LANTUNAN suara merdu para jemaah yang melafazkan kalimah suci Allah kedengaran perlahan, memenuhi ruang solat dengan tenang. Masing-masing khusyuk melaksanakan aktiviti ibadah mereka. Ada yang berzikir, ada yang mengaji Al-Quran dan ada juga yang sedang mendirikan solat sunat.
Az-Zahra membetulkan telekung hitam yang membaluti tubuhnya. Azan Isya’ masih belum berkumandang. Berbaki beberapa minit saja lagi dan sementara menanti muazzin melaungkan azan, Az-Zahra mencapai telefon pintar lalu mula menatal gambar-gambar di Gallery, mengimbau kembali kenangan yang tercipta pada tahun-tahun sebelum ini.
Tangannya tiba-tiba terhenti pada satu gambar yang memaparkan empat yang sedang tersenyum riang. Gambar itu satu-satunya kenangan yang masih tersimpan di dalam ingatannya. Gambar yang diambil sewaktu mereka mengunjungi taman bunga.
Pandangan Az-Zahra terpaku pada satu wajah di dalam gambar tersebut. Perasaannya bercampur-baur tatkala merenung seraut wajah tampan itu. Wajah yang sudah sekian lama tidak muncul di hadapannya namun masih segar dalam ingatannya. Wajah yang pernah memberi kebahagiaan dalam hidupnya tetapi wajah ini juga yang menjadi punca hatinya terluka.
Az-Zahra menelan liur. Jari-jemari runcingnya bergerak untuk memadam gambar tersebut namun hatinya terasa berat, seperti ada sesuatu yang menghalang. Terbayang wajah lelaki itu di minda membuatkan hati Az-Zahra kembali sakit.
Buat apa dia nak simpan gambar yang ada wajah lelaki ini? Seorang suami kepada wanita lain.
Az-Zahra menghela nafas perlahan. Fikirannya agak bercelaru.
“Weh, kau tahu tak? Tadi aku terserempak dengan seorang lelaki, hensem gila! Tak pernah aku jumpa lelaki sekacak macam tu depan mata.” Secara tak sengaja, Az-Zahra terdengar perbualan sekumpulan jemaah perempuan.
Az-Zahra berpaling sedikit ke sebelah kanannya. Kelihatan tiga orang gadis muda yang lengkap bertelekung sedang rancak bersembang, topik mereka sudah tentu pasal lelaki.
Az-Zahra menggeleng kepala perlahan.
Dia sudah biasa dengan perangai sesetengah gadis muda yang seumur dengannya yang asyik bersembang tentang lelaki. Kadang-kadang niat mereka datang ke masjid bukan untuk beribadah semata-mata tetapi untuk cuci mata. Kalau bertuah, dapatlah bertembung dengan ustaz muda atau imam muda yang masih berstatus bujang. Niat asal datang ke masjid itu sudah jauh.
“Serius? Dekat mana kau jumpa?” tanya salah seorang sahabatnya lagi dengan nada yang begitu teruja.
“Masa aku nak masuk masjid tadi, aku nampak dia berbual dengan Ustaz Idris. Muka dia nampak baru dekat sini, mungkin dia baru datang kampung ni sebab aku tak pernah nampak muka dia sebelum ni,” cerita gadis itu dengan penuh bersemangat.
“Mungkin orang kampung baru?” teka seorang lagi.
“Aku tak rasa dia orang kampung baru sebab muka dia macam muka orang-orang kaya. Muka eksklusif gitu. Bergaya bak sultan. Kalau kau tengok penampilannya tadi, aku rasa kau pun cair. Baju Melayu yang dia pakai tu entah-entah keluaran antarabangsa. Fuh, bergaya betul!” jawab si gadis, teruja.
“Tapi, jujur aku cakap. Dia memang kacak maut. Mata dia unik, hidung mancung, bibir merah bak delima, kening tebal dan...jawline dia tajam. Kalah selebriti Korea,” sambung gadis itu lagi. Kali ini, suaranya bertukar lebih lembut, mendayu-dayu.
“Astaghfirullah, sempat kau analisis muka dia,” tegur sahabatnya sambil tergelak kecil.
“Muka kacak macam dia jarang nak jumpa dekat kampung ni. Mana boleh lepaskan peluang kalau dah ada depan mata. Sekali pandang pun dah melekat dalam kepala.” Selamba gadis itu berkata.
Az-Zahra tersenyum sendiri. Dah kenapa pula dia sibuk nak dengar sekali?
“ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR...”
“ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR...”
Laungan azan tiba-tiba berkumandang, memenuhi segenap ruang masjid yang luas itu. Para jemaah terdiam, menghayati setiap kalimah Allah yang dilantunkan oleh muazzin dan menghormati seruan itu.
Namun, ada di kalangan jemaah yang saling berpandangan dan berbisik-bisik perlahan mempersoalkan siapa yang mengalunkan azan ketika ini.
Termasuk Az-Zahra.
Jantungnya tiba-tiba berdebar lebih laju. Perasaannya bertukar tidak enak. Tetapi pada masa yang sama suara maskulin itu memberi ketenangan dalam jiwanya. Laungan azan itu kedengaran sangat merdu di telinganya.
Ini bukan suara Tok Imam yang kebiasaannya akan melaungkan azan setiap kali masuk waktu. Suara Tok Iman yang biasa lebih perlahan dan kurang lantang. Ada bunyi serak-serak halus. Tetapi suara ini kedengaran sangat bertenaga dan lebih kuat. Seolah-olah yang melaungkan azan ini adalah seseorang yang lebih muda.
Az-Zahra menyentuh dadanya, tepat pada jantungnya yang terletak di situ. Dia dapat rasakan betapa lajunya degupan jantungnya ketika itu.
♡ ♡ ♡ ♡
USAI solat Isya’ berjemaah, Az-Zahra melipat telekungnya yang berwarna hitam dengan kemas sebelum memasukkannya ke dalam tote bag. Langkahnya diatur perlahan-lahan keluar dari ruang solat wanita. Jemaah wanita yang lain berpusu-pusu ingin keluar untuk cepat pulang ke rumah.
Dalam suasana yang agak riuh itu, mereka masih lagi bergosip tentang bilal yang melaungkan azan Isya’ sebentar tadi. Semua mahu tahu siapakah pemilik suara merdu ketika melaungkan azan tadi. Az-Zahra juga tidak terkecuali. Perasaan ingin tahunya perlahan-lahan menjalar dalam hati. Suara itu begitu asing didengari tetapi mengapa begitu dekat dengan hatinya?
Mata Az-Zahra melilau ke sekeliling mencari kelibat Haji Arsyad dan adik lelakinya, Zafran tetapi suasana masjid yang agak sesak membataskan pandangannya. Kawasan masjid masih dipenuhi oleh para jemaah kerana ada sesetengah daripada mereka sedang menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh pihak masjid sebelum pulang. Az-Zahra sempat menjeling ke arah bahagian solat lelaki namun bayangan kedua-dua insan yang dicarinya masih belum ditemui.
Az-Zahra mengeluarkan telefon pintarnya untuk menghubungi Zafran. Kalau mesej, budak tu bukannya rajin nak balas. Rajin bluetick je.
Tiba-tiba satu suara lelaki tua menyapa dari belakang. Namun, Az-Zahra tidak berpaling. Jelas teguran itu bukan untuknya.
“Assalamu’alaikum ustaz, marilah duduk sini dulu. Makan dengan kami.” Az-Zahra mendengar suara seorang lelaki tua berkata dari arah belakangnya.
“Wa’alaikumussalam, Masya-Allah, tak payahlah panggil saya ustaz. Ilmu agama saya masih belum cukup, saya rasa saya tak layak digelar ustaz. Lagipun, saya masih baru dekat sini jadi saya segan nak makan dengan pak cik semua.” Seorang pemuda menyahut.
Az-Zahra sedikit tersentak. Suaranya mampu membuatkan jantung Az-Zahra bergetar.
“Tak apalah, lagipun ustaz yang laungkan azan tadi, kan. Subhanallah, sedap sungguh suara. Merdu dan tenang je bila dengar. Suara anak-anak muda masih kuat dan bertenaga. Lainlah kalau kami yang dah berusia. Kadang tak larat dan cukup nafas.”
“Alhamdulillah, semua tu hanyalah pinjaman daripada Allah. Saya tak hebat pun tapi Dia Maha Hebat.”
Tangan Az-Zahra yang memegang telefon pintar itu terasa sedikit menggigil. Dia mahu memusingkan tubuhnya ke belakang tapi tubuhnya kaku. Tidak mampu bergerak.
Dia...
Masih cam suara itu. Dia masih ingat suara maskulin yang dulunya pernah menjadi sumber kebahagiaannya.
Az-Zahra terkaku beberapa saat.
Dunianya tiba-tiba berubah menjadi gelap seolah-olah dia sekarang berada di dimensi lain. Dia seperti balik semula ke tahun sebelumnya. Wajah lelaki itu memenuhi ruang mindanya. Wajah dinginnya tanpa senyuman. Gelak tawa lelaki itu yang hanya ditunjukkan di hadapannya saja. Senyum sinisnya yang menyakitkan hati.
Adakah dia sedang bermimpi atau itu hanyalah sekadar perasaannya saja kerana masih belum melupakan lelaki itu sepenuhnya?
Hampir sepuluh minit Az-Zahra berdiri tegak di tengah-tengah laluan jemaah di situ sehinggalah Zafran datang menghampirinya bersama wajah yang jelas kebingungan. Az-Zahra langsung tidak menyedari kehadiran adik lelakinya itu.
“Hoi, berangan ke?” Suara garau yang agak kasar itu telah menyedarkan Az-Zahra dari lamunan yang panjang.
Terkebil-kebil dia memandang wajah Zafran.
“Kau dah kenapa, kak? Muka macam baru habis kena soal siasat dengan mak cik-mak cik bawang. Atau...teringat kekasih lama?”
Az-Zahra mencubit lengan Zafran sehingga lelaki itu mengadu kesakitan.
“Diamlah kau! Jangan nak merepek! Mana ayah?” Az-Zahra cepat-cepat tukar topik.
Sempat dia menoleh ke belakang namun hanya kelihatan sekumpulan lelaki yang berusia sedang berbual sesama sendiri dan ada kanak-kanak yang sedang seronok bergelak ketawa. Tiada langsung bayangan lelaki yang dicarinya.
Benarlah, mungkin itu hanya sekadar perasaannya saja.
“Ayah tengah berborak dengan Ustaz Idris. Ayah suruh tunggu dalam kereta,” jawab si adik.
Az-Zahra hanya mengangguk sekali. Fikirannya masih teringatkan kejadian tadi. Kenapa dia rasa dia tak berhalusinasi?
“Zaf,” panggil Az-Zahra seraya menarik lengan adik lelakinya.
Berkerut kening jejaka itu. Dia memandang pelik ke arah Az-Zahra.
“Kau...tahu tak siapa yang laungkan azan Isya’ tadi?” tanya Az-Zahra ingin tahu. Berharap agar dia menemui jawapannya.
“Tak, sebab masa tu Zafran dengan ayah tengah ambil wuduk. Jadi kami tak tahu siapa yang laungkan azan. Cuma apa yang Zafran dengar, dia muda lagi. Imam muda yang gantikan Tok Imam lama. Dengar-dengar dia mualaf,” ujar Zafran.
“Tahu tak apa nama dia?”
“Manalah Zafran tahu, kak. Zafran tak ada dengar pula orang sebut nama dia. Kenapa akak tanya? Jangan cakap akak dah jatuh cinta dengan dia,” duga Zafran. Matanya mengecil memandang ke arah Az-Zahra.
Az-Zahra menjeling tajam. Dia nak tahu je pun, salah ke?
“Jom tunggu ayah dekat kereta,” ajak Az-Zahra. Dia berjalan terlebih dahulu melepasi Zafran. Tangannya menggenggam erat kain jubah hitamnya. Degupan jantungnya masih belum stabil.
Kenapa dia rasa begini?
Kenapa dia nak tahu sangat tentang benda yang tak perlu dia ambil tahu?
Sebelum meninggalkan kawasan masjid, Az-Zahra sempat menoleh ke belakang sekali lagi. Matanya meliar ke sekitar kawasan masjid. Entah apa yang dicarinya, dia sendiri tak pasti.
Dengan perasaan yang agak sedikit kecewa, Az-Zahra pergi meninggalkan kawasan itu dengan langkah yang berat. Tanpa sedar, hatinya berdoa agar dipertemukan dengan pemilik suara merdu itu.
Share this novel