TIGA hari sudah berlalu dengan begitu pantas. Sedar tak sedar Gibran kini tidak lagi memegang jawatan sebagai Chief Executive Officer [CEO] bagi syarikat perhotelan milik Tuan Aldric. Pewaris harta dan takhta juga kemungkinan besar akan diberikan kepada Asher. Semua jawatan tertinggi yang pernah menjadi miliknya dulu kini sekelip mata bertukar tempat kepada orang lain.
Semua orang tertanya-tanya mengapa dia meletakkan jawatan sebagai CEO secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan yang munasabah. Timbul pelbagai spekulasi tatkala dia tidak memberi penjelasan yang cukup terperinci.
Katanya, dia hendak mencuba perkara yang baharu yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini. Tetapi rata-rata pekerja bawahannya masih lagi berasa musykil seolah-olah mereka tidak mempercayainya. Seperti ada yang masih tersembunyi.
Tapi dia peduli apa?
Lantaklah kalau tak nak percaya sekalipun sebab itu bukan urusan dia.
Kehidupannya telah berubah semenjak dia melangkah keluar dari rumah agam milik Tuan Aldric dan dia bertekad untuk tidak menjejakkan kaki ke sana lagi buat selama-lamanya. Ini merupakan pilihannya dan dia perlu bertanggungjawab atas keputusannya.
Dia sendiri rela jika dia tidak lagi dianggap sebagai putera sulung Tuan Aldric namun gelaran ‘Raja’ akan kekal dalam hidupnya sehingga dia mati. Dia tetap memegang gelaran seorang raja biarpun dia kini dibuang oleh ayah kandung sendiri.
Gibran meletakkan bagasi mahalnya yang berjenama Mendoza Panzer Z Lite di dalam bilik persalinan. Sekejap lagi dia hendak menyusun semua pakaian miliknya ke dalam almari tersebut. Dia tidak meninggalkan satu pun barang berharga di rumah agam milik Tuan Aldric. Semuanya sudah dibawa ke rumah agam miliknya sendiri.
Dia akan tinggal di rumah agam ini buat selama-lamanya. Rumah agam yang sememangnya direka khas istimewa untuknya. Kos pembinaan rumah agam ini seratus-peratus menggunakan gajinya sendiri dan bukan menggunakan duit syarikat. Dia juga langsung tidak mengemis sesen pun daripada Tuan Aldric biarpun lelaki tua itu merupakan ayah kandungnya.
Baginya, berdikari itu lebih baik daripada mengharapkan bantuan orang lain.
Luke juga turut membantu sahabatnya berpindah ke rumah agam yang baharu. Reaksi pertamanya tatkala mengetahui Gibran memiliki rumah agam sendiri memang dia sangat terkejut dan tidak menduga langsung. Kebiasaannya, Gibran akan selalu bermalam di rumahnya jika dia tidak pulang ke rumah Tuan Aldric. Tak sangka pula dia rupa-rupanya Gibran senyap-senyap mempunyai rumah agam sendiri.
“Besar juga rumah agam kau ni,” puji Luke sambil memerhatikan segenap ruangan rumah agam ini. Terdapat pancuran air yang terletak di halaman rumah menyerlahkan lagi kemewahan rumah ini.
Gibran tersenyum kecil menyerlahkan sepasang lesung pipitnya yang agak dalam. Namun, senyumannya kembali pudar tatkala Luke menyambung ayatnya.
“Tapi...” Luke menggantung ayatnya.
“Tapi apa?” Laju sahaja Gibran bertanya. Dia menyinsing lengan bajunya hingga ke paras siku.
“Tapi sayangnya penghuni rumah ni tinggal seorang-seorang.” Luke cepat-cepat menyambung ayatnya tatkala melihat renungan tajam Gibran.
Luke tersengih sehingga menampakkan sebaris giginya yang putih.
Gibran menjeling tajam.
“Kau patut kahwin, Gibran. Umur macam kau ni memang dah sesuai sangat untuk mendirikan rumah tangga. Semua orang mengimpikan untuk hidup dengan pasangan masing-masing. Mencipta kebahagiaan bersama dengan pasangan yang kita cintai dan yang paling gembira adalah dengan kehadiran anak-anak,” bicara Luke panjang lebar. Dia mengerling ke arah Gibran yang sedang sibuk menyusun kotak bersama wajah yang kekal dingin tanpa senyuman.
“Tak payah nak banyak sembanglah. Kau sendiri tak kahwin-kahwin lagi. Ada hati nak paksa-paksa aku kahwin dulu. Kau cakap dengan cermin ke apa?” ujar Gibran berbaur sindiran.
“Sekurang-kurangnya aku dah ada calon isteri. In Sya Allah tak lama lagi aku kahwin cuma tunggu masa yang sesuai je. Kau tu bila lagi? Calon isteri pun tak ada. Kesian,” bidas Luke semula. Bau-bau tak nak kalah.
Terhenti pergerakan Gibran tatkala mendengar kata-kata Luke. Kepalanya berpaling ke arah sahabatnya yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya. Wajah Luke dihiasi dengan senyuman lebar.
“Kau...dah ada calon isteri?” soal Gibran perlahan.
Kenapa dia tidak pernah tahu selama ini?
Luke tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng, hanya tangannya yang menggosok belakang lehernya.
“It’s just a real crush actually. But, I will make sure that she will be mine one day,” ujar Luke seakan-akan berjanji pada dirinya sendiri.
Gibran terdiam lama sebelum dia berdecit perlahan. Kepalanya digeleng perlahan.
“Semoga berjaya, bro!” ucap Gibran bersama senyuman senget.
Luke yang melihat senyuman yang terukir pada bibir lelaki itu terasa sungguh tercabar. Itu senyuman ikhlas ke atau senyuman mengejek. Sakit pula hatinya melihat senyuman itu. Belum lagi dia mendengar Gibran ketawa seakan-akan mengejek dirinya, semakin berganda-ganda sakit hatinya.
Luke mencebik bibir.
“Kau tak payah nak gelak sangat. Nanti kau pun jadi macam aku juga, jadi macam orang lain yang simpan perasaan terhadap seseorang yang kita suka,” ujar Luke sambil tayang muka tak puas hati.
Gibran menggelengkan kepalanya beberapa kali, menidakkan kata-kata Luke.
“Aku takkan jatuh cinta sampai bila-bila,” ujar Gibran tegas dengan nada suaranya yang penuh dengan keyakinan. Betapa konfiden dirinya mengungkapkan kata-kata tersebut sedangkan dia tidak mengetahui apa yang bakal terjadi pada masa hadapan.
Luke tersenyum sinis.
“Aku akan ingat kata-kata kau, Gibran. Cuma janganlah yakin sangat, kau tu manusia biasa yang juga punya perasaan. Mustahil kau takkan suka sesiapa melainkan kalau kau seorang lelaki yang bernafsu songsang. Tapi aku percaya yang kau sebenarnya lelaki normal. Kalau tak dah lama kita couple,” balas Luke pula. Sempat dia bergurau di hujung ayatnya.
Gibran menjulingkan mata ke atas.
“Aku yakin yang aku takkan sesekali jatuh cinta pada mana-mana perempuan!” tegas Gibran sekali lagi. Rahangnya pula diketap kuat.
“Kita tengok!” balas Luke sambil tersenyum misteri.
♡ ♡ ♡ ♡
AZ-ZAHRA merenung skrin telefon pintarnya sambil menolak sebuah troli menuju masuk ke dalam pasar raya . Disebabkan dia teringin sangat nak makan ayam masak kurma malam ini jadi dia perlu membeli bahan-bahannya terlebih dahulu untuk masak nanti. Mungkin disebabkan dia demam tempoh hari dan selalu sangat makan bubur jadi bila dah sembuh terus mengidam nak makan ayam masak kurma.
Az-Zahra menuju ke bahagian bahan mentah untuk membeli ayam terlebih dahulu. Matanya sungguh ralit memerhatikan pelbagai jenis ayam yang dijual. Dia perlu memilih ayam yang segar untuk dimasak nanti supaya tidak cirit-birit. Terkadang ada juga ayam busuk dan tidak segar dijual di pasar raya menyebabkan ramai orang jatuh sakit. Sebelum perkara itu berlaku lebih baik dia cegah awal-awal.
Lagipun, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Setelah selesai, Az-Zahra merenung kembali skrin telefon pintarnya untuk melihat bahan-bahan yang perlu dibelinya lagi. Masih banyak lagi bahan yang belum dibeli. Kakinya laju sahaja bergerak ke setiap rak makanan yang tersusun untuk mengambil bahan-bahan masakan yang diperlukan. Sambil itu matanya tajam memerhatikan maklumat yang ditulis pada tin dan kotak makanan untuk melihat tarikh luputnya.
Usai, dia pun bergerak mendekati kaunter pembayaran untuk membayar semua barang yang diambilnya tadi. Matanya masih melekat pada skrin telefon pintarnya.
Ayam. Checked.
Bawang putih dan bawang merah. Checked.
Kotak santan. Checked.
Kentang. Checked.
Az-Zahra memerhatikan satu persatu bahan yang sudah diletakkan di dalam troli dan cek semula melalui telefon pintarnya sekiranya masih ada bahan yang tertinggal. Sepertinya dia terlupa mengambil satu bahan yang sangat penting.
Paket rempah kurma.
Aduhai, macam mana dia boleh tersalah pandang? Sudahlah bahan itu yang paling penting untuk masakan ayam kurma.
Tidak mahu berlengah lagi, Az-Zahra terus berpaling ke belakang semula namun tidak semena-mena wajahnya tersembam pada sesuatu yang agak keras. Az-Zahra mengusap-usap pangkal hidungnya. Sakit yang dirasakan pada hidungnya hanya Allah saja yang tahu.
Ibu, sakit...
“Seronok cium dada aku?” Suara garau yang begitu sinis di telinga Az-Zahra membuatkan gadis itu tercengang beberapa saat.
Suara itu...
Takkanlah...
Perlahan-lahan Az-Zahra mengangkat wajahnya lalu matanya bertautan dengan anak mata unik itu. Tajam renungan lelaki itu menikam dalam wajahnya.
Az-Zahra telan air liur yang terasa kelat. Seperti telan pasir pun ada.
Mampus! Mamat ni lagi!
“Sa...saya...min...minta maaf awak. Saya ta..tak sengaja,” ucap Az-Zahra kelam-kabut. Melihat wajah dingin lelaki itu membuatkan seluruh tubuhnya menggigil. Telapak tangannya terasa sangat sejuk.
Az-Zahra sempat memandang baju yang dipakai lelaki itu. Mujur saja tiada kesan bibirnya yang melekat pada baju hitam itu. Nasib baik dia tak pakai lipstik terlampau tebal.
“Memang tak sengaja ke atau pura-pura tak sengaja, huh?” soal Gibran sinis. Matanya tajam memandang tepat wajah gadis di hadapannya dengan tangan yang disilang ke dada.
Az-Zahra mengerutkan dahi. Tak faham dengan ayat yang diungkapkan oleh lelaki itu.
“Apa maksud awak?” Az-Zahra menentang berani tatapan tajam Gibran.
“Kau sebenarnya sengaja je kan langgar aku lepas tu ambil kesempatan nak cium dada aku. Kau memang perempuan yang tak tahu malu, kan. Dasar perempuan miang! Tak padan dengan pendek ada hati nak langgar-langgar aku. Kau tak nampak ke aku berdiri belakang kau dari tadi? Lain kali jalan pakai mata bukan mata letak kat lutut!” sindir Gibran tanpa rasa bersalah.
Meluat pula dia tengok wajah gadis ini turut berada di sini. Minggu lepas jumpa dekat hotel. Esoknya pula jumpa dekat hospital. Hari ini jumpa pula dekat pasar raya. Entah-entah esok lusa jumpa pula dekat hospital sakit mental sebab dia dah nak gila bila tengok muka gadis ini banyak kali.
Tanpa sedar, kata-kata Gibran sedikit sebanyak telah membuatkan hati lembut Az-Zahra terluka. Tangannya digenggam erat.
“Jangan nak tuduh saya yang bukan-bukan! Saya memang tak sengaja pun terlanggar awak. Saya dah minta maaf, kan. Saya mengaku salah saya jadi tak payahlah nak panjangkan isu. Saya pun tak teringinlah nak cium dada awak tu! Ingat saya kemaruk sangat ke, hah! Daripada saya cium dada awak lebih baik saya pergi cium kambing dekat ladang ayah saya tu! Perasan lebih je mamat ni!” bidas Az-Zahra panjang lebar. Dia juga tidak mahu kalah. Sakit hati bila kena fitnah.
Melihat lelaki itu hanya diam, Az-Zahra terus mengangkat kaki meninggalkan lelaki itu. Dia menuju ke arah rak yang menempatkan pelbagai jenis perencah rasa. Matanya fokus mencari rempah kurma di setiap rak dan akhirnya dia jumpa juga tetapi malangnya paket rempah kurma itu terletak di bahagian paling atas. Kalau dia nak ambil memang tak sampai sebab dia bukannya tinggi sangat macam tiang lampu elektrik.
Tapi, belum cuba belum tahu, kan.
Az-Zahra menjengket kaki untuk mengambil paket rempah kurma tersebut. Tangannya tergapai-gapai untuk menyentuhnya namun hanya angin yang dirasakan.
“Kenapa mereka letak tinggi sangat? Memang sengaja nak menyusahkan hidup aku ke? Aku ni dahlah tengah stres lepas bergaduh dengan mamat tak guna tu lepas tu kena hadap benda ni pula! Hesy!” Sambil berusaha untuk mengambil paket rempah kurma itu, mulut Az-Zahra tidak henti membebel.
Belum sempat tangannya menyentuh paket tersebut tiba-tiba ada tangan asing yang terlebih dahulu mengambilnya tanpa bersusah-payah. Melihatkan jam tangan Rolex itu, tubuh Az-Zahra terasa kaku. Bulat matanya memandang tangan berurat itu melepasi tangannya. Dia yakin ada seseorang yang sedang berdiri di belakangnya saat ini. Sangat dekat sehingga hidungnya dapat menangkap bau minyak wangi yang dipakainya.
“Kalau dah tahu diri tu pendek macam budak sekolah rendah lain kali rajinkan mulut untuk minta tolong.” Gemersik suara garau itu berbisik di telinga Az-Zahra menyebabkan bulu romanya berdiri tegak.
Az-Zahra tidak berani untuk memusingkan tubuhnya ke hadapan. Dia bimbang jika wajahnya sekali lagi tersembam di dada lelaki itu. Bukan dia tidak tahu lelaki yang berdiri di belakangnya sekarang ialah Gibran.
Tatkala dia merasakan lelaki itu kini sudah berganjak ke belakang menjauhi dirinya barulah Az-Zahra berpusing ke hadapan. Wajah dingin lelaki itu sekali lagi menghiasi pandangannya. Dia cuba untuk mengatur pernafasannya. Dia perlukan oksigen yang cukup sekarang ini.
“Awak ikut saya?” Suara yang penuh dengan kemusykilan. Az-Zahra memandang lelaki di hadapannya ini dengan perasaan yang tidak puas hati.
“Jangan nak perasanlah. Sejak bila pula aku ikut kau, huh? Aku cuma lupa nak ambil sos spageti karbonara ni jelah,” jelas Gibran seraya mengambil satu botol sos spageti karbonara yang agak besar.
Az-Zahra menggaru kepalanya yang dilapisi dengan tudung bawal. Tak pasal-pasal dia dah tersalah anggap dengan lelaki itu.
Tidak mahu berdiri lama-lama di situ, Az-Zahra terus berpaling ingin meninggalkan lelaki itu bersendirian.
“Woi, pendek!” Laungan yang sungguh kuat itu menghentikan langkah Az-Zahra.
“Apa?” tanya Az-Zahra dengan kasar namun dia langsung tidak berpaling ke arah Gibran.
Sekejap kena panggil minah selekeh, sekejap kena panggil pendek. Mulut lelaki ini memang tak reti nak ucapkan perkataan yang baik ke? Asyik nak mengutuk je kerjanya.
“Kau tak nak ke ambil paket rempah kurma ni? Tadi bersusah-payah lagi nak ambil rempah ni sampai nak kena menjengket. Bila aku dah tolong ambilkan, kau blah macam tu je?”
Az-Zahra menepuk dahinya lembut.
Macam mana dia boleh lupa nak ambil paket rempah kurma dari tangan lelaki itu?
Cepat-cepat Az-Zahra berpaling semula ke belakang lalu mendekati Gibran yang sedang merenungnya tanpa senyuman langsung. Dia merampas paket rempah kurma tersebut dari tangan lelaki itu.
“Terima kasih!” ucap Az-Zahra namun kedengaran seperti tidak ikhlas di telinga Gibran.
Az-Zahra membuka langkah besar menuju ke arah kaunter. Dia mahu tinggalkan tempat ini dengan segera. Tidak sanggup lagi untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dia rasakan hidupnya sangat terganggu sejak pertemuannya dengan lelaki itu. Dia tidak dapat menahan perasaan ketika berhadapan dengan mulut puaka Gibran. Dia rasa sungguh sakit hati.
“Semuanya RM 100.00.” Pekerja wanita itu berkata.
Az-Zahra cepat-cepat mengeluarkan sekeping wang ringgit berwarna ungu dari dalam dompetnya lalu diserahkan kepada pekerja wanita tersebut. Kepalanya menoleh ke sisi lalu matanya bertembung dengan anak mata Gibran yang memang sedang memandang ke arahnya. Kedudukan mereka sangat jauh memandangkan lelaki itu sedang beratur menunggu giliran di kaunter.
Az-Zahra telan air liur. Dia memandang ke hadapan semula lalu mengambil barang-barang yang dibelinya sebelum dia melangkah keluar dari pasar raya.
Wajah Gibran langsung tidak dipandang lagi.
♡ ♡ ♡ ♡
“KAKAK, adik teringinlah nak makan burger. Boleh belikan tak?”
Terhenti jari-jemari runcing Az-Zahra yang sedang menaip di atas papan kekunci tatkala mendengar kata-kata adik bongsunya itu. Kepala menoleh ke sisi. Wajah Zafirah menghiasi pandangannya.
“Lain kali kita beli, okey? Kakak tengah sibuk ni,” balas Az-Zahra mudah. Matanya kembali fokus ke arah skrin komputer di hadapannya. Mahu pening kepalanya melihat banyak nombor di dalam skrin tesebut. Sudah tanggungjawabnya untuk mengira keuntungan hasil jualan bunga-bunganya.
Mendengarkan balasan daripada Az-Zahra, Zafirah mendengus perlahan.
Dia mendekati Az-Zahra yang sedang sibuk melakukan kerjanya.
“Ala, bolehlah, kak. Fira teringin sangat nak makan burger lembu dengan keju yang meleleh-leleh. Ya Allah, sedapnya!” Zafirah berkata sambil membayangkan makanan kegemarannya itu. Dia tersenyum sendirian.
Az-Zahra mengerutkan keningnya.
“Dah kenapa tiba-tiba nak makan burger lembu pula ni? Tak pernah-pernah meminta macam ni,” ujar Az-Zahra tetapi matanya masih tertumpu pada skrin komputer.
Zafirah tersengih.
“Hehehe, masa Fira tengok drama tadi tiba-tiba ada iklan burger lembu. Sedap sangat sampai Fira pun teringin nak rasa. Sebab itulah Fira minta tolong kakak untuk belikan. Ala...burger dekat tepi jalan pun okeylah. Asalkan Fira dapat makan,” ujar gadis muda itu sambil tersenyum lebar.
“Tapi sekarang dah malam. Kita beli lain kali, okey?” Az-Zahra masih cuba untuk memujuk.
“Isy, tak naklah! Fira nak sekarang. Kakak ni, kan. Fira minta tolong belikan burger lembu je pun. Bukannya selalu Fira minta. Nanti bila Fira dah balik semula ke asrama Fira takkan minta dah,” balas Zafirah dengan ton suara yang sedikit meninggi.
Az-Zahra mengeluh kecil.
Penat betul dia nak melayan kerenah adik bongsunya ini.
“Tadi kita baru je makan ayam masak kurma. Takkanlah Fira tak kenyang lagi?” soal Az-Zahra sedikit pelik. Sedangkan dia pun masih lagi kekenyangan selepas makan malam tadi takkanlah adiknya masih lapar.
Zafirah mengembungkan pipinya. Az-Zahra tahu apa maknanya jika adiknya melakukan tingkah begitu. Maksudnya, adiknya itu sedang merajuk.
“Umur dah masuk dua puluh tahun pun masih lagi nak merajuk macam budak-budak,” komen Az-Zahra tatkala melihat mimik muka adiknya.
Zafirah menunduk. Kakinya menguis-nguis karpet di atas lantai itu.
Az-Zahra menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Dia mengangkat punggungnya lalu mendekati almari tudung. Tangannya mencapai shawl jersey berwarna hitam lalu dililit di atas kepala dengan kemas.
“Kakak nak pergi beli ke?” soal Zafirah tatkala melihat Az-Zahra bersiap cantik di hadapan cermin.
“Dah tu, takkanlah kakak keluar ni untuk cari duda pula,” balas Az-Zahra selamba. Bibir mungilnya dicalitkan sedikit dengan pelembab bibir supaya tidak kelihatan pucat.
Zafirah tersengih.
“Thank you, kakak!” ucap Zafirah seraya memeluk erat tubuh kurus Az-Zahra sehingga hampir kesesakan nafas gadis tersebut.
“Janganlah peluk kuat sangat. Kau nak kakak mati ke, hah? Kakak ni belum kahwin lagi, tahu. Nanti tak sempat kakak nak perkenalkan calon menantu ibu dengan ayah,” ujar Az-Zahra berbaur gurauan.
Zafirah tersenyum lebar.
Az-Zahra melangkah keluar dari bilik tidurnya bersama-sama dengan Zafirah. Ahli keluarganya yang sedang berehat di ruang tamu sambil menonton rancangan televisyen dihampirinya.
“Ibu, ayah, Zahra nak keluar dulu, ya.” Az-Zahra meminta izin terlebih dahulu sebelum keluar.
“Kamu nak pergi mana malam-malam macam ni?” soal Hajah Aisyah sambil menatap wajah lembut Az-Zahra.
“Zahra nak cari bakal menantu untuk ibu dengan ayah. Penatlah hidup single.” Selamba sungguh jawapannya.
“Hah?!” Haji Arshad dan Hajah Aisyah terkejut mendengarnya. Zafran dan Zahirah juga turut ternganga sama. Zafirah di sebelahnya hanya menahan senyum lucu.
“Zahra gurau jelah. Zahra nak keluar beli burger lembu untuk tuan puteri yang mengada sangat tu,” jawabnya sambil menjeling sekilas ke arah Zafirah yang sedang tersengih-sengih.
“Kamu ni buat ayah terkejut je,” ujar Haji Arsyad sambil mengusap lembut dadanya. Mujur saja dia tak terkena serangan jantung tadi.
Hajah Aisyah juga turut menarik nafas lega.
“Kakak nak beli burger? Belikan untuk Zafran sekali.”
“Zahirah pun nak sama!”
“Belikan untuk ayah sekali.”
“Ibu pun nak juga.”
Terlopong mulut Az-Zahra untuk beberapa saat. Dia menepuk dahinya lembut. Satu orang nak makan burger semua pun nak juga.
♡ ♡ ♡ ♡
TIBA sahaja di kedai burger, Az-Zahra memarkirkan keretanya berhampiran dengan kedai tersebut. Tidak terlalu dekat dan tidak juga terlalu jauh. Cukup beberapa langkah dia sudah terpacak di hadapan Abang Irfan, pemilik kedai burger yang terkenal di sekitar tempat tinggalnya.
“Assalamu’alaikum, Abang Irfan. Zahra nak datang beli burger.” Az-Zahra menegurnya sambil menguntum senyuman manis.
“Wa’alaikumussalam. Eh, lama tak nampak Az-Zahra. Pergi mana selama ni?” soal Abang Irfan agak terkejut tatkala melihat Az-Zahra yang sedang berdiri di hadapannya sambil tersenyum manis.
Az-Zahra mengetap bibir.
“Saya ada je dekat sini. Tak pergi mana-mana pun. Cuma itulah Zahra banyak kerja sikit. Maklumlah, Zahra kan dah ada bisnes sendiri,” jawab Az-Zahra. Sambil itu matanya memerhatikan senarai burger yang dipaparkan. Semuanya sedap-sedap belaka. Memang patut pun kedai burger ini terkenal.
“Muda-muda lagi dah ada bisnes sendiri. Abang Irfan bangga dengan awak. Lelaki yang berjaya kahwin dengan awak mesti beruntung dapat wanita yang cantik luar dan dalam, pandai masak lepas tu pandai berbisnes macam awak.” Berbakul-bakul pujian yang diberikan oleh Abang Irfan sehingga membuatkan Az-Zahra kurang selesa.
“Saya biasa-biasa je,” balas Az-Zahra bersama senyuman kekok.
Abang Irfan tersenyum lucu melihat reaksi Az-Zahra. Pipi mulus Az-Zahra kini berubah kemerah-merahan.
“Zahra nak pesan burger apa?”
“Urm, bagi burger lembu. Saya nak enam tau.”
“Okey, sementara menunggu Zahra duduklah dekat kerusi dulu. Abang siapkan burger sekarang,” katanya sambil menuding jari ke arah kerusi plastik yang tersusun kemas.
Az-Zahra mengangguk.
Belum sempat dia ingin berpusing ke hadapan dengan sepenuhnya, tiba-tiba dia terlanggar tubuh seseorang. Akibatnya telefon pintar milik gerangan yang dilanggarnya tadi jatuh di atas tanah.
Az-Zahra terkejut dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba. Matanya membulat besar tatkala melihat telefon pintar berjenama mahal itu sudah selamat mendarat di atas tanah.
“Saya minta maaf. Saya tak sengaja jatuhkan telefon, encik.” Kelam-kabut Az-Zahra meminta maaf seraya mengutip semula telefon pintar tersebut. Kotoran yang melekat pada skrin telefon pintar itu dibersihkan.
Nasib baik skrin telefon pintarnya tidak pecah, kalau tidak memang berterbangan duitnya untuk menggantikan semula telefon pintar mahal ini.
“It’s fine. Just a small accident.” Suara garau itu menghentikan pergerakan Az-Zahra yang sedang membersihkan skrin telefon pintar.
Suara itu pernah didengarinya sebelum ini. Dia sangat cam dengan suara tersebut. Suara yang mengingatkan dia kepada seseorang yang sudah lama mereka tidak bersua muka.
Perlahan-lahan Az-Zahra mengangkat wajahnya lalu matanya tepat memandang wajah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya bersama dengan senyuman indah menghiasi wajah. Terlopong mulut Az-Zahra melihat wajah yang sudah begitu lama tidak muncul kini berdiri tepat di hadapannya. Secara tiba-tiba.
Seolah-olah dirinya sedang bermimpi namun dia sedar dia kini berada dalam alam realiti. Ini bukanlah mimpi dan lelaki ini memang betul-betul berdiri di hadapannya.
Senyuman manis terlakar pada bibir merah jambu itu. Dia sukar untuk mempercayai bahawa mereka akan bertemu lagi.
Share this novel