PADA hujung minggu itu, Az-Zahra dan Sophia keluar berjoging bersama-sama di taman rekreasi. Mereka ingin meluangkan masa bersama setelah sekian lama tidak berjumpa akibat kesibukan kerja. Hanya berborak melalui Whatsapp saja sebelum ini. Hari ini mereka ada peluang untuk bertemu.
Selesai tiga pusingan larian mengelilingi kawasan taman rekreasi, Az-Zahra dan Sophia membuat keputusan untuk berehat seketika di sebuah bangku yang sememangnya disediakan khas untuk kemudahan orang awam. Terasa ingin tercabut kaki mereka saat ini sesudah berlari di kawasan yang agak luas sebanyak tiga kali pusingan. Kedua-duanya sudah keletihan walaupun tidak sampai satu jam berlari.
Az-Zahra menghembus nafas lelah melepaskan segala kepenatan. Bibir merahnya merekah senyuman manis tatkala melihat pemandangan hijau di hadapan mata. Taman ini memiliki tanah lapang berumput hijau yang luas dan dipenuhi dengan pokok-pokok hijau. Tasik di hadapannya membuatkan jiwanya sungguh tenang saat ini.
Az-Zahra menikmati panorama indah ini bersama hati yang tenteram. Segala beban yang mengganggu fikirannya terbang ditiup angin.
“Zahra, aku nak beli aiskrim. Kau nak sekali tak? Aku belanja.” Suara lunak milik Sophia membuatkannya kembali ke alam nyata. Az-Zahra sedikit tersentak lalu menoleh ke arah Sophia yang sedang duduk di sebelahnya sambil memandangnya.
“Boleh juga,” jawab Az-Zahra sebelum meneguk air putih di dalam botol air yang dibawa bersama tadi.
Sophia senyum lebar.
“Okey, kau tunggu sini dan tolong jagakan botol air aku sekali. Aku pergi beli aiskrim sekejap.”
Az-Zahra hanya mengangguk sebagai balasan.
Sekejap saja susuk tubuh Sophia semakin menjauh. Sementara menunggu sahabatnya membeli aiskrim, Az-Zahra merenung kembali pemandangan indah di depan matanya.
Dia memejam mata dan bibirnya melorek segaris senyuman manis. Hembusan angin menampar lembut wajahnya.
Seraut wajah tampan milik seseorang muncul di fikiran. Setiap struktur wajah kacaknya terbayang di ruang minda. Entah mengapa jauh di sudut hatinya, dia berharap agar lelaki itu muncul di hadapannya sekarang. Terbit perasaan rindu dalam hatinya walhal hampir setiap hari mereka bertemu di tempat kerja.
“Thinking of me?” Bisikan suara garau yang sangat dikenalinya begitu jelas kedengaran di telinganya. Sangat dekat sehingga Az-Zahra dapat merasakan hembusan nafas jejaka itu.
Automatik degupan jantungnya bertukar rentak.
Az-Zahra mencelikkan matanya semula. Kepala berpaling ke sisi. Mulutnya terbuka luas tatkala wajah kacak Gibran menghiasi pandangannya. Tak menyangka Gibran kini berada hadapannya dan sedang duduk di sebelahnya. Jejaka itu merenungnya sambil tersenyum kacak.
“Gibran?”
“Yeah, it’s me.” Gibran membalas sebelum tertawa kecil melihat reaksi gadis itu.
Az-Zahra menggosok matanya bagi memastikan dia tidak berimaginasi. Dia bimbang jika semua ini hanyalah sekadar khayalannya semata-mata. Gibran di hadapannya sekarang? Sukar untuk dipercayai.
Dia memandang Gibran yang hanya mengenakan seluar sukan hitam dan baju tanpa lengan berwarna hitam sehingga menyerlahkan biceps jejaka itu. Jaket sukan berwarna hitam sengaja dililit di bahagian pinggangnya. Dari atas sehingga bawah penampilan lelaki itu kesemuanya berwarna hitam.
Wajah Gibran kelihatan bersinar-sinar kerana disimbahi cahaya matahari yang kini semakin terbenam di sebelah Barat.
Mulut Az-Zahra ternganga luas.
Gibran menggeleng kepala perlahan. Bibir merah lelaki itu masih menguntum senyum manis. Hatinya terusik melihat gelagat Az-Zahra yang sungguh comel di matanya.
“It's me, Raja Gibran Xavier. Kau tak berkhayal pun. Aku memang ada di depan mata kau sekarang.” Gibran bersuara untuk menyedarkan Az-Zahra.
“Ma...macam mana...aw...awak boleh tiba-tiba muncul dekat sini? Ke...kenapa awak...ada dekat sini?” Tergagap-gagap Az-Zahra menyoal. Dia sungguh terkejut melihat Gibran tiba-tiba di hadapannya. Baru saja dia terfikirkan tentang lelaki itu tengok-tengok sudah ada di depan mata. Ajaib sungguh!
Gibran melebarkan senyumannya sehingga menyerlahkan kedua-dua lesung pipitnya yang begitu dalam. Degupan jantung Az-Zahra semakin tidak menentu. Hampir saja dia pengsan melihat senyuman Gibran yang sungguh menawan itu. Gibran semakin suka tersenyum sejak kebelakangan ini.
“Aku selalu juga joging dekat sini dengan Luke setiap hujung minggu kalau ada masa. Kebetulan kami ada terserempak dengan Sophia masa kami berjoging tadi. Sekarang Luke ada temankan Sophia beli aiskrim.” Gibran bercerita ringkas. Anak matanya masih merenung seraut wajah jelita milik Az-Zahra.
Az-Zahra mengangguk perlahan mendengar cerita ringkas daripada Gibran.
“Dan awak kenapa tiba-tiba muncul depan saya? Kenapa tak pergi sekali dengan Luke?” soal Az-Zahra menginginkan penjelasan. Hairan juga dia melihat Gibran tiba-tiba muncul di hadapannya.
Hujung bibirnya ternaik sedikit mendengar pertanyaan Az-Zahra.
“Aku cari kau,” jawab Gibran selamba. Hanya tiga patah perkataan sahaja tetapi mampu membuatkan jantung Az-Zahra berdebar laju.
Az-Zahra menelan air liurnya.
“Kenapa awak cari saya?”
“Sebab aku rindukan kau,” ucap Gibran tulus dari hatinya. Panahan anak matanya juga sungguh lembut membuatkan Az-Zahra makin tak tentu arah. Wajahnya juga seperti sudah bertukar menjadi tomato.
Az-Zahra ketawa kekok untuk menghilangkan suasana canggung. Dia bergerak menjauhi Gibran. Biarlah dia duduk di hujung kerusi sekalipun asalkan dia dapat menjauhkan diri daripada lelaki itu. Az-Zahra mengalihkan pandangannya ke hadapan, menikmati pemandangan indah untuk menenangkan jiwanya. Renungan tajam Gibran diabaikannya.
“Apa yang awak merepak ni, Gibran? Jangan nak mengarutlah,” balas Az-Zahra sekadar ingin menutup gelisahnya. Jantungnya semakin berdegup kencang. Dia tak mampu nak mengawal degupan jantungnya saat ini.
Gibran semakin berani mengungkapkan kata-kata romantis semenjak lelaki itu meluahkan perasaannya tempoh hari.
Gibran masih kekalkan senyumannya. Dia mengalihkan pandangan dari wajah Az-Zahra. Tangan dibawa ke dada lalu disilangkan. Belakang tubuhnya disandarkan pada kerusi bangku itu.
Tatkala menyedari Gibran tidak lagi memandang ke arahnya, Az-Zahra mencuri pandang melihat wajah kacaknya dari tepi. Sangat elok rupanya dengan hidung mancungnya yang tinggi dan cantik terbentuk. Bibir merah lelaki itu mengukir senyuman manis sambil menikmati panorama yang sungguh menenangkan jiwa.
“Aku tahu aku kacak tapi jangan nak pandang aku lama-lama. Takut nanti kau jatuh cinta,” ujar Gibran tiba-tiba membuatkan Az-Zahra cepat-cepat melarikan pandangan. Dia menggigit bibir merahnya. Sumpah dia malu sekarang ini. Ingin saja dia tembus mukanya ke tanah.
“Ma...mana ada saya pandang awak. Perasan lebih je awak ni. Saya pandang pak cik yang tengah joging dekat hujung sana tadi.” Az-Zahra masih cuba menafikannya. Sesekali dia mengerling ke arah Gibran yang langsung tidak memandangnya walau sesaat pun tetapi bibir lelaki itu mengukir senyuman sinis.
Az-Zahra sudah mula berasa tidak senang duduk melihat senyuman sinis yang terukir pada bibir lelaki itu. Gibran seolah-olah sedang mengejeknya. Ergh! Ini yang dia tak suka ni!
“This place is very tranquil,” ujar Gibran tiba-tiba. Senyumannya masih lagi tidak pudar dari wajah kacaknya.
Az-Zahra tersentak.
Dia menoleh ke arah Gibran. Wajahnya sungguh tenang umpama tasik di hadapan mereka.
Az-Zahra senyum manis.
“Betul, saya setuju sangat dengan awak. Sebab tu saya dengan Sophia suka berjoging dekat sini kalau ada masa,” balas Az-Zahra. Dia juga turut memandang ke arah pemandangan indah di hadapanya.
Seketika suasana menjadi senyap. Masing-masing diam melayan perasaan sendiri. Sehinggalah Gibran bersuara kembali dan memecahkan keheningan di antara mereka.
“I miss my late mother so much,” luah Gibran. Mendengarkan itu, automatik kepala Az-Zahra berpaling ke arah Gibran semula.
“She is the first woman that I really love until now,” ucap Gibran bersama riak wajah yang sukar untuk ditafsirkan.
Az-Zahra diam. Dia hanya memasang telinga mendengar luahan hati Gibran. Pasti lelaki itu ingin berkongsi ceritanya dengannya lagi.
“Susah untuk aku terima takdir hidup aku. Susuk wanita yang paling penting dalam hidup aku tinggalkan aku tanpa aku sempat bertemu dengannya untuk kali terakhir. Hati aku sedih dan aku tak dapat nak terima hakikat. Kenapa hidup aku tak seindah orang lain? Kenapa orang yang aku cinta tinggalkan aku? Ini semua tak adil!” kata Gibran seolah-olah tidak berpuas hati. Suaranya juga agak keras.
“Awak jangan nak salahkan takdir, Gibran. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Awak kena juga teruskan hidup. Jangan disebabkan dugaan yang menimpa awak saat ini membuatkan awak hilang kepercayaan terhadap Sang Pencipta yang telah menciptakan awak. Mungkin dengan ujian ini awak akan jadi lebih kuat. Cuba untuk berdamai dengan takdir,” bicara Az-Zahra dengan lembut. Dia cuba untuk menenangkan hati lelaki itu.
“It’s not as easy as you think, Mahyra. I faced all these difficult times with pain. I survived alone without my mother by my side. I’m not strong enough to continue living. I want to end this life,” ucap Gibran lalu bangkit dari tempat duduknya. Lelaki itu berdiri tegak kemudian berjalan perlahan-lahan menuju ke tasik.
Az-Zahra sudah mula cuak melihat kelakuan Gibran yang tiba-tiba saja berubah seolah-olah dirinya dirasuk syaitan. Dia melihat Gibran yang semakin menghampiri tasik itu. Bimbang jika lelaki itu buat kerja gila ingin terjun ke dalamnya. Lalu dia bertindak mengejar langkah besar Gibran.
“Awak nak buat apa?” soal Az-Zahra seraya berjalan di sebelah lelaki itu.
Gibran langsung tidak menjawab. Dia hanya meneruskan langkah sehinggalah dia berdiri betul-betul di tepi tasik itu. Az-Zahra juga turut berhenti apabila melihat Gibran berhenti.
“Gibran, awak nak buat apa sebenarnya? Jangan nak buat perkara yang bukan-bukan dekat sini. Orang ramai tengoklah nanti,” ujar Az-Zahra meluahkan kebimbangannya. Matanya memerhatikan beberapa orang awam yang sedang sibuk melakukan aktiviti fizikal.
Gibran pekakkan telinga. Apa yang dikatakan oleh Az-Zahra seolah-olah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Az-Zahra yang sedang berdiri di sebelahnya langsung tidak dihiraukan. Kakinya mula bergerak perlahan-lahan memasuki kawasan tasik sehingga kasut sukannya mula basah sedikit demi sedikit.
“Awak dengar tak apa yang saya cakapkan ni, Gibran? Raja Gibran Xavier! Jangan takutkan saya boleh tak? Awak dah gila?!” Tinggi suara Az-Zahra berkata lalu ditariknya lengan Gibran sekuat tenaga menjauhi kawasan tasik. Tanpa sedar air matanya mengalir membasahi pipi mulusnya.
“Awak boleh tak jangan nak buat kerja gila macam ni?! Dah tak sayang nyawa dah ke?! Awak buat saya risau!” bentak Az-Zahra. Terpancar kebimbangan pada seraut wajah cantiknya.
Sejurus itu, terletus tawa jantan Gibran di kawasan tersebut. Lelaki itu ketawa lucu melihat reaksi Az-Zahra. Berbeza pula dengan Az-Zahra yang kelihatan agak terkejut memandang Gibran yang selamba ketawa di hadapannya tanpa rasa bersalah. Perasaan risaunya hilang entah ke mana. Terkebil-kebil dia melihat Gibran.
“I’m just kidding, okay. Aku belum gila lagi nak bunuh diri. Aku cuma nak uji kau dan lihat apa reaksi kau. Itu aje,” jelas Gibran diiringi dengan tawa kecil yang masih tersisa. Dia mengelap hujung matanya yang berair. Sungguh dia terhibur. Sudah lama dia tidak ketawa begini.
Az-Zahra bungkam. Dia seperti sudah diperbodohkan oleh Gibran. Wajah Gibran direnung tajam. Tangannya digenggam kuat. Mahu saja dia menumbuk wajah kacak itu. Berani-beraninya lelaki itu mempermainkan dia.
“Dan aku tak sangka kau akan nangis di hadapan aku. Itu membuktikan yang kau juga ada perasaan terhadap aku. Kalau tak, kau takkan nangis depan aku.” Gibran berkata dengan bangga. Bibirnya mengukir senyum kemenangan.
Dia menghulurkan sehelai tisu kepada Az-Zahra bersama senyuman yang tidak lekang dari bibir. Dia sungguh bahagia melihat reaksi Az-Zahra. Jelas sekali Az-Zahra ambil peduli tentang dirinya.
Az-Zahra masih mendiamkan diri.
Matanya merenung kosong ke arah tisu yang dihulurkan oleh Gibran. Rahangnya diketap kuat. Perasaan marah kini berjaya menguasai dirinya. Lalu Az-Zahra merampas kasar tisu tersebut kemudian dicampak ke wajah Gibran. Tidak cukup dengan itu, Az-Zahra menanggalkan sebelah kasut sukannya lalu dilemparkan ke arah Gibran tepat di dada bidang lelaki itu. Puas hati melihat kesan tanah yang melekat pada baju lelaki itu. Padan muka. Itu balasannya sebab dah kenakan dia!
“Awak memang tak guna! Saya risaukan awak separuh mati tadi tapi awak pula boleh buat lawak soal mati macam ni!” herdik Az-Zahra sebelum gadis itu berlalu pergi meninggalkan Gibran dengan sebelah kakinya tanpa berkasut. Sumpah, dia malu menangis di hadapan Gibran.
Gibran meraup rambutnya ke belakang. Tak sangka tindakannya itu boleh menimbulkan kemarahan Az-Zahra. Tapi, harus saja gadis itu marah sebab dia buat lawak tidak kena caranya. Cara dia untuk menguji perasaan Az-Zahra terhadapnya salah. Namun dia cuma mahu melihat reaksi gadis itu saja.
“Tunggu!” laung Gibran kuat tanpa mempedulikan mata-mata orang awam yang sedang memandang ke arah mereka berdua.
Az-Zahra melajukan langkahnya namun Gibran masih mampu mengejar langkah kecil Az-Zahra dengan bantuan kakinya yang panjang.
Gibran berdiri tegak di hadapan Az-Zahra bagi menghalang jalan gadis itu. Az-Zahra memalingkan wajahnya ke tempat lain.
“Aku minta maaf. Aku mengaku aku salah sebab dah buat kau menangis. Cara aku untuk uji perasaan kau silap. Aku minta maaf, okey.” Gibran memujuk lembut.
Az-Zahra diam.
Dia sengaja tidak membalas semula kata-kata Gibran. Wajah kacaknya juga langsung tidak dipandang.
“Pakai semula kasut kau. Nanti kau terpijak benda tajam,” arah Gibran seraya mengembalikan semula sebelah kasut sukan milik Az-Zahra.
Az-Zahra kekal mendiamkan diri. Tubuhnya langsung tidak bergerak.
“Kau nak pakai sendiri atau kau nak aku tolong pakaikan.” Suara Gibran berubah dingin. Panahan anak matanya juga bertukar tajam menikam wajah cantik Az-Zahra. Rahangnya bergerak-gerak.
Mendengarkan ucapan Gibran, Az-Zahra cepat-cepat memakai semula kasut sukannya. Tak boleh bayang kalau Gibran pakaikan kasut di kakinya.
“Ehem!”
Bunyi deheman seseorang menyentakkan mereka berdua. Gibran dan Az-Zahra sama-sama menoleh ke arah Luke dan juga Sophia yang tiba-tiba saja muncul entah dari mana datangnya.
Az-Zahra menggigit bibir bawahnya. Renungan Sophia sangat ’sesuatu'. Janganlah sahabatnya itu berfikir yang bukan-bukan. Dia tidak pernah berkongsi cerita dengan Sophia berkenaan dengan Gibran selama ini.
“Korang sembang pasal apa?” soal Sophia seraya menghampiri Az-Zahra.
“Sembang pasal masa depan,” balas Gibran selamba. Wajahnya langsung tiada rasa bersalah.
Az-Zahra mahupun Sophia, kedua-duanya tergamam. Luke pula hanya tersenyum.
Canggung.
Az-Zahra merasakan wajahnya kini berubah merah tatkala dia menyedari Gibran dari tadi merenungnya. Az-Zahra berpura-pura memandang ke tempat lain. Gibran sudah pun mengetahui perasaannya. Macam mana dia mahu berhadapan dengan Gibran selepas ini?
“Nah, aiskrim kau. Maaf aku lambat sebab ramai budak-budak yang beli aiskrim tadi,” kata Sophia seraya menghulurkan sebatang kon aiskrim kepada Az-Zahra.
Az-Zahra mengambil aiskrim dari tangan Sophia dengan mata yang bersinar-sinar. Dia memang seorang penggemar aiskrim sejak kecil lagi. Terasa sejuk apabila aiskrim coklat itu memasuki mulutnya. Serupa budak sekolah yang sedang menikmati aiskrim kerana hanya Az-Zahra seorang saja yang memakan aiskrim ketika itu.
“Saya tak sangka kita akan terserempak dekat sini lagi. Lama tak jumpa awak, Zahra.” Luke bersuara. Bibirnya mengukir senyum manis.
Az-Zahra membalas senyuman manis Luke.
“Saya pun tak sangka juga akan jumpa awak dekat sini. Patutlah orang tu beria-ia nak ajak saya joging hari ni, rupanya ada udang di sebalik batu,” balas Az-Zahra sambil menjeling sekilas ke arah Sophia.
“Hey, aku memang nak joging, okey. Aku pun tak sangka akan terserempak dengan Luke tadi. Jangan nak tuduh yang bukan-bukan.”
“Aku tak ada pun sebut nama kau,” usik Az-Zahra.
Wajah Sophia bertukar cemberut.
Gibran hanya memasang telinga mendengar perbualan tiga orang manusia itu. Wajahnya serius dengan tangan disilangkan ke dada.
Az-Zahra telan air liur. Perwatakan Gibran automatik berubah. Tadi baru saja lelaki itu ketawa tak ingat dunia sebab dah berjaya kenakan dia tapi sekarang bila muncul Luke dan Sophia, Gibran terus tayang muka bekunya itu. Meremang bulu roma Az-Zahra melihatnya.
“Kami nak balik dulu,” ujar Sophia meminta diri. Dia merangkul lengan Az-Zahra.
“Okey, kalau ada rezeki kita jumpa lagi, Zahra.” Luke berkata seraya memandang sekilas wajah Sophia.
Az-Zahra hanya senyum manis. Dia tahu ayat yang diungkapkan oleh Luke sebenarnya ditujukan buat Sophia. Mereka masih dalam fasa pertunangan dan bukan selalu bertemu kerana mereka masih belum halal. Lagipun, keluarga masing-masing melarang untuk tidak selalu keluar berdua setiap hari. Bimbang akan terjadi sesuatu yang tidak diingini.
Az-Zahra melirik ke arah Gibran dan lelaki itu sudah bersedia menyambut pandangannya. Wajah Az-Zahra terasa berbahang. Jantungnya berdegup dengan tidak normal gara-gara renungan Gibran pada wajahnya.
Sedaya-upaya dia cuba mengawal riak wajahnya agar kekal tenang.
Sebelum berlalu, Sophia sempat melemparkan senyuman kepada Gibran sebagai tanda hormat kerana lelaki itu pernah menjadi majikannya. Setelah itu, dia menarik lengan Az-Zahra dan memaksa gadis itu untuk berlalu dari situ.
♡ ♡ ♡ ♡
AZ-ZAHRA dan Sophia berjalan beriringan menuju ke tempat parkir kereta. Masing-masing tidak membuka mulut. Az-Zahra senyum kegembiraan setelah selesai menghabiskan aiskrim coklatnya.
Tiba-tiba sahaja Sophia menghentikan langkahnya. Az-Zahra juga turut berhenti. Dia memandang pelik ke arah Sophia.
“Zahra,” panggil Sophia.
Az-Zahra mengangkat sebelah keningnya ke atas sebagai isyarat bertanya.
“Kau ada apa-apa nak kongsi cerita dengan aku ke?” tanya Sophia dengan wajah serius.
Az-Zahra menggaru kepalanya yang dilapisi tudung. Melihat wajah Sophia yang agak serius membuatkannya sedikit gementar. Jarang sekali gadis ini bersikap serius dengannya.
“Erk, rasanya tak ada. Kenapa kau tiba-tiba tanya?”
Sophia senyum nipis.
“Tak adalah, aku saja bertanya. Kalau kau ada cerita nak kongsi, beritahu aku. Jangan berahsia sangat. Kita kan dah lama kawan,” ujar Sophia.
Az-Zahra tersenyum kekok. Dia dapat merasakan sikap Sophia berbeza sekarang ini. Banyak juga perkara yang dia tidak beritahu Sophia atas sebab-sebab tertentu. Dia akan beritahu cuma tunggu masa yang sesuai.
“Okeylah, aku balik dulu tau. Kalau ada masa terluang kita jumpa lagi,” ujar Sophia lalu menarik tubuh Az-Zahra dan mendakapnya erat.
Az-Zahra senyum manis seraya membalas pelukan sahabatnya.
Setelah Sophia berlalu pergi, Az-Zahra terus menuju ke keretanya yang diparkir agak jauh dari kawasan taman. Rasa menyesal juga sebab dia parkir keretanya jauh-jauh. Dia cuma malas mahu mencari kawasan parkir. Ada tempat kosong terus dia rembat.
Az-Zahra menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum melintas jalan untuk memastikan tiada kenderaan. Dia mula melangkah setelah yakin jalan raya itu selamat namun ketika itulah sebuah kereta berwarna hitam meluncur laju di atas jalan raya menuju tepat ke arah Az-Zahra.
Membulat besar mata Az-Zahra melihat kereta yang tiba-tiba saja muncul entah dari mana datangnya dan menuju ke arahnya bersama kelajuan yang tinggi. Kakinya seperti terpasak di bumi sehingga tidak mampu untuk bergerak. Seolah-olah membiarkan nyawanya melayang dilanggar kereta tersebut.
“Jaga-jaga!” Sejurus itu, tubuhnya ditarik kasar oleh seseorang sehingga terjatuh ke atas rumput.
Jantung Az-Zahra berdegup laju. Semuanya berlaku dengan sangat pantas sehingga dia tidak mampu untuk menganalisis apa yang berlaku sebentar tadi.
Apabila Az-Zahra tersedar sesuatu, dia mengangkat wajah dan anak matanya bertembung dengan anak mata lelaki itu. Mulutnya terlopong luas. Baru dia perasan dengan kedudukan mereka saat ini. Dia berada di atas tubuh Gibran dan lelaki itu yang menyelamatkannya. Patut saja dia tidak berasa sakit di mana-mana bahagian tubuh kerana Gibran yang melindunginya. Lelaki itu yang sepatutnya mengalami kecederaan.
Dengan pantas Az-Zahra bangkit lalu berdiri semula. Wajahnya bertukar merah. Dia tidak pernah sedekat ini dengan mana-mana lelaki sebelum ini.
Dari hujung mata, Az-Zahra dapat melihat Gibran juga turut bangkit lalu berdiri di sebelahnya.
“Kau okey?” Gibran bertanya, terselit keprihatinan.
Az-Zahra cuma mengangguk.
Matanya cekap saja menangkap luka yang terdapat pada lengan kiri Gibran. Terbit perasaan bersalah dalam dirinya tatkala melihat keadaan Gibran seperti itu.
“Lengan awak berdarah,” ujar Az-Zahra perlahan.
“Tak ada apalah. Luka sikit je ni. Aku tak rasa sakit pun sebab aku dah biasa,” balas Gibran selamba. Seolah-olah dia langsung tidak kisahkan dirinya yang tercedera.
Az-Zahra tidak mampu untuk menyorok kebimbangannya. Wajahnya jelas mempamerkan kerisauan.
“Awak patut rawat luka pada lengan awak, Gibran. Nanti jadi makin teruk kalau awak biarkan. Walaupun hanya sekadar luka kecil tapi awak tak boleh biarkan macam tu je. Mana tahu ada kuman. Kan kotor tu,” ujar Az-Zahra serius.
Gibran tidak mampu untuk menahan senyum. Dia tersenyum lebar melihat Az-Zahra yang bersikap prihatin dengannya.
“Saya tengah serius dan awak pula boleh senyum macam ni!”
“Ya, sayang. Nanti aku rawat luka aku,”
“Jangan panggil saya sayang! Awak tak ada hak!” Az-Zahra memberikan amaran. Wajahnya bertukar garang namun jantungnya usah dikata.
“Aku tak sengaja. Aku tersasul tadi.” Gibran memberikan alasan.
Az-Zahra menjulingkan mata ke atas.
“Nasib baik aku cepat selamatkan kau tadi. Kalau tak, aku tak tahu apa yang akan jadi. Lain kali, sebelum melintas tolong pandang kiri kanan dulu. Kau tu bukan budak-budak nak kena ajar. Dah besar panjang pun, kan.” Gibran berkata serius. Mahu tercabut jantungnya tatkala melihat Az-Zahra yang hampir dilanggar oleh kereta hitam tersebut.
“Awak jangan nak tuduh saya yang bukan-bukan, ya. Saya dan tengok kiri kanan sebelum melintas tadi. Kereta tu yang muncul tiba-tiba lepas tu bawa laju-laju. Memang saya terkejutlah sampaikan saya tak sempat nak buat apa-apa,” balas Az-Zahra semula, mempertahankan dirinya.
Gibran terdiam.
Seperti sedang berfikir sesuatu.
“Kenapa awak tak balik lagi? Luke mana?” tanya Az-Zahra.
“Luke baru saja balik tadi. Aku sebenarnya nak jumpa kau sebab nak minta maaf pasal hal tadi. Aku tak sepatutnya bergurau dengan cara macam tu dan cara aku salah untuk uji perasaan kau,” ucap Gibran dengan perasaan bersalah. Dia menyesal.
Az-Zahra senyum nipis.
“Tak apalah. Saya maafkan awak tapi jangan buat lagi!”
“Okey, aku janji akan buat lagi.”
Az-Zahra menjeling tajam ke arah Gibran. Gibran hanya tersengih.
“Awak boleh ke bawa motor dengan keadaan macam ni?”
“Boleh, sayang.”
“Saya dah kata jangan panggil saya sayang!”
“Ouh, sorry! Aku tersasul untuk kali yang kedua.”
Az-Zahra mendengus geram.
Tersasul kaki dia! Ada saja alasan tak masuk akal lelaki itu. Mahu saja dia patahkan tangan Gibran. Biar bengkok terus.
Mereka kemudiannya berjalan beriringan menuju ke kenderaan masing-masing.
Hi?
Share this novel