takut sangat dengan saya hari ni? Awak minta cuti je, kan? Jadi, apa masalahnya?” soal Az-Zahra sambil mengangkat sebelah keningnya. Hairan. Bukan dia tidak nampak ketakutan yang jelas terpancar pada wajah Qaireen.
Qaireen mengangkat wajahnya lalu memandang tepat wajah Az-Zahra. Tiada lagi wajah dingin seperti tadi. Wajah itu kini dihiasi dengan senyuman yang sungguh menawan. Sedikit sebanyak Qaireen berasa lega melihat senyuman yang terukir pada bibir Az-Zahra.
“Saya takut nak minta cuti sebab sepanjang saya bekerja di sini saya tak pernah langsung pun minta cuti dekat Kak Zahra. Lagipun, saya minta cuti selama sebulan. Sebulan tu bukannya sekejap. Jadi, saya risau kalau Kak Zahra tak benarkan untuk saya ambil cuti buat sementara waktu,” jelas Qaireen dengan nada suara yang cukup perlahan namun dapat didengari oleh telinga Az-Zahra.
Az-Zahra hanya mampu menggelengkan kepalanya perlahan. Bibirnya menahan senyuman lucu. Entah kenapa dia rasa lawak.
“Macam mana awak boleh berfikir sampai macam tu sekali? Mestilah saya akan benarkan awak untuk bercuti. Lagipun, awak minta cuti mesti ada urusan penting yang perlu diuruskan,” ujar Az-Zahra dengan lembut.
“Jadi maksudnya, Kak Zahra benarkan saya untuk bercuti selama sebulan ni?” soal Qaireen menginginkan kepastian.
Az-Zahra mengangguk.
Melihatkan anggukkan tersebut, Qaireen tersenyum lebar. Dia mengucapkan terima kasih kepada Az-Zahra kerana mengizinkannya untuk mengambil cuti sementara waktu dan berterima kasih kerana memahami situasinya pada ketika itu.
♡ ♡ ♡ ♡
KEESOKANNYA, Az-Zahra tiba di kedai bunganya lebih awal dari kebiasaannya. Memandangkan Qaireen kini sedang bercuti jadi dia telah membuat keputusan untuk mencari pekerja baharu bagi menggantikan tempat Qaireen buat sementara waktu.
Dia perlukan seorang pekerja baharu supaya dapat membantunya untuk menggubah bunga sebab dia takkan mampu untuk menyiapkan gubahan bunga seorang diri. Andai kata jika terdapat pelanggan yang ingin menempah bunga untuk majlis-majlis yang dijalankan sudah tentu dia tidak mampu untuk menyiapkannya dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sebab itu dia sangat memerlukan pekerja sementara tidak kira perempuan mahupun lelaki.
Notis pencarian pekerja baharu dilekatkan pada bahagian pintu utama. Az-Zahra berharap akan ada seseorang yang ingin memohon untuk bekerja di sini biarpun hanya tempoh sebulan.
Sehingga jarum jam sudah pun menunjukkan jam 1: 05 minit petang, Az-Zahra masih lagi setia menunggu. Hanya pelanggan sahaja yang dari tadi keluar masuk kedai bunganya untuk membeli bunga. Setakat ini masih tiada lagi yang ingin memohon kerja di sini.
Tidak lama kemudian, kedengaran pintu dibuka sekali lagi oleh seseorang. Az-Zahra yang sedang mencantikkan kukunya lantas menoleh ke arah gerangan yang baru sahaja tiba di kedainya. Dia baru sahaja selesai menyusun bakul bunga yang sudah digubah di atas meja tadi dan kini datang lagi seorang pelanggan. Tatkala wajah kacak itu menghiasi pandangannya, Az-Zahra tergamam untuk beberapa saat.
Jejaka itu juga turut kelihatan terkejut melihat wajah Az-Zahra namun pantas saja dia meneutralkan semula wajahnya.
“Awak lagi? Punyalah banyak kedai bunga dekat Malaysia ni, kenapa kedai bunga saya juga yang awak sibuk nak datang?” Sungguh kasar pertuturannya. Jelingan tajam dihadiahkan buat jejaka itu.
“Hati aku yang tergerak nak pergi sini,” balasnya selamba. Kaki panjangnya berjalan mendekati Az-Zahra. Jelas menunjukkan gadis tersebut seperti tidak berpuas hati dengan kehadirannya.
Az-Zahra mendengus kasar.
“Awak datang sini nak beli bunga, kan? Cepatlah pilih lepas tu boleh berhambus,” ujarnya kasar tanpa rasa bersalah. Tatapan tajam Gibran terhadapnya diabaikan biarpun jantungnya sudah berdegup semakin laju. Setiap kali dia berdiri dekat dengan jejaka di hadapannya ini pasti dia akan rasa tak cukup nafas. Dia rasa hendak pengsan.
Begitu aneh perasaannya tatkala hanya dengan Gibran sahaja dia merasai debaran yang menggila ini. Apabila dengan lelaki lain dia rasa normal. Seumur hidup tidak pernah lagi dia mengalami situasi sebegitu. Tetapi semenjak awal pertemuannya dengan lelaki ini terlintas satu perasaan yang sukar untuk dia mengerti.
“Memang cara layanan kau terhadap seorang pelanggan macam ni ke?” soal Gibran agak sinis. Kecil besar kecil besar saja dia melihat gadis di hadapannya ini melayannya dengan sikap dingin.
“Dengan awak je saya layan kasar macam ni tapi kalau dengan pelanggan yang lain saya akan layan baik-baik seperti puteri diraja,” jawab Az-Zahra sambil membersihkan kukunya dengan menggunakan pembersih kuku supaya kelihatan berkilat. Sengaja dia berkata begitu untuk menyakitkan hati Gibran. Padan muka!
Selama ini setiap kali mereka terserempak pasti pengakhirannya dia akan terluka gara-gara ucapan lelaki itu jadi kali ini gilirannya pula yang membalas perbuatan Gibran. Selalu sangat mengutuknya dengan nama panggilan yang menyakitkan hati. Dia masih ingat lagi lelaki ini pernah mengutuknya pendek gara-gara dia tidak dapat mencapai paket kurma tempoh hari. Walaupun Gibran pernah meminta maaf sebelum ini tapi tak sangka dia akan mengulangi kesalahannya itu sekali lagi.
Kata-kata Az-Zahra langsung tidak memberi sebarang kesan terhadap Gibran. Wajahnya kekal tenang namun kelihatan sangat dingin. Kepalanya sedikit menunduk untuk memandang Az-Zahra yang sedang khusyuk membersihkan kukunya itu.
“Aku datang sini bukan sebab nak beli bunga,” beritahunya.
Terhenti pergerakan Az-Zahra yang sedang membersihkan kuku tatkala mendengar kata-kata Gibran. Lantas dia memandang ke arah Gibran semula dengan penuh tanda tanya.
“Habis tu, apa tujuan awak datang ke kedai bunga saya?” soal Az-Zahra sambil merenung tepat wajah lelaki itu membuatkan mata mereka bertaut seketika.
Gibran langsung tidak menjawab sebaliknya dia menunjukkan sekeping notis tepat di hadapan wajah Az-Zahra.
“Aku nak mohon kerja dekat sini.” Selafaz Gibran berkata tanpa sebarang reaksi.
Mendengarkan kata-katanya itu hampir saja membuatkan Az-Zahra tergelak besar namun sempat ditahan. Sangat tiba-tiba. Umpama dia sedang bermimpi sekarang ini.
“Awak bergurau?” soal Az-Zahra seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru saja didengarinya tadi.
Dia menilik cara pemakaian jejaka itu dari atas hingga bawah. Pemakaian yang kelihatan sungguh ringkas tetapi tampak elegan dengan baju dan seluar mahalnya serta aksesori jam tangan berjenama Rolex yang dipakainya pada pergelangan tangan memang menunjukkan dia berasal dari golongan bangsawan. Ditambah pula dengan wajahnya yang kacak tetapi malangnya dia memohon untuk bekerja di kedai bunganya yang tidak seberapa ini.
Lelaki ini dah gila ke atau sel-sel otaknya yang dah putus sebab cedera tempoh hari.
“Kau nampak aku macam sedang bergurau ke?” Soalan dibalas dengan soalan. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Seolah-olah manusia yang tidak punya hati dan perasaan.
Az-Zahra menggaru kepalanya yang dilapisi dengan shawl printed yang dipakainya itu.
“Kenapa tiba-tiba awak nak mohon kerja dekat sini, Gibran? Awak bukannya dah ada kerja yang tetap ke? Awak seorang CEO dan ada syarikat sendiri tapi kenapa tiba-tiba awak buang tabiat nak kerja dekat sini pula?” Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Az-Zahra kepada Gibran yang hanya diam sambil merenungnya.
Az-Zahra pula yang rasa tertekan. Ya, dia memang sedang mencari pekerja baharu untuk sementara waktu tetapi dia tidak pernah terfikir langsung lelaki ini yang akan memohonnya untuk bekerja di sini.
“I am no longer the CEO of Royal Palace Hotel. I have resigned,” jujurnya. Masih lagi menatap wajah Az-Zahra tanpa perasaan.
Ternganga kecil mulut Az-Zahra mendengar pengakuannya. Lidahnya terkelu.
Terkejut?
Sudah tentu.
Baru saja minggu lepas dia jumpa dengan lelaki ini yang masih dengan jawatan CEO yang disandangnya tetapi tiba-tiba hari ini muncul di hadapannya dan mengatakan dia tidak lagi memegang jawatan tersebut.
“Kenapa tiba-tiba awak letak jawatan?” soal Az-Zahra ingin tahu.
Gibran langsung tidak bersuara. Dia hanya diam. Pertanyaan Az-Zahra dibiarkan sepi tidak berjawab.
Okey, itu maksudnya dia tak nak kongsi apa-apa cerita berkenaan hal tersebut. Mungkin ada kaitan dengan hal peribadi yang dia sepatutnya tidak perlu masuk campur.
Az-Zahra berdehem seketika.
“Awak rasa awak layak ke untuk kerja dekat sini? Awak dah fikir masak-masak sebelum buat keputusan? Awak rasa kerja menggubah bunga macam ni layak ke untuk awak yang bertaraf antarabangsa ni?” soal Az-Zahra berbaur sindiran. Pandangannya juga menunjukkan seperti dia sedang menyindir lelaki ini.
“Kenapa kau cakap macam tu? Kau nak kata yang aku sebenarnya tak layak dan tak sesuai untuk kerja dekat sini sebab aku anak orang kaya? Kau nak beritahu aku yang aku tak sepatutnya untuk mohon kerja dekat sini sebab aku lelaki? Jadi kalau lelaki maksudnya aku tak reti nak gubah bunga?” soal Gibran semula dengan nada suara yang sangat tidak berpuas hati.
“Saya bukan nak kata awak tak pandai nak gubah bunga sebab awak lelaki. Cuma bagi saya golongan kaya-raya macam awak tak sesuai untuk mohon kerja dekat kedai bunga saya yang biasa-biasa je. Banyak lagi kerja yang profesion yang awak boleh mohon. Orang macam awak memang senang sangat nak dapat kerja sebab awak tu terkenal,” hujah Az-Zahra pula.
Gibran terdiam sejenak.
Lama anak matanya tertancap pada wajah Az-Zahra sehingga membuatkan gadis tersebut tidak berasa selesa.
“Aku tak peduli. Aku nak juga kerja dekat sini. Lagipun, memang aku nampak notis ni di depan pintu kedai kau dulu. Aku malas nak cari kerja lain sedangkan dah ada peluang di depan mata. Aku tak kisah kerja apa sekalipun yang penting kerja tu baik,” ujar Gibran setelah lama berdiam diri.
Az-Zahra menghela nafas berat.
“Awak tak risau ke apa orang lain cakap kalau mereka nampak awak kerja dekat sini? Awak tak kisah kalau mereka kutuk awak?” Sengaja Az-Zahra menanyakan soalan sebegitu.
“I still don’t care about it! Buat apa aku nak kisah tentang apa yang mereka nak cakap. Lantaklah kalau mereka nak cakap buruk pasal aku. Mulut orang kita tak boleh nak tutup. Kalau kita hidup dengan ambil peduli dengan apa yang orang cakap macam mana kita nak hidup bahagia dan tenang?” ujar Gibran lagi dalam satu nafas.
Terkunci mulut Az-Zahra mendengar kata-kata lelaki itu. Kan, dah kena setepek.
“Tempoh aku bekerja dekat sini pun bukannya lama. Sebulan je sepertimana yang kau tulis dalam notis tu. Walaupun aku seorang lelaki tapi aku pun ada juga kelebihan menggubah bunga sebab tu aku nak mohon untuk kerja dekat sini. Kalau aku tak reti nak gubah bunga aku takkan mohonlah,” sambung Gibran lagi.
“Tapi gaji yang saya akan bayar untuk awak nanti nilainya tak besar macam gaji awak sebelum ni. Awak tak kisah ke?”
“Aku tak kisah soal gaji pun. Berapa pun kau nak bayar aku tak peduli. Aku cuma nak bekerja dan mencari pengalaman baru yang tak pernah aku rasa sebelum ni,” kata Gibran serius.
Az-Zahra mengangguk-angguk kepalanya beberapa kali. Nampaknya lelaki ini seperti terdesak sangat nak bekerja.
“Okey, kalau awak tak kisah tentang semua tu saya boleh terima awak untuk bekerja dekat sini tapi sebelum saya terima saya nak uji awak sesuatu.” Az-Zahra berkata sambil tersenyum misteri.
Berkerut kening Gibran mendengarnya. Tak faham.
“Uji? Kau nak jadikan aku sebagai bahan uji kaji untuk eksperimen kau ke? Kau ingat aku ni apa?”
“Bukan itulah maksud saya!”
“Habis tu?”
Az-Zahra menghela nafas kecil. Bebal betul mamat ni.
“Saya nak uji awak sama ada awak ni tahu semua jenis bunga atau tidak. Saya juga nak tengok cara awak menggubah bunga dan cara layanan awak terhadap seorang pelanggan. Bila awak lulus ujian tu dan saya pun berpuas hati barulah saya boleh terima awak,” ujar Az-Zahra tegas. Aura seorang ketua.
“Okey, aku setuju!” Laju sahaja Gibran menjawab.
Az-Zahra tersenyum senang.
♡ ♡ ♡ ♡
PELBAGAI jenis bunga yang beraneka warna tersusun kemas di hadapannya diperhatikan satu persatu. Sekali imbas Gibran sudah dapat mengecam dan mengetahui jenis dan nama bagi bunga tersebut. Dia bukannya bebal sangat sampaikan nama bunga pun tak tahu sedangkan bunga tahi ayam pun dia tahu.
“Tak payah nak tayang muka berlagak sangat boleh tak? Belum jawab lagi dah nak berlagak,” tegur Az-Zahra dengan wajah sebalnya. Dari tadi lagi dia perhatikan wajah Gibran yang penuh dengan keyakinan itu. Dia pula yang rasa tak puas hati.
Gibran kekal diam. Namun, hujung bibirnya sempat ternaik sedikit ke atas sebelum ditahannya.
“Okey, saya akan tanya ini bunga apa dan awak kena jawab dengan betul.”
Gibran mengangguk faham.
“Ini apa?” soal Az-Zahra sambil menunjukkan setangkai bunga mawar merah yang sangat cantik di hadapan Gibran.
“Tahi,” jawab Gibran selamba.
“Awak ni jawablah betul-betul!”
Boleh pula dia nak main-main.
“Bunga mawar merah.”
“Ini pula?” Kali ini Az-Zahra mencapai pula tiga kuntum bunga tulip berwarna merah jambu.
Gibran terdiam. Agak lama dia berfikir.
“Bunga kantan?” jawabnya ragu-ragu.
Az-Zahra rasa nak tepuk dahi sekarang ini dan memang itulah yang dia lakukan.
“Kedai bunga saya tak jual bunga kantan, Gibran. Bunga kantan ni banyak dijual di pasar raya dan selalu digunakan dalam masakan. Saya tak jual bunga jenis macam tu,” jelas Az-Zahra seraya menggeleng kepala perlahan. Kalau jenis bunga masih tak tahu dan masih tak boleh nak beza macam mana nak dia nak tawarkan kerja dekat sini.
“Aku gurau jelah tadi. Aku tengok rupa bunga tulip tu hampir sama macam bunga kantan,” jujurnya tanpa rasa bersalah.
“Kali ini awak jawab betul-betul! Jangan main-main!” Tegas suara Az-Zahra memberikan amaran.
Gibran menjulingkan mata ke atas. Ingat dia takut sangat ke dengan amaran gadis itu. Serupa anak kucing yang sedang marah.
“Ini bunga apa?” Sekuntum bunga berwarna ungu yang rupanya berbentuk bulat diangkat tinggi tepat di hadapan wajah Gibran.
“Hidrangea,” jawabnya dengan yakin.
“Tepat sekali,”
“Ini?”
“Bunga orkid,”
“Dan ini?”
“Bunga matahari,”
“Kalau yang ini pula?”
“Baby’s breath flower.” Tidak sampai sesaat, laju sahaja Gibran menjawab.
Az-Zahra tayang muka kagum. Hebat.
Beberapa minit berlalu barulah Az-Zahra berhenti menyoal. Semuanya Gibran dapat jawab dengan tepat namun itu masih belum memuaskan hati Az-Zahra.
“Saya tak sangka awak hebat dalam mengenal jenis bunga. Menakjubkan!” puji Az-Zahra ikhlas.
Tiada langsung reaksi daripada Gibran tatkala mendapat pujian sebegitu. Senyum pun tidak namun hatinya hanya dia saja yang tahu.
“Memandangkan awak dah lulus ujian pertama, sekarang kita beralih pula pada ujian kedua. Saya nak tengok cara awak gubah bunga. Saya nak tengok hasilnya macam mana,” ujar Az-Zahra seraya meletakkan bahan-bahan untuk menggubah bunga di hadapan Gibran.
“Okey,” balasnya dengan wajah yang penuh dengan keyakinan.
Tanpa berfikir panjang, Gibran mula menggubah bunga dan menyusunnya di dalam sebuah bakul bersaiz sederhana besar. Pelbagai jenis bunga disusun dengan kemas dan teratur supaya tampak lebih indah apabila dipandang. Tangannya tidak henti-henti bergerak mengatur kedudukan bunga-bunga tersebut.
Az-Zahra fokus melihat Gibran yang sedang ralit menggubah bunga. Tetapi matanya bukan fokus pada cara lelaki itu menggubah sebaliknya matanya lebih tertumpu pada wajah lelaki itu. Sungguh dalam renungannya sehingga struktur wajah Gibran diperhatikan dengan penuh kekhusyukan.
Bermula dari kening yang lebat lalu bulu matanya yang panjang dan melentik menimbulkan rasa cemburu dalam hati Az-Zahra. Dia yang perempuan pun tiada bulu mata melentik yang natural begitu. Sepasang anak mata berwarna emerald yang dimiliki oleh lelaki itu membuatkan dirinya rasa tertarik untuk melihatnya. Sungguh cantik.
Turun pula pada hidung mancungnya kemudian pada seulas bibir merah jambu milik lelaki itu. Agak-agaknya kalau lelaki ini senyum mesti manis, kan? Dia tak boleh bayangkan jika lelaki ini tersenyum kerana dari awal mereka bertemu, Gibran tak pernah tersenyum. Asyik kekalkan wajah dinginnya sahaja.
“Done!” Suara garau Gibran menghentikan lamunan Az-Zahra. Lantas dia memandang ke arah bakul bunga yang sudah cantik digubah.
Az-Zahra meniliknya dengan teliti. Kemudian, dia angguk-anggukkan kepala sambil tersenyum puas.
“Pandai juga ya lelaki macam awak ni menggubah bunga. Awak belajar sendiri ke atau awak pernah mengikuti kursus sebelum ni?” soal Az-Zahra sekadar ingin tahu. Tertanya-tanya juga dia dari mana Gibran mendapat kelebihan yang semua orang tidak mampu memilikinya.
Tetapi Gibran masih kekal diam umpama banyak emas yang tersumbat di dalam mulutnya dan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam diri Az-Zahra.
Susah sangat ke soalannya?
Atau memang Gibran tak nak kongsi cerita dekat dia?
“Jadi, aku dah lulus semua ujian, kan? Maksudnya aku memang dah boleh kerja dekat sini?” soal Gibran.
“Urm, belum lagi. Saya nak tengok cara layanan awak terhadap pelanggan. Kalau awak layan pelanggan saya nak awak senyum. Boleh?”
Gibran terdiam mendengar permintaan Az-Zahra.
Senyum?
Dia dah lama tak senyum.
“Kalau awak nampak pelanggan masuk ke dalam kedai, saya nak awak sambut kedatangannya dengan senyuman bukannya dengan wajah dingin awak tu. Kalau mereka tengok wajah awak yang menyeramkan tu mesti mereka lari,” kata Az-Zahra selamba.
“Boleh awak buat macam tu?” Az-Zahra bertanya sambil memandang tepat wajah Gibran yang kosong itu.
“Aku cuba,” getusnya perlahan. Air liur ditelan kesat.
“Kalau macam tu saya nak tengok awak senyum dulu. Cepat senyum!” Selamba saja Az-Zahra mengarah.
Hehe, inilah peluang yang dia ada untuk tengok lelaki dingin itu tersenyum.
“Perlu ke untuk kau tengok?”
“Mestilah! Saya majikan awak, okey! Jadi awak kena ikut segala arahan saya!” Az-Zahra sengaja menggunakan kuasa vetonya untuk membuli lelaki itu. Sekali-sekala.
Kelihatan halkumnya bergerak-gerak. Mungkin Gibran berasa tidak selesa apabila dipaksa sebegitu. Az-Zahra yang melihatnya menahan senyum.
“Cepatlah! Saya nak tengok cara awak layan pelanggan. Awak bayangkan saja saya sebagai seorang pelanggan. Saya akan berlakon jadi pelanggan dan awak kena jalankan tanggungjawab awak sebagai seorang pekerja di kedai bunga,” ujar Az-Zahra sedikit teruja.
“A...aku...aku tak reti nak senyum,” akuinya tanpa rasa malu.
Az-Zahra tergamam namun hanya untuk seketika. Wajah terkejutnya cuba ditutup dengan senyuman meskipun senyuman itu kelihatan sangat palsu.
“Biar saya ajar awak cara untuk senyum,”
“Huh?”
“Nak senyum senang saja. Awak pegang hujung bibir awak dan tarik saja naik ke atas,” kata Az-Zahra seraya menunjukkan demonstrasi cara-cara untuk tersenyum manis.
Gibran hanya mengikuti sahaja rentak gadis itu tanpa banyak soal. Hasilnya bukan senyuman manis yang terukir sebaliknya senyuman yang sangat menyeramkan.
“Dah macam Joker pula cara awak senyum ni. Seramlah! Tak payah senyumlah,” komen Az-Zahra sambil menutup matanya. Muka dah hensem tapi senyuman pula macam tengah tahan berak.
“Gibran, awak kena sentiasa amalkan sikap suka tersenyum pada semua orang tak kiralah awak ada masalah atau tidak. Senyuman itu menyenangkan dan menggembirakan hati kita dan orang sekeliling,” bicara Az-Zahra.
Jauh di sudut hati Az-Zahra tahu pasti ada sebab mengapa Gibran jarang tersenyum sehingga lelaki ini sudah terbiasa tidak menunjukkan senyumannya.
Gibran terdiam lama. Otaknya cuba untuk menghadam setiap bait bicara yang diucapkan oleh Az-Zahra.
“Saya terima awak untuk bekerja di sini. Awak boleh mula bekerja esok. Jadi, jangan lupa datang awal,” pesan Az-Zahra dengan senyuman manis.
Gibran mengangguk perlahan.
“Gibran,” seru Az-Zahra dengan lembut.
Gibran menaikkan sebelah keningnya sebagai tanda bertanya.
“Smile with your eyes not lips,” ujar Az-Zahra dengan maksud tersirat. Dia berdiri tegak lalu mengemas barang-barangnya meninggalkan Gibran yang sedang terpinga-pinga.
Suatu hari nanti pasti lelaki itu akan faham maksud di sebalik ayatnya.
Share this novel