04 | GIBRAN & MAHYRA

Drama Series 6958

“SELAMAT pagi, Zahra!” ucap Sophia dengan ceria setelah melangkah masuk ke dalam kedai bunga milik Az-Zahra.

“Ya, wa’alaikumussalam,” sindir Az-Zahra. Dia menjeling sekilas ke arah Sophia yang sedang tersengih umpama kerang busuk.

Sophia mengambil tempat duduk di atas sebuah sofa lembut berhadapan dengan Az-Zahra yang sedang fokus melakukan kerjanya.

“Ada apa kau datang kedai aku awal-awal pagi macam ni?” soal Az-Zahra sambil tangannya lincah menggubah bunga.

Sophia tersengih lagi.

“Saja, aku nak pecah rekod jadi pelanggan pertama yang paling awal datang untuk bulan ni,” jawab Sophia selamba.

“So, should I give you the best customer award for this month?” Az-Zahra menyindir lagi.

“Mestilah! Bukan senang tahu nak dapatkan anugerah terbaik. Kalau nak mencapainya kenalah diikuti dengan usaha. Aku dah usaha untuk datang awal jadi kau kena bagi hadiah yang mahal-mahal untuk aku macam produk penjagaan kulit ke atau tak pun beg tangan mahal jenama Dior,” balas Sophia dengan teruja.

Az-Zahra menjulingkan mata ke atas.

Cara dia minta untuk belikan hadiah tu memang selamba sungguh. Mana dia nak dapat duit yang banyak untuk beli barangan mahal macam gitu. Dia ingat duit tu boleh jatuh dari langit ke apa.

“Kau tak payah nak mengada sangat. Baik kau cakap jujur dengan aku sekarang. Apa niat kau datang kedai aku awal-awal pagi lagi? Kau nak tempah bunga ke?” tanya Az-Zahra menginginkan kepastian. Bukan boleh percaya sangat sahabatnya yang satu ini. Entah-entah dia datang ke sini pun semata-mata nak mengganggu dia buat kerja.

“Eh, taklah, aku datang sini sebab nak tempah maut dengan kau.” Jawapan selamba daripada Sophia.

Az-Zahra menjeling tajam. Sophia cuma tersengih.

“I’m joking, okay.” Sophia angkat kedua-dua tangannya tatkala melihat wajah cantik itu bertukar menjadi semakin serius. Ceh, nak bergurau sikit pun tak boleh.

“Yalah, aku datang sini sebab nak tempah bungalah takkan aku nak tempah hantaran kahwin pula, kan. Calon suami pun aku belum jumpa tiba-tiba nak tempah hantaran kahwin. Tak logik langsung,” ujar Sophia. Sempat lagi dia bergurau.

Az-Zahra mencebik bibir. Dia malas hendak melayan kerenah Sophia yang suka bergurau. Setiap masa ada saja akalnya nak buat lawak.

“Kau nak tempah bunga jenis apa?” Az-Zahra bertanya.

“Urm, kalau ikutkan banyak jenis bunga yang aku nak tempah. Kalau boleh aku nak semua jenis bunga yang ada dijual di kedai kau ni,” jawabnya.

“Kau biar betul? Nak buat apa beli bunga banyak-banyak? Kau dah tukar kerjaya jadi ahli botani ke apa? Kau nak jadikan rumah kau tu sebagai taman bunga?” soal Az-Zahra bertubi-tubi.

“Bukanlah, tak adanya aku nak jadi ahli botani. Aku tempah bunga banyak-banyak pun sebab hari Sabtu ni syarikat aku akan adakan majlis ulang tahun yang ke-33 tahun ditubuhkan. Jadi, aku sebagai pekerja yang baik dan bertanggungjawab perlu terlibat sama dalam menguruskan persediaan untuk majlis itu nanti” jelas Sophia.

Az-Zahra mengangguk faham.

“Jadi, berapa bunga yang kau nak tempah?”

“Kesemuanya 300 tempahan.”

Tersedak air liur Az-Zahra tatkala mendengarnya. Dia tidak pernah menyangka akan ada seseorang yang akan membeli bunganya sebanyak itu.

Benarlah rezeki Allah itu sangat luas.

“Kau tak payahlah nak terkejut sangat, Zahra. Aku tahu ini pertama kali kau dapat tempahan sebanyak ni, kan? Kau jangan risau, tugas kau hanya menggubah bunga tu dengan cantik dan pihak syarikat akan bayar kau dengan harga yang lumayan,” ujar Sophia sambil mengeyit sebelah matanya. Bibirnya mengukirkan senyuman manis.

Az-Zahra terpempan untuk beberapa saat. Tangannya juga turut terhenti daripada menggubah bunga.

“Jadi, kau setuju ke tak dengan tempahan bunga daripada syarikat kami?” tanya Sophia menginginkan kepastian sambil matanya merenung tepat wajah Az-Zahra yang masih lagi tercengang.

Az-Zahra berfikir sejenak.

Tempahan bunga yang diterimanya untuk kali ini memang sangat banyak. Biarpun kedai bunganya ini baru saja beroperasi namun tidak pernah langsung terlintas di fikirannya bahawa dia akan menerima tempahan yang begitu banyak. Dia berasa gembira tetapi pada masa yang sama dia juga berasa bimbang jika hasil gubahannya tidak memuaskan hati pihak syarikat tersebut. Namun, dia cuba juga untuk berfikiran positif. Mungkin ini adalah rezeki dan peluang untuknya bagi meluaskan lagi perniagaannya. Tiada sesiapa pun tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang kecuali Allah SWT.

“Aku terima tempahan bunga daripada syarikat kau tapi aku tak pasti sama ada aku boleh siapkan dalam masa beberapa hari ni atau tidak. Tapi jangan risau sebab aku akan cuba sehabis baik dengan bantuan daripada pekerja aku untuk siapkan tempahan sebanyak tu,” balas Az-Zahra dengan tenang.

Sophia tersenyum lebar.

“Alhamdulillah, lega hati aku dengar yang kau boleh terima tempahan sebanyak tu. Aku dah tak tahu nak tempah bunga dekat mana. Cuma kedai bunga kau je yang terlintas di fikiran aku jadi sebab itulah aku beli dekat sini je. Kalau beli secara atas talian takut kena tipu pula,” kata Sophia sambil membayangkan perkara buruk seperti itu akan berlaku.

Memang melayang terus duit syarikat kalau kena tipu macam tu. Sia-sia saja kerja di bawah syarikat terkenal dan tersohor di seluruh dunia tetapi mudah percaya kepada sesuatu yang belum pasti kesahihannya.

“Aku cuba untuk siapkan tempahan bunga ni dalam masa yang singkat. Insya-Allah kalau dah siap aku akan beritahu kau dan biar aku sendiri yang hantar nanti,” ujar Az-Zahra.

Sophia hanya mengangguk.

Dia terus mengeluarkan satu kertas bersaiz sederhana kecil dari beg tangannya dan dihulurkan kepada Az-Zahra. Tidak menunggu lama, Az-Zahra terus menyambutnya.

“Itu alamat yang kau kena pergi. Nanti kau hantar je bunga-bunga tu dekat alamat yang aku dah tulis. Kau sebut je nama dewan tu dan apa tujuan kau nak ke sana, nanti mereka akan tolong tunjukkan arah nak pergi ke dewan tu,” terang Sophia dengan teliti.

Az-Zahra hanya mengangguk seperti burung belatuk.

“Kau jangan tersesat pula tau. Tempat tu besar dan kau pula tak pernah jejakkan kaki ke sana. Nanti kau masuk terus pergi ke bahagian kaunter. Kau tanya je pekerja yang menjaga kaunter nanti. Dia akan tolong,” pesan Sophia lagi.

Az-Zahra mengangguk lagi.

Sophia pun tersenyum puas.

“Okey, aku rasa aku kena pergi kerja sekarang. Aku kena uruskan persediaan untuk majlis nanti. Nanti lambat memang kena potong gaji aku,” ujar Sophia seraya mengerling ke arah jam di tangannya. Dia risau jika dia terlewat. Memang kena herdik dengan bos besar nanti.

“Okey, hati-hati pandu kereta. Jangan disebabkan nak cepat kau bawa kereta laju-laju pula,” pesan Az-Zahra terselit keprihatinan.

Sophia mengangguk sambil senyum manis. Dia pun meminta diri untuk beredar.

Sebaik sahaja bayangan Sophia hilang dari pandangan mata, Az-Zahra merenung kembali alamat yang tertulis di kertas tersebut.

“Royal Palace Hotel,” gumamnya perlahan.

♡ ♡ ♡ ♡

KEADAAN di dalam dewan besar itu sungguh hingar-bingar. Kelihatan beberapa orang pekerja lelaki dan pekerja wanita sedang sibuk menguruskan bahagian pentas yang besar itu. Mereka menghias dengan menggunakan pelbagai bahan hiasan untuk menjadikan pentas tersebut kelihatan lebih cantik dan lebih menarik untuk dipandang.

Juga terdapat segelintir pekerja yang sedang menyusun kerusi dan meja mengikut kedudukan yang sudah pun ditetapkan. Meja yang paling hadapan sudah tentulah dihuni oleh tetamu VVIP iaitu tetamu paling istimewa manakala meja yang disusun di bahagian belakang pula adalah untuk pekerja staf syarikat tersebut dan tetamu-tetamu yang dijemput hadir.

Gibran memerhatikan setiap gerak-geri pekerja-pekerja yang sudah ditugaskan untuk menghias dewan tersebut. Tajam anak matanya memandang satu-satu wajah pekerjanya yang sedang melakukan tugas masing-masing dengan gayanya yang tidak ubah seperti seorang bos yang sedang mengawasi anak-anak buahnya. Dia perlu memastikan tiada seorang pun yang curi tulang.

Luke yang baru sahaja tiba di dewan tersebut terus menghampiri sahabatnya tatkala melihat figura lelaki itu. Dari jauh dia sudah dapat melihat dengan jelas wajah serius Gibran yang sedang mengawasi pekerja-pekerjanya.

Luke menepuk bahu jejaka itu sambil tersenyum manis. Lantas Gibran berpaling ke arahnya bersama riak wajah yang kekal dingin.

“What are the latest development so far?” soal Luke sambil matanya memerhatikan pekerja-pekerja lelaki yang sedang mengangkat meja panjang. Dia melihat dewan besar ini semakin banyak perubahannya.

Meja dan kerusi sudah disusun atur dengan kemas mengikut kedudukannya. Pentas pula dihias cantik dengan pelbagai corak dan warna yang sungguh menyerikan. Biarpun bahagian pentas masih belum selesai dihias dengan sepenuhnya namun dia yakin hasilnya pasti akan memuaskan hati semua orang. Bukan itu sahaja, karpet merah juga sudah dibentangkan.

“50% done,” jawabnya ringkas sambil menyilangkan tangannya ke dada.

Luke mengangguk sambil tersenyum puas. Dia meletakkan lengannya pada bahu Gibran dengan selamba sebagai sandaran. Lelaki itu pula hanya membiarkan sahaja bahunya menjadi mangsa sandaran lengan Luke. Dia sudah biasa dengan ragam sahabatnya.

“Macam mana dengan tempahan bunga? Staf kita dah oder ke belum?” soal Gibran tanpa memandang langsung wajah Luke di sebelahnya.

“Alhamdulillah, Sophia ada beritahu aku yang dia dah tempah bunga tadi. Sekarang dia dalam perjalanan nak ke sini. Nanti dia sampailah kejap lagi,” jawab Luke tetapi matanya tidak lepas dari memerhatikan pekerja-pekerja yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing.

Gibran hanya sekadar mengangguk.

Sementara itu, Sophia pula baru sahaja tiba di hotel lalu dia bergegas menuju ke sebuah dewan yang menjadi tempat berlangsungnya majlis tersebut. Jam di tangannya dikerling sekilas. Hampir menunjukkan jam 10:00 pagi.

Setibanya dia di sana, cekap sahaja matanya menangkap susuk tubuh dua orang jejaka yang sangat dikenalinya. Dari belakang pun dia sudah dapat mengecam mereka itu adalah pegawai atasannya.

Sophia menghampiri dua orang lelaki tersebut. Terasa debaran jantungnya semakin laju. Dia bukan tidak biasa untuk berdepan dengan pegawai atasannya cuma dia malu dengan mereka biarpun sudah setahun dia bekerja di syarikat yang sama. Tetapi disebabkan kerja dia terpaksa menebalkan muka untuk menghadap mereka.

“Erk, assalamu'alaikum, Tuan Gibran,” Sophia memberi salam kepada majikannya namun apabila dia tersedar sesuatu cepat-cepat dia menutup mulutnya.

Eh, dia dah kenapa bagi salam dekat lelaki itu sedangkan dia bukan beragama Islam.

Luke mengemam bibir serapat yang mungkin agar tidak melepaskan tawanya di sini. Entah kenapa dia rasa kelakar. Dia sendiri pun terkejut mendengar pekerjanya tiba-tiba memberi salam kepada lelaki itu. Dah mabuk ke apa tiba-tiba bagi salam dekat orang bukan Islam.

Berbeza pula reaksi Gibran. Dia hanya bersikap selamba tetapi wajahnya kekal dingin. Anak matanya yang berwarna unik itu tajam merenung wajah Sophia.

“Erk, maafkan saya. Saya tak sengaja. Maksud saya, selamat pagi, Tuan Gibran.” Sophia cepat-cepat membetulkan ayatnya. Dia mula rasa seram sejuk apabila ditenung sebegitu. Rasa nak tampar dahi sendiri sebab dah tersasul.

Gibran langsung tidak membalas walau sepatah kata pun. Dia mengalihkan pandangannya ke arah pekerja-pekerjanya semula.

Sophia tersenyum kelat.

Dia sudah terbiasa dengan sikap acuh tak acuh daripada majikannya. Dia dah boleh terima cara layanan lelaki itu terhadap dirinya. Memang dia agak kecil hati tetapi apa yang dia boleh buat untuk cairkan hati beku lelaki seperti itu. Takkanlah nak simbah dengan air panas pula untuk cairkan manusia beku macam gitu. Silap hari bulan dia yang kena simbah dengan air panas. Sia-sia je hidup selama dua puluh empat tahun kalau pengakhirannya kena simbah dengan air panas.

Sophia berpaling pula ke arah Luke yang sedari tadi hanya diam sambil memerhatikannya.

“Assalamu’alaikum, Tuan Luke,” ucapnya sambil tersenyum manis.

Luke mengangguk kepalanya sekali.

“Wa’alaikumussalam,” balasnya dengan ramah. Dia turut membalas senyuman pekerjanya itu.

"So, what brings you here?" tanya Luke.

“Sebenarnya, saya nak beritahu yang tempahan bunga yang saya buat mungkin akan sampai hari Jumaat. Tadi saya lupa nak beritahu Tuan Luke,” lapornya.

Luke mengangguk faham.

“Oh, it’s okay. Nanti kita minta...”

“Kenapa hari Jumaat pula baru sampai sini sedangkan esoknya majlis dah bermula? Sepatutnya bunga-bunga tu kena sampai lebih awal supaya tak kelam-kabut nak susun nanti,” cantas Gibran. Ton suaranya sedikit tinggi menyebabkan Sophia berasa takut.

Aduhai, padan muka untuk diri sendiri sebab dapat majikan yang cepat panas baran.

Luke menjeling ke arah Gibran. Aku baru nak cakap dia dah menyampuk. Kacau betullah mamat ni.

“Kau boleh sabar tak? Cuba jangan asyik nak melenting je kerja. Bagilah dia habis cakap dulu,” pujuk Luke yang cuba menenangkan Gibran.

Gibran menjeling tajam.

“Se...sebenarnya sa...saya baru buat tempahan bunga tu pagi tadi sebab saya tak sempat nak tempah sebelum ni. Hari ni baru saya ada masa nak buat tempahan. Jadi memandangkan saya dah lambat nak buat tempahan, kawan saya cakap dia cuba juga untuk siapkan gubahan bunga tu dalam tempoh beberapa hari ni. Insya-Allah dia cuba untuk usahakan,” ujar Sophia tanpa bertentang mata dengan lelaki itu. Dia gementar sekarang ini.

Gibran menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan.

“Apa nama kedai bunga tu?” soal Gibran. Suaranya tidak lagi tinggi seperti tadi.

“Scarlett Florist. Kedai bunga tu baru saja beroperasi tapi dah menerima ramai sambutan. Saya jamin kawan saya akan berikan gubahan bunga yang terbaik,” kata Sophia dengan yakin.

“Sekejap, kawan awak ke yang buka kedai bunga tu?” soal Luke pula.

Sophia mengangguk bagi menjawab pertanyaan Luke.

“Ah, I see,” balas Luke perlahan.

“Wait, she said, she can prepare all the flower orders in a few days? Are you sure? Dia ingat tempahan sebanyak 300 tu sikit ke? Kawan kau tu manusia ke gorgon?” soal Gibaran dengan kasar. Dijelingnya wajah Sophia tanda dia masih lagi tidak berpuas hati.

“Eh, kau tahu ke gorgon tu apa? Tiber main petik je nama tu,” bisik Luke di telinga Gibran.

“Entah, manalah aku tahu. Aku main sebut je. Aku bukannya kenal pun gorgon tu siapa,” balas Gibran selamba.

Sophia yang menjadi orang tengah terkebil-kebil melihat dua orang manusia itu berinteraksi sesama sendiri. Bisik-bisik pun tiada guna kalau dia masih boleh dengar. Tak apalah, buat-buat pekak je.

Sophia berdehem seketika.

“Kalau kawan saya cakap yang dia mampu untuk siapkan semua tempahan bunga dalam masa beberapa hari ni maksudnya dia mampulah. Takkanlah dia nak bagi harapan palsu pula, kan? Kawan saya bukan jahat sangat nak tipu saya,” ujar Sophia tegas. Dia tidak suka dengan soalan Gibran yang seolah-olah memandang rendah terhadap sahabat baiknya.

Gibran menjulingkan mata ke atas.

Luke pula masih tersenyum manis.

“Make sure she doesn't give us a fake hope!” ujar Gibran tegas sebelum berlalu pergi.

Sophia mengeluh kecil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience