31 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 7186

SEMINGGU sudah berlalu tetapi Az-Zahra masih belum menemukan jawapan yang diinginkannya. Dia masih belum menemui pemilik suara merdu yang sering melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat fardhu. Disebabkan perasaan ingin tahunya semakin menebal dalam dada, dia kerap solat di masjid dengan harapan agar dia boleh bertemu dengan muazzin yang melaungkan azan itu. Malangnya, dia langsung tak jumpa.

Az-Zahra melepaskan keluhan berat.

“Kenapa mengeluh ni? Anak ibu ada masalah ke?” Suara lembut seorang wanita memecah gegendang telinga Az-Zahra membuatkannya menoleh ke arah Hajah Aisyah yang sedang tersenyum manis.

“Tak ada apa-apa, bu. Zahra cuma fikir pasal anak-anak murid Zahra je,” balas Az-Zahra laju. Dia terpaksa berdalih kerana tidak mahu Hajah Aisyah mengesyaki apa-apa.

Hajah Aisyah menghampiri anak sulungnya yang sedang berdiri di balkoni rumah. Wajah cantik Az-Zahra kelihatan serabut seolah-olah banyak beban yang dipikulnya.

“Kenapa? Cuba cerita pada ibu.”

“Zahra tak tahu macam mana nak urus semua anak murid Zahra sebab makin ramai budak-budak dekat kampung ni nak masuk kelas mengaji dengan Zahra. Zahra takut tak mampu nak handle mereka semua sebab terlalu ramai,” luah Az-Zahra.

“Rania tak boleh tolong?”

Az-Zahra menggeleng perlahan.

“Tak boleh ibu sebab dia kan kerja sampai malam. Kesianlah dekat dia. Mesti dia penat sebab baru balik kerja lepas tu nak kena ajar budak-budak mengaji. Zahra pun jarang jumpa dia sebab dia pun sibuk.”

“Cuba minta tolong dekat Ustaz Idris. Mana tahu dia boleh tolong kamu. Nanti kamu pandai-pandailah bincang dengan dia dan bahagi anak-anak murid kamu. Mungkin kamu ajar pelajar-pelajar perempuan dan Ustaz Idris ajar pelajar-pelajar lelaki. Ustaz Idris tu bagus dan ada ilmu agama yang cukup tinggi. In Syaa Allah dia mesti boleh bantu,” ujar Hajah Aisyah mengutarakan cadangannya.

Az-Zahra terdiam sejenak.

Minta pertolongan daripada Ustaz Idris?

Dia bukannya rapat sangat dengan ustaz muda itu. Dia tahu Ustaz Idris itu bukan calang-calang ustaz. Pernah belajar di luar negara dulu dan ilmu agamanya sangat tinggi. Memang pakar dalam bidang agama.

“Tengoklah dulu,” balas Az-Zahra sebelum melepaskan keluhan kecil.

“Ibu sebenarnya nak tanya sesuatu.”

Az-Zahra menoleh ke arah ibunya. Wajah tua itu dipandang dengan penuh tanda tanya.

“Zahra tak rasa nak kahwin ke?” Soalan maut itu meniti di bibir Hajah Aisyah membuatkan tubuh Az-Zahra mengeras.

Soalan ibunya benar-benar di luar jangkaannya. Hajah Aisyah jarang sekali menyentuh isu kahwin dengannya.

“Kamu jangan salah faham pula. Ibu bukan nak paksa kamu cari calon suami. Ibu cuma tanya, kamu tak ada niat nak berkahwin ke? Ibu perasan kamu kadang-kadang suka termenung, tak tahu fikirkan siapa. Kalau kamu dah jumpa seseorang, boleh bawa jumpa ibu dengan ayah. Kalau tidak, kami boleh tolong carikan.”

“Eh, tak payahlah susah-susah, bu. Nanti ada lah tu. Zahra tak nak fikir soal kahwin dulu buat masa ni,” ujar Az-Zahra kalut. Risau dibuatnya kalau orang tuanya betul-betul carikan dia calon suami.

Lama Hajah Aisyah merenung wajah anak daranya.

“Ibu sentiasa doakan anak ibu dijodohkan dengan seorang lelaki yang baik, beriman, bertanggungjawab dan mampu didik kamu jadi seorang isteri solehah. Ibu teringin nak tengok kamu kahwin,” ujar Hajah Aisyah lembut.

Az-Zahra senyum kelat. Impian seorang ibu yang dia sendiri tidak pasti sama ada mampu ditunaikan atau tidak. Dia merupakan anak sulung. Sudah tentu orang tuanya mengharapkan agar dia akan berkahwin suatu hari nanti.

“In Syaa Allah, ibu.”

♡ ♡ ♡ ♡

PETANG itu, Az-Zahra turun ke kawasan tanah lapang untuk berlatih memanah. Sudah menjadi rutin hariannya setiap hari pada waktu petang untuk belajar memanah kecuali jika ada hal penting yang mungkin memaksa dirinya untuk membatalkan latihan.

Az-Zahra berdiri tegak sambil memegang busur di tangan. Dia menarik nafas panjang sebelum dihembus perlahan. Baru saja dia hendak memulakan latihannya, suara sekumpulan kanak-kanak comel tiba-tiba menyapa gegendang telinganya. Terbatal niatnya untuk berlatih memanah.

“Ustazah!”

Az-Zahra tersentak. Dia melihat anak-anak muridnya berlari ke arahnya dengan wajah ceria. Masing-masing senyum lebar sehingga menyerlahkan gigi mereka yang comel.

“Kenapa berlari-lari ni? Nanti jatuh macam mana?” tegur Az-Zahra lembut.

Mereka tersengih.

“Ustazah, malam ni ada kelas ngaji ke?” Salah seorang kanak-kanak lelaki menyoal. Umar namanya.

“In Syaa Allah malam ni ada. Kenapa tanya? Tak nak datang lah tu,” usik Az-Zahra. Wajahnya sengaja dimasamkan.

“Bukanlah ustazah, Umar sekarang ni dah berpaling tadah. Dia dah tak nak belajar mengaji dengan ustazah sebab dah ada ustaz hensem tolong ajarkan.” Auni bersuara sebelum tergelak kecil.

“Eh, mana ada! Auni ni memandai je!”

“Ustaz hensem?” Berkerut kening Az-Zahra mendengarnya.

“Iya, ustazah! Ustaz hensem yang pernah ajar kami mengaji lepas solat Asar hari tu. Umar dah tak nak mengaji dengan ustazah sebab dia lagi suka dengan ustaz hensem tu,” ujar Auni lagi sengaja mengapi-apikan keadaan. Seronok melihat wajah cemberut Umar.

“Kamu bagi gelaran nama tu dekat Ustaz Idris? Kelakarlah kamu semua ni,” balas Az-Zahra sebelum ketawa. Siapa lagi ustaz muda di kampung ini kalau bukan Ustaz Idris, kan?

“Bukan Ustaz Idris lah, ustazah.”

Mati terus ketawa Az-Zahra.

“Habis tu siapa?”

“Kawan Ustaz Idris. Dia baru je datang kampung ni. Dia hensem sangat sampai Ainin pun terpikat.” Kali ini, si comel Ainin pula yang bersuara. Kanak-kanak bertubuh kecil. Paling muda dalam kalangan rakan-rakannya yang lain.

“Ya ke? Siapa nama dia?” soal Az-Zahra ingin tahu.

“Hurm, kami tak tahu apa nama penuh ustaz tu tapi dia suruh panggil dia Abang Muhammad,” jawab Auni.

Az-Zahra terdiam sejenak. Fikirannya teringatkan cerita Rania tempoh hari. Katanya ada imam baru yang akan menggantikan Tok Imam lama. Imam muda.

“Dia memang ustaz ke? Atau kamu semua yang sengaja panggil dia ustaz?”

“Entah, kami panggil ustaz sebab kami pernah ngaji sama-sama dengan dia. Ustaz tu ajar sekejap je. Itupun sebab Umar yang mengada-ngada nak belajar ngaji dengan ustaz hensem tu,” jelas Auni memandangkan dia lagi matang dalam kalangan rakan-rakannya yang lain. Usianya juga sudah mencecah sebelas tahun.

“Takkanlah ustazah tak kenal. Dia selalu laungkan azan setiap kali masuk solat fardhu.”

Tubuh Az-Zahra mengeras.

“Apa kata kalau ustazah dengan ustaz hensem tu sama-sama ajar kami ngaji. Mesti seronok, kan?” pinta Umar dengan bersungguh-sungguh. Mata bulatnya bersinar-sinar.

Terkunci mulut Az-Zahra mendengar permintaan si kecil Umar.

“Isy! Tak pandai bersyukur. Cukuplah ustazah je yang ajar kita!” Auni menyampuk.

“Diamlah! Auni suka sangat menyampuk!” balas Umar sebelum menjelirkan lidah ke arah Auni. Ainin pula hanya diam memerhati dua orang rakannya bertikam lidah.

Pandangan Az-Zahra kosong. Degupan jantungnya bertukar rentak. Kenapa dia rasa sangat dekat dengan lelaki itu?

♡ ♡ ♡ ♡

ANGIN sepoi-sepoi menampar lembut wajah kacak Gibran. Rambutnya agak serabai akibat ditiup angin namun ketampanannya tetap terserlah. Suasana sungguh nyaman pada petang itu membuatkan hatinya berasa tenang.

Di sebelahnya, Ustaz Idris tidak berhenti bercerita. Dari tadi mulut itu berbunyi. Gibran hanya menadah telinga. Seronok juga mendengar cerita berkaitan kampung ini biarpun cerita itu selalu diulang-ulang oleh Ustaz Idris.

Mereka akhirnya berhenti di sebuah gerai makan yang cukup terkenal di kampung itu. Gerai makan Cik Wan sangat terkenal kerana kebersihannya dan makanan yang dihidangkan juga enak-enak belaka. Itu kata Ustaz Idris.

Ustaz Idris yang mengajaknya untuk keluar jalan-jalan dan Gibran hanya bersetuju memandangkan dia juga bosan duduk di dalam rumah penginapan sendirian. Mereka mengambil tempat duduk yang hanya memuatkan dua orang saja dan saling berhadapan.

Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an menghampiri meja mereka untuk mengambil pesanan. Senyuman di wajah wanita itu sungguh lebat tatkala memandang Gibran.

“Assalamu’alaikum, ustaz. Nak pesan apa?” tanya wanita itu bersama senyuman yang sukar ditafsirkan. Sempat dia mengerling sekilas ke arah Gibran sebelum memandang Ustaz Idris.

Gibran akui kurang selesa apabila dirinya diperhatikan oleh orang-orang kampung yang makan di gerai ini tetapi dia hanya buat bodoh. Wanita di hadapannya juga sama, dari tadi pandang-pandang dia.

“Bagi saya roti canai dengan teh susu,” kata Ustaz Idris sebelum memandang Gibran di hadapannya.

“Kau nak pesan apa, Gib?”

“Bagi air putih je,” jawab Gibran tanpa memandang wajah wanita itu.

“Air putih je? Kalau macam tu, baik kau minum dekat rumah.”

Belum sempat Gibran bersuara, wanita itu menyampuk.

“Takkanlah ustaz minum air putih je. Makanlah sekali dekat sini. Gerai ni jual banyak jenis makanan. Kuih-muih pun ada,” ujar wanita itu dengan nada suara yang mendayu-dayu.

Ustaz Idris dan Gibran saling berpandangan. Ustaz Idris jelas sekali menahan ketawa. Entah apa yang lucu.

“Erk, bagi pulut panggang dengan donat susu je lah, Kak Wati.” Yang menjadi tukang jawab sudah tentu Ustaz Idris. Gibran memandang ke tempat lain. Sungguh dia rasa tak selesa.

Wanita yang bernama Kak Wati itu hanya mengangguk sebelum beredar dari situ.

Setelah bayangannya menghilang, Ustaz Idris melepaskan tawanya. Terbahak-bahak lelaki itu ketawa tanpa mempedulikan renungan tajam Gibran.

“Kenapa muka kau cuak tadi?”

“Aku tak selesalah dia pandang aku macam tu. Lepas tu, sengaja buat-buat suara lembut macam tu. Dia ingat aku akan tergoda dengan dia?” Gibran berdecit perlahan.

Ustaz Idris menggeleng kepala beberapa kali. Dia tak hairan kalau kawannya ini selalu digoda. Siapa je tak jatuh cinta dengan lelaki macam Gibran? Lengkap semua pakej.

Mata Ustaz Idris tertumpu ke arah seseorang yang baru tiba. Senyumannya kian melebar.

“Zahra!” laung Ustaz Idris.

Automatik tubuh Gibran mengeras. Tajam pandangannya ke arah wajah Ustaz Idris.

“Eh, ustaz! Tak sangka jumpa dekat sini,” balas Az-Zahra sambil senyum manis. Matanya sempat mengerling ke arah seorang lelaki yang duduk di hadapan Ustaz Idris. Dari belakang pun dia boleh tahu lelaki ini seorang lelaki yang agak tinggi. Bahunya juga agak lebar.

“Ya, saja keluar jalan-jalan dengan kawan. Bawa dia makan sekali dekat gerai sini,” kata Ustaz Idris sambil menjeling sekilas ke arah Gibran yang hanya diam membatu. Terus terdiam member.

“Oh, kawan?” Az-Zahra cuba mengintai sedikit wajah lelaki yang duduk membelakanginya. Sejak tadi dia hanya mendiamkan diri tanpa bergerak langsung. Introvert sungguh si kawan.

“Zahra baru balik dari latihan memanah ke ni?” tanya Ustaz Idris untuk mengalihkan perhatian Az-Zahra.

“Ha’ah, saya singgah sini sebab nak beli kuih karipap untuk ibu dekat rumah. Katanya teringin nak makan kuih karipap panas-panas,” balas Az-Zahra.

Ustaz Idris hanya mengangguk. Wajah dingin Gibran dijeling sekilas. Dia tahu sahabatnya tengah menahan perasaan.

“Urm, saya pergi beli dulu, ya. Lagipun, saya kena balik awal.” Az-Zahra meminta diri. Sempat dia memandang ke arah lelaki yang sejak tadi diam tak berkutik. Pelik sungguh kawan Ustaz Idris tu.

“Okey, hati-hati,” pesan Ustaz Idris. Terselit keprihatinan.

Setelah yakin Az-Zahra sudah berlalu dari situ, Gibran menoleh sedikit ke belakang dan melihat gadis itu sedang memesan kuih karipap di kaunter. Dia tidak menafikan bahawa dia sangat merindui gadis itu. Senyuman yang menghiasi wajahnya membuatkan hati Gibran berasa tenang.

“Aku tak pernah sangka yang kau ada sejarah dengan dia.” Suara Ustaz Idris membuatkan Gibran terus menoleh ke hadapan semula.

“Kenapa kau biar dia pergi macam tu je? Tak nak jumpa dia ke?” soal Ustaz Idris.

“Belum tiba masanya. Aku akan jumpa dan bertentang mata juga dengan dia cuma bukan sekarang. Kau tunggu je lah,” balas Gibran tenang.

“Kau nak dia kahwin dengan lelaki lain baru kau nak bertindak?”

“Dia takkan kahwin dengan mana-mana lelaki. Aku yakin dia jodoh aku dan dia juga takdir aku. Aku sangat yakin.”

Ustaz Idris terdiam.

Konfiden Gibran jangan dibuat main. Tingginya keyakinan lelaki itu melebihi segala-galanya.

Sekali lagi Gibran menoleh ke belakang sedikit. Az-Zahra sudah siap membayar. Namun, apa yang membuatkan jantungnya berdebar laju apabila gadis itu juga menoleh ke arahnya. Gibran pantas memandang ke hadapan semula.

Ustaz Idris yang menjadi pemerhati menahan senyuman lucu.

“Dia pandang sinilah. Nak aku panggil?” usik Ustaz Idris. Seronok melihat sahabatnya yang sedang gelisah ini. Mana perginya Gibran yang konfiden tadi.

“Shut up! Jangan macam-macam, Ris. Aku tumbuk kau japgi.”

Ustaz Idris tertawa kecil.

Gibran mengusap-usap dadanya sambil beristighfar. Dia yakin Allah akan pertemukan mereka. Hanya menunggu masa yang sesuai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience