AZ-ZAHRA menyentuh lembut dahinya yang dilekatkan plaster. Luka kecil pada dahinya kian sembuh. Keluarganya ada bertanya mengenai kecederaan di dahinya itu namun Az-Zahra hanya menjawab dia terjatuh ketika sedang bekerja. Az-Zahra terpaksa menipu keluarganya sebab dia tidak mahu mereka bimbang tentang keadaannya di tempat kerja. Mana mungkin dia akan menceritakan hal sebenar kepada keluarganya. Dia tak mahu masalah menjadi semakin rumit.
Shawl di atas kepala dibetulkan kedudukannya, memastikan tiada helaian rambut yang terkeluar dari celahan anak tudung. Hari ini dia ada mood mahu menggayakan loose style.
Setelah memastikan penampilannya sempurna dari atas hingga bawah, Az-Zahra melangkah keluar dari bilik tidurnya dan anak matanya menangkap susuk tubuh Haji Arsyad yang sedang duduk di atas sofa di ruang tamu sambil membaca surat khabar. Raut wajah orang tua itu sangat serius. Entah mengapa Az-Zahra merasakan aura Haji Arsyad pada pagi itu sungguh menyeramkan. Berdiri tegak bulu romanya.
Az-Zahra menghampiri Haji Arsyad kerana dia mahu mencium tangan ayahnya sebelum bergerak ke tempat kerja. Itu adalah rutin hariannya setiap kali dia mahu pergi bekerja.
“Ayah,” seru Az-Zahra lembut. Dia melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan lelaki tua itu.
Haji Arsyad tidak menyahut. Matanya fokus pada pembacaannya.
“Zahra nak pergi kerja dah. Nak salam dulu,” ujar Az-Zahra seraya menghulurkan tangannya ke arah Haji Arsyad.
Namun, hulurannya tidak disambut. Az-Zahra tersenyum kelat. Perlahan-lahan dia menarik semula tangannya. Dah kenapa dengan orang tua ni? Badmood semacam aje.
Melihatkan tiada reaksi daripada Haji Arsyad, Az-Zahra bangkit dari tempat duduknya.
“Zahra pergi kerja dulu, ya. Assalamu'alaikum.” Tanpa menunggu balasan daripada Haji Arsyad, Az-Zahra terus melangkah ke muka pintu. Dia sudah lewat mahu ke tempat kerjanya.
Namun, langkahnya terhenti saat Haji Arsyad bersuara.
“Siapa Gibran?” Az-Zahra tersentak mendengar pertanyaan Haji Arsyad.
Dia...tak salah dengar, kan?
Kedengaran bunyi surat khabar itu dilipat sebelum dicampak kasar ke atas meja.
Az-Zahra kaku. Air liur ditelan pahit.
“Az-Zahra Al-Mahyra, ayah tanya siapa Gibran?” Suara Haji Arsyad mula meninggi.
Az-Zahra gigit bibir bawahnya. Faham sangat kalau dah nama panjangnya disebut, itu maksudnya Haji Arsyad sedang marah.
Az-Zahra memusingkan tubuhnya menghadap orang tua itu. Nafas ditarik perlahan lalu dihembus. Az-Zahra cuba untuk menenangkan dirinya.
“Gibran pekerja Zahra. Dia bekerja sekali dekat Scarlett Florist,” jawab Az-Zahra tenang biarpun riak wajah Haji Arsyad ketika ini sangat menakutkan.
“Kamu jangan nak tipu ayah.”
Az-Zahra mengeluh kecil.
“Astaghfirullahal’Azim. Mana ada Zahra tipu ayah. Gibran memang pekerja Zahra. Kami cuma berkawan,” ujar Az-Zahra bersungguh-sungguh. Dia pelik macam mana ayahnya boleh tahu tentang Gibran.
“Kawan?” Kedengaran sinis di telinga Az-Zahra.
Haji Arsyad tiba-tiba mencampak satu sampul surat berwarna coklat ke atas lantai sehingga terkena hujung jari kaki Az-Zahra. Az-Zahra tunduk memandangnya lalu mengambil sampul surat itu.
“Ap...apa ni, ayah?”
“Bukti yang kamu dah menipu ayah selama ni!” Bengang Haji Arsyad.
Jantung Az-Zahra berdebar laju. Air liur ditelan kesat.
Az-Zahra membuka sampul surat itu dan melihat isi di dalamnya. Beberapa keping foto dirinya bersama dengan Gibran ditangkap dari jauh.
Foto dia dan Gibran sedang makan burger bersama tempoh hari, foto dia dan Gibran berada di hadapan klinik, foto dia dan Gibran sedang berbual di taman dan ada juga foto dia dan Gibran berada dalam posisi yang boleh membuatkan orang salah faham. Foto ini diambil ketika Gibran sedang menyelamatkannya daripada dilanggar kereta. Ada banyak lagi foto dia dan Gibran ditangkap tanpa disedari oleh mereka.
Terbuntang luas mata Az-Zahra melihat foto-foto tersebut.
“Mana ayah dapat semua foto ni? Siapa yang bagi?” soal Az-Zahra, resah.
“Kamu tak perlu tahu siapa yang bagi ayah semua foto tu. Itu semua tak penting. Ayah nak tahu apa hubungan kamu dengan lelaki nama Gibran tu? Keluar berdua-duaan, makan sama-sama, itu kamu cakap kawan?”
Sekali lagi Az-Zahra melepaskan keluhan kecil. Siapa dalang di sebalik semua ini? Ternyata ada seseorang yang mengintip mereka selama ini.
“Ayah, kami cuma berkawan. Betul, Zahra tak tipu. Kami tak ada apa-apa hubungan yang istimewa pun,” ujar Az-Zahra tegas.
“Jangan nak bohong!” tengking Haji Arsyad sehingga bergegar ruang tamu ini. Silap hari bulan rumah gabungan batu dan kayu ini boleh roboh tak lama lagi.
Az-Zahra memejam mata mendengar suara lantang Haji Arsyad. Kelibat Hajah Aisyah muncul di ruangan itu. Raut wajahnya jelas menunjukkan kerisauan. Hajah Aisyah yang sedang memasak di dapur turut terkejut mendengar suara lantang suaminya.
“Apa yang berlaku ni? Abang, kenapa terjerit-jerit waktu pagi macam ni?” tegur Hajah Aisyah dengan lembut.
Haji Arsyad menghiraukan pertanyaan isterinya. Wajah anak perempuannya direnung tajam.
“Jangan sesekali nak ingkar arahan ayah. Kalau ayah tahu kamu masih berhubungan dengan lelaki tu, tahulah apa yang ayah akan buat. Ayah takkan terima jantan kafir tu. Ayah nak kamu pecat dia dan jangan berkawan dengan dia lagi! Faham!” Tegas Haji Arsyad berkata. Rahangnya diketap kuat.
“Ayah...” Lirih suara Az-Zahra ketika ini. Hatinya sakit dan jiwanya rapuh.
“Ayah tak peduli! Lelaki macam dia, suatu saat nanti akan sakitkan hati kamu! Dia bukan lelaki yang baik sebab dia langsung tak ada ilmu agama yang cukup! Agama dia berbeza dengan kita! Macam mana kamu boleh tertarik dengan dia?!” bentak Haji Arsyad lagi.
Air mata mula bergenang di kelopak mata Az-Zahra. Sungguh sakit apabila kata-kata Haji Arsyad menusuk ke hatinya. Sungguh sakit apabila dia terpaksa menelan suatu kenyataan yang benar. Memang realitinya dia takkan mampu bersama dengan Gibran.
“Satu-satunya lelaki yang ayah terima hanyalah Harith. Dia saja lelaki yang ayah akan terima sebagai menantu. Sematkan kata-kata ayah ni dalam ingatan kamu!”
“Tapi Zahra tak cintakan Harith.” Lemah, Az-Zahra menuturkan ayat tersebut.
“Kamu cintakan dia atau tidak, itu bukan urusan ayah. Ayah tetap tak akan terima lelaki nama Gibran tu sampai bila-bila dan kamu jangan sesekali nak membantah kata-kata ayah! Berhenti berhubungan dengan dia dan jangan jumpa dia lagi!” ujar Haji Arsyad lagi sebelum berlalu pergi.
Tumpah juga air mata Az-Zahra. Dia hanya memandang belakang badan ayahnya dengan mata yang berkaca-kaca. Wajah ibunya yang kebingungan itu juga dipandang sekilas.
“Zahra, apa dah jadi ni? Siapa lelaki yang ayah kamu maksudkan tu?” tanya Hajah Aisyah lembut.
Az-Zahra menggeleng kepala perlahan. Dia melangkah keluar dari rumah bersama air mata yang tidak berhenti mengalir. Dalam keadaannya yang sebegini, dia tidak mampu untuk menjawab pertanyaan ibunya.
♡ ♡ ♡ ♡
AKHIRNYA Az-Zahra tiba juga di Scarlett Florist tepat pada waktunya biarpun agak sedikit lewat. Disebabkan pertelingkahan dengan Haji Arsyad menyebabkan Az-Zahra terlewat masuk kerja.
Az-Zahra melihat dirinya melalui cermin. Matanya agak sembap gara-gara terlalu banyak menangis tadi. Dia cuba untuk menutup kesan sembap di matanya itu dengan menggunakan foundation agar tidak kelihatan.
Sesudah itu, dengan langkah yang lemah, Az-Zahra menuju masuk ke dalam Scarlett Florist. Wajah Qaireen yang pertama dilihatnya sebaik saja dia masuk ke dalam kedai bunga itu.
“Eh, Kak Zahra dah sampai. Lambat masuk kerja hari ni,” tegur Qaireen mesra.
Az-Zahra mengukir senyuman kecil.
“Kak Zahra datang dengan Gibran sekali ke? Dia pun belum masuk kerja lagi.” Kata-kata Qaireen itu membuatkan Az-Zahra agak terkejut.
“Gibran belum masuk kerja?” soal Az-Zahra seraya mengerling sekilas ke arah jam di tangannya.
Sudah jam 9:25 namun Gibran masih belum kelihatan.
“Urm, belum. Saya ingatkan dia dengan Kak Zahra.” Jawapan daripada Qaireen itu membuatkan Az-Zahra tidak sedap hati.
Gibran masih belum masuk kerja. Apa alasan lelaki itu?
Az-Zahra memeriksa telefon pintarnya. Mahu memastikan jikalau Gibran ada menghantar pesanan kepadanya atau tidak. Tetapi, tiada satu pun notifikasi WhatsApp daripada Gibran membuatkan Az-Zahra berasa hampa. Lelaki itu langsung tidak memberitahu kepadanya sebab dia lewat masuk ke kerja.
Berkali-kali Az-Zahra cuba menghubungi Gibran namun panggilannya langsung tidak diangkat.
Az-Zahra mulai buntu.
Ke mana Gibran pergi?
♡ ♡ ♡ ♡
RUMAH agam tiga tingkat itu direnung tajam. Agak lama juga dia tidak menjejakkan kaki ke rumah ini. Dia juga sememangnya tidak mahu kembali ke sini tetapi dia perlu bersemuka dengan Tuan Aldric. Dia mahu selesaikan semuanya dengan orang tua itu.
Telefon pintarnya sengaja dimatikan kerana dia tidak mahu diganggu.
Kaki panjangnya menuju ke arah pintu utama. Gibran disambut oleh dua orang pengawal lelaki yang bertugas untuk menjaga bahagian pintu masuk.
“Eh, tuan muda. Bila tuan sampai? Tuan pergi mana selama ni?” tegur salah seorang pengawal lelaki itu.
Gibran menghiraukan pertanyaannya. Wajahnya dingin. Langsung tiada secalit senyuman pun yang menghiasi wajah tampan itu.
“Mana orang tua tu?” Dingin suaranya bertanya.
“Tuan Aldric ada di dalam bilik kerjanya. Tuan muda nak berjumpa dengan dia ke?”
Gibran mengangguk sekali sebelum melangkah masuk ke dalam rumah agam besar itu. Dia melihat suasana di dalam rumah itu agak sunyi. Seperti tiada penghuni yang tinggal di rumah itu.
Mana semua orang pergi?
Berdiri sahaja di hadapan pintu bilik pejabat Tuan Aldric, Gibran terus merempuh masuk tanpa mengetuk pintu. Tuan Aldric yang sedang fokus menyiapkan kerja pejabatnya agak terkejut apabila bilik pejabatnya diceroboh masuk.
Wajah tegang Gibran menyapa pandangannya. Automatik bibirnya mengukir senyuman sinis.
“Baru ingat jalan nak balik rumah? Memang tak reti nak ketuk pintu dulu ke sebelum masuk bilik daddy? Mana adab kamu?”
Gibran berdecit perlahan. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Anak matanya tajam menikam wajah Tuan Aldric. Wajah itu...
Mahu saja dia bagi penumbuk sulungnya pada wajah itu tetapi dia tidak mahu bertindak mengikut emosi.
“Don’t talk about manners with me. Daddy sendiri pun tak beradab ada hati nak cakap pasal adab. Jangan nak buat lawak, daddy. Tak payah nak nasihat Gibran kalau perangai daddy pun macam syaitan! Tak layak!” balas Gibran dengan wajah dinginnya.
Tuan Aldric terkesima. Mereka saling berbalas pandangan.
“Kenapa balik semula ke rumah ni? Nak jilat balik ludah sendiri?” Sengaja Tuan Aldric menyoal sedemikian dengan niat mahu menyindir anak sulungnya.
Gibran tertawa sinis.
“Gibran takkan jejakkan kaki ke rumah ni lagi kalau daddy tak cari pasal dengan Gibran! Apa yang daddy buat memang melampau! You are too much! Kenapa daddy ganggu hidup Gibran lagi sehinggakan orang yang tak bersalah pun terlibat dalam rancangan jahat daddy!” Gibran menghamburkan kemarahannya.
Pecah ketawa Tuan Aldric mendengar bicara anak lelakinya. Ketawa yang seakan-akan mengejek Gibran.
“Let me guess. Orang yang tak bersalah yang kamu maksudkan tu adalah perempuan ni?” Tuan Aldric mengeluarkan sekeping foto seorang gadis bertudung dari dalam poket seluarnya lalu ditunjukkan kepada Gibran.
Gibran menggenggam kuat tangannya. Rahangnya diketap kuat.
Foto Az-Zahra.
“Who’s this girl? Siapa perempuan tak guna ni? Macam mana kamu boleh kenal dengan dia?” soal Tuan Aldric bertubi-tubi. Renungan tajam anak lelakinya dibalas tanpa sedikit pun rasa gentar.
“Dia bukan perempuan tak guna. Dia berguna dalam hidup Gibran. Sangat berguna sehingga Gibran tak nak kehilangan dia,” tutur Gibran, penuh perasaan.
“Are you kidding me, son? Kamu memang tak sedar diri langsung. Perempuan ni tak layak untuk kamu. Kehidupan kamu dengan dia berbeza,” kata Tuan Aldric cuba untuk menyedarkan anak sulungnya.
“I don’t care about that. No one can stop me from loving her.”
“Stop it, Gibran! Kamu memang dah mencabar daddy. Kamu cintakan sangat dia, kan? Baik, kita tengok sejauh mana perasaan cinta kamu pada dia boleh bertahan. Daddy boleh buat apa saja untuk hancurkan hidup perempuan ni! Dia dah rosakkan segala-galanya termasuk kamu sekali! Sedar diri sikit dia bukan perempuan yang layak untuk kamu!” bentak Tuan Aldric, garang.
“She is innocent, daddy. Gibran merayu jangan libatkan dia dalam semua rancangan jahat daddy. Gibran tahu daddy yang rancang kemalangan Az-Zahra baru-baru ni. Dia hampir dilanggar oleh kereta putih. Daddy juga yang hantar ugutan macam-macam dekat dia. Gibran tahu itu semua kerja daddy!”
“So, you know about my plan.” Tuan Aldric hanya bersikap tenang.
“Do you think I’m an idiot?” Gibran membalas sinis.
“Daddy takkan berhenti ganggu hidup dia melainkan kamu sanggup untuk patuh pada permintaan daddy.”
Gibran diam dan menanti Tuan Aldric menyambung bicaranya. Rahangnya diketap kuat.
“Kahwin dengan Eleanora dan selamatkan syarikat perhotelan kita.”
“Jangan harap! Gibran tak pernah cintakan dia! Daddy nak Gibran kahwin dengan El hanya disebabkan daddy mahukan keuntungan, kan?! Gibran takkan sesekali tunduk pada arahan daddy!”
“Kalau itu kata kamu, daddy tak ada pilihan lain selain ganggu hidup perempuan ni. Kamu memang nak tengok dia sengsara, kan?” ujar Tuan Aldric bersama senyuman jahatnya.
Tuan Aldric menyalakan mancis api lalu dihalakan ke arah foto Az-Zahra dan kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah. Perlahan-lahan api itu membakar foto Az-Zahra sehingga menjadi debu. Setelah itu, Tuan Aldric menjirus sedikit air untuk menghilangkan api.
Gibran menggenggam kuat tangannya sehingga membentuk sebuah penumbuk. Rasa ringan tangannya mahu menumbuk wajah Tuan Aldric.
“Don’t you dare...” Anak mata hijaunya merenung tajam wajah Tuan Aldric. Jika renungan itu umpama pedang sudah pasti akan tertembus hingga ke belakang. Tuan Aldric sudah mencabar kesabarannya.
Terukir senyuman sinis pada bibir lelaki tua itu.
“Pilihan ada di tangan kamu.”
Gibran bungkam.
Apa lagi pilihan yang dia ada?
Share this novel