SETAHUN KEMUDIAN,
JAM menunjukkan tepat jam 3:00 pagi. Az-Zahra segera mematikan alarm yang berbunyi di telefon pintar mahalnya. Dengan langkah yang tenang, Az-Zahra bergerak menuju ke bilik air untuk membersihkan diri, kemudian mendirikan solat sunat Tahajud.
Dalam sepuluh minit Az-Zahra selesai solat, dia mencapai mushaf Al-Quran lalu membaca beberapa muka surat. Suara merdunya bergema lembut mengalunkan ayat suci Al-Quran, memenuhi segenap ruang bilik tidurnya yang hanya diterangi cahaya lampu malam. Suasana pada pagi itu juga sungguh damai.
Di saat manusia lain lena dibuai mimpi, Az-Zahra memilih untuk mengabdikan diri kepada Allah. Melakukan ibadah pada waktu sepertiga malam tanpa gangguan sungguh memberikan ketenteraman yang sukar untuk digambarkan. Hatinya tenang, fikirannya tidak lagi terbeban dengan masalah dunia.
Usai membaca Al-Quran, Az-Zahra menadah tangan, lalu melangitkan doa dengan penuh khusyuk. Setiap bait kata yang terlafaz terkandung sebuah harapan. Dengan penuh kerendahan hati, Az-Zahra memohon kepada Allah agar ditetapkan iman.
Sebelum mengakhiri doanya, Az-Zahra mengungkapkan ayat terakhir dengan penuh kesungguhan.
“Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini agar kuat menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Sesungguhnya, aku hanya mengharapkan keredhaan-Mu.”
♡ ♡ ♡ ♡
NAFAS ditarik panjang sebelum dihembus perlahan-lahan. Az-Zahra berdiri tegak di hadapan sasaran, dengan busur di tangan kanannya. Matanya ditutup dengan kain. Angin sepoi-sepoi pada petang itu menampar lembut wajahnya tetapi Az-Zahra langsung tidak terganggu. Dengan pergerakan yang penuh dengan berhati-hati, Az-Zahra menarik tali busur ke belakang, merasakan ketegangan yang semakin kuat. Dengan satu tarikan pantas, anak panah itu terlepas dan meluncur laju lalu tepat menuju sasaran.
Az-Zahra membuka ikatan kain yang menutup matanya. Bibirnya mengukir segaris senyuman lebar tatkala melihat anak panahnya tepat mengenai pusat sasaran. Senyum bangga melihat hasil usahanya selama ini tidak sia-sia. Tak sangka dia masih handal memanah biarpun sudah bertahun-tahun dia meninggalkan permainan ini. Tak menyesal dia ikut pertandingan memanah masa sekolah menengah dulu.
Serentak itu, kedengaran bunyi tepukan gemuruh memenuhi kawasan tanah lapang itu. Semakin lebar senyuman Az-Zahra melihat penyokong-penyokong kecilnya bersorak kegembiraan untuknya.
“Fuyo! Cayalah, ustazah!” Suara kanak-kanak lelaki bersorak. Wajahnya penuh kagum.
“Hebatnya, ustazah! Ainin teringin nak jadi macam ustazah, pandai main memanah!” Suara kanak-kanak lain pula berkata.
“Ustazah awesome!”
“Ustazah memang champion!”
Az-Zahra tertawa kecil melihat telatah anak-anak muridnya.
“Okey, berhenti puji ustazah semua. Ustazah malu,” ujar Az-Zahra seraya memasukkan busur yang digunakannya tadi ke dalam beg khas untuk busur agar lebih selamat.
“Ustazah, kami teringin nak tengok ustazah memanah lagi. Ustazah nampak hebat sangat masa bermain tadi,” ujar Uwais yang merupakan salah seorang anak murid Az-Zahra.
“Boleh, sayang. Tak ada masalah, tapi kelas mengaji kena selalu datang. Tak boleh malas,” balas Az-Zahra lembut. Dia mengusap rambut Uwais dengan penuh kasih sayang.
“Eh, kami rajin tau datang kelas ustazah. Kami tak pernah pun ponteng. Umi dengan abi selalu pesan jangan ponteng kelas mengaji. Tak baik,” ujar seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Ainin.
Az-Zahra menggeleng perlahan sambil tersenyum lucu melihat kepetahan kanak-kanak perempuan itu bercakap. Sungguh menghiburkan hatinya.
“Tak adalah. Ustazah cuma ingatkan je. Anak-anak murid ustazah semuanya rajin datang kelas mengaji. Macam biasa kelas mengaji malam ni ada. Jangan tak datang pula!” Az-Zahra menitipkan pesanan.
“Baik, ustazah!” jawab mereka serentak.
♡ ♡ ♡ ♡
MALAM itu, Az-Zahra datang ke masjid bersama Haji Arsyad dan juga Zafran. Setiap malam, Az-Zahra pasti akan mengadakan kelas mengaji secara percuma untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan Kampung Cempaka Mutiara. Niat baiknya mendapat sokongan penduduk di kampung tersebut. Setelah kebakaran berlaku di Scarlett Florist, Az-Zahra mencari peluang untuk mengembangkan potensi diri.
Berbekalkan ilmu agama yang dimilikinya, Az-Zahra bertekad mahu membantu kanak-kanak di kampung itu untuk memperoleh pendidikan agama yang mencukupi. Mengajar mereka mengaji merupakan satu perkara yang mudah bagi Az-Zahra kerana dia mahu mencurahkan ilmu yang dipelajarinya kepada anak-anak muridnya.
Az-Zahra duduk di suatu sudut, menunggu azan Isya’ dilaungkan . Tangannya memegang tasbih erat, sementara bibirnya terkumat-kamit melafazkan kalimah-kalimah suci Allah. Az-Zahra tenggelam dalam dunianya sendiri sehingga tidak menyedari kehadiran seseorang yang sedang menghampirinya.
“BHHA!” Sergahan mengejut itu membuatkan Az-Zahra tersentak. Kedua-dua bahunya terangkat akibat kejutan mendadak.
Az-Zahra menjeling tajam ke arah seorang gadis anggun yang mengenakan abaya di tubuh. Gadis itu ketawa besar melihat wajah cemberut Az-Zahra.
“Kau ni kan, dalam masjid pun masih boleh buat perangai, kan. Aku tumbuk muka kau nanti. Padan muka!” kata Az-Zahra, tidak berpuas hati. Jantungnya hampir gugur disebabkan tindakan sahabatnya ini. Nasib baik dia tiada penyakit jantung.
Gadis yang bernama Rania itu hanya tersengih. Dia melabuhkan punggung di sebelah Az-Zahra dengan gaya bersila.
“Uish, garangnya ustazah kita ni. Tak takut pun. Bluerk!” balas Rania, sengaja mengapi-apikan Az-Zahra.
Melihat jelingan tajam Az-Zahra, Rania tersengih.
“Okey, aku minta maaf. Aku janji aku takkan buat lagi,” ucap Rania dengan tangan diangkat separas bahu, menandakan dia benar-benar tidak akan mengulanginya lagi.
Az-Zahra menjulingkan mata ke atas.
“Ya ya je kau ni. Nanti buat lagi. Ingat aku kenal kau semalam ke? Aku dah kenal sangat perangai tak semenggah kau ni. Dekat masjid pun nak buat perangai macam ni,” ujar Az-Zahra sebelum menampar lembut lengan Rania.
“Ala, sorry. Aku minta maaf. Aku takkan buat perangai lagi dekat masjid. Tapi, kalau dekat tempat lain mungkin aku buat lagi kut. Hehe.” Rania tersengih.
Az-Zahra menggeleng kepala perlahan.
“Kau datang sini mesti ada sebab, kan? Berita hangat apa lagi kau nak kongsi dengan aku?” Seakan-akan tahu dengan niat Rania yang datang mengganggunya, Az-Zahra bertanya terlebih dahulu.
Rania senyum lebar. Dia mengengsot sedikit mendekati Az-Zahra, menjadikan jarak mereka semakin rapat. Lengan Az-Zahra dirangkul kemas.
“Macam tahu-tahu je kau ni.”
Sekali lagi Az-Zahra menjulingkan mata ke atas.
“Kau tahu tak...”
“Tak.”
“Isy, bagilah aku habis cakap dulu!”
“Hmm...iyalah!”
“Tak lama lagi, kampung kita akan menerima seorang ustaz baru, weh! Dia akan jadi imam di masjid kampung kita,” kata Rania, suaranya begitu teruja.
“Jadi, apa masalahnya? Bukan perkara pelik pun kalau ada ustaz baru datang. Biasanya mereka akan ganti tok imam yang dah tak larat nak jalankan tugas. Lagipun, tok imam kita yang sekarang kan dah makin berusia. Aku tengok tok imam tu selalu jatuh sakit. Jadi tak hairanlah kalau ada ustaz baru yang akan ambil alih tugas dia. Bergantung kepada keputusan pihak pengurusan masjid juga sama ada nak melantik ustaz baru tu sebagai imam di sini atau tidak.” Panjang lebar Az-Zahra berkata, tetapi tiada satu pun yang masuk ke telinga Rania. Bukan itu yang dia nak dengar.
“Itu aku pun tahu. Tapi bukan itu yang jadi isunya sekarang ni. Bagi aku habis bercakap dulu,” kata Rania, sudah hilang kesabarannya.
“Okey,” sahut Az-Zahra, malas.
“Ustaz baru tu muda lagi, weh. Tak silap aku, umur dia sebaya dengan kita, tapi mungkin beza beberapa tahun,” ujar Rania sambil tersenyum miang.
Terkebil-kebil Az-Zahra memandang Rania. Dah kenapa dengan budak ni? Senyum miang macam terencat akal.
“Jadi, kalau lebih muda apa masalahnya?”
“Kalau muda, mana tahu dia hensem? Aku dah terbayang muka dia ada iras kacukan. Atau muka dia serupa Ruslan Mamlay, influencer luar negara tu. Atau mungkin lebih kacak daripada yang aku sangkakan. Kalau tak pun, muka lelaki Melayu yang kacak. Haih, tak sabarnya aku nak tengok ustaz baru tu.”
Az-Zahra menggeleng kepala.
“Tak payah berangan, Rania. Entah-entah suami orang. Melepaslah kau!” Sengaja Az-Zahra berkata demikian, mahu menyedarkan Rania daripada terus tenggelam dalam angan-angan dan kembali berpijak di dunia nyata.
Mendengarkan kata-kata Az-Zahra, wajah yang ceria kini bertukar cemberut. Rania mencebik bibir. Biarlah dia nak berangan pun. Berangan itu kan percuma.
Allahuakbar, Allahuakbar...
Kedengaran laungan azan berkumandang, menandakan waktu solat Isya’ telah masuk.
“Jom kita solat berjemaah sama-sama,” ajak Az-Zahra. Rania hanya mengangguk setuju.
Sudah tiba masanya untuk mereka menyahut seruan Allah, menghadap Sang Pencipta.
Share this novel