13 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

AZ-ZAHRA meletakkan gagang telefon di tempat asalnya semula sebaik sahaja panggilan tamat. Dia baru sahaja menerima tempahan bunga daripada seorang pelanggan yang baru saja menelefonnya tadi. Tempahan bunga daripada pelanggan itu dicatat di atas sebuah nota supaya dia tidak lupa.

“Kau tengah tulis apa tu?” Muncul Gibran dari belakangnya secara tiba-tiba membuatkan Az-Zahra terkejut dengan kehadirannya sehingga pen hitam yang dipegangnya terlepas dari tangannya.

“Gibran, awak buat saya terkejut!” Az-Zahra menjelingnya tajam. Dia kemudiannya tunduk untuk mengambil semula pen hitamnya yang jatuh tadi.

Belum sempat dia ingin menyentuhnya tiba-tiba ada tangan lain yang terlebih dahulu mengambil pen tersebut. Az-Zahra kaku tatkala bauan minyak wangi yang dipakai oleh lelaki itu menerpa masuk ke dalam rongga hidungnya. Sebelah tangan Gibran memegang bahagian bucu meja untuk mengelakkan gadis itu daripada terhantuk. Kedudukan mereka saat ini sangat dekat sehingga membuatkan Az-Zahra membatu di situ.

Az-Zahra mengangkat wajahnya lalu mata mereka bertaut tatkala Gibran tidak mengalihkan pandangannya. Hanya sekejap sebelum Az-Zahra tersedar lalu berdiri semula. Gibran juga terus mengalihkan tangannya.
Pen hitam itu diberikan semula kepada Az-Zahra.

“Kau tulis apa tadi?” soal Gibran sekadar ingin tahu. Dia mendekati Az-Zahra untuk melihat apa yang ditulis olehnya di dalam buku nota itu.

“Sa...saya tulis...tulis ni...erk...tem...tempahan bunga daripada pelanggan.” Tergagap-gagap Az-Zahra membalas. Tubuhnya menggigil setelah kejadian beberapa minit yang lepas. Jantungnya masih berdegup kencang.

Dah kenapa pula dengan dia ni?

“Ouh,” sahut Gibran perlahan. Wajah Az-Zahra dipandangnya sekilas. Bukan dia tidak perasan gadis itu sedikit gugup dengannya.

Az-Zahra berdehem perlahan sekadar untuk menutup debarannya.

“Nanti akan ada Sambutan Hari Kanak-kanak yang akan dijalankan dekat Fair Kids International Preschool hari Rabu nanti. Pihak sekolah ada menempah bunga di kedai kita untuk sambutan yang akan dijalankan nanti. Jadi kita kena siapkan tempahan bunga mereka sebelum hari Rabu minggu hadapan dan mereka juga ada menjemput kita untuk hadir sekali dalam sambutan tu nanti,” jelas Az-Zahra seraya menukar topik. Dia tidak mahu ingat apa yang berlaku sebentar tadi.

Gibran angguk mengerti. Seperti biasa itulah responnya. Susah sangat dia nak buka mulut.

“Rasanya kita dah boleh mula sekarang. Lagipun, pelanggan dah kurang datang,” ujar Az-Zahra seraya menghampiri sebuah rak yang menempatkan pelbagai jenis bunga. Bahan-bahan untuk menggubah bunga disusun kemas di atas meja sebelum dia melabuhkan punggung di atas sebuah sofa berwarna hijau gelap.

Gibran juga turut melabuhkan punggungnya di atas sebuah sofa kosong bersebelahan dengan Az-Zahra. Bahan-bahan untuk menggubah bunga diperhatikannya sebelum memandang sekilas wajah Az-Zahra yang sedang menghasilkan bunga tulip menggunakan pipe cleaner.

“Awak pandai ke hasilkan bunga dengan menggunakan pipe cleaner ni?” Az-Zahra bertanya tetapi matanya masih fokus ke arah bunga di tangannya.

Automatik Gibran tersenyum sinis mendengar pertanyaan Az-Zahra.

“Of course. Semua benda dalam dunia ni aku boleh buat,” kata Gibran sambil tayang muka bangganya di hadapan Az-Zahra.

Gadis itu menjulingkan mata ke atas. Berlagak!

“Kalau pandai sangat buatlah cepat sebab saya nak tengok. Jangan pandai cakap saja,” sinis Az-Zahra. Rasa menyampah bila Gibran tayang wajah sebegitu di hadapannya.

Tanpa membuang masa lagi, Gibran terus mengambil beberapa batang pipe cleaner yang berlainan warna lalu tangannya ligat mencantumkan dan memusingkan benda tersebut sehingga hasilnya menjadi sekuntum bunga matahari yang sangat menarik. Kelihatan seperti bunga sebenar namun itu hanyalah bunga palsu yang diperbuat daripada bahan pipe cleaner.

Handmade flower.

Terlopong luas mulut Az-Zahra melihat kemahiran lelaki itu dalam menghasilkan sekuntum bunga yang sangat sempurna bentuknya. Dia pun masih baru belajar lagi cara-cara untuk membuat bunga menggunakan benda alah ini tetapi Gibran yang baru saja bekerja di kedai bunganya seperti sudah mempunyai pengalaman. Az-Zahra merasakan Gibran seorang jejaka yang sangat misteri. Kalau pun dia tanya dari mana Gibran belajar semua itu belum tentu lelaki itu akan jawab.

“Tutup sikit mulut tu, nanti masuk lalat jangan harap aku nak bawa kau pergi hospital,” tegur Gibran tanpa memandang langsung wajah Az-Zahra yang berubah kemerah-merahan akibat menahan malu. Dia cuba untuk berlagak selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Annoying betullah mamat ni,” gumam Az-Zahra perlahan agar tidak didengari oleh telinga lelaki itu.

“Kenapa tak cakap kuat-kuat? Atau kau nak aku bagi mikrofon supaya lebih jelas didengari oleh semua orang? Hmm?” ujar Gibran sarkastik. Melalui riak wajahnya langsung tidak menunjukkan lelaki itu sedang marah namun masih membuatkan Az-Zahra menggigil seluruh tubuh gara-gara renungan tajam Gibran yang berada di wajahnya.

Az-Zahra menggigit bibir bawahnya. Laa...lelaki itu dengar rupanya. Rasanya dia cakap perlahan je tadi. Macam berbisik dengan nyamuk.

“Saya gurau jelah. Tak payahlah tenung saya macam tu,” ujar Az-Zahra sambil tersengih. Berdiri tegak bulu romanya melihat wajah dingin Gibran. Wajah yang menakutkan yang perlu dia hadap setiap hari.

Gibran menghadiahkan jelingan tajam kepada Az-Zahra. Dia menyambung semula kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Tangannya mencapai beberapa batang pipe cleaner berwarna lilac. Dia ingin menghasilkan bunga lily.

Az-Zahra juga kembali menyiapkan bunganya yang masih belum siap sepenuhnya. Dia menghasilkan bunga tulip daripada pelbagai warna. Sesekali dia menjeling ke arah Gibran yang sedang fokus melakukan tugasnya. Dingin sahaja wajah lelaki itu. Dia merasakan dia sedang duduk di Lautan Artik sekarang ini. Sekelilingnya terasa sejuk yang teramat. Mahu beku dia di sini.

“Kau suka bunga apa?” soal Gibran tiba-tiba. Tapi matanya tidak menoleh langsung ke arah Az-Zahra.

“Awak tanya saya ke?” Az-Zahra menuding jari kepada dirinya sendiri.

“Taklah, aku tanya hantu,”

“Uih, awak janganlah buat saya takut. Saya tak tahu pula ada hantu dekat sini. Macam mana awak boleh nampak? Hebat juga awak dapat tengok hantu. Rupa hantu tu macam mana? Cantik ke hodoh? Hantu tu perempuan ke lelaki?” soal Az-Zahra bertalu-talu. Sengaja dia berloyar buruk di hadapan lelaki itu.

Gibran menjeling tajam sebagai tanda amaran. Bibir diketap kuat.

“Perempuan sengal,” kutuknya selamba di hadapan Az-Zahra.

“Saya gurau, okey! Tak perlulah nak marah-marah. Patutlah sampai sekarang awak tak kahwin-kahwin lagi. Baru saya tahu sebabnya,”

“Sebab apa?”

“Sebab awak suka sangat sakitkan hati perempuan. Awak suka sangat berkata kasar di hadapan perempuan tanpa fikir perasaan mereka. Mulut awak ni memang patut kena cili,” ujar Az-Zahra, melepaskan perasaan geram di hati.

Hujung bibir lelaki itu ternaik sedikit menghasilkan senyuman yang begitu menyeramkan.

“Kau patut tahu satu fakta tentang aku, Mahyra,” kata Gibran dengan suara garaunya tetapi masih terselit kelembutan di situ.

Az-Zahra yang mendengarnya terasa seperti hendak pengsan. Air liur ditelan kesat. Jantungnya pula tiba-tiba buat hal apatah lagi mendengar cara lelaki itu menyebut namanya. Sungguh dia cair atau dia yang dah gila?

Gibran menatap wajah Az-Zahra dengan maksud tersirat. Az-Zahra pula sengaja menyibukkan dirinya dengan kerjanya untuk mengelak dari bertentang mata dengan jejaka kacak itu.

“Aku tak suka perempuan. Tambah-tambah lagi perempuan macam kau yang terlebih sengal. Ketinggian pun terbantut, nanti orang fikir kau ni budak sekolah rendah yang tak habis belajar,” ucap Gibran tanpa rasa bersalah.

Pengakuan lelaki itu membuatkan Az-Zahra tergamam. Kata-kata Gibran itu umpama belati tajam yang telah menikam hati Az-Zahra. Kejujuran yang membuatkan dia rasa sangat sakit hati.

Az-Zahra mencebik bibir.

Tak suka perempuan konon. Nanti kalau kahwin dengan perempuan juga, tahu. Bukannya dengan lelaki. Lainlah kalau Gibran punya perasaan terhadap kaum sejenis.

Matanya tiba-tiba membulat besar tatkala terlintas perkara tersebut di fikirannya. Wajah Gibran dipandang dengan perasaan yang bercampur-baur. Entah-entah lelaki itu memang bernafsu songsang. Gibran sendiri mengaku yang dia tak suka perempuan. Jika perkara itu benar, dia tak tahu sama ada perlu menangis atau berasa lega.

“Kau kenapa pandang aku macam tu?” Gibran bertanya kasar. Dahinya berkerut melihat ekspresi wajah Az-Zahra dengan mulut yang terlopong luas.

“Jangan-jangan awak sebenarnya gay! Sebab itulah awak tak suka perempuan, kan?” tuduh Az-Zahra tanpa berfikir panjang. Spontan dia terus menjauhkan diri daripada lelaki itu.

Gibran tergamam. Tak sangka gadis itu berfikiran begitu jauh sekali.

Kepala digelengkan beberapa kali. Bibir melepaskan keluhan kecil.

“Aku bukan lelaki macam tu. Aku cuma cakap yang aku tak suka perempuan. Tak semestinya aku ni lelaki yang bernafsu songsang. Aku lelaki normal,” tegas Gibran. Dia harus menjelaskan perkara itu sebelum Az-Zahra berfikiran negatif tentang dirinya.

Az-Zahra terdiam lama.

Air liur ditelan masuk kerongkong. Perasaan bersalah kini menjalar dalam hatinya. Dia sendiri pun tak tahu kenapa dia boleh terfikir sampai macam tu sekali.

“Saya minta maaf sebab dah tertuduh awak yang bukan-bukan tadi,” ucap Az-Zahra separuh berharap agar lelaki itu dapat memaafkannya.

“Hmm,” balas Gibran mudah.

Az-Zahra mencebik. Itu je yang dia balas?

Tidak mahu lagi memanjangkan isu, Az-Zahra diam setelah itu.

♡ ♡ ♡ ♡

FAIR KIDS INTERNATIONAL PRESCHOOL. Merupakan sebuah prasekolah antarabangsa yang sangat terkenal terletak di bandar Putrajaya. Kebanyakannya pelajar-pelajar yang bersekolah di prasekolah tersebut berasal dari pelbagai negara. Mereka berinteraksi menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Biarpun prasekolah peringkat antarabangsa namun Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa pengantar yang sangat digalakkan untuk digunakan di prasekolah tersebut.

Az-Zahra memarkirkan keretanya di sebuah tempat parkir yang berdekatan dengan prasekolah itu. Dia malas hendak parkir jauh-jauh. Nanti terpaksa berjalan kaki lagi walaupun dia bekas atlet sekolah suatu ketika dulu.

Turun sahaja dari kereta miliknya dan ingin menuju masuk ke dalam bangunan tinggi itu tiba-tiba muncul sebuah motosikal berkuasa tinggi di hadapannya. Hampir sahaja Az-Zahra terjatuh di atas jalan bersimen itu. Mujur sahaja dia sempat menyeimbangkan tubuhnya.

Az-Zahra melemparkan jelingan tajam kepada pemilik yang menunggang Ducati itu. Siapa lagi kalau bukan Gibran. Lelaki itu memang selalu menunggang Ducati kalau hendak ke tempat kerja semenjak berhenti kerja di syarikatnya.

Gibran menghampiri Az-Zahra sambil tayang muka tak bersalahnya di hadapan gadis itu. Sebaik sahaja Gibran berdiri di hadapan Az-Zahra, gadis itu terus menghamburkan amarahnya.

“Apa masalah awak sebenarnya? Memang tak reti nak bawa elok-elok ke? Kalau awak langgar saya tadi macam mana?”

“Mati.” Selamba sungguh jawapannya. Tangan disilangkan ke dada sambil menatap wajah cemberut Az-Zahra.

Az-Zahra mendengus kasar. Tak puas hati.

Gibran menilik pemakaian Az-Zahra pada pagi itu. Gadis itu hanya berpenampilan biasa dengan kebarung moden potongan labuh yang tersarung di tubuh. Entah kenapa dia merasakan Az-Zahra sungguh cantik dengan pakaian itu. Mungkin ini kali pertama dia melihat Az-Zahra memakai kebarung. Kebiasaannya gadis itu akan selalu memakai baju kurung moden. Baru dia perasan warna baju mereka juga sama. Dark blue.

“Bellissima,” [Very beautiful]
Gibran memuji tulus dari hatinya.

Az-Zahra mendengus sekali lagi.

“Tak puas awak nak langgar saya tadi dan sekarang awak mencarut saya pula?” Az-Zahra mengetap rahang. Geram betul dia. Mencarut pun dalam bahasa yang dia tak faham langsung.

Hujung bibir lelaki itu ternaik sedikit namun cepat-cepat dia tayang muka dinginnya semula.

“Sampai bila nak berdiri dekat sini? Jomlah kita masuk,” ajak Gibran sebelum membuka langkah besar meninggalkan Az-Zahra di belakang. Gadis itu hanya mengekori langkah besarnya dari belakang.

Kedatangan mereka ke sini bukan hanya untuk suka-suka sebaliknya mereka berdua dijemput oleh pihak sekolah untuk memeriahkan lagi Sambutan Hari Kanak-kanak yang dijalankan di prasekolah tersebut. Memandangkan pihak sekolah ada menempah bunga di Scarlett Florist maka mereka juga menjemput sekali pemilik kedai bunga dengan tujuan untuk menghiburkan kanak-kanak di sini. Gibran juga dijemput sekali memandangkan lelaki itu bekerja di kedai bunga milik Az-Zahra.

Masuk sahaja ke dalam dewan sekolah, kedatangan mereka disambut oleh seorang guru perempuan. Az-Zahra mengerutkan keningnya. Seolah-olah ingin mengecam wajah guru perempuan itu. Seperti pernah dilihat sebelum ini. Guru perempuan itu hanya tersenyum melihat wajah Az-Zahra yang berkerut itu.

“Alisa Adawiyah, rakan sekelas kau dulu. Takkanlah kau tak ingat? Kita pernah masuk pertandingan memanah masa sekolah menengah dulu.” Gadis di hadapan Az-Zahra memperkenalkan dirinya. Sudah lama mereka tidak berjumpa sudah semestinya Az-Zahra sudah ingat-ingat lupa tentang wajahnya.

Az-Zahra menekup mulutnya. Sungguh dia agak terkejut melihat bekas rakan sekelasnya kini berdiri di hadapannya. Semakin bertambah cantik gadis itu sekarang. Aura kematangannya juga terserlah.

“Ya Allah, Lisa!” Az-Zahra terus memeluk sahabat lamanya dengan erat. Alisa juga turut membalas pelukan Az-Zahra. Gembira tak terungkap tatkala mereka bertemu semula.

Gibran hanya menjadi pemerhati bagi sesi berpelukan antara dua orang sahabat baik itu. Tiada niat untuk masuk campur. Matanya memerhatikan sekeliling dewan yang sangat besar dan luas itu. Dewan ini boleh memuatkan berjuta-juta manusia.

Gibran melihat guru-guru serta para pelajar yang sedang bersedia untuk beratur. Ada juga guru yang sedang mengatur para pelajarnya untuk berbaris mengikut ketinggian. Mungkin ada perhimpunan dan sedikit taklimat penting yang ingin disampaikan sebelum majlis bermula.

Setelah meleraikan pelukan, Alisa mengerling ke arah lelaki tinggi yang berdiri tidak jauh dari mereka berdua. Kemudian dia memandang wajah Az-Zahra kembali.

“Itu suami kau ke?” Soalan mengejut itu membuatkan Az-Zahra hampir pengsan. Mulutnya ternganga sedikit. Terkejut mendengar soalan tak masuk akal daripada gadis itu. Wajah Gibran dipandang sekilas. Bimbang jika lelaki itu mendengar pertanyaan Alisa tadi.

“Bukanlah, itu pekerja aku. Dia kerja sekali di Scarlett Florist,” jelas Az-Zahra agar sahabatnya itu tidak salah faham. Perkataan ‘pekerja’ sengaja ditekankan.

Alisa memerhatikan penampilan Gibran bermula dari atas sehingga bawah. Kemas dan tampak segak. Sekali pandang sudah pasti akan membuatkan anak dara di luar sana tak tentu arah.

Namun bukan itu yang difikirkan oleh Alisa. Sungguh fokus dia menilik Gibran seolah-olah tengah mengimbas berapa peratus kelayakan lelaki seperti itu untuk bekerja di kedai bunga.

“Dia kerja di kedai bunga? Kau biar betul? Aku ingatkan model lelaki mana kau culik tadi. Sebab aku tak rasa lelaki macam dia sesuai kerja menggubah bunga. Dia lebih sesuai kerja-kerja berat.” Alisa mengungkapkan pendapatnya. Sesekali matanya mengerling ke arah Gibran yang sedang bermain telefon pintar. Mahkluk Tuhan yang paling kacak di dunia sentiasa menarik perhatiannya untuk menatap wajah itu sepuas hati. Peluang keemasan sudah ada di depan mata takkanlah nak lepaskan begitu saja. Tak gitu?

Az-Zahra tersenyum kelat.

Dia tidak punya jawapan untuk membalas semula kata-kata Alisa. Dia sendiri juga tidak tahu mengapa Gibran ingin bekerja di kedai bunganya. Alasan yang diberikan oleh lelaki itu adalah dia ingin mencuba perkara baharu sedangkan banyak lagi kerja yang sesuai untuk lelaki itu.

“Pekerja kau tu kacak sangatlah! Tengok anak mata dia tu unik sungguh, cemburu aku tengok. Betul ke dia tu sekadar pekerja kau? Pekerja kacak macam tu takkanlah kau tak terjatuh hati?” Alisa tersenyum nakal ke arah Az-Zahra. Bahu gadis itu dicuit manja.

Az-Zahra menjulingkan mata ke atas.

Perangai dari dulu memang tak berubah. Suka sangat menyakat dia. Ingatkan dah insaf tapi tak ada perubahan langsung.

“Memang taklah aku nak jatuh cinta dekat mamat mata hijau tu. Tak hingin aku. Dia bukan lelaki impian yang aku nak.” Dengan bongkaknya Az-Zahra berkata. Suaranya diperlahankan sedikit agar lelaki itu tidak mendengar apa yang dibicarakan oleh mereka. Sempat dia mengerling sekilas ke arah Gibran. Nampaknya lelaki itu hanya fokus pada telefon pintarnya saja.

“Jangan jual mahal sangat, Zahra. Takut nanti melekat macam belangkas,” usik Alisa sambil tersenyum-senyum.

“Simpan jelah angan-angan kau tu. Apa yang kau harapkan sangat mustahil untuk jadi kenyatan sebab dia bukan Islam. Cara hidup kami pun berbeza. Macam langit dan bumi,” balas Az-Zahra.

Alisa tersenyum nipis seraya menggelengkan kepala perlahan.

“Kita tak tahu apa yang jadi pada masa hadapan. Memang sekarang dia bukan Islam tapi mana tahu suatu hari nanti Allah berikan hidayah kepada dia. Mungkin di masa hadapan dia akan jadi lebih baik daripada kita,” hujah Alisa semula.

Az-Zahra bungkam.

Apa yang diperkatakan oleh Alisa itu ada benarnya juga. Kita tak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Mungkin pada ketika itu dia dan Gibran tidak akan berjumpa lagi. Lelaki itu pun hanya bekerja di kedai bunganya hanya sementara waktu bukan selama-lamanya. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Kan?

“Majlis dah nak mula. Jom kita pergi sana.” Alisa merangkul lengan Az-Zahra lalu mereka berjalan mendekati guru-guru serta para pelajar yang sedang beratur mengikut kelas masing-masing.

Gibran kekal mendiamkan diri sambil membuntuti langkah mereka dari belakang.

♡ ♡ ♡ ♡

SAMBUTAN Hari Kanak-kanak yang berlangsung berjalan dengan sangat lancar. Pelbagai aktiviti yang dijalankan ketika sambutan itu berlangsung. Persembahan tarian daripada kanak-kanak berusia lima dan enam tahun memeriahkan lagi suasana majlis.

Sebagai salah seorang tetamu yang dijemput hadir dalam majlis tersebut, Az-Zahra dan juga Gibran turut melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Walaupun kebanyakan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan hanya sesuai untuk kanak-kanak, mereka tetap juga mengikutinya sebagai tanda sokongan. Boleh menggamit memori ketika zaman kanak-kanak dulu.

Dua belon panjang dicapai Az-Zahra sebelum dia mula membentuk belon tersebut menjadi sekuntum bunga. Lalu diberikan kepada salah seorang kanak-kanak perempuan berambut perang yang sedang khusyuk memandang ke arahnya.

“This is for you, cute girl!” ucap Az-Zahra seraya mencubit pipi kanak-kanak perempuan itu akibat terlalu geram. Sebab comel sangat.

Kanak-kanak perempuan itu hanya tersengih.

“Thank you, Kak Zahra.”

“What’s your name?” soal Az-Zahra sekadar ingin tahu. Dia melutut di hadapan kanak-kanak perempuan tersebut untuk menyamakan ketinggian mereka.

“My name is Clarissa Tiara. I am five years old. My dad always called me Princess Tiara because he said I was very beautiful.” Kanak-kanak perempuan itu memperkenalkan dirinya sambil membuat gaya. Az-Zahra tergelak kecil. Comel sangat cara budak perempuan ini memperkenalkan diri. Tiba-tiba rasa macam nak ada anak pula.

“Can I tell you something?” tanya kanak-kanak perempuan tersebut sambil membuat muka comel.

Az-Zahra mengangguk sambil tersenyum manis.

“You look gorgeous like an angel. You look stunning in this outfit. I have never seen a beautiful woman before except my mother,” pujinya sambil mengusap-usap pipi mulus Az-Zahra dengan tapak tangan kecilnya.

Az-Zahra senyum lebar mendengar pujian berbakul-bakul daripada kanak-kanak perempuan itu. Sedikit sebanyak hatinya terasa berbunga-bunga. Sebab budak-budak tak pernah menipu.

Az-Zahra mengusap kepala Tiara dengan penuh kelembutan. Dia kemudiannya berdiri tegak semula tatkala kanak-kanak perempuan itu sudah berlalu pergi menuju ke arah pentas apabila namanya diseru untuk mengambil hadiah. Sekarang sesi penyampaian hadiah sedang dijalankan dan akan diikuti dengan sesi fotografi bersama guru-guru selepas ini. Setelah itu majlis selesai.

Az-Zahra memerhatikan sekeliling dewan yang agak besar itu untuk mencari susuk tubuh Gibran. Mereka terpisah tadi akibat dikerumuni oleh kanak-kanak yang menginginkan belon berbentuk bunga. Bila sudah selesai semuanya, dia ingin mencari keberadaan lelaki itu.

Tidak sampai sesaat, matanya menangkap figura Gibran yang sedang mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang sangat comel. Di tangan kanak-kanak lelaki itu terdapat bunga yang diperbuat daripada pipe cleaner hasil tangan dia dan juga Gibran tempoh hari.

Bukan kecomelan kanak-kanak lelaki itu yang menarik perhatiannya sebaliknya senyuman manis yang terukir pada bibir lelaki itu. Senyuman yang kelihatan sangat ikhlas. Senyuman yang tidak dibuat-buat. Senyuman mahal yang sukar untuk dilihat.

Dari jauh Az-Zahra menyaksikan semuanya. Melihat senyuman manis Gibran membuatkan jantungnya berdegup laju. Terserlah sepasang lesung pipit lelaki itu yang sungguh dalam. Az-Zahra melihat Gibran mencium pipi kanak-kanak lelaki yang sedang berada dalam dukungannya. Tertawa budak lelaki itu disebabkan oleh perbuatan Gibran.

Az-Zahra tersenyum sendirian sehingga tidak menyedari Alisa kini berdiri di belakangnya.

“Hoi, kantoi usya anak teruna orang!” sergah Alisa sambil menepuk kuat bahu Az-Zahra. Gadis itu terjerit kecil tatkala disergah secara mengejut.

Wajah Alisa dijeling tajam. Lengannya ditampar lembut.

“Isy, perangai kau ni memang tak semenggah langsung. Terjerit-jerit dekat sini. Buat malu je!” marah Az-Zahra kerana tidak berpuas hati.

Alisa tersengih.

“Aku bukan apa. Dari tadi kau duk tenung mamat hensem tu sampai nak tembus aku tengok. Aku yang berdiri dekat belakang kau pun kau tak sedar. Khusyuk sangat kau tengok dia,” ujar Alisa sambil mengangkat sebelah keningnya ke atas.

“Aku bukan tengok dia tapi aku tengok budak lelaki yang dia dukung tu. Kau memang cepat sangat tuduh aku yang bukan-bukan.” Az-Zahra menafikannya.

Alisa mencebik. Dia tak percaya langsung dengan kata-kata Az-Zahra. Ingat semudah itu ke boleh tipu dia?

“Kenapa kau tiba-tiba ada dekat sini pula? Bukan sepatutnya kau perlu layan pelajar-pelajar kau ke?” soal Az-Zahra ingin menukar topik sebelum sahabatnya itu berfikir yang bukan-bukan.

“Ada cikgu lain yang tolong. Aku cari kau sebab nak ajak sembang. Dah lama kita tak kongsi cerita sama-sama, kan. Jom kita duduk sana,” ajak Alisa seraya menarik lengan Az-Zahra menuju ke tempat duduk yang sememangnya disediakan di dalam dewan tersebut.

Az-Zahra hanya mengikuti sahaja permintaan Alisa memandangkan inilah satu-satunya peluang yang mereka ada untuk meluangkan masa bersama-sama. Bukan mudah untuk mereka berjumpa lagi selepas ini.

“Jadi, macam mana kau boleh terfikir untuk buka bisnes kedai bunga?” Alisa memulakan pertanyaan. Saja dia ingin tahu bagaimana perjalanan hidup sahabatnya setelah bertahun-tahun tidak bertemu.

“Aku memang bercita-cita nak buka bisnes dari dulu lagi tapi aku tak tahu nak buka bisnes apa. Aku bercadang dulu untuk jual tudung-tudung labuh tapi tak kesampaian. Tak ada rezeki untuk aku jual tudung waktu tu. Tapi aku tak berputus asa. Aku cuba untuk belajar dan buat kajian tentang dunia perniagaan. Ibu aku kata cari kelebihan yang ada pada diri aku. Aku memang reti menggubah bunga memandangkan ibu aku pernah ajar aku masa remaja dulu. Dari situlah aku dapat idea untuk buka bisnes jual bunga,” cerita Az-Zahra secara ringkas.

Alisa mengangguk faham.

“By the way, macam mana kau boleh dapat tahu aku buka bisnes jual bunga?” soal Az-Zahra. Dia tertanya-tanya.

“Sophia yang beritahu aku. Aku masih lagi berhubung dengan dia sebenarnya. Dia cuma beritahu aku untuk beli bunga dekat kedai kau sebab dia kata gubahan bunga kau kemas dan lawa. Lepas tu dia kata kau pandai bentukkan bunga menggunakan apa-apa bahan je,” ujar Alisa.

Az-Zahra tersenyum lebar mendengarnya. Sophia memang sahabat yang boleh diharap.

“Sebab itu aku tempah bunga dekat kedai kau. Jujur aku cakap, kau memang sangat berbakat dan kreatif. Bunga yang kau buat daripada pipe cleaner tu cantik sangat. Pelajar-pelajar aku suka. Mereka siap puji lagi.”

“Baguslah kalau macam tu. Lega juga hati aku dengar komen positif daripada pelajar-pelajar kau. Tapi sebenarnya bukan aku seorang je yang buat tapi Gibran pun tolong aku sekali. Kalau kau nak tahu dia lagi berbakat daripada aku.” Bukan auta tetapi itulah kenyataannya. Az-Zahra sendiri mengagumi bakat Gibran walaupun dia tidak pasti dari mana Gibran mendapat kelebihan itu. Mungkin lelaki itu pernah belajar sebelum ini.

“Wau, menakjubkan! Lelaki macam dia memang limited sungguh. Spesies kromosom XY yang jarang dijumpai di muka bumi ni. Tak sangka juga aku dia pandai dalam bab-bab macam ni,” puji Alisa.

Az-Zahra angguk setuju.

Telefon pintarnya terasa bergetar menandakan ada satu mesej masuk. Lantas dia membuka aplikasi WhatsApp tatkala melihat nama si pengirim.

Mamat Kerek Bermata Hijau

- Aku balik awal dulu. Ada hal.

Serta-merta berubah riak wajah Az-Zahra setelah membaca mesej yang dihantar oleh Gibran beberapa saat yang lalu. Dia mengangkat wajah untuk mencari kelibat jejaka tinggi lampai itu namun tiada.

Entah kenapa dia rasa hampa.

Tidak mahu melayan perasaan yang menyelubungi hati, Az-Zahra kembali berbual bersama Alisa.

♡ ♡ ♡ ♡

SEBAIK-BAIK sahaja Az-Zahra tiba di tempat parkir keretanya, langkah kakinya terus terhenti. Riak wajahnya juga agak terkejut tatkala melihat Gibran masih belum pulang. Lelaki itu selamba sahaja bersandar pada pintu keretanya macam kereta itu dia punya.

Gibran kembali berdiri tegak apabila melihat Az-Zahra sudah berada di hadapannya.

“Kenapa awak tak balik lagi? Tadi awak mesej saya cakap dah balik awal.” Az-Zahra mahukan penjelasan. Agak hairan melihat Gibran masih berada di kawasan sekolah.

“Aku tunggu kau,” jawab Gibran tanpa rasa segan untuk mengaku.

Berkerut kening Az-Zahra mendengarnya.

“Kenapa awak tunggu saya?” soal Az-Zahra ingin tahu.

“Sekarang dah waktu petang. Macam-macam boleh berlaku. Perempuan macam kau ni bahaya kalau balik lewat petang macam ni.” Lancar sahaja Gibran menjawab.

Az-Zahra terdiam beberapa saat. Bibirnya perlahan-lahan membentuk senyuman manis.

“Awak risaukan saya ek?” Bukan ingin menuduh tetapi itulah firasat yang Az-Zahra rasakan ketika ini.

Gibran cuma diam.

“Tak sangka awak ni caring juga dengan saya rupanya,” usik Az-Zahra. Sengaja ingin menyakat lelaki itu.

“Kau tak payah nak perasanlah, perempuan. Sejak bila pula aku caring pasal kau?”

Az-Zahra menjulingkan mata ke atas.

“Halah, halah, tak nak mengaku pula. Cakap ajelah yang awak sebenarnya risaukan saya. Awak takut kalau terjadi apa-apa pada saya, kan?” Lagi kuat Az-Zahra mengusik. Bibir menahan ketawa daripada terletus.

“Sebelum aku tampar muka kau sampai bersepai gigi kau dekat sini lebih baik kau masuk kereta sekarang.” Wajah dingin ditayang.

Az-Zahra buat muka menyampah. Kasar betul dengan perempuan. Memang tak reti nak cakap baik-baik ke?

“Saya mengusik sikit pun nak marah. Tak sporting langsung awak ni.” Az-Zahra membuka pintu keretanya sambil mulutnya membebel.

Tatkala gadis itu sudah masuk ke dalam kereta, barulah Gibran menuju ke Ducati miliknya. Topi keledar dipasang di atas kepala sebelum dia naik ke atas Ducati itu. Enjin motor dihidupkan.

Az-Zahra tersenyum lebar bila mengetahui lelaki itu sanggup menunggunya. Jadi apa guna dia menghantar mesej sebentar tadi?

Dua buah kenderaan itu mula bergerak meninggalkan kawasan sekolah tetapi melalui haluan yang berbeza.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience